Bab 23

Family Series 17159

TUBUH sasa Affendi yang sedang berteleku di sofa bilik bacaan dipandang lagi dengan perasaan yang berbelah bahagi. Dia nekad untuk bertanya pada suaminya itu malam ini. Berkali-kali dia berselawat dan beristighfar supaya dapat mengusir gemuruh yang datang bertamu dihatinya. Dia tidak mampu untuk berdiam diri seperti mana suaminya yang membisu seribu bahasa.

Sudah tiga hari Affendi tidak tidur di bilik mereka. Suaminya itu lebih senang memerap di bilik bacaan malah tidur malamnya juga di situ. Kemesraan dalam rumah tangganya hilang entah ke mana. Kini hanya suasana kaku menyelubungi mereka. Rumah yang terasa tenang dan damai sudah tidak terasa lagi ketenangan dan kedamaiannya. Suasana diselubungi suram tanpa gurau senda mereka suami isteri.

“Abang...” panggilan Zulaikha menghapuskan lamunan Affendi. Affendi memandang Zulaikha yang telah duduk disebelahnya.

Dia rindu untuk berbual, bercerita, bergurau senda dengan Zulaikha, namun egonya melarang dia berbuat demikian. Hatinya menjerit mahukan belaian dari Zulaikha, mahu memeluk isterinya dan mahu mencium isterinya seperti selalu. Tetapi, dalam masa yang sama, dia tidak dapat mengusir amarah yang melanda setiap kali memandang wajah Zulaikha.

“Abang... Zu ada buat salah ke? Kenapa abang tak nak bercakap dengan Zu?” Zulaikha menarik tangan Affendi dan menggenggam erat tangan itu. Zulaikha mencari raut wajah suaminya. Sukar untuk mentafsirkan apa yang difikirkan Affendi ketika ini.

“Kalau Zu dah buat salah, maafkanlah Zu... Mungkin ada antara layanan Zu yang tak memuaskan hati abang... Beritahulah Zu, supaya Zu dapat perbetulkan mana yang salah. Dah berapa hari abang tak bercakap dengan Zu.”

Zulaikha merebahkan kepalanya dibahu Affendi. Affendi mengepal penumbuk pada tangan kanannya. Dia benci dengan apa yang terjadi. Dia marah apabila tahu perkara itu namun dalam masa yang sama, dia tidak mampu menghindari rasa sayang dan kasih terhadap isterinya.

“Zu rindu abang....sangat-sangat...” ucap Zulaikha dengan air mata yang telah mengalir menuruni lekuk pipinya. Mudah benar air matanya mengalir sekarang ni.

Bahu Affendi di kucup lembut. Lama dia teresak dibahu Affendi. Dia tidak sanggup untuk menghadapi sebuah rumah tangga yang kaku. Kalaupun ada salahnya, tetapi sebagai pasangan suami isteri, Affendi sepatutnya bawa apa pun masalah yang melanda dengan berbincang. Bukan mendiamkan diri begini.

Bagi Affendi pula, dalam hatinya berperang hebat antara rasa cinta, kasih dan sayang dengan rasa amukan marah dan kecewa. Bukan dia tidak sedih melihat wajah itu basah dengan air mata. Tetapi sengaja ditahankan hatinya kerana demi ego seorang lelaki. Sudahnya dia hanya diam tanpa sebarang reaksi, membiarkan Zulaikha meredakan tangisannya sendiri.

Tangisan Zulaikha beransur reda setelah beberapa ketika. Tersedar akan sikap suaminya yang hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa, mahupun tanda-tanda hendak memujuknya. Zulaikha pandang wajah Affendi dengan genangan air mata yang tidak jemu mengalir. Tangan suaminya di ambil dan dikucup lembut. Lama. Semakin luruh hatinya dengan sikap si suami.

“Zu tak tahu nak buat apa. Zu tak nak kita macam ni.” Zulaikha memandang wajah Affendi penuh sayang, mengharapkan jawapan balas.

Namun, hatinya kecewa apabila Affendi hanya membeku tanpa sepatah bicara.

 

 

ZULAIKHA hanya mampu memandang langkah suaminya yang terus berlalu ke bilik tidur mereka sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Matanya memandang pula air yang sudah disediakan di atas meja kopi. Dia tahu Affendi tidak akan menyentuhnya seperti mana tiga hari lalu. Sedangkan makanan yang dia masak untuk mereka berdua pun Affendi tidak jamah, apatah lagi segelas air.

Segala-galanya sudah tiada kini. Rutin membantu Affendi bersiap untuk ke pejabat juga tidak lagi dapat dilakukan. Biasanya Affendi sengaja menyuruh dia memakaikan kemeja dan membutangkannya. Affendi dengan sengaja merenungnya manja sambil tangannya bergerak nakal mengusik tubuhnya. Sekejap di leher, di belakang badan, tengkuk, dan bahagian mana saja yang dia mudah kegelian.

Zulaikha duduk di sofa dan bersandar lesu di situ. Botol minyak angin yang terletak di atasa meja dicapai lagi. Dia meratakan minyak di dahi dan sekitar tengkuk. Terasa hangat tubuhnya tanda hendak demam. Patutlah sakit kepalanya tak berkurang. Nak harap dia telan panadol, memang tak adalah. Dia lebih rela badannya berbau minyak angin dari menelan ubat.

  Di saat ini Zulaikha merasakan air matanya mahu menitik. Sebelum ni, pantang tengok dia selsema sikit, sibuk suaminya mahu dia ke klinik. Sedangkan tak teruk mana pun selsemanya itu. Tapi kini, bertanya tentang kesihatannya pun tidak lagi. Tiada lagi pertanyaan ‘Zu sihat hari ni?’ dari suaminya. Terasa diri dipulaukan oleh Affendi. Malah dia amat terasa kehadirannya di rumah itu amat tidak diperlukan.

 

 

JAM di dinding baru menunjukkan pukul 10 malam. Zulaikha tahu, suaminya pasti belum tidur lagi. Sepanjang mereka berkahwin, Affendi memang tidak pernah tidur seawal itu. Malam ini Zulaikha mencuba nasib lagi mendatangi suaminya yang setia di kamar bacaan. Semalam, percubaannya untuk memujuk langsung tidak berkesan. Affendi tetap tidak mahu berbincang. Akhirnya Zulaikha beralah meninggalkan suaminya di bilik bacaan.

“Abang, boleh kita berbincang?” soal Zulaikha lembut. Suaminya itu tetap dingin seperti beberapa hari lepas. Wajahnya sedikit pun tidak sudi dipandang lagi. Zulaikha mula sebak melihat Affendi yang tidak bereaksi. Benci sangat ke nak pandang muka Zu?

“Abang...apa yang berlaku? Abang cakaplah...jangan diam diri begini. Apa salah Zu? Kan kita boleh berbincang...” rayu Zulaikha. Jemari kasar suaminya cuba dicapai.

“Zu... Abang letih. Lain kali kita bincangkan.” Affendi menolak genggaman tangan Zulaikha.

Zulaikha mengetap bibir. Walaupun begitu, dia rasa sedikit berbunga kerana suaminya mahu memberi respon. Sudah mahu bercakap dan bukannya hanya diam membisu.

“Nak tunggu bila, bang... Dah empat hari abang macam ni. Kalau Zu ada buat salah, tegurlah. Kenapa melarikan diri dari Zu?”

“Abang tak larikan diri. Abang cuma perlukan masa.”

“Kalau tak larikan diri, masakan abang tidur di sini dan bukan di bilik kita? Masa apa yang abang maksudkan sampai abang nak biar hubungan kita ni beku, dingin dan semakin jauh antara satu sama lain?”

“Sudah Zu. Keluarlah...” ucap Affendi perlahan tapi tegas.

“Macam mana masalah nak selesai kalau abang mengelak macam ni? Kalau Zu salah, abang tegurlah. Zu tak tahu nak buat apa. Zu tak tahu apa yang abang fikirkan sekarang. Abang beritahulah apa salah Zu?” pujuk Zulaikha lagi, tidak berputus-asa.

“Enough Zu. Leave me alone!” tempik Affendi tiba-tiba.

“No! Until you tell me what is it.” putus Zulaikha tegas. Suaranya juga sama naik.

“Ain Zulaikha!” Tempik Affendi garang. Pandangan matanya tajam menikam.

Zulaikha melawan panahan mata suaminya dengan seribu debaran. Kecut juga disaat mendengar tempikan Affendi. Pertama kali ditempik garang oleh suaminya, mahu saja membuatkan jantungnya gugur.

“Baik, kalau nak tahu sangat!”

Semakin tajam pandangan Affendi seolah-olah mahu menelan saja Zulaikha disebelahnya. Zulaikha buat-buat tak faham dengan renungan tajam Affendi. Jelas kelihatan api kemarahan pada anak mata suaminya namun, dia sudah tidak peduli. Dia mahu perkara yang mengganggu fikiran Affendi diselesaikan malam ini juga.

Zulaikha mengekori Affendi yang melangkah pantas ke meja kerjanya. Beberapa keping gambar diambil dari laci tadi dikeluarkan dan dicampak di atas meja. Bulat mata Zulaikha memandang gambar-gambar tersebut.

“Ni, gambar apa ni Zu? Gambar apa ni!” suara Affendi melengking kuat. Tangan Zulaikha terketar-ketar mengambil gambar yang dimaksudkan Affendi. Zulaikha diam tidak terkata. Hanya air mata saja yang mengalir deras.

“Jawablah. Kenapa diam?” Affendi mencengkam kuat bahu Zulaikha.

Zulaikha memandang suaminya dengan air mata yang berlinang. Kelu lidahnya memandang foto yang diberikan Affendi. Kisah lama yang telah disimpan kemas, kembali tertayang di depan mata. Pedih hatinya mengingat kembali perkara yang cuba dihapuskan dari kotak fikiran. Luka lamanya berdarah kembali.

“Abang...”

“Betul ke perempuan tu Zu?” soal Affendi kasar. Esakkan isterinya tidak memberi kesan langsung dihatinya. Malah hatinya semakin bengkak melihat air mata isterinya.

“Jawab Zu!” Bentak Affendi dengan suara yang tinggi. Sabarnya dirasakan semakin menipis.

“Abang tanya sekali lagi ni, betul ke perempuan dalam gambar tu Zulaikha?” tanya Affendi garang.

Zulaikha diam menafikan.

“Betul ke? Cakaplah!” Affendi panas hati melihat Zulaikha yang tunduk menahan tangis. Nafasnya turun naik menahan amarah.

“Ma...mana abb..bang dapat gambar ni?” soal Zulaikha tergagap-gagap.

Saat itu dirasakan diri bagai pesalah yang menantikan hukuman. Dia tidak berani langsung menentang pandangan Affendi yang tajam bagai singa lapar.

“Jadi memang betullah?” soal Affendi tanpa menghiraukan pertanyaan isterinya

Anggukan Zulaikha bagai belati yang membelah hatinya. Perit tekaknya menelan liur yang terasa pahit. Affendi pejam mata. Bilik yang dingin dirasakan panas membahang tiba-tiba. Penghawa dingin yang berada didinding sebelah atas bilik itu dirasakan tidak berfungsi.

“Huh!” Affendi mendengus kasar.

Dia berharap sangat Zulaikha menafikan gambar-gambar tersebut. Dia berharap sangat perempuan itu bukan isterinya. Affendi mundar-mandir di tengah bilik bacaan. Tangannya tergawang-gawang seakan menahan amukan perasaan marah.

“Arghh!!” Affendi menjerit kuat.

Kakinya mula mengorak langkah meninggalkan Zulaikha yang masih teresak. Tidak sanggup berlama dalam bilik itu. Bimbang tidak mampu menahan diri. Zulaikha yang melihatkan itu, pantas mengekori langkah suaminya

“Abang, nanti dulu bang…jangan pergi. Zu boleh jelaskan...” Zulaikha memaut lengan suaminya kuat dan kemas. Air matanya masih mengalir hangat dipipi.

“Nak jelaskan apa lagi Zu? Semuanya dah jelas. Dan Zu pun dah mengaku!” tangan Zulaikha yang melekat dilengannya cuba ditolak kasar.

“Ia tak seperti yang abang sangkakan. Zu tak tahu abang dengar dari siapa. Tapi tolonglah dengar dulu apa yang Zu nak cakap. Penting untuk Zu ceritakan hal yang sebenar pada abang.” rayu Zulaikha tidak berputus-asa. Pautannya diperkemaskan.

“Abang tak nak dengar apa-apa lagi. Hal sebenar yang macam mana lagi Zu nak cerita? Dah tak bermakna lagi! Pada abang, semunya dah jelas! Abang kesal Zu. Kesal sangat! Sebab abang berkahwin dengan seorang pelacur!” Affendi merentap tangannya dengan kasar lalu beredar pergi. Zulaikha tergamam dengan ucapan suaminya. Masa bagaikan terhenti buat seketika.

“Abang…abang!” teriak Zulaikha. Pantas juga kakinya mengejar langkah suaminya. Lengan sasa Affendi dipautnya erat. Ketika itu mereka berada di depan pintu rumah. Affendi juga sudah bersedia memegang tombol pintu.

“Abang, abang nak pergi mana? Zu minta ampun, minta maaf  pada abang. Tapi tolonglah, buat kali ni saja. Zu rayu abang, tolonglah beri peluang pada Zu untuk menjelaskan hal yang sebenar.”

“Lepas! Aku kata lepas!” tempik Affendi kuat. Lengannya direntap kasar. Tapi sekali lagi Zulaikha memautnya era-erat.

“Lepaskan! Aku jijik tangan pelacur sentuh kulit aku! Jijik tahu tak?!”

Tergamam Zulaikha mendengarnya. Bulat matanya cuba merenung wajah Affendi. Menggeletar jemarinya melepaskan pautan dilengan suaminya. Kabur pandangan matanya apabila air matanya semakin lebat merembes keluar. Affendi terus keluar meninggalkan Zulaikha yang terpaku di muka pintu.

“Abang! Abang!” panggil Zulaikha apabila menyedari kereta Affendi telah berlalu pergi meninggalkan rumah. Pandangannya terus kabur ditutupi dengan air mata. Disaat itu, Zulaikha hanya mampu menangis dan menangis. Jika sebelum ini dia tidak tahu apa yang menyebabkan suaminya dingin, tetapi kini sudah jelas apa sebab sebenarnya.

Zulaikha terduduk dibalik pintu. Tersedu-sedu dia menangis mengingati sebaris ayat yang diucapkan Affendi tadi. Affendi sudah tahu, tapi daripada siapa? Mak teh? Tak mungkin mak teh yang memberitahu kerana mak tehnya sendiri mahu dia menyimpan kemas perkara itu dan tidak mahu aku mengingatinya lagi. Tapi, Affendi tahu dari mana? Zulaikha bingung memikirkannya.

 

 

 

PUAN Barsyiah membuka pintu dengan wajah yang berkerut. Siapa pula yang datang ke rumahnya malam-malam begini? Masakan sudah hampir 12 malam, masih ada tetamu yang mahu datang berkunjung? Sambil membuka pintu utama, otaknya ligat berfikir.

Buntang matanya melihat susuk tubuh Affendi yang sedang berdiri di depan pintu dengan wajahnya yang cukup lusuh seperti sedang sarat menanggung beban yang sangat berat. Dia menjengah kepalanya mencari kelibat Zulaikha pula.

“Ada apa ni, Di? Kenapa malam-malam ke mari? Zu mana?”

Affendi masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan pertanyaan mamanya. Semakin sesak fikirannya apabila diterjah soalan yang bertubu-tubi. Sebaris nama isterinya yang disebut oleh mamanya, menambah lagi rasa sesak didadanya. Dia tahu dia memang akan disoal dengan pertanyaan yang sebegitu sebelum datang ke banglo mamanya. Tapi dia tak punya pilihan. Otaknya gagal berfikir ke mana lagi arah yang hendak dituju selain dari rumah mamanya.

“Di! Mama tanya ni!” jerit Puan Barsyiah kuat sambil tergopoh-gapah mengunci gril semula.

Dia lantas mengekori langkah anaknya sesudah itu. Hatinya mula dilanda seribu perasaan yang tidak enak. Manakan tidanya, belum pernah Affendi balik ke rumahnya lewat malam begini. Lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Zulaikha bersama. Hatinya sudah berasa kurang enak meneka-neka sendiri apa yang telah berlaku diantara anak dan menantunya.

“Di! Apa kena dengan kamu ni?”

“Mama, please...Di letih. Nak berehat sekarang.” Jawab Affendi perlahan. Dia berkira-kira hendak berlalu.

“Affendi! Mama tengah bercakap dengan kamu ni!” suara Puan Barsyiah sudah semakin meninggi. Dia berang melihat sikap sambil lewa Affendi. Hatinya berasa semakin tidak enak. Entah apalah yang menimpa rumah tangga anak menantunya sehingga Affendi keluar rumah.

“Mama...tolonglah, Di tak mahu bercakap sekarang. Di minta maaf.” Affendi berlalu ke biliknya seusai berkata.

Puan Barsyiah memandang langkah gontai anaknya dengan sorotan mata tuanya. Timbul pula rasa kasihan apabila mendengar lemah bicara Affendi.

 

 

TELEFON bimbit ditangannya direnung lagi. Sudah berpuluh kali dia cuba menelefon Affendi, tetapi tidak ada satu pun panggilannya berhasil. Tidak ada satu pun panggilannya bersambut walau sudah berpuluh kali dia mendail. Zulaikha cuba pula menghantar pesanan ringkas. Sepuluh minit, dua puluh minit berlalu, tapi masih tiada sebarang balasan.

“Jawablah, bang...” Zulaikha berkata sambil mengesat air matanya yang tidak pernah berhenti mengalir.

Zulaikha cuba lagi mendail nombor suaminya. Kali ini panggilannya ditolak pula oleh suaminya. Hati Zulaikha semakin disagat rasa bersalah yang amat dalam. Kalau dia diberi peluang kembali ke masa lalu, dia akan tega berterus-terang tentang sejarah silamnya sebelum menerima lamaran ibu mentuanya itu. Tidaklah Affendi terluka seperti ini, dan tidaklah Affendi rasa tertipu.

‘Astaghfirullahal’azim.’ Zulaikha beristighfar beberapa kali. Dia tidak boleh kembali ke masa lalu. Sesiapa pun tidak boleh kembali ke masa lalu. Kalau kehidupan ini boleh kembali ke masa lalu, tiadalah istilah taubat pada mereka yang telah melakukan kesalahan dan dosa. Kerana manusia boleh menukar waktu ke masa lalu dan memadam kesalahan yang mereka lakukan sesuka hati.

“Abang ke mana? Ya ALLAH, selamatkanlah suamiku.” Rintih Zulaikha rawan.

“Maafkan Zu, bang...Zu tak berniat langsung nak tipu abang. Abang baliklah...” rintih Zulaikha lagi bersama tangisan yang berpanjangan.

 

 

BADAN yang lesu dihempaskan ke atas tilam yang empuk. Kedinginan malam sedikit pun tidak mampu membuang suara-suara yang bergema difikirannya. Affendi terasa mahu menjerit, tetapi tidak tahu mahu melepaskannya di mana. Otaknya mencerna kembali apa yang terjadi pada hidupnya beberapa hari ini.

Kenapa? Kenapa aku yang diuji? Tidak cukupkah doa yang ku panjatkan kehadrat-MU? Mengapa rumah  tangga yang bahagia selama ini berubah menjadi sebuah malapetaka? Apa kurangnya setiap doa yang ku kirimkan? Ya ALLAH, kalau aku diberi pilihan, biarlah aku tidak tahu sampai mati pun tentang itu. Bila kebenarannya terbuka, aku tidak tahu di mana letaknya hatiku ini.

Telefon bimbit yang bercahaya dipandangnya dengan hati yang sebal. Peti masuknya penuh dengan mesej dari ‘Isteriku’. Dia hanya membuka satu daripadanya. Mesej yang dihantar oleh Zulaikha dibuka dan di bacanya separuh hati.

 

Maafkan Zu. Zu xde niat langsung nak tipu abg. Zu blh jelaskan semuanya. Abg ke mana? Baliklah, Spya kita blh b’bincang.Ia bkn spt yg abg sangka.

 

Affendi mencampak telefonnya di sebelah. Bukan seperti yang aku sangka macam mana lagi? Kenapa dulu Zulaikha tidak berterus-terang? Kenapa setelah segalanya terbongkar baru kabut hendak menerangkan? Arghhh...sampai hati Zu tipu abang. Apa salah abang sampai Zu sanggup buat abang macam ni?

Affendi pandang lagi telefonnya yang bergetar. Tanda ada satu mesej lagi masuk. Dia tahu itu pasti dari isterinya. Affendi membiarkan saja mesej tersebut. Dia buntu, sakit hati, rasa tertipu. Fikirannya tidak henti-henti menimbangkan mana yang benar, mana yang salah. Tapi betulkah Zulaikha jenis perempuan yang sebegitu? Sanggup melakukan perkara keji?

Sebahagian dari hatinya merasakan Zulaikha bukan jenis perempuan yang sebegitu. Kerana sepanjang mereka berkahwin, Zulaikha sangat pemalu dan tertib seadanya perempuan yang baik-baik. Zulaikhanya tidak pernah meninggalkah solat. Zulaikhanya tidak pernah lalai membaca al-Quran. Zulaikhanya sangat menjaga aurat dan Zulaikhanya sangat tinggi adab sopannya.

Tetapi, gambar itu? Isterinya sendiri telah mengaku tadi? Jadi selama ini, Zulaikha menipunya? Jadi selama ini Zulaikha berpura-pura? Tapi, ketaqwaan kepada ALLAH, tidak boleh dibuat-buat. Kalau Zulaikha bukan jenis perempuan yang baik-baik, masakan bacaan al-Qurannya sangat lancar dan tertib? Dia ingat pesan ustaznya dahulu, jika kita hendak bacaan al-Quran kita fasih, kita harus selalu membacanya.

Arghhh...pening kepalanya memikirkan semua itu. Telefon bimbitnya berkelip-kelip tanda ada panggilan masuk. Affendi melihat nama yang tertera di skrin telefonnya. Sayang. Affendi terus menekan butang merah. Tanda dia menolak panggilan masuk tersebut. Hatinya masih sakit dan keliru. Dia tidak tahu mana satu yang benar dan yang mana satu yang salah.

Dia masih marah. Dan dia tidak tahu pada siapa harus dia melampiaskan rasa marah  tersebut. Malah dia sendiri tidak dapat menafsirkan apa sebenarnya yang hatinya mahukan. Dia rasa marah, tetapi tidak tahu marah pada siapa. Pada isterinya? Ataupun pada orang yang memberitahunya akan hal tersebut? Dia rasa kecewa, tetapi tidak tahu rasa kecewa atas sebab apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience