Bab 36

Family Series 17160

PAGI itu Puan Barsyiah, Puan Zawiyah dan Zulaikha bersama-sama di dapur bercerita sambil memasak. Ceria suara Puan Barsyiah menyakat menantunya. Dia cuba membuat Zulaikha melupakan apa yang sedang berlaku. Baginya, emosi Zulaikha amat penting demi memastikan kesihatan Zulaikha dalam keadaan baik.

Zulaikha juga ketawa apabila sesekali ibu mentuanya membuat lawak. Biarlah dia melayan mentuanya itu sementara dia mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Selepas ini, dia tidak tahu bila lagi peluang yang dia ada untuk bersama wanita yang amat penyayang itu.

Separuh hatinya masih lagi berharap pada perkahwinannya tetapi separuh lagi hatinya sudah tidak berharap apa-apa. Mustahil ada lagi lelaki yang masih sanggup menerima isterinya pernah menjadi pelayan kelab malam!

“Zu, tak ada rasa nak makan apa-apa ke?”

“Hah? Makan apa mama?” hilang melayang fikirannya.

“Yelah, mana mama tahu kot Zu ada rasa nak makan benda yang masam-masam ke? Atau apa-apa sajalah, mama boleh tolong masakkan. Zu cakap je Zu nak apa. Mama boleh carikan.”

“Tak ada kot, mama. Zu tak rasa nak makan apa pun.”

“Hari tu, dia dah balun makan buah pear, Barsyi. Tak pernah-pernah dia makan buah tu selama ni.” adu Puan Zawiyah yang sedari tadi mendiamkan diri.

“Yeke Wiya? Baby yang nak makanlah tu.” Seronok dia mendengarnya.

Manakan tidak, dia turut tahu Zulaikha memang tidak menggemari buah pear. Hatinya berbunga girang memikirkan dia akan bercucu tidak lama lagi.

“Mama Zu ni, dia yang terlebih seronok nak dapat cucu.” Perli Puan Zawiyah sambil tangannya ligat mengacau gulai di dalam periuk.

“Mana tak seronoknya Wiya, kawan-kawan kita semua dah bercucu. Semua dah main dengan cucu sekarang ni. Tinggal kita je. Tentulah aku seronok. Eh, bila dijangka bersalinnya nanti Zu? Lupa mama nak tanya. Seronok punya pasal.”

“Insya-ALLAH, November nanti.”

“Yeke? Maknanya sekarang dah empat bulan Zu? Perut Zu tak nampak sangat. Zu kena banyak makan makanan berkhasiat. Dari sekarang ni nak kena jaga. Baru baby sihat dalam perut tu.”

“Belum empat bulan lagi ma, baru 15 minggu.”

“Zu kena jaga dari sekarang supaya anak dalam perut tu membesar dengan sihat.” Ulang Puan Barsyiah lagi.

“Ye, ma. Zu faham.” Apa lagi yang mahu diperkatakan olehnya.

Sememangnya apa yang dinasihatkan oleh mama mentuanya itu benar belaka. Semua itu untuk kebaikannya dan tentu juga untuk kesihatan bayi dalam kandungannya.

Tapi walang hati, hanya dia yang merasa peritnya. Hanya dia yang tahu betapa sakitnya.

 

 

“EH, mana mama Zu?” soal Puan Zawiyah sebaik saja tiba di ruang tamu. Tadi dia ke dapur membawa pinggan buah-buahan yang sudah habis di makan.

“Mama keluar nak duduk kat pangkin bawah pokok tu. Nak ambil angin katanya. Petang-petang macam ni rasa angin tiup kan best.” Jawab Zulaikha sambil menggosok perlahan pinggangnya.

Rasa ngeri dan nyilu itu datang lagi. Mukanya sedikit berkerut. Entah kenapa pinggangnya yang terasa lenguh semenjak malam tadi masih lagi tidak berkurangan. Sesekali terasa sengal dan seperti hendak datang bulan.

“Yeke?” Puan Zawiyah bergerak ke tingkap hendak melihat kelibat temannya seperti yang diberitahu Zulaikha.

Senyuman nipis tergarit dibibirnya sebaik terpandang Puan Barsyiah yang sedang leka melayan fikirannya di atas pangkin. Berangan apalah agaknya temannya itu.

“Mak teh nak turunlah. Zu tak nak turun sekali?” soal Puan Zawiyah berkalih memandang Zulaikha.

“Zu sakit pinggang ke?” tanyanya pula apabila melihat Zulaikha masih lagi memegang pinggang dengan muka berkerut.

“Er...taklah mak teh.” Jawab Zulaikha serba salah.

“Betul ke ni Zu? Cakap betul-betul dengan mak teh. Mak teh perasan dari pagi tadi lagi Zu dah urut pinggang. Kalau Zu rasa tak selesa, bagi tahu mak teh. Jangan diam je Zu.” Dia merapati Zulaikha. Risau benar hatinya melihat Zulaikha yang berkerut seakan menahan sakit.

“Tak mak teh. Er...rasa lenguh je. Kadang-kadang rasa sengal. Tapi tak...”

“Sejak bila?” pantas Puan Zawiyah memotong percakapan anak saudaranya.

“Malam tadi. Mak teh janganlah risau sangat. Agaknya sebab Zu tak dapat tidur malam tadi.” Cepat-cepat dia menjelaskan supaya ibu saudaranya tidak risau memikirkannya. Sekaligus, dia cuba menenangkan hatinya sendiri.

“Betul ni? Zu masuk biliklah, rehat. Pergi baring, jangan buat apa-apa. Kalau Zu rasa makin sakit, Zu bagi tahu. Jangan diam je, tahu?”

“Zu tak apa-apa, mak teh.” Zulaikha cuba meyakinkan ibu saudaranya.

Dia tidak sanggup membiarkan orang-orang disekelilingnya terlalu memikirkan dirinya. Dia harus kuat, dia harus bangkit. Dia tidak mahu ibu saudara baik ibu mentuanya runsing melihatkan keadaannya.

“Kalau macam tu, mak teh turun dululah.”

Zulaikha memerhati langkah Puan Zawiyah dari ekor matanya. Rasa ngilu itu datang lagi. Berkerut dahinya menahan rasa sakit yang kian menyengat.

 

 

PUAN Zawiyah menghampiri kawannya yang sedang termenung di pangkin yang berhampiran belakang rumahnya. Asyik benar nampaknya sahabatnya itu melayan perasaan. Entah apa yang sedang difikirkan. Bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan.

“Wei...apasal kau ni termenung?”

“Hish...kau ni Wiya! Terkejut aku tahu. Mujur aku tak ada sakit jantung. Kalau tak dah jalan agaknya. Kau tanya apa tadi”

Puan Zawiyah tersengih mendengar omelan Puan Barsyiah.

“Aku tanya...kenapa termenung?” Puan Zawiyah bertanya lagi. Puan Barsyiah mengeluh kecil mendengar pertanyaan sahabatnya.

“Tak ada apalah.”

Puan Zawiyah turut melabuhkan duduk di sebelah temannya. Mereka sama-sama diam menghayati sepoi-sepoi tiupan angin petang yang amat mendamaikan. Sunyi persekitaran kampung dengan kehijauan pokok-pokok di keliling rumah, amat menyejukkan pandangan mata dan pendengaran.

Puan Barsyiah melepaskan helaan nafas yang berat.

“Hey, apa yang kau keluhkan sangat ni.” tanya Puan Zawiyah sambil menyenggol sedikit bahu Puan Barsyiah.

“Entahlah, Wiya. Aku tengah fikirkan pasal Zu dan Fendi. Aku risau tengok Zu. Sejak aku datang sini, aku tengok keadaannya tak berubah langsung. Aku tahu dia berpura-pura gembira je depan kita, supaya kita tak risaukan dia. Makannya pun sikit sangat...itupun dipaksa. Susut benar aku tengok badan Zu tu.”

“Tulah... teruk jugak morning sickness dia. Hopefully, Zu kuat. Kesian pulak aku tengok. Makan je mesti terkeluar balik.” ujar Puan Zawiyah.

Puan Barsyiah mengiakan. Dia turut menyedari akan hal itu.

“I really afraid it will affect her pregnancy, Wiya! Zu asyik berkurung je dalam bilik. Mengaji berjam-jam. Aku tak tahan tengok dia, Wiya.” ucap Puan Barsyiah lagi dalam risau yang masih menebal.

Puan Zawiyah mengangguk setuju.

“Dia cuba terima apa yang berlaku, Barsyi. Dia harap dengan mengaji, dia akan lupa masalah yang jadi. Zu memang akan macam tu setiap kali dia susah hati. Dia tak banyak bercakap, jauh sekali nak mengadu. Tapi apa yang dia akan buat, dia akan mengaji berjam-jam sampai dia rasa tenang macam apa yang kau lihat dia sekarang ni. Jangan kata kau, aku pun susah hati tengoknya, Barsyi.”

“Tapi, dia kira okey jugak bila kau ada sini. Dia nak jugak berbual-bual dengan kau. Nak jugak dia makan sekali. Dulu, masa dia mula-mula datang sini, payah nak ajak dia makan sekali, berbual jauh sekali. Kebanyakkan masanya dalam bilik je.”

“Aku sedih, Wiya! Fendi ni pun satu. Keras betul hati dia...dah tiga hari aku kat sini. Sekali pun dia tak call tanya pasal Zu. Geram betul aku dengan dia!”

“Fendi masih terkejut dengan benda yang jadi. Aku tahu dia sangat sayangkan Zu. Tapi, yelah...siapa yang boleh terima kalau isteri dia pernah jadi GRO kan? Lagi pula selama dia kenal Zu, dia tak pernah tengok Zu berkelakuan tidak elok. Mestilah dia terkejut, Barsyi.”

“Tapi Wiya, sekurang-kurangnya dia fikirlah pasal anak dalam kandungan Zu tu anak dia. Tak kanlah sikit pun tak terkesan dekat hati tu? Aku dah tak tahulah apa nak kata. Pening aku dengan dia.” Keluh Puan Barsyiah.

“Sabarlah, Barsyi. Darah muda...biasalah. Harap-harap tak berlarutan. Aku bukan apa, yelah...Zu tu dah macam anak aku sendiri dan Affendi pulak dari kecil aku kenal dia. Dua-dua aku sayang. Kalau boleh, aku nak tengok mereka berdua bahagia sampai aku tutup mata. Patutnya mereka seronok nak sambut orang baru. Ni jadi lain pulak.”

“Entah apa nasib cucu aku tu, Wiya. Aku dah lama berangan nak dapat cucu. Aku suka sangat bila dengar Zu dah mengandung. Tak lama...” Puan Barsyiah tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila terdengar bunyi kaca pecah di dapur.

Puan Barsyiah dan Puan Zawiyah lantas berpandangan seketika.

“Kucinglah tu. Kau tutup pintu tak tadi?” soal Puan Barsyiah kepada temannya.

“Entahlah, aku rasa memang dah tutup tadi. Ish...tiba-tiba rasa tak sedap pulak hati aku ni. Aku nak masuk kejap, nak tengok.” jawab Puan Zawiyah bangkit dan segera mengatur langkah ke dapur.

Fikirannya melayang kepada Zulaikha. Entah mengapa hatinya amat mendesak dengan pelbagai rasa yang tidak enak. Sejenak dia teringatkan apa yang diberitahu anak saudaranya tadi. Segera juga dia cuba mengusir pergi rasa yang tidak enak yang mula bertandang kembali dihatinya.

Puan Baryiah memandang pelik sahabatnya yang bergegas menuju ke rumah. Dia membentangkan pandangan ke hadapan. Namun seketika kemudian dia terfikir sesuatu.

Segera dia mengekori langkah Puan Zawiyah yang panjang-panjang. Hendaknya dijauhkan daripada apa-apa perkara yang tak baik berlaku.

“Wiya! Tunggulah, lajunya kau ni jalan.” Puan Barsyiah menegur setelah dapat menyaingi langkah sahabatnya. Itupun tinggal beberapa tapak lagi sebelum sampai ke pintu.

“Aku rasa tak sedap hatilah.” balas Puan Zawiyah. Matanya terarah pada pintu dapur yang jelas tertutup.

 

 

ZULAIKHA berpaut kuat pada kabinet dapur. Mukanya berkerut menahan sakit yang tidak terperi. Bibirnya juga diketap kuat bagi melawan rasa ngeri dan ngilu yang semakin menjadi-jadi diperut dan ari-ari. Segera perutnya diusap lembut bagi meredakan rasa sakit. Seketika tangannya beralih mengurut-urut di sekitar pinggang pula.

‘Aduh... kenapa sakit sangat ni?’

Perlahan-lahan dia cuba bergerak menyusuri kabinet dapur. Secara tidak sengaja tangannya terlanggar sebiji gelas yang terdapat di situ. Gelas yang pecah berderai terhempas di atas lantai membuatkan Zulaikha tidak dapat bergerak lagi.

Kaca-kaca jernih bertaburan berhampirannya. Ditambah pula dengan rasa sakit yang mencengkam, semakin menekan pinggangnya. Perutnya semakin hebat memulas, bagai hendak keluar segala isi perut.

‘Ya ALLAH, sakitnya...kenapa ni?’ Zulaikha semakin cemas.

Perut yang semakin sakit diusap lagi. Dia cuba bertenang walaupun dadanya bergolak hebat.

“Zu! Kenapa tu?” Jerit Puan Zawiyah sebaik sahaja melihat Zulaikha yang sedang terbongkok di belakang meja makan.

Mereka melihat dari jauh kaca yang bertaburan berhampiran Zulaikha kerana sebiji gelas kaca telah pecah.

Zulaikha berpaling apabila terdengarkan suara mentuanya.

“Mak...teh...tolong Zu....”

Panggil Zulaikha sambil menahan sakit. Perutnya bagai ditarik-tarik dan dirodok dengan ganas. Matanya terpejam-pejam melawan rasa sakit disekitar pinggang dan bahagian perut. Selamatkanlah anakku ya ALLAH. Aku tak nak kehilangannya. Rintih Zulaikha dalam hati.

“Kenapa ni Zu?” tanya Puan Barsyiah pula cemas. Dia juga nyata terperanjat. Berdebar jantungnya melihatkan Zulaikha yang seakan hendak menangis.

Zulaikha menggeleng-geleng kepala tidak tahu. Rasa sakit semakin mencucuk-cucuk seakan hendak putus pinggang! Lututnya pula sudah terasa lemah. Kakinya menggigil, serasa tidak berdaya lagi menampung badan.

“Tak...tahu ma...tiba...tiba...rasa ssa...kitt ssa...ngat... ALLAH...mak teh...” jawab Zulaikha dengan suara yang tertahan-tahan. Matanya terpejam rapat bagai melawan rasa sakit yang sedang mencucuk-cucuk.

Tanpa berlengah, Puan Zawiyah dan Puan Barsyiah merapati Zulaikha. Semakin laju degup jantung mereka mendengar sebaris ayat yang keluar dari mulut Zulaikha tadi.

Puan Zawiyah memandang lantai yang penuh dengan serpihan kaca. Tangannya cekap mencapai penyapu rami bagi membersihkan sisa kaca tersebut.

“Haa...da...darr...rahh mak...teh...” Zulaikha cemas apabila melihatkan darah dihujung kakinya dan menitik ke marmar putih. Kemudian terasa hangat laju menuruni pehanya. ‘Anak ibu?’ Hatinya diserbu rasa takut yang amat sangat. Tangan kirinya yang sedari tadi berada di perut, dicengkam kuat.

“Ya ALLAH, anak aku!” Puan Barsyiah mendapatkan Zulaikha dan memaut bahu menantunya bagi menahan daripada terkulai jatuh.

“Sssaa...kit ma...” tertahan-tahan suara Zulaikha merintih. Matanya terpejam menahan sakit yang semakin menjadi-jadi. Air mata mula mengalir hangat.

Saat ini dia terasa mahu meraung sekuatnya. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada kandungannya itu. Peluh-peluh kecil juga sudah mula merenek terbit membasahi leher dan wajahnya.

“Ya ALLAH...cepat Wiya! Kita bawa Zu ke hospital!” ujar Puan Barsyiah kalut segera memimpin Zulaikha.

Hatinya berdoa janganlah ada apa-apa terjadi pada menantunya itu. Sudah cukup keperitan yang ditanggung oleh menantunya. Dia tidak sanggup melihat menantunya terus dirundung duka.

Kelam-kabut Puan Zawiyah meletakkan penyapu. Dia melihat titisan darah yang semakin banyak mencemar marmar putih lantai dapurnya. Dia juga jadi bertambah panik apabila mendengar tangisan Zulaikha.

 

 

“KENAPA ni? Kenapa hati aku rasa tak sedap je ni? Kenapa berdebar-debar sangat ni?” kata Affendi pada dirinya sendiri.

Memang dia tidak sedap badan dan demam teruk dua hari ni. Tapi tak lah rasa gelisah sangat. Ini macam ada sesuatu yang buruk pula yang bakal berlaku. Dia dapat rasakan.

Sejak dulu lagi dia ada pra-rasa. Dan selalunya ia akan berlaku pada orang-orang yang terdekat dan mempunyai hubungan rapat dengannya.

Dia masih ingat lagi ketika ayahnya meninggal dunia dahulu. Ketika itu dia masih di tingkatan tiga dan bersekolah di asrama. Satu hari itu dia rasa serba tak kena. Dia susah hati dan gelisah sepanjang hari. Pada sebelah petangnya, mak teh Zawiyah mengambilnya di asrama. Rupa-rupanya ayahnya kemalangan dan sedang dirawat di ICU.

Dalam perjalan ke hospital, mamanya menelefon dan mengatakan ayahnya sudah pun meninggal dunia. Dia sememangnya rapat dengan ayahnya. Dan selama seminggu dia demam kerana terlalu merindui ayahnya.

Keputusan percubaan PMRnya sangat teruk. Dia hilang semangat dan arah. Mujur mama banyak memberi nasihat, sokongan dan kekuatan kepadanya. Akhirnya dia bangkit dari kesedihan.

Affendi bangun dari pembaringan. Dia duduk sambil mengurut dadanya yang tiba-tiba sesak. Dia benar-benar tidak keruan ketika ini. Apa yang bakal berlaku? Gambar Zulaikha yang sedang tersenyum ditatapnya sayu.

Fikirannya tidak dapat lari dari memikirkan yang bukan-bukan. Janganlah apa-apa perkara buruk menimpa isterinya dan kandungannya. Dia tidak dapat membayangkannya.

Lantas dia teringatkan pucat wajah isterinya sewaktu pertemuan terakhir mereka di rumah. Zulaikha memang nampak susut, pucat dan tidak bermaya ketika itu. Dia sedar, dia nampak tetapi dia keraskan hati, butakan mata.

Tiba-tiba kerisauannya itu menjadi semakin bertambah. Zu sihat ke? Ya ALLAH, janganlah apa-apa yang buruk berlaku kepada isteriku. Aku tak sanggup. Benar-benar tak sanggup!

Kalau benar sesuatu telah menimpa isterinya ketika ini, memang dialah yang harus dipersalahkan. Affendi lantas mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor isterinya. Beberapa kali dia mencuba, tetapi hampa kerana talian itu tidak bersambut. Bertambah gusar hatinya.

Tidak berputus-asa, Affendi cuba menghubungi talian rumah Puan Zawiyah pula. Namun sekali lagi dia hampa apabila tiada siapa yang sudi menyambut panggilan telefonnya.

Darahnya berderau tiba-tiba. Bekali-kali dia mengurut dada menghilangkan rasa gemuruh dan takut yang semakin hebat merajai hatinya kini.

Matanya tertumpu pada foto wajah isterinya. Ya ALLAH, buanglah rasa takut ini pergi. Terasa jiwanya bagai diseru oleh sesuatu. Bagai dipanggil-panggil. Debaran didadanya tidak juga mahu hilang.

“Zu, Zu okey ke?” Affendi berkata sendirian lagi.

Anehnya bila tiada seorang pun di sana yang menyambut panggilan telefonnya ketika ini. Perlahan-lahan dia merebahkan badannya kembali. Kepala yang berat dan badan yang masih berbahang memaksanya untuk berbaring dan berehat buat sekian kalinya.

Namun, fikirannya langsung tidak mampu berehat dari memikirkan si isteri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience