Bab 6

Family Series 17159

PETANG itu, Puan Barsyiah menelefon sahabatnya untuk bertanyakan tentang persiapan majlis pernikahan Affendi dan Zulaikha. Ada perkara penting yang ingin ditanyakan kepada kawannya itu.

“Hah, macam mana Wiya? Dapat kau cari ayah Zu?” Puan Barsyiah bertanya setelah mereka bertukar salam.

“Ayah Zu dah meninggal, Barsyi...dua tahun lepas, dilanggar lari. Ikut pada cerita arwah ibu aku, ayah Zulaikha tu anak yatim piatu. Tu lah salah satu sebab kenapa ayah aku tu tak bagi kakak aku bernikah dengan Razali.”

Puan Baryiah terangguk-angguk. Macamlah sahabatnya itu dapat melihat anggukkannya.

“Kalau macam tu, lagi senanglah kerja kita. Kita guna wali hakim je. Tapi, Zu macam mana? Dia tak sedih dengan berita tu?” Puan Barsyiah bertanya risau.

“Aku tengok Zu biasa je. Mungkin terlalu banyak duka yang telah ayahnya berikan pada arwah ibu dan adik-adiknya. Tapi aku tak tahulah dalam hatinya. Zu jenis yang memendam perasaan.”

“Insya-ALLAH, Wiya...kita doakan Zu tabah dengan apa yang menimpanya. Aku harap, kehadiran Affendi dalam hidupnya dapat memberikannya kebahagiaan yang telah hilang sebelum ini.”

“Aku pun harap macam tu, Barsyi. Zu dah banyak menderita. Dia saja satu-satunya zuriat kakak aku yang tinggal. Aku...” Puan Barsyiah sudah mendengar esakan halus dari Puan Zawiyah. Pastinya sahabatnya itu sedang menangis sebak.

“Aku faham, Wiya... Kau janganlah sedih. Zu bukan saja akan jadi menantu aku, tapi aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Aku sayang Zu macam mana aku sayang Fendi.” Ringan sahaja mulutnya menuturkan apa yang hatinya rasakan.

Memang dia sudah menganggap Zulaikha seperti anaknya sendiri. Bukan kerana simpati tetapi ia lahir dari dasar hatinya. Sebab itu dia membuat keputusan meminang Zulaikha untuk anaknya.

“Terima kasih, Barsyi...”

“Tak perlu berterima kasih, Wiya... Lagipun, Affendi sendiri dah mengaku kat aku yang dia memang sayang Zu. Cuma segan je nak minta aku pinangkan Zu untuk dia. Kan betul apa aku cakap dulu? Aku dah tak sabar, Wiya. Aku seronok sangat.”

“Bukan kau saja, aku pun sama, Barsyi. Tak sabar nak main dengan cucu pulak.”

“Wah, jauh betul kau fikir! Nikahnya pun belum lagi. Okey lah, asar pun dah masuk ni.  Nanti kita sembang lagi.”

Puan Barsyiah meletakkan gagang telefon setelah membalas salam sahabatnya. Bibirnya terukir senyuman manis. Dia mencongak dalam hati tarikh pernikahan anaknya. Seminggu je lagi. Dia sudah tidak sabar menantikan hari bersejarah tersebut.

Sudah lama dia menantikan saat-saat ini. Sudah lama juga dia berharap Affendi akan mendirikan rumah tangga. Dia bersyukur kerana ALLAH memakbulkan doanya membuka hati Affendi untuk beristeri. Lagipun, memang sudah sesuai sangat jika Affendi ingin berumah tangga. Sesuai dengan umurnya yang sudah menghampiri 30 tahun itu.

 

 

KELENDAR di hadapannya dilihat lagi. Tinggal tidak sampai seminggu je lagi dia akan melangkah ke zaman baru. Zulaikha menghela nafas panjang. Dia mengimbas lembaran hidupnya satu persatu. Sejarah yang memalit warna hitam dalam hidupnya, memang pahit untuk dikenanag. Namun dia bersyukur kerana ALLAH masih memberi peluang padanya untuk menikmati makna hidup.

Dan tawadu’nya kepada ALLAH S.W.T semakin bertambah dari sehari ke sehari kerana ujian yang dihadapinya. Bukan hendak bercakap besar tetapi perubahan demi perubahan yang dialaminya membuatkan dia sedar, dia sudah berubah banyak segi dari tahun-tahun terdahulu. Memang diakui, siapa dia untuk mengukur tahap imannya sendiri, tetapi ALLAH menjanjikan sesuatu yang manis pada siapa saja hamba yang beriman kepada-NYA.

Kini dia sebatang kara. Dia cuma ada mak teh sebagai saudara terapat dan tempat mencurah rasa. Ibu dan adik-adiknya sudah lama meninggal dunia. Dan ayahnya...jua sudah pergi meninggalkannya. Moga roh ayahnya  dicucuri rahmat. Dia sudah tidak berasa apa terhadap ayahnya.

Walau sepahit mana pun luka yang diberikan ayahnya kepada ibu dan adik-adiknya, dia sudah memaafkannya. Walau sedalam mana parut yang tertinggal, dia tidak mahu mengenangkannya lagi. Sejahat-jahat ayahnya, dia masih bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia masih lahir dalam perhubungan yang diiktiraf. Dalam ikatan perkahwinan yang halal.

Dia berterima kasih pada ayahnya atas sebab itu. Hanya kerana itu. Kalau ditanya apa perasaannya terhadap ayahnya, dia hanya mampu memberikan rasa hormat tetapi bukan rasa kasih kerana rasa itu sudah lama terbuang jauh tika dia masih kecil lagi. Dan dia juga punya rasa simpati terhadap ayahnya yang mati dalam keadaan yang tidak sempat bertaubat.

Zulaikha menghela nafas panjang. Sekeping foto dikeluarkan dari laci almarinya. Wajah Affendi menyapa anak matanya. Sebetulnya, dia memang tidak dapat menolak hati wanitanya yang sudah mula terpikat pada Affendi. Dia juga seperti wanita lain yang diciptakan bersama-sama fitrah berkasih sayang. Dan dia tidak terkecuali.

Dalam hati, dia berazam akan menjadi isteri yang terbaik untuk Affendi, bakal suaminya. Sungguhpun, manusia dijadikan tidak lari dari melakukan kesalahan, tetapi sebagai seorang hamba ALLAH yang diciptakan sebagai umat terbaik, dia perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik meskipun tidak sempurna. Bukankah umat Muhammad S.A.W adalah umat yang terbaik?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience