Bab 2

Family Series 17160

SEUNTAI doa dipanjatkan kepada Ilahi seusai solatnya. Malam ini genap tujuh malam berturut-turut Zulaikha mengerjakan solat sunat istikharah. Air mata yang mengalir laju tidak dipedulikan. Tersedu dia memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Sungguh-sungguh dia meminta diberikan inayah supaya keputusan yang dibuat dapat menggembirakan semua pihak.

Dia yakin dengan inayah dan hidayah yang diberikan Allah SWT. Apa pun kesan dan akibat keputusan yang diambil, akan dihadapi dengan tabah dan penuh redha. Dia yakin dengan janji Allah pada setiap hamba yang beriman kepadaNya. Dia sudah bersedia untuk melangkah setapak lagi dalam hidupnya.

Moga setiap langkah yang diambil mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya. Bukankah setiap hamba perlu patuh kepada qada’ dan qadar yang ditentukan? Tidak boleh menyesal, apatah lagi hendak mempersoalkan hukum dan takdir yang ditetapkan Allah SWT. Kerana setiap kejadian itu disertakan dengan hikmahnya yang tersendiri.

Kalaupun selepas ini dia akan kecundang dengan keputusan yang diambil, dia sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Moga ketika itu masih ada simpati Tuhan Rabbul Izzati kepadanya, seorang hamba yang lemah dan sentiasa mengharapkan pertolongan dari Maha Pencipta.

 

 

“ZU, mak teh harap kali ini Zu fikirlah masak-masak dulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Ambillah sebanyak mana pun masa yang Zu perlukan tapi jangan sampai buat orang di sana ternanti-nanti terlalu lama.” Puan Zawiyah menggenggam jemari Zulaikha erat seolah-olah menyalurkan kekuatan pada anak saudaranya.

“Zu...tak mampu mak teh. Zu tak mahu sesiapa terluka dikemudian hari. Mak teh tahu kan maksud Zu?” Zulaikha mengharap pengertian daripada mak tehnya. Puan Zawiyah menghela nafas berat.

“Mak teh faham perasaan Zu. Tapi, semua tu dah lama berlalu. Jangan dikenang lagi. Cuba bagi peluang pada diri sendiri untuk mulakan hidup baru. Zu masih muda.” pujuk Puan Zawiyah lagi.

“Lama bukan bermaksud hilang mak teh. Walaupun lukanya dah sembuh tetapi parutnya masih jelas kelihatan. Segalanya tersimpan di sini mak teh.” Zulaikha menunjuk dadanya sendiri. Sekejapan, matanya mula berkaca.

“Kali ni saja, Zu. Dengarlah cakap mak teh ni. Zu fikirkan dulu, jangan terus tolak. Mak teh yakin dia mampu bahagiakan Zu. Mulakan hidup baru.” Puan Zawiyah tidak berputus-asa memujuk anak buahnya lagi.

“Zu dah okey pun ni mak teh. Hidup Zu jauh lebih baik berbanding dulu kan?” dalih Zulaikha lagi.

“Ya. Mak teh tahu dan mak teh tak nafikan, Zu yang sekarang sudah semakin matang dan semakin gembira berbanding dulu. Tapi, Zu tak teringin ke untuk punya suami? Punya anak sendiri? Punya keluarga sendiri? Anak-anak yang akan mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk Zu?” desak Puan Zawiyah. Suaranya yang lembut sudah mula keras. Seolah-olah menunjukkan kesabarannya yang semakin menipis.

Zulaikha terdiam dengan soalan yang tidak terduga langsung. Dia tidak menyangka ibu saudaranya itu begitu bersungguh-sungguh kali ini. Dulu, ketika dia menolak lamaran anak jiran yang tinggal tidak jauh dari rumah mak tehnya, tak adalah setegas ini. Mak tehnya tidak berkata apa lagi setelah dia memutuskan untuk menolak lamaran tersebut.

Namun kali ini, mak tehnya memberi reaksi yang berlainan. Tidak pernah dia melihat Puan Zawiyah setegas ini. Tidak dinafikan Puan Zawiyah amat tegas di dalam kelasnya, tetapi mak tehnya tidak pernah setegas ini ketika di rumah. Sebelum ini juga Puan Zawiyah selalu menyokong apa sahaja keputusan yang dia buat.

Punya suami? Punyai anak sendiri? Punya keluarga sendiri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience