Bab 8

Family Series 17159

MAJLIS akad nikah berjalan dengan lancar sekali. Besok, majlis bersanding pula akan diadakan. Kalau ikutkan hati, Zulaikha tidak mahu bersanding. Dia malu hendak duduk di atas pelamin dan orang ramai akan memandang.

Tetapi, mengenangkan keinginan mak teh dan ibu mentuanya yang sangat mendesak mahukan majlis bersanding diadakan. Akhirnya Zulaikha ‘terpaksa’ beralah apabila ibu mentuanya sudah memujuk dengan nada yang sayu.

“Zu, aku nak ke belakang, nak tolong apa yang patut.” Khalifah sudah bangun dari duduknya.

“Eh, duduklah kat sini. Kau pun tak makan lagi. Nanti aku panggil diorang suruh bawak jambar dalam bilik.” tahan Zulaikha pantas.

“Janganlah. Kalau aku nak makan, pandailah aku ke dapur. Macamlah aku tak biasa kat rumah ni.” tegah Khalifah.

“Thanks tau, datang majlis aku. Dari semalam kau tak rehat. Mesti penat.”

“Penat pun, aku gembira tengok kau bernikah. Kawan baik aku nikah. Mestilah aku nak turut serta kan” balas Khalifah ikhlas. Memang itulah yang dirasainya. Seri pengantin jelas kelihatan di wajah manis sahabatnya.

“Ada-ada aje kau ni, Ifah...” Zulaikha tersenyum manis memandang sahabatnya.

“Zu, kau cantik hari ni.”

“Hari ni je ke?” Zulaikha sudah ketawa. Khalifah juga turut ikut ketawa mendengar usikan temannya.

“Hari lain pun kau cantik. Tapi hari ni extra sikit. Yelah, seri pengantin naik ke muka. Laki kau tu pun apa kurangnya. Segak betul aku tengok. Bertuah badan.” giat Khalifah seronok sambil mengelak Zulaikha yang sudah memanjangkan tangan untuk menggetunya.

“Pandai nak menyakat orang.” ucap Zulaikha kemudiannya. Dia tahu, Khalifah kalau sudah bermula memang haru.

“Aku cakap benda yang betul... okeylah, aku nak ke dapur. Tolong apa yang patut.” Zulaikha menghantar langkah sahabatnya itu dengan pandangan mata.

Zulaikha termangu sebentar di birai katil. Sejenak dia mula mengingati kembali detik dan saat dia mendengar lafaz akad yang diucap oleh suaminya, Taufiq Affendi Mohd Amin. Hati wanitanya tersentuh.

Tidak sukar sebenarnya untuk memupuk rasa kasih kepada suami yang baru menikahinya. Lagipun, dia tidak pernah terikat dengan mana-mana kaum adam sebelum ini. Zulaikha sudah berazam mahu melepaskan kenangan pahit dalam hidupnya. Affendi adalah matkamat hidupnya kini.

Rasa cinta itu mula hadir dalam hatinya yang sekian lama kosong. Bunga-bunga cinta mula mekar berkembang mewangi di taman hatinya. Alam baru akan ditempuhinya dengan penuh sabar. Syukur atas nikmat percaturan Yang Maha Esa. Tidak pernah dia mengimpikan akan melalui saat bergelar isteri kepada kaum Adam.

 

 

TETAMU masih ramai sedang menjamu selera di dalam dan di luar rumah. Jiran-jiran mak tehnya masih ramai memenuhi dapur. Untuk majlis nikah, mereka tidak menempah dengan keterer. Jiran-jiran mak tehnya dan saudara terdekat mereka bergotong-royong memasak.

Dari tingkap biliknya, Zulaikha melihat lelaki yang baru dua jam bergelar suaminya itu melayan tetamu yang hadir. Zulaikha keluar dari bilik ingin turut melayan tetamu di bawah khemah. Apa pula orang akan kata bila melihat hanya pengantin lelaki yang melayan tetamu. Nampak tiada kesepakatan yang terjalin. Pengantin lelaki di luar dan dia sendiri di dalam.

“Hah, Zu... nak ke mana?” tegur Puan Zawiyah apabila terpandangkan Zulaikha yang baru keluar dari bilik.

“Er...nak ke depan mak teh. Tak sedap pula biarkan abang Fendi seorang layan tetamu.” jawab Zulaikha perlahan. Dia tersenyum kepada beberapa orang jiran mak tehnya yang berada di ruang tamu, sedang menyiapkan bunga rampai.

“Eloklah tu. Mak teh ingat Zu nak ke mana. Tak elok biarkan Fendi sorang-sorang layan tetamu kat depan. Awak pulak dalam bilik. Nanti apa pula orang fikir. Macam tak ada kesepakatan pula.” Puan Zawiyah berlalu setelah berkata.

Zulaikha mengatur langkah menuju ke bawah khemah untuk mendapatkan suaminya yang sedang berbual dengan tetamu yang hadir. Dari jauh, Affendi melihat Zulaikha yang sedang menghampiri. Satu senyuman manis diberikan kepada sang isteri. Zulaikha membalas senyuman suaminya malu-malu.

Mereka sama-sama melayan tetamu yang hadir yang rata-ratanya adalah dari kenalan Puan Zawiyah dan juga Puan Barsyiah. Mujur juga majlis akad dilangsungkan waktu pagi. Menjelang 1.00 petang, tetamu sudah beransur pulang dan hanya tinggal jiran terdekat sahaja yang masih sibuk membersihkan saki-baki pinggan mangkuk yang tinggal.

 

 

SEUSAI sahaja tetamu beransur pulang, jam semakin menghampiri angka tiga. Hanya tinggal beberapa orang jiran terdekat yang masih sibuk mengemas sisa kerja  yang berbaki dan juga saudara mara tuan rumah yang rata-ratanya akan bermalam di rumah itu kerana majlis sanding akan berlangsung keesokan harinya.

Affendi dan Zulaikha masih lagi disuruh bergambar untuk dijadikan kenangan. Puan Barsyiah tidak lekang dengan senyuman sedari pagi. Dia seronok melihat Affendi dan Zulaikha yang sedondon barbaju nikah. Walaupun dilihatnya Zulaikha seperti malu-malu, tapi tidak sedikit pun mencacatkan keindahan gambar yang di ambil.

“Okey, sudah-sudahlah tu dera pengantin. Pengantin pun nak berehat jugak tau. Ni, kamu semua dah zohor ke belum ni? Dah pukul tiga dah ni.” Puan Zawiyah berkata pada mereka yang masih leka hendak bergambar di atas pelamin.

“Alaa, bukan selalu pun ada peluang macam ni, mak teh.” Sambut seorang dari remaja belasan tahun, anak buah kepada Puan Zawiyah.

“Amboi, dah...dah... Besok kan ada lagi.”

Serentak mereka bangun dan bersalaman dengan Zulaikha. Masing-masing akur pada tuntutan agama yang satu itu. Puan Zawiyah kemudiannya merapati Zulaikha dan Affendi yang masih di atas pelamin.

“Di, Zu, masuk bilik. Berehatlah dulu.” Suruh Puan Zawiyah.

“Boleh ke?” tanya Affendi polos.

Pertanyaan Affendi itu menerbitkan rasa lucu di hati Puan Zawiyah.

“Lah, ape pulak tak bolehnya, dah sah.” Jawab Puan Zawiyah. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tawa.

Zulaikha segera tertunduk malu dengan ucapan ibu saudaranya. Tambahan pula, mata Affendi sedang memandangnya galak.

“Tak apalah mak teh, Di balik hotel je terus.”

“Eh, awal sangat kot nak balik hotel. Tunggu sini sajalah. Zohor pun dah nak habis. Solat dulu. Zu, bawa Di masuk ke bilik.” Arah Puan Zawiyah pula. Dalam hati, hendak ketawa tak sudah. Yelah, dia faham sangat maksud pandangan Affendi terhadap Zulaikha tadi. Seorang tunggu dipelawa, dan seorang lagi malu tak terkata.

PERBUALAN mereka tanpa kata, tanpa bicara. Semuanya di atur dengan isyarat mata dan faham-faham sendiri. Zulaikha sangat malu hendak memulakan bicara dan Affendi pula masih mencari ‘cara’ hendak mulakan bicara. Tadi, setelah Affendi siap mandi, dia pula mengambil giliran. Sangkanya Affendi akan bersolat dulu, tapi bila melihat Affendi duduk di sejadah dan sehelai sejadah lagi telah dihampar, fahamlah dia suaminya mahu berjemaah.

Seusai solat tadi pula, Affendi menghulur tangan, dan dia hanya menurutinya. Menggeletar tangannya menerima huluran tangan Affendi. Sebuah kucupan dihadiahkan di dahinya selepas dia mencium tangan suaminya. Apalagi, semakin malulah dia hendak menatap wajah Affendi. Malu semasa akad nikah tadi pun tak habis. Dan kini, Affendi duduk birai katil dan dia pula pura-pura sibuk menyimpan barang kemas yang dipakai ketika acara akad nikah tadi.

“Zu, sibuk ke?” akhirnya Affendi memulakan bicara setelah agak lama keadaan menyepi.

‘Fuh, lega. Keluar juga suara ni.’ Ucap Affendi dalam hati. Dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk mereka memulakan bicara. Tetapi, sampai bila pula dia dan Zulaikha akan membisu seperti ini? Nak harapkan Zulaikha menegurnya dulu, rasa-rasanya sampai tahun depan pun belum tentu lagi. Dia sebagai lelaki, harus memulakannya dulu.

“Haah. Eh, tak.”

‘Ya ALLAH, apa aku cakap ni?’ soal Zulaikha dalam hati. Nampak sangat betapa menggelabahnya dia. Darah rasa menyerbu naik ke wajahnya. Seribu rasa menggelodak menjadi satu. Demi mendengarkan suara Affendi sahaja, sudah membuatkan dia rasa serba tidak kena.

“Abang Fendi nak balik hotel kejap lagi. Besok kita jumpa.”

Zulaikha hanya mengangguk sebagai tanda dia mendengar apa yang diperkatakan oleh Affendi. Sebetulnya, dia sendiri tidak tahu hendak menjawab apa. Iye? Okey? Atau Yeke? Arghhh...peningnya!

 

 

“OKEYLAH, Wiya. Kita jumpa besok kul 12. Apa-apa hal nanti kita telefon. Rasanya tak ada apa-apa kot.” Kata Puan Barsyiah setelah menyarung kasutnya. Rombongan dipihak lelaki semuanya akan bermalam di hotel. Kebanyakkannya semua sudah pulang ke hotel. Cuma Puan Barsiyah, Affendi dan beberapa orang saudara lagi saja yang tinggal.

“Yelah, hati-hati bawa kereta tu. Selamat bersaudara, Barsyi.”

“Selamat bersaudara, Wiya.” Puan Barsyiah memeluk erat tubuh temannya. Matanya berkaca kerana terlalu gembira dengan apa yang dilaluinya kini. Hajatnya untuk menyatukan Affendi dan Zulaikha sudah termakbul.

Affendi hanya memandang dua wanita itu dengan senyuman kecil. Dia tahu mamanya amat gembira pada hari ini. Secara tidak langsung, dia merasakan keputusan yang diambil untuk menikahi Zulaikha amat tepat. Matanya beralih kepada Zulaikha disebelahnya pula. Sayangnya rasa melimpah-ruah buat si isteri yang beberapa jam dinikahinya itu.

“Abang Fendi balik dulu. Kita jumpa esok.” Bisik Affendi perlahan di telinga isterinya.

Zulaikha tidak pantas berpaling. Wajahnya terasa hangat membahang. Malu! Dadanya terus berdebar-debar kencang. Manakan tidak, wajah Affendi tidak sampai setengah jengkal pun di pipinya. Deru nafas Affendi pula jelas kedengaran.

Affendi menahan ledakan ketawa yang mahu terkeluar. Nampak sangat wajah isterinya yang merah menahan malu. Sedari dalam bilik tadi dia perasan isterinya itu seperti tidak keruan sahaja lagaknya. Lebih-lebih lagi apabila dia menghampiri.

 

 

MALAM itu Zulaikha diarah oleh ibu saudaranya untuk masuk berehat awal. Alasannya besok Zulaikha harus kelihatan segar dan bertenaga. Pada awalnya Zulaikha hanya buat tidak faham saja bila dia Puan Zawiyah menyuruh. Tetapi, akhirnya dia beralah juga setelah Puan Zawiyah berkeras.

“Mak teh ni risau sangat. Zu okey je. Tak penat pun. Kan awal lagi ni.” protes Zulaikha perlahan.

“Mana awalnya. Kan dah pukul 10 ni. Dah tak banyak pun kerja yang tinggal. Dah, jangan banyak songeh. Masuk bilik, berehat.” Tegas Puan Zawiyah.

Zulaikha sudah buat muka kesian. Berharap benar mak tehnya bertolak-ansur. Dia akui, badannya memang terasa letih tetapi dia tidak sanggup membiarkan mak tehnya berkemas seorang. Kalau dia penat, mak tehnya pasti lebih penat darinya.

“Tak payah buat muka seposen. Tak laku tau. Jom.” Puan zawiyah lantas menarik tangan Zulaikha dan mereka bergandingan masuk ke dalam bilik pengantin.

“Mak teh ni, memang tau. Apa salahnya Zu tolong sikit lagi. Lagi cepat siap kerja.” Zulaikha duduk dibirai katil yang berhias indah.

“Tak apa, tu mak teh boleh uruskan. Dah tak banyak pun.” Puan Zawiyah turut duduk di samping Zulaikha.

“Memanglah tapi...”

“Yelah, orang dah ada suami sekarang, cakap mak teh mana nak lakunya kan...”

“Ish...mak teh ni, ke situ pulak. Mak teh tetap nombor satu tau.” Tangan tua itu dicapai dan diciumnya sekali.

“Haa...ni tak betul, mana boleh macam tu. Seluruh kehidupan Zu sekarang untuk Affendi Taufiq, laki awak tu tau. Kan Affendi dah jadi suami Zu. Zu kena dulukan suami Zu dalam apa jua perkara.”

“Zu tahu.”

“Zu...mak teh gembira sangat. Lepas ni, Zu akan ada keluarga sendiri. Ada suami yang memerlukan perhatian dan kasih sayang Zu. Zu layanlah Affendi sepenuh hati. Apa sahaja kebahagiaan yang Zu harapkan terletak dalam genggaman tangan Zu sendiri. Terpulang bagaimana zu mahu mencorakkannya.

Cinta Zu pada ALLAH dan Rasul-NYA, akan mengajar Zu menyintai hamba-NYA. Mak teh percaya Zu akan bahagia. Maafkan mak teh selama mak teh menjaga Zu, ada yang terkurang, ada yang membuatkan Zu terasa hati. Mak teh nak sangat Zu hidup bahagia, lupakan hal lalu.”

Zulaikha mendakap erat tubuh ibu saudaranya. Begitu sekali ibu saudaranya itu menyayanginya. “Zu terima semua ni dengan seikhlas hati, mak teh. Terima kasih sebab jaga Zu. Mak teh berikan kasih sayang seorang ibu. Zu tak pernah rasa kurang kasih sayang. Terima kasih.” Menitis air matanya kerana terlalu sebak dan terharu.

“Syhh...dahlah. Tak mahu nangis-nangis macam ni. Besok nak sanding, bengkak mata tu. Tak lawalah anak mak teh.” Puan Zawiyah mengusap belakang badan Zulaikha yang bergegar.

Zulaikha tersenyum jua. Tidak mahu merosakkan emosi. Dia sudah memasang tekad, dia tidak akan menoleh ke belakang lagi.

“Okeylah. Zu berehat, tidur awal malam ni. Ingat pesan mak teh tu. Lagi satu...” Puan Zawiyah berjeda seketika sebelum menyambung kembali. “Bagi mak teh cucu cepat-cepat. Mak teh ni dah tua. Nak merasa main dengan cucu pulak.”

“Mak teh ni...” wajah Zulaikha merona merah.

Puan Zawiyah ketawa suka. Cepat-cepat dia bergerak ke pintu sebelum Zulaikha sempat mengetipnya.

Zulaikha hanya menggeleng sambil tersenyum panjang. Melihat sinar cerah wajah ibu saudaranya itu, memberi kepuasan kepada dirinya. Terasa keputusan yang diambil memang tepat dan berbaloi. Zulaikha merenung jemarinya yang merah berinai. Hai, rasa sukar untuk mempercayai hakikat dia sudah pun menempuh alam baru. Mampukah dia melunaskan tanggugjawabnya sebagai isteri? Ngeri bila difikirkan balik.

Tangannya menggapai telefon bimbit yang terletak di meja lampu. Ada satu mesej diterima. Pantas dia membuka butang ‘read’. Buntang biji matanya apabila melihat mesej tersebut datang dari suaminya.

 

Selamat Pengantin Baru, isteriku. Moga
sentiasa dlm barakah.

 

Rasa malu menyerbu segenap inci wajahnya. Tapi, dalam masa yang sama terselit juga kebahagiaan. Terasa kehadirannya dihargai oleh si suami. Dia tidak terfikir langsung mahu melakukannya seperti mana suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience