Bab 30

Family Series 17159

SUASANA ruang tamu yang luas tiba-tiba terasa semakin sempit. Affendi memicit kepala yang terasa berat. Hari-hari mamanya akan bertanya mengenai Zulaikha.

Bukan dia tidak berusaha mencari, tetapi segala usahanya menemui jalan buntu. Sudah puas dia merayau di tempat yang pernah dia keluar bersama dahulu.

Pencariannya semakin sukar kerana isterinya tidak menggunakan kereta. Jika tidak pasti dia boleh meminta tolong kawannya untuk menjejak kereta tersebut. Nampaknya, Zulaikha memang benar-benar bertekad mahu meninggalkannya.

“Kamu dengar tak apa mama tanya ni, Di? Dah jumpa Zu ke belum?” desak Puan Barsyiah lagi.

Sudah puas dia bertanya, anaknya itu membisu seribu bahasa. Terasa kesabarannya semakin menipis. Dia tidak sanggup menanti lagi. Setiap hari dia terfikir keadaan menantunya.

“Mama, dah merata Di cari tapi tak jumpa. Mama nak Di buat apa lagi? Agaknya memang betul Zu tu salah. Tu pasallah dia lari tinggalkan rumah!”

Puan Barsyiah amat kecewa mendengar ucapan anak tunggalnya itu. Nada suaranya seolah-olah tidak berasa risau langsung keadaan Zulaikha. Hatinya semakin panas melihat wajah bena tak bena Affendi.

“Pandai nak letak kesalahan atas orang lain je. Kalau Di tak layan Zu macam ni, Zu tak adanya nak ambil tindakan macam tu tahu? Mama tak faham apa yang kamu fikir, Fendi. Sebetulnya mama kecewa dengan sikap Di yang tak risau langsung Zu tak ada. Di jangan lupa, Zu tu bawah tanggungjawab Di. Kalau mama tak akan maafkan Di!”

Affendi diam tidak berkutik. Mana mama tahu Di tak risau? Kalau mama sedih, Di lebih lagi sedihnya. Di dah separuh mati risaukan Zu, bimbangkan Zu. Tapi, Di nak buat macam mana lagi? Jawab Affendi namun hanya terluah dalam hati.

“Mama tak sangka hati kamu sekeras ni. Kamu nak berkahwin, mama dah carikan isteri yang terbaik untuk kamu. Mama ke..”

“Baik? Baik mama cakap? Jual tubuh pada jantan keparat kat luar tu mama kata baik? Isteri Di tu pelacur mama tahu tak?! Pelacur!” pintas Affendi.

“Affendi!!”

Pangg! Serentak dengan itu, satu tamparan hinggap dipipi Affendi sebaik sahaja dia mengahabiskan ayatnya. Mata Puan Barsyiah sudah merah menahan marah. Dadanya juga berombak keras menahan sebak.

“Dari mana kamu dapat cerita mengarut ni Fendi! Mana kamu dengar?!”

“Mana Di dengar dah tak penting mama! Yang penting Fendi dah tahu!” Affendi bertegas dengan pendiriannya. Perasaannya turut menggelegak.

Selama 30 tahun dia hidup, tidak pernah sekali pun mama menamparnya. Malahan, mama tak pernah cakap sekeras ini nada suaranya.

“Jadi, Di dah tahulah? Tapi Di tahu tak kenapa dan apa sebabnya Zu boleh terjebak dalam keadaan tu?”

“Oh, jadi mama memang dah tahu kisah silam Zu?” soalan ibunya dibiarkan tidak berjawab, sebaliknya dia pula yang bertanya.

Pelik, teramat pelik. Jika sudah tahu, mengapa mama tegar menjodohkan dia dengan perempuan sebegitu dengan anaknya sendiri.

Fendi, perempuan sebegitu itu adalah isteri kau Fendi, isteri kau!

“Ya, betul. Memang dah lama mama tahu. Tapi, sekurang-kurangnya Di kena bagi peluang pada Zu untuk jelaskan keadaan sebenar. Di kena tahu kenapa Zu terpaksa buat benda tu. Ada Di tanya Zu?”

“Ah,tak ada guna Di nak ambil tahu. Pokok pangkalnya Fendi dah berkahwin dengan perempuan kotor! Sanggup mama kahwinkan Di dengan perempuan tak bermaruah macam tu!”

“Jaga mulut kamu, Affendi. Zulaikha bukan perempuan murahan macam tu! Mama dah tahu lama apa yang terjadi pada Zu.” tempik Puan Barsyiah kuat.

Dia beristighfar menahan marah. Anaknya ini memang sudah keterlaluan. Di manakah kewarasan akal fikiran anaknya selama ini? Tidakkah dia terfikir apa akan jadi pada Zulaikha ketika ini? Di manakah letaknya rasa sayang dan kasih yang tidak berbelah bahagi pada Zulaikha?

“Kalau mama dah tahu, kenapa mama masih nak kahwinkan Fendi dengan perempuan macam dia!”

“Fendi! Kalau mama boleh terima Zu, kenapa kamu tak boleh? Dengar dulu penjelasan Zu, Fendi...tak adil Di nak hukum Zu macam ni. Zu pun ada hak untuk membela diri. Di ingat dia rela dengan apa yang terjadi dalam hidup dia dulu?” Puan Barsyiah sangat geram dengan sikap Affendi.

“Peluang apa yang Di perlu bagi ma? Peluang untuk tipu Di lagi?”

“Ya ALLAH, budak ni! Hantu mana yang dah rasuk kepala kamu ni Fendi! Mama tak nak Di menyesal di kemudian hari nanti. Zulaikha tu amanah Di, tanggungjawab Di tahu? Jangan terlalu cepat menghukum tanpa apa-apa penjelasan.”

“Mama kecewa dengan kamu Fendi. Sangat kecewa. Mama ingat nasib Zu akan terbela bila mama kahwinkan dia dengan kamu. Tapi nampaknya, mama silap menilai hati anak mama. Rupanya mama masih tak kenal anak mama sendiri. Entah macam manalah keadaan Zu sekarang. Berdosa buat anak orang macam tu Fendi!

Mama tak pernah didik anak mama untuk jadi seorang yang zalim. Kalaupun Di dah tak nak dengan Zu, dah benci sangat dengan dia, jangan buat dia macam tu. Di tak ada hak  nak menghukum! Kita ambil dia dengan penuh tertib, penuh adab. Kalau tak nak, pulangkan dia dengan cara baik.” ucap Puan Barsyiah panjang lebar.

Air matanya mengalir hangat ke pipi. Kecewa dengan sikap anaknya. Runsing memikirkan ke mana Zulaikha pergi membawa diri. Terasa dirinya yang menyebabkan Zulaikha terpaksa menanggung beban masalah. Pasti jiwa Zulaikha parah lagi. ‘Maafkan mama, sayang...maafkan mama...’

 

 

AFFENDI menghenyak punggungnya kasar di kerusi. Pening kepalanya memikirkan masalah rumah tangga yang melanda.

Sudah lebih tiga hari dia menemui surat Zulaikha. Selama itulah juga dia tidak masuk ke pejabat. Dia meronda sekitar Kuala Lumpur mencari Zulaikha.

Dia tidak pasti sejak bila isterinya itu sudah meninggalkan rumah kerana, sejak pergaduhannya lewat petang itu, dia tidak pernah menjenguk ke rumahnya lagi. Boleh jadi juga isterinya sudah keluar dari rumah sehari selepas pergaduhan itu. Bermakna sudah dekat seminggu Zulaikha membawa diri.

Affendi sendiri tidak tahu apa yang dia rasa. Dia sangat menyintai Zulaikha, itu dia sangat pasti. Selama Zulaikha tinggalkannya, dia amat terasa kehilangan.

Dia sangat pasti tentang itu juga. Selama dia meninggalkan rumah dan membawa diri ke rumah mama, dia tidak pernah berasa kosong seperti ini.

“Fendi, kau ke mana tak masuk office? Kalau nak cuti sekalipun, bagitahulah. Kelam-kabut aku kat sini tahu tak?” Suffian berkata sebaik sahaja masuk ke dalam bilik temannya.

Marah betul dengan sikap Affendi yang tak menjawab langsung panggilan telefonnya. Tahulah syarikat ni dia punya. Nak bagi lingkup ke apa?

“Fendi...Fendi! kau dengar tak apa aku cakap ni? Kau kenapa?” tanya Suffian lagi apabila dia melihat Affendi tidak mengendahkannya.

Suffian geleng kepala. Geram dengan sikap temannya yang satu ini. Wajah kusut Affendi direnungnya menanti jawapan.

Sungguh, dia memang boleh hilang sabar melayan perangai Affendi. Mana nak fikir kerja yang melambak. Mesyuarat yang bersusun menunggu giliran. Boleh senget bahunya menggalas kerja.

“Sorry, Pian. Aku tengah serabut sangat...” Affendi bersuara lemah.

“Apa dah jadi dengan kau sebenarnya ni, Di?” soal Suffian penuh prihatin. Kendur suaranya. Simpati pula bila mendengar suara Affendi yang lemah tidak bermaya. Itulah sifatnya, cepat marah dan cepat juga sejuk.

“Aku...aku cari Zu selama ni. Zu tinggalkan rumah...” Affendi berterus-terang. Tidak mampu lagi menyembunyikan hal yang sebenar.

“Apa?? Tinggalkan rumah? Apa dah jadi sebenarnya ni, aku tak faham.” Suffian sudah terkejut yang amat.

“Aku gaduh sikit dengan dia. Ni dah lebih empat hari aku cari dia.”

“Apa yang kau gaduhkan dengan Zu? Kalau gaduh sikit, tak kanlah sampai Zu boleh tinggalkan rumah? Aku tak percaya! Aku ingatkan masalah kau dengan Zu dah selesai.” soal Suffian pelik.

Dia tidak menyangka sebegini jadinya. Sehinggakan Zulaikha tega meninggalkan rumah. Dalam kepalanya tidak lari dari berfikir yang tidak-tidak. Tentu asbab yang besar sehingga nekad benar isteri sahabatnya itu.

“Aku...aku... Entahlah Pian, susah aku nak cakap. Pening kepala aku ni.” luah Affendi sambil mengurut dahinya. Kepalanya terasa semakin berat.

“Kau dah try call dia? Check dia guna line number dekat mana sekarang. Dah trace kereta dia? Kad kredit dia?” tanya Sufiian lagi. Teknologi sekarang kan semakin canggih. Mustahil tak boleh tahu kan?

Lama Affendi terdiam, berfikir sejenak sebelum membaris kata.

“Zu tinggalkan semua yang aku hadiahkan dekat dia. Dia tinggalkan telefon, kunci kereta dan semua kad kredit yang aku bagi. Lagipun, selama kami kahwin, dia memang tak pernah pun guna kad kredit yang aku bagi tu. Macam mana aku nak jejak dia, Pian?”

“Kau biar betul ni Fendi. Sampai tahap macam tu sekali? Aku rasa macam serius sangat je. Takkanlah kot.” Sangkal Suffian tidak percaya.

Namun, apabila melihatkan Affendi yang merenungnya tajam. Dia sedar yang Affendi memang tidak main-main dengannya.

“Kau dah tanya mak cik dia dekat Melaka? Mana tahu dia kat sana?” cadang Suffian. Kasihan dia melihat keadaan Affendi. Mukanya nampak lemah dan tidak berseri langsung. Serabut habis! Pertama kali dia melihat sahabatnya yang satu ini berwajah demikian!

“Mama dah call sana, dah tanya... Tapi mak teh cakap Zu tak ada balik sana. Tu yang buat aku risau. Lagipun, hari tu dia memang nampak macam tak sihat.”

“Apa maksud kau memang nampak macam tak sihat?”

“Err...aku dah lama tak balik rumah aku. Aku tidur dekat rumah mama...” teragak-agak Affendi memberitahu.

“You what??”

 

 

 
PUAN Barsyiah merenung laman rumahnya dari tingkap. Matanya beralih pula pada pintu pagar yang bertutup rapat. Sudah hampir seminggu Zulaikha hilang tanpa berita. Runsing hatinya memikirkan rumah tangga anak menantunya.

Kesihatannya terganggu kerana terlalu memikirkan Zulaikha. Sayangnya pada Zulaikha tidak pernah berbelah bahagi. Dia sudah menganggap Zulaikha seperti anaknya sendiri.

Ya ALLAH, Zu... Mana Zu pergi, nak? Entah apalah jadi pada Zulaikha. Ke manalah menantunya pergi membawa diri.

Puan Barsyiah menyeka air mata yang berlinang. Dia risau Zulaikha ditimpa sesuatu. Dia sudah bertanya kepada Puan Zawiyah, namun temannya itu juga tidak tahu di mana Zulaikha berada. Itu yang membuatkan dia semakin runsing.

“Dapat cari Zu, Fendi?” Dia segera menerpa anak tunggalnya yang baru pulang.

Affendi memandang wajah ibunya dengan rasa bersalah yang amat. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Dia menggeleng lemah.

“Ya ALLAH...manalah Zu pergi. Mama risau, Di...” Puan Barsyiah mengongoi menangis lagi.

“Di tak tahu mama. Dah banyak tempat Di pergi. Di nak cari Zu kat mana lagi?” jawab Affendi lemah. Bukan dia tidak cari, sudah merata tempat dia pergi. Dia tersandar lesu di sofa.

“Itulah kamu, mama dah cakap banyak kali dah. Bincang elok-elok dengan Zu. Jangan biar lama-lama. Bincang baik-baik... Di tengok apa dah jadi? Kalau apa-apa jadi pada Zu, kamu jangan menyesal Fendi. Zulaikha tu amanah Di. Tanggungjawab Di!” balas Puan Barsyiah dalam esakan.

Affendi memicit dahi yang terasa berat. Kata-kata mamanya itu menambahkan lagi sakit kepalanya. Memang dah banyak kali sangat mamanya berkata begitu.

Hidupnya sendiri sudah kelam-kabut seminggu ini. Dia sudah tidak tahu apa tindakan yang patut dibuat. Sebetulnya ,dia sendiri buntu.

Buntu memikirkan isteri yang entah di mana. Buntu dengan kerja pejabat yang juga memerlukan perhatiannya. Buntu memikirkan mana satu yang benar dan yang mana satu pula yang salah. Dia benar-benar buntu!

Kata-kata Saffuan petang tadi pula terlekat kuat dimindanya.

 

 

“KAU gila ke? Mana pergi akal waras kau, Fendi? Kau tak nak cerita apa-apa pada aku, fine. Aku tak paksa. Tapi, aku rasa kau agak keterlaluan dalam hal ni. Aku tak tahu sama ada Zu yang salah atau kau yang salah tapi sikap kau ni memang salah. Tak betul sama sekali! Kalaupun kau ada masalah laki bini, bukan macam ni caranya. Bila ada masalah, bawa-bawalah musyawarah. Ni tak, kau boleh tinggalkan bini kau?”

“Kau tak faham, Pian.”

“Memang betul aku tak faham. Aku dah tak faham kau ni macam mana. Kita ni suami, Di. Walau apa jua keadaan sekalipun yang kita hadapi dalam rumah tangga kita, kita kena bertenang, fikir cara penyelesaian yang paling baik. Kita tak boleh nak lari dari masalah dan ujian yang ALLAH nak beri pada kita. Kita kena hadapinya, selesaikannya sekalipun ia terlalu sukar pada kau.

Tapi kau kena ingat, ALLAH tak pernah membebankan hamba-NYA. Maknanya, DIA tidak pernah memberi mehna pada hamba-NYA sekiranya hamba itu tidak mampu menghadapi-NYA. Kau tak fikir ke macam mana keadaan Zulaikha sekarang? Dia tu amanah kau, Di. Kalau apa-apa jadi pada dia nanti, jangan nak menyesal di kemudian hari. Dah tak berguna.” Nasihat Suffian panjang lebar.

Dia kesal dengan sikap Affendi yang dirasakan tidak matang. Sekalipun ada masalah, selesaikanlah cara baik. Kan Islam sendiri telah menggaris panduan, apa pun masalah atau perkara yang datang, kita putuskan dengan musyawarah?

Lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri. Perbincangan sangat penting bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dan salah faham dari pihak isteri mahupun suami.

Entah apalah yang dihadapi oleh temannya itu, sehingga kusut benar jalan ceritanya. Bukan selama ini Affendi dan Zulaikha dilihat saling menyayangi?

Isu apakah yang timbul sehingga tidak ada jalan penyelesaian yang baik boleh diambil? Masakan sebegini teruk tindakan Affendi kalau masalah yang timbul adalah masalah biasa?

“Pian...apa aku nak buat ni?”

“Aku tak rasa Zu akan pergi jauh, Di. Boleh jadi mak teh tahu mana Zu pergi. Zu bukan ada siapa lagi.”

“Tapi, kan mama dah tanya mak teh.” sangkal Affendi.

“Itu dia cakap je Di. Kau tak pergi sendiri ke sana?”

Pertanyaan Suffian itu hanya dibiarkan sepi. Dia tiada jawapan untuk itu. Memang selama ini hatinya kuat mengatakan Zulaikha memang dirumah Mak Teh tetapi dia tak tahu kenapa berat sangat mahu ke sana.

“Kau sebenarnya sengaja tak nak pergi sana kan? Kau tak kesiankan Zu ke Di? Dia tak sihat kan?”

“Aku...” lama Affendi diam. Tidak tahu berkata apa.

“Apa yang kau berdua gaduhkan ni sampai Zu keluar rumah?” soal Suffian serba salah.

Sebagai kawan, tidak elok sebenarnya menyibuk hal rumah tangga orang. Tetapi, Affendi itu sudah seperti adik beradiknya sendiri. Bukan orang asing dalam hidup dia.

“Ke kau ada perempuan lain ni?” teka Suffian sendri bila Affendi masih diam tiada respon.

“Kau ni..mana ada!” pantas Affendi menafikan. Ada pulak ke situ fikirnya si Suffian.

“Dah tu...kalau tak, takkanlah Zu tu marah sangat sampai keluar rumah. Selalunya kalau perempuan terlebih emosi ni, satu sebab je. Suami dia ada perempuan lain.”

“Kau ni, pernah ke nampak aku keluar dengan perempuan lain lepas kahwin ni?”

“Eh, manalah tahu. Belakang aku” tebak Suffian.

“Suffian.” keras suara Affendi menandakan amaran supaya sahabatnya berhenti.

“Okey, sorry.” Suffian angkat dua tangan tanda menyerah kemudian tangan kanannya dibawa kebibir dari kiri ke kanan tanda akan mengunci mulut dari bertanya. Dia tak sampai hati melihat wajah Afendi yang berserabut.

“Aku tak tahu nak cakap apa lagi Di. Kau fikirlah apa yang terbaik untuk diri kau dan Zu. Ingat Di, selagi Zulaikha tu isteri kau, kesihatan dan keselamatan dia bawah amanah kau.”

 

 

ITU yang Suffian cakap dekat dia. Terasa kerdilnya diri. Tapi nak buat macam mana, dia memang dah terlajak perbuatan. Yang mama pula marah, memang tak boleh nak kata apa pun dah.

Panas telinga kerana terpaksa tadah semua tu. Hati dah berdarah sangat, tapi siapa yang ambil peduli? Perit sangat mengenangkan patah perkataan yang keluar dari mulut mama.

“Ingat Di, kalau apa-apa jadi pada menantu mama, mama tak kan maafkan Di. Dah banyak kali mama nasihat. Dah banyak kali mama tegur, tapi sikit pun Di tak ambil peduli apa mama cakap. Besarkan sangat ego Di tu. Ke mana Di nak bawak ego Di? Nak junjung atas kepala?

Sekarang, tengok apa dah jadi? Puaslah hati Di dah buat Zu macam tu. Tak tahu mana mama nak letak muka dengan mak teh Wiya. Dia kahwinkan anak buah dia bukan suruh derita tahu?

Nama saja belajar sampai luar negara. Mama bagi didikan rohani semua cukup. Tapi berfikiran singkat. Kalau ikutkan hati mama yang panas ni, hish! Tak tahulah jadi apa.

Kahwin tak sampai setahun, tapi dah jadi macam ni. Selama Di kahwin dengan Zu, pernah dia sakitkan hati Di? Pernah dia tak dengar cakap Di? Pernah dia tak taat pada agama? Pada Di? Pernah dia layan Di dengan buruk? Bagitahu mama! Jangan nak menafikan yang Zu tu memang isteri yang baik kan?”

Tu dia..memang berjela dia kena dengan mama.

Argghhh...tak sanggup rasanya nak mengenang balik bait-bait kata dari mama. Pedihnya sampai ke ulu hati. Kesal tak tertahan dalam hati kerana terlalu ikut sangat rasa marah. Kenapalah dia boleh hilang pertimbangan akal ketika itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience