Bab 18

Family Series 17160

HUJUNG minggu itu, Affendi dan Zulaikha akan bermalam di rumah Puan Barsyiah. Memang begitulah rutin mereka. Mereka akan bermalam di banglo Puan Barsyiah jika ada kelapangan. Sementelah jarak rumah mereka dengan banglo Puan Baryiah hanya 20 minit perjalanan sahaja.

Kebetulan juga, mak teh Zawiyah ada di sana. Puan Zawiyah datang bermalam di sana kerana dijemput memberi ceramah kepada mahasiswa di universiti berhampiran. Kerjayanya sebagai pensyarah memang menuntutnya ke sana ke mari.

“Dah sarapan Di, Zu?” tanya Puan Barsyiah sebaik sahaja anak dan menantunya menyalaminya. Seawal 8 pagi anak menantunya sudah sampai ke banglonya.

“Belum ma, Zu ni...malas! Jarang masak. Breakfast Di pun dia tak nak sediakan. Mak teh tengoklah badan Di ni dah kurus.” jawab Affendi dengan muka serius. Mereka bergandingan ke ruang makan.

Puan Zawiyah yang mendengarnya sudah terbuntang biji mata memandang Zulaikha. Jelas dia terkejut dengan apa yang didengarnya. Zulaikha pula sudah menepuk peha Affendi yang duduk di sebelahnya.

“Betul ke Zu?” soal Puan Zawiyah kepada Zulaikha.

Puan Barsyiah mengekek ketawa dengan pertanyaan sahabatnya. Tentu sahabatnya itu termakan dengan kata-kata Affendi. Affendi juga tidak berjaya menahan ketawa. Hilang terus wajah seriusnya tadi.

“Kau percaya sangatlah cakap Fendi tu, Wiya... Kurus apanya dia tu. Perut pun dah ke depan. Zu tak ‘berisi’, dia pulak yang nampak macam ‘berisi’.” Puan Barsyiah berkata dengan ketawa yang masih bersisa.

“Mama ni...ada ke cakap Di macam tu. Okey lagi ni perut Di. Maintain je.” cebik Affendi. Zulaikha mencubit pula pinggang suaminya. Kasihan dia melihat mak tehnya yang baru menarik nafas lega. Dia menghampiri Puan Zawiyah yang tidak jauh darinya.

“Mak teh percaya sangat cakap abang Fendi tu. Dia memang suka sakat Zu.” Zulaikha menggosok bahu mak tehnya.

“Mak teh ingat betullah Zu ni malas masak. Mak teh hairan jugak. Yelah, masa dulu rajin je Zu masak.” Ujar Puan Zawiyah. Memang dia hampir percaya dengan omongan Affendi tadi. Tambah pula bila dia melihat wajah Affendi yang serius.

“Dahlah Wiya...macamlah kau tak tahu perangai Fendi ni. Memang dari kecil dia memang suka sakat kau kan?”

“Alah mak teh ni...macam tak kenal Di lagi. Di gurau je. Zu isteri yang terbaik.” Affendi tersengih memandang Puan Zawiyah. Kemudian beralih pula memandang Zulaikha yang tersipu malu. Puan Barsyiah hanya mampu menggeleng melihat anak teruna. Dari kecil sampai dah berkahwin pun perangainya memang tidak pernah berubah.

“Dah, jom makan. Jangan layan sangat Fendi ni. Merapu lebih.” Sampuk Puan Barsyiah sambil menyenduk kuah kari ke dalam mangkuk kecil dan diletakkan di depan temannya.

Puan Zawiyah ketawa juga apabila menyedari dirinya sudah terkena dengan gurauan Affendi. Hatinya terasa lega kerana anak saudaranya nampak benar-benar bahagia dengan kehidupannya sekarang. Sekurang-kurangnya dia berasa lega dengan kekerasannya memujuk Zulaikha menerima lamaran temannya.

 

 

USAI makan bersama malam itu, Zulaikha membersihkan dan mengemas dapur. Orang gaji ibu mentuanya bercuti sehingga besok. Ibu mentuanya ke depan menjawab telefon. Mak tehnya sudah berlalu ke tingkat atas untuk bersolat. Suaminya pula telah hilang ke ruang menonton.

Zulaikha meneruskan mencuci pinggan yang masih berbaki di dalam sinki. Zulaikha menoleh apabila terasa kehadiran orang dibelakangnya. Dia tersenyum pada Puan Barsyiah yang sudah memegang tuala.

“Tak apa ma... Mama duduklah depan, nanti Zu buat.” Zulaikha berkata pada ibu mentuanya yang sudah mula mengelap pinggan yang ditangkupnya tadi.

“Tak apalah, mama tolong. Dua orang buat kerja, cepat sikit siap kan?” balas Puan Barsyiah. Tangannya ligat mengelap pinggan dengan cermat. Zulaikha meneruskan cuciannya yang tinggal sedikit.

“Zu, mama nak tanya...tapi Zu jangan ambil hati ya?” soal Puan Barsyiah teragak-agak setelah lama keadaan membisu.

“Tanya ajelah ma...”

“Dah lima bulan korang berdua nikah, tak ada apa-apa tanda lagi ke?”

“Belum ada rezeki lagi mama...” rendah sahaja suara Zulaikha menjawab. Dia tidak menyangka sebenarnya akan ditanya soalan begitu.

“Mama tanya aje. Zu jangan ambil hati ya...” Puan Barsyiah berkata perlahan apabila melihat menantunya sudah tertunduk.

“Tak, mama...Zu faham.”

“Mama bukan apa Zu...teringin nak ada budak kecil dalam rumah.”

“Jangan risau ma, nanti kami bagi mama sedozen cucu kat mama. Jangan nanti mama tak menang tangan melayan anak Di pulak.”

Zulaikha dan Puan Barsyiah pantas menoleh ke pintu ruang dapur serentak.

“Di ni, terkejut mama.”

Affendi menghampiri isteri dan mamanya. Tangannya dipanjangkan memeluk pinggang isterinya yang masih berdiri membelakangi sinki.

“Insya-ALLAH ma, kalau ada rezeki. Di dengan Zu tak pernah merancang. Sekarang ni biarlah kami rasa nikmat hidup berdua dulu. Kan, Zu?” Affendi mengenyit mata pada isterinya disisi. Tangannya masih erat memeluk pinggang Zulaikha.

Zulaikha mencubit pinggang suaminya manja. Sebenarnya dia malu diperlakukan begitu depan ibu mentuanya. Suaminya pula sengaja tidak mahu faham walaupun sudah acap kali dia menegah.

“Yelah, mama ni dah tua. Kalau boleh, mama nak tengok cucu sebelum mata ni terpejam.”

“Mana...mama Di ni sihat lagi. Kuat lagi ni, insya-ALLAH sempat. Sampai anak Di besar-besar agaknya.” Affendi berseloroh. Pantas sahaja tangan Puan Barsyiah memukul bahu Affendi yang sudah tersengih.

“Kamu ni, Di...memang ada aje jawabnya tahu?” Puan Barsyiah berkata sambil menggeleng kepala. “Zu, jangan ambil hati apa mama tanya tadi ya?” katanya lagi kepada Zulaikha.

“Zu tak kisah, ma...” jawab Zulaikha jujur. Memang benar sedikit pun dia tidak terasa langsung dengan pertanyaan ibu mentuanya. Cuma agak terkejut kerana dia dan Affendi sendiri tidak pernah membincangkan soal anak sebelum ini.

Puan Barsyiah akhirnya meminta diri naik ke tingkat atas untuk bersolat. Azan isyak sudah lama kedengaran.

“Zu okey kan? Jangan ambil hati mama tanya tu. Mama memang gitu. Dari dulu nak abang kahwin cepat supaya cepat dapat bagi dia cucu.”

“Dah tu, kenapa abang tak kahwin awal-awal dulu?”

“Yelah...masa tu tak jumpa Zu lagi. Macam mana nak kahwin?”

“Menyampah...ada pulak Zu yang dibabitnya.” Zulaikha mencubit perut suaminya yang sudah mengekek ketawa.

“Sakitlah, sayang! Zu ni kan, kuat mencubit tau. Biru-biru badan abang.”

“Padanlah muka! Dah abang tu suka sangat mengusik Zu. Siapa suruh?”

“Kalau tak usik Zu, abang nak usik siapa lagi...” nada suara Affendi sudah kedengaran lain macam. Matanya saja dilirik manja kepada isterinya.

“Gatal...” ejek Zulaikha.

“Abang gatal dengan Zu je. Jom...” Affendi kenyit mata.

“Jangan nak mengada tau.” Tegah Zulaikha sambil menepuk pipi suaminya. Dia tersenyum bahagia.

Sesungguhnya dia memang rasa bahagia dengan perhatian dan kasih sayang yang Affendi tunjukkan kepadanya. Belum pernah dia merasa kebahagiaan sebegitu rupa dalam hidupnya. Suatu ketika dahulu, dia pernah terfikir yang kehidupannya tidak akan pernah mengecapai bahagia. Tapi dia khilaf, ALLAH itu ar-Rahman dan ar-Rahim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience