Bab 19

Family Series 17160

ANAK tangga didaki banglo itu didaki satu persatu. Zulaikha pantas melarikan langkahnya ke bilik tidurnya. Dia mahu solat sebelum menyertai ibu mentua dan suaminya di ruang tamu. Dia tahu, jika sudah duduk bersama dan berbual-bual, tentunya mereka akan sama-sama lewat naik ke bilik masing-masing. Suaminya dan ibu mentuanya sudah solat terlebih dahulu semasa dia sedang mengemas dapur.

“Zu...”

Panggilan itu mematikan langkah Zulaikha. Dia berpaling memandang mak tehnya yang baru hendak keluar dari bilik. Dia berjalan menghampiri bilik mak tehnya.

“Ya, mak teh. Ada apa?

“Zu...mak teh nak bercakap sikit.”

Zulaikha mengikut langkah Puan Zawiyah yang sudah menarik tangannya masuk ke dalam bilik. Mereka sama-sama duduk dibirai katil. Zulaikha pelik semakin tertanya-tanya apabila melihat wajah ibu saudaranya yang serius.

“Zu bahagia, nak?” tanya Puan Zawiyah kemudiannya.

Zulaikha terdiam seketika dengan sebaris pertanyaan tersebut. Dia kemudiannya mengukir senyuman lebar. Ingatkan apalah yang ingin ditanya oleh mak tehnya. Serius benar nampak wajahnya. Rupanya hanya ingin bertanya keadaannya. Zulaikha segera memeluk tubuh ibu saudaranya itu erat.

“Alhamdulillah, mak teh... Zu bahagia dengan abang Fendi. Sangat! Dia melayan Zu dengan baik. Terima kasih, mak teh...” ucap Zulaikha dengan mata yang bersinar.

Melihat anak mata Zulaikha yang bercahaya, ditambah pula dengan wajah yang berseri-seri, Puan Zawiyah berasa amat lega. Memang itulah harapannya selama ini. Dia mahu Zulaikha gembira dan bahagia. Dan dia tahu, Affendi mampu membahagiakan anak saudaranya.

“Tak perlu ucapkan terima kasih, sayang... Mak teh dah cukup puas hati melihat kebahagiaan Zu. Mak teh gembira tengok Zu gembira macam ni. Fendi layan Zu dengan baik?” soal Puan Zawiyah lagi.

Zulaikha tersenyum lagi mendengar pertanyaan ibu saudaranya. Dia lantas mengangguk tanpa ragu. Memang dia dilayan baik oleh Affendi. Belum pernah sekali pun Affendi mengabaikannya atau melayannya kasar. Kalau ada pun perselisihan faham antara mereka, Affendi akan menegurnya dengan cara yang lembut dan halus.

“Abang Fendi terlalu baik, mak teh...”

“Baguslah macam tu. Lega hati mak teh. Ni, bila nak bagi cucu kat mak teh ni?”

Mendengar pertanyaan itu, membuatkan Zulaikha tertunduk malu. Tadi ibu mentuanya sudah bertanya, kini mak tehnya pula bertanya. Macam berjanji-janji sahaja dua wanita kesayangannya itu.

Puan Zawiyah tetawa kecil melihat anak saudaranya yang sudah gelabah menahan malu. Memang anak saudaranya itu tidak pernah berubah. Pemalu bila ditanya perkara yang berbentuk peribadi seperti itu.

“Belum ada rezekilah, mak teh...” jawab Zulaikha dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Tidak sanggup rasanya hendak memandang wajah mak tehnya ketika ini. Dia malu.

“Zu dengan Fendi merancangkah?” tebak Puan Zawiyah, sengaja mengusik.

“Eh, tak adalah. Kami tak pernah rancang pun.” jawab Zulaikha pantas. Tetapi, melihatkan senyuman yang terukir dibibir ibu saudaranya itu, dia tahu dia sudah terkena. Pantas sahaja tangannya menepuk mesra peha ibu saudaranya itu.

Puan Zawiyah ketawa melihat reaksi Zulaikha. Sungguh, dia rindu masa mereka tinggal bersama. Mereka akan menyakat antara satu sama lain. Tidak ubah seperti dia bersama kakaknya dahulu. Dia melihat kakaknya dalam diri Zulaikha. Melihat Zulaikha, seperti melihat kakaknya sendiri. Memang wajah Zulaikha saling tidak tumpah seperti arwah kakaknya.

“Eloklah, jangan rancang-rancang. Anak ni rezeki ALLAH. Pengikat kasih suami isteri. Mak teh nak turun bawah, borak dengan Barsyi. Tak nak ikut?”

“Zu nak solat dulu. Kalau dah borak karang, entah pukul berapa baru sudah.”

Mereka sama-sama keluar dari bilik tersebut. Zulaikha menuju ke bilik tidurnya, manakala Puan Zawiyah sudah menghilang turun ke tingkat bawah menyertai Puan Barsyiah dan Affendi yang tenggelam dengan rancangan di televisyen.

 

 

HAMPIR ke satu 1.00 pagi, baru mereka beransur ke bilik masing-masing. Seronok berbual, tidak sedar malam yang semakin larut. Ada sahaja topik yang mereka bualkan. Sesekali dapat berkumpul, memang mereka tidak akan melepaskan peluang untuk berbual dan berkongsi cerita.

Zulaikha menutup novel yang dibacanya setelah melihat Affendi keluar dari kamar mandi. Novel tersebut diletakkan di atas meja ditepi katil. Lantas senyuman manis dilemparkan buat suaminya. Dilihat bibir suaminya terukir senyuman nipis membalas. Senyuman Zulaikha semakin melebar apabila suaminya itu mencium pipinya sebelum mengambil tempat disebelahnya.

“Pandang abang macam tu, ada apa-apa ke?” tegur Affendi setelah selesa dengan posisinya.

“Pandang pun tak boleh? Mahal sangat ke muka abang sampai tak boleh nak pandang?” balas Zulaikha mesra.

“Memang mahal pun muka abang ni tau.” Jawab Affendi selamba.

“Yelah, Zu tak nak pandang dah, tak ada duit nak bayar.” ejek Zulaikha menjeling suaminya yang tersengih-sengih.

“Eleh, merajuk ke? Tak laku lah, yang...” sakat Affendi lagi.

“Tak kuasa nak merajuk dengan abang. Bukan dapat apa pun.”

“Eh, dapat... Dapat ni.” Affendi pantas mencium bibir isterinya lama tanpa sempat isterinya itu mahu mengelak.

“Abang ni...rosak tahu tak?”

“Tahu...” jawab Affendi acuh tak acuh. Dia seronok melihat muka isterinya yang cemberut marahkannya.

Zulaikha hanya mampu menggeleng melihat wajah seposen suaminya. Akhirnya dia turut sama ketawa sambil menepuk mesra peha suaminya.

“Zu...”

“Hmm...” wajah suaminya dipandang tepat memberikan sepenuh perhatian. Telinga sudah siap sedia hendak mendengar bicara lanjut dari suaminya.

“Terima kasih sebab membahagiakan mama dan abang.”

Affendi benar-benar memaksudkan pernyataannya. Memang itulah yang dia rasakan sepanjang usia perkahwinannya bersama Ain Zulaikha. Tidak terhitung nikmat bahagia yang dia perolehi. Setiap hari yang dilalui bersama wanita ini begitu bermakna.

“Abang bahagia?”

“Much. Abang bersyukur dengan kurniaan yang ALLAH bagi pada abang. DIA bagi abang seorang isteri yang melengkapi kepincangan abang sebagai kaum adam. Abang bahagia, sayang. Sangat bahagia. Terima kasih.”

“Sama-sama kasih, Zu pun bahagia dengan abang. Abang...”

“Hmm?”

“Zu nak tanya, boleh?”

“Hai, sejak bila pula isteri abang tak boleh nak tanya kan?” Affendi bercanda.

Zulaikha ketawa kecil. Namun sebentar cuma. Wajahnya kembali serius. Memikirkan kewajaran dan buruk baiknya sekiranya perkara ini patut dilanjutkan kepada suaminya itu.

“Tak apa ke, Zu...belum mengandung lagi?” tanya Zulaikha perlahan.

Bohonglah kalau hati perempuannya tidak terusik langsung dengan pertanyaan ibu mentua dan juga ibu saudaranya tadi. Bukan terasa hati, tetapi lebih kepada perasaan risau kerana sehingga kini dia masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda hamil. Fitrah setiap perempuan yang bergelar isteri, tentu saja akan bimbang apabila usia perkahwinan semakin menginjak tetapi diri masih lagi belum disahkan mengandung.

Kata orang, tidak lengkap seseorang wanita itu jika tidak mengandung dan melahirkan. Bukan dia tidak sabar, tetapi apabila sudah mula ada yang bertanya, dirinya tidak terkecuali disabit rasa bimbang dan khuatir. Sebahagia manapun rumah tangga mereka, perlu juga anak sebagai penyeri, sebagai pengikat kasih sayang dan juga sebagai bukti cinta mereka.

“Zu terasa ke bila mama tanya tadi?”

“Tak, Zu tak terasa pun. Cuma...”

“Zu, janganlah fikir sangat apa yang mama cakap tadi. Kita kan baru je lima bulan menikah? Rezeki ALLAH tu luas, sayang. Bila-bila DIA nak bagi, hanya DIA yang tahu. Dan DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebagai hamba-NYA yang kurang dalam pelbagai segi, kita perlu minta pada-NYA dengan sesungguh hati.”

“Jadi, abang tak kisah kalau kita tak ada anak?”

“Tipulah kalau kata abang tak kisah. Memang abang nak sangat anak. Nak sangat zuriat yang lahir dari rahim Zu ni...” tangannya mendarat pada perut Zulaikha sebelum menyambung “Tapi abang serahkan pada ALLAH. Pada abang, kalau ditakdirkan kita tak ada anak, abang redha. Tapi, abang mohon pada ALLAH supaya rasa cinta abang pada Zu tidak akan berkurang. Zu pelengkap hidup abang. Zu lah isteri, sahabat, ibu, kakak, adik dan juga anak abang. Sayang, cinta dan kasih abang pada Zu, hanya ALLAH yang tahu.”

“Abang...” mengalir air mata Zulaikha mendengarnya. Setiap patah perkataan suaminya dirakam dan terus tersemat didasar hatinya yang paling dalam. Terharu dengan ketulusan hati Affendi menyayanginya sebegitu rupa.

“Zu sayang abang...” akhirnya ucapan itu terlafaz jua.

Mata Affendi berkaca mendengar sebaris ucapan itu. Sudah lama dia menantikan saatnya. Manisnya cinta yang ALLAH beri padanya. Segugus ucapan syukur lahir dari bibirnya. Zulaikha ditarik rapat dalam pelukannya. Menyalurkan rasa kasih dan cinta yang tidak bertepi.

“Terima kasih, sayang...”

Lama mereka berpelukan begitu. Apabila Affendi meleraikannya, Zulaikha lantas tertunduk malu. Pertama kali dia mengungkapkan kata cinta buat Affendi. Sebelum ini dia hanya berani melaungkannya di dalam hati saja. Dibiarkan saja Affendi membelai rambutnya yang sudah mengurai. Entah bila Affendi menanggalkan sepitnya pun dia tidak sedar.

“Sayang sangat kat isteri abang yang seorang ni.” Affendi mencium jemari Zulaikha hangat.

“Apa daa...gaya macam abang ni ada banyak isteri je...” balas Zulaikha sambil ketawa kecil. Sebenarnya lebih kepada meredakan kekalutan hatinya sendiri.

Affendi turut ketawa sama. Isterinya aku ini...ada-ada saja ideanya jika hendak lari dari suasana romantik. Pemalu sangat!

“Pandai aje dia. Abang ada satu isteri je tau. Itupun, belum puas lagi bercinta dengan dia. Nak dengar dia cakap sayangkan kita pun, lepas lima bulan kahwin. Punyalah payah.”

Sedar yang Affendi sedang menyakatnya, sebuah cubitan kecil pantas dihadiahkan di lengan suaminya. Namun pantas juga Affendi menangkap tangannya dan spontan menarik tangannya sebelum dicium penuh kasih.

“Jahat...mengata Zu.”

Affendi ketawa suka.

“Zu...abang ngantuk...” dia menguap.

“Ngantuk, tidurlah...” balas Zulaikha selamba. Hampir saja dia ketawa melihat suaminya yang sudah menarik muncung. Bukan dia tidak faham dengan renungan mata suaminya itu, tetapi sengaja dia mahu menyakat suaminya.

“Zu tidur sekalilah...” rengek Affendi manja.

“Tak nak, Zu nak sambung membaca.” Zulaikha berkira-kira mahu mencapai novelnya kembali tetapi pantas sahaja Affendi menariknya ke dalam pelukan.

“Tak ada baca-baca. Kata nak bagi mama cucu...”

Akhirnya Zulaikha tenggelam juga dalam dakapan suaminya. Perlahan-lahan dia membalas pelukan suaminya. Serentak itu juga dia merasakan kucupan hangat Affendi di wajah, dan kemudiannya beralih pula ke pangkal lehernya yang terdedah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience