Bab 46

Family Series 17159

MENITIS air mata Puan Barsyiah melihatkan Zulaikha yang sudah kembali bergelak ketawa seperti biasa. Zulaikha semakin sihat kerana emosinya juga sudah kembali seperti biasa.

Layanan Affendi terhadap Zulaikha benar-benar melegakan hati Puan Barsyiah. Dia melihat Affendi yang sedang memimpin Zulaikha ke bilik dengan senyuman.

“Amboi...sengih panjang ni kenapa?” Puan Zawiyah menepuk mesra bahu Puan Barsyiah yang sedang leka memerhatikan Affendi dan Zulaikha.

“Kau ni Wiya, memang nak bagi aku jalan ke apa?” balas Puan Barsyiah tanpa mempedulikan sergahan kawannya itu.

Puan Zawiyah hanya ketawa membalas ucapan yang keluar dari mulut sahabatnya itu.

“Senang hati aku tengok budak-budak tu dah baik. Cuma, aku kesal kandungan Zu tak dapat diselamatkan. Kalau tak, tak lama lagi tentu kita akan bercucu.” ujar Puan Barsyiah.

“Bukan rezeki kita lagi Barsyi... Tak apalah. Aku harap apa yang terjadi ni beri pengajaran kepada Fendi dan Zu.” Puan Zawiyah menggosok bahu temannya itu yang kelihatan sedih.

“Aku pun harap macam tu. Aku minta maaf, Wiya...sebab Fendi tak jaga Zu dengan baik. Aku tak terfikir benda ni akan jadi serius macam ni. Dulu, aku ingatkan...”

“Shhh...dah la tu Barsyi... Berapa kali aku nak cakap, aku tak pernah salahkan kau. Tak pernah juga salahkan Fendi. Apa yang berlaku ni tentu ada hikmah. Zu pun tak pernah salahkan siapa-siapa. Kau janganlah fikir-fikir lagi. Yang lepas tu, lepaslah. Jangan dikenang lagi.”

Bahu temannya digosok lembut. Berharap dapat mengusir rasa kesal yang terbuku dihati temannya. Perkara dah berlalu, tidak perlu kita mengesalinya.

Yang penting, kita perlu mengambil iktibar dan belajar dari kesilapan semoga akan datang, ia boleh dielakkan. Atau sekurang-kurangnya, peristiwa lalu boleh dijadikan panduan untuk diri kita pada masa akan datang.

“Mama...”

Puan Barsyiah dan Puan Zawiyah sama-sama menoleh memandang kepada suara yang memanggil. Affendi teragak-agak menarik kerusi disebelah Puan Barsyiah. Tangan tua ibunya itu dicapai dan dicium lama.

“Ma...Di minta maaf... Di tahu Di banyak buat mama susah hati... Di banyak buat silap. Di kesal apa yang berlaku. Di minta maaf, ma...” pohon Affendi sayu.

Mengalir jua air mata Puan Barsyiah mendengarkan baris ayat itu. Dia mengelus rambut Affendi lembut.

Puan Zawiyah yang melihat situasi itu, berlalu dari ruang dapur untuk memberi peluang kepada dua beranak itu berbicara.

“Mak teh...” panggil Affendi segera apabila melihat ibu saudara isterinya itu mula mengorak langkah meninggalkan ruang dapur.

Affendi mencapai pula tangan Puan Zawiyah. Dia mahu memohon maaf kepada kedua-dua wanita tersebut.

“Mak teh, maafkan Di sebab tak jaga Zu dengan baik. Di tahu, semuanya berpunca dari Di. Di kesal ...”

Puan Zawiyah menepuk bahu anak muda itu tanda dia sudah lama memafkan Affendi. Dia tidak pernah menunding jari memarahi sesiapa dalam krisis yang melanda. Semua oarang tidak lari dari kekhilafan.

“Sudah la, Di... Mak teh tak pernah marah dengan Di sikit pun.”

“Tapi Di memang bersalah, mak teh. Di buat Zu keguguran...”

“Tak apalah Di. Kalau ikutkan, mak teh pun salah jugak sebab tak cerita hal sebenar pasal Zu pada Di...dan mak teh minta maaf sebab mak teh tak bagitahu yang Zu duduk di sini selama ni. Yang penting sekarang Zu dah selamat. Soal anak, Di dan Zu masih ada banyak masa dan peluang.”

“Mama, maafkan Di...” Affendi meraih ibunya semula.

“Mama maafkan, Di. Mama maafkan... Cuma mama minta sangat-sangat, jangan buat perangai lagi. Buang baran kamu tu. Di dah kahwin, Di kena belajar sabar. Bukan senang nak jaga sebuah rumah tangga. Tapi bukan susah nak merobohkannya. Sesaat pun boleh. Di kena kawal perasaan. Apa pun masalah yang berlaku, mesti bincang baik-baik.”

“Di tahu, mama. Di kesal, sebab dah terlanjur perbuatan. Di betul-betul melampau kali ni.”

“Jangan buat macam tu lagi pada Zu. Mama kesal dengan apa yang dah berlaku ni. Nasib baik Zu tak apa-apa. Kamu dah besar panjang Di, tentu kamu tahu nilai sesuatu perkara dulu sebelum buat keputusan.” ujar Puan Barsyiah panjang lebar.

“Di tahu ma... Di dah keterlaluan kali ni. Di menyesal dengan sikap Di. Kalau Di tak buat perangai tentu Zu tak keguguran.” Affendi melepaskan nafas berat.

“Dah lah tu...bukan rezeki Di. Jadikan pengajaran apa yang dah berlaku dalam rumah tangga Di ni. Kamu satu-satunya anak mama, Di...jangan buat mama susah hati lagi dengan Di.” Puan Barsyiah berkata lagi tegas.

“Di tahu mama. Insya-ALLAH, Di tak kan lagi buat mama susah hati. Di sayang Zu. No matter happen to her at her pass life. Di tak kisah.” balas Affendi yakin.

Dia sudah nekad untuk melupakan perkara tersebut. Lagipun, Zulaikha tidak bersalah sama sekali. Isterinya itu suci dimatanya. Hati isterinya itu luhur dan bersih seputih salji.

“Lagi tadi cakap Di tahu, Di tahu tapi akhirnya, Di buat jugak. Peringatan untuk Di semua yang berlaku ni. Mujur DIA masih beri peluang pada Di. Mama sedih tau apa yang jadi dekat Zu. Jangan ingat Di anak mama, mama akan sokong apa saja yang Di buat. Mama tetap akan tegur kalau Di buat salah, mama tetap akan marah kalau Di tak dengar kata.”

“Di janji, mama. Di tak akan sia-siakan Zu.”

“Jangan berjanji dengan mama. Berjanji dengan diri sendiri.”

 

 

SUASANA lewat petang itu riuh dengan suara gelak ketawa dari mereka berempat. Kecoh mulut Puan Zawiyah membebel memarahi Zulaikha yang sedang mengunyah cempedak goreng yang dibuat Puan Barsyiah. Zulaikha hanya tersengih mendengar bebelan mak tehnya.

Puan Barsyiah pula sudah ketawa melihat wajah sahabatnya yang sudah bertukar kelat melihatkan reaksi Zulaikha yang selamba. Dan Affendi hanya tersenyum memerhatikan gelagat mak teh dan isterinya.

Dia senang hati melihat Zulaikha sudah boleh ketawa seperti dulu walaupun dia tahu jauh disudut hati Zulaikha, isterinya itu masih bersedih dengan kehilangan yang mereka alami. Dia tahu kesedihan yang cuba ‘disembunyikan’ isterinya itu walaupun bekali-kali Zulaikha menidakkannya. Sinar matanya tidak lagi secerah dulu.

“Zu makan satu je mak teh. Bukan banyak.” ucap Zulaikha masih lagi tersengih memandang mak tehnya yang bercekak pinggang sambil menggeleng kepala.

“Tu lah Barsyi, aku dah cakap jangan buat kuih apa-apa. Kan budak Zu ni tak boleh makan.” Puan Zawiyah memarahi sahabatnya yang ketawa ceria melihat Zulaikha.

“Eh...aku pulak. Dah la Wiya, satu je pun budak tu makan. Bukan banyak pun.” Puan Barsyiah menjawab membela Zulaikha. Puan Zawiyah menepuk peha sahabatnya itu sesudah mendengarnya. Puan Barsyiah ketawa lagi.

Puan Zawiyah bangkit dan berlalu mencapai cawan di rak. Dia menuang sesuatu ke dalam cawan tersebut sebelum meletakkannya dihadapan Zulaikha. Affendi ketawa melihat wajah Zulaikha yang sudah mencemik.

“Mak teh... perlu ke Zu minum lagi. Dah lebih seminggu dah Zu minum. Pagi tadi dah minum jugak, petang ni tak payah la...ya mak teh?” pujuk Zulaikha memandang Puan Zawiyah yang duduk didepannya.

“No compromise!” Puan Zawiyah cepat-cepat menjawab.

“Mama...” tagih Zulaikha menoleh memandang ibu mentuanya.

Puan Barsyiah hanya tersenyum mengangkat bahu. Nak tak nak Zulaikha mencapai jua cawan tersebut dan meneguknya dengan muka yang berkerut.

“Pahit!!” ucap Zulaikha setelah meneguk habis air tersebut.

Affendi ketawa melihat wajah isterinya. Belakang Zulaikha diusap penuh kasih. Kasihan dia melihat isterinya setiap kali dipaksa minum air tersebut. Dia tahu Zulaikha tidak menggemarinya.

“Ubat memanglah pahit. Akar kayu ni elok untuk Zu.” Puan Zawiyah tersenyum menjawab sambil menjeling pada Puan Barsyiah disebelahnya. Puan Barsyiah hanya mengangguk mengiakan kata-kata sahabatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience