Bab 35

Family Series 17159

AFFENDI meletakkan tuala lembab ke dahinya yang masih panas. Dia berbaring sambil tangan kirinya menekap tuala basah didahi. Sudah dua hari dia deman dan sudah tiga hari mamanya berada di Melaka.

Saat begini, kenangan bersama Zulaikha menggamitnya ke masa lalu. Dia pernah demam di awal perkahwinannya dahulu gara-gara makan durian terlalu banyak.

Dan isterinya itulah yang menjaganya sepanjang masa dengan penuh kasih sayang. Pertama kali dia merasa diri betul-betul seperti kanak-kanak. Zulaikha tidak meninggalkannya walau seketika.

“Abang... Bangun, bang...makan bubur ni. Lepas tu boleh makan ubat.” Zulaikha membantu Affendi bersandar di kepala katil. Tuala didahi suaminya di ambil dan direndam ke dalam besen air di bawah katil.

Affendi menggenggam tangan kanan isterinya erat. Jemari halus itu dicium beberapa kali. Terbang segala sakitnya apabila mencium tangan itu.

“Abang pegang tangan Zu macam ni, macam mana Zu nak suap abang makan.” Hidung suaminya dicuit dengan tangan kiri.

“Abang rasa sihat bila pegang tangan Zu macam ni...”

“Ada aja abang ni tau. Kalau dengan cara ni abang boleh sihat, tentu semalam lagi demam abang ni dah kebah tau.” balas Zulaikha sambil ketawa kecil dengan ucapan suaminya.

Affendi memang manja. Seperti anak kecil lima tahun demam sahaja lagaknya. Dia senyum mendengar kata-kat balasan isterinya.

“Zu masak apa?”

“Zu buat bubur dengan sup daging. Sedap makan masa tengah panas-panas ni. Makan ya? Nanti nak makan ubat.”

“Zu suap?” tanya Affendi manja.

Zulaikha ketawa mendengar pertanyaan suaminya. Manja betul! Kalah kanak-kanak di Tabika Kasihnya dahulu.

“Iye...kan Zu cakap tadi Zu suapkan. Tapi, kalau dah pegang tangan Zu macam ni, macam mana nak suap abang kan?”

 

 

TERASA panas tubis mata. Sungguh, dia amat merindui isterinya ketika ini. Seolah-olah terasa pelukan isterinya, belaian isterinya dan ciuman isterinya.

Baju tidur isterinya itu dibawa ke pelukannya. Baju tidur itulah yang menemani tidur malamnya kebelakangan ini. Seolah-olah terasa dekat dengan isterinya apabila memeluk baju tidur tersebut.

“Zu...abang rindu Zu, sayang...” rintih Affendi sendirian. Roboh segala benteng ego yang dibinanya selama ini.

Sejak akhir-akhir ini ingatannya pada Zulaikha menggamit rasa rindu yang menggunung. Lebih-lebih lagi semenjak mengetahui berita kehamilan isterinya daripada mamanya.

Anak papa... Senyuman manis terukir segarit dibibirnya yang kering. Rasa marah dan kecewa seakan pergi dibawa angin setelah mengetahuinya. Hanya rasa bahagia memenuhi ruang hatinya kini. Tanda kasih mereka sedang membesar di dalam rahim isterinya sekarang. Entah sudah berapa bulan kandungan tersebut. Dia sendiri tidak mengetahuinya.

Dia sudah bertekad akan ke Melaka sebaik sahaja demamnya kebah. Dia tidak kisah apa pun yang terjadi pada Zulaikha pada masa lalu. Perasaan cinta dan kasihnya melebihi segala-galanya ketika ini. Dia mahu menemui isterinya, memujuk dan membawa isterinya itu kembali ke rumah mereka.

Dia sedar, dia sendiri terburu-buru dan bertindak tidak adil pada isterinya. Dia sepatutnya mendengar terlebih dahulu penjelasan isterinya. Bukan menjatuhkan hukuman tanpa memberi peluang isterinya membuat penjelasan. Dia sudah tekad, hatinya sudah bulat. Dia akan ke Melaka memujuk isterinya kembali ke rumah mereka.

“Tunggu abang, sayang... Abang akan datang, jemput Zu. Maafkan abang sebab bertindak kejam. Anak papa...tunggu papa.” bisik Affendi perlahan pada dirinya.

Senyuman kecil tersungging nipis dibibirnya mengenangkan benihnya yang sedang menghuni rahim isterinya. Akhirnya dia terlena dengan baju tidur Zulaikha di atas dadanya yang bidang.

 

 

ZULAIKHA kalih lagi badannya ke sebelah kiri pula. Manalah tahu kali ini matanya mahu terlena. Entah apa yang tidak kena malam ini, tubuhnya terasa panas semacam dan amat tidak selesa.

Beberapa ketika berlalu, matanya masih tegar tidak mahu terlelap. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskan karbon dioksida ke udara.

Pinggang yang terasa lenguh sedari tadi, digosok perlahan. Berharap agar rasa lenguh itu berlalu pergi. Sesekali rasa ngilu dan ngeri di ari-ari membuatkan dahinya berkerut halus.

Tangannya mengusap pula perut yang sudah mengembang. Sendu segera bertamu setiap kali dia mengenangkan janin di dalam rahimnya.

‘Anak ibu. Kesian anak ibu ni. Ibu dia tak tidur lagi ya. Hailah, mata. Kenapalah kau tak mahu lelap lagi ni.’ rungut Zulaikha dalam hati.

Zulaikha memandang jam dimeja sisi. Sudah melepasi 1.30 pagi. Matanya berkalih memandang gambar yang terletak elok di sebelah jam. Pantas saja tangannya mencapai bingkai gambar tersebut.

Perlahan-lahan dia bangun dan bersandar di kepala katil. Jari halusnya mengusap-usap penuh rindu pada gambar suaminya. Seolah-olah dengan melakukan itu dapat menyalurkan rasa rindunya pada si suami yang sudah lama tidak diketahui khabarnya.

Disaat ini dirasakan Affendi berada sangat dekat dengannya. Rasa rindu membuak-buak ingin mengetahui keadaan suaminya ketika ini. Ingin sekali dia tahu apa yang sedang dilakukan suaminya tika ini.

Apakah sedang tidur?
Apakah sedang membaca?
Atau mungkin tenggelam dengan kertas kerjanya barangkali.

Rasa rindu yang tidak tertanggung itu mengundang air matanya tanpa sedar. Lantas bibirnya mengalun al-Fatihah buat suaminya. Moga ia sampai pada suaminya supaya rasa rindu itu mereka rasai bersama.

Dia teringatkan pula mama mentuanya yang sudah tiga hari berada di sini. Memang pedih hatinya setiap kali menatap wajah ibu mentuanya itu. Tetapi dia perlu menjaga hati ibu tua itu. Wanita itu sudah dianggapnya seperti ibu kandungnya sendiri. Dia tidak sanggup mengecewakan wanita itu.

Zulaikha kembali terkenangkan suaminya. Begitu marah Affendi kepadanya sehinggakan tiada satu pun panggilan telefon dari suaminya. Sudah jelas kini yang Affendi memang tidak lagi menyayanginya. Sudah jelas kini yang Affendi benar-benar mahukan perpisahan.

Kalau Affendi masih mengasihinya, tentu Affendi telah menelefon ke rumah ini. Atau Affendi boleh terus datang ke sini untuk berbaik dengannya. Mustahil Affendi tidak tahu lagi dia berada di sini.

Dia yakin sangat kalau ibu mentuanya tahu, Affendi juga tentu saja tahu yang dia berada di sini. Dan tak mustahil juga Affendi sudah tahu tentang kehamilannya.

Apa agaknya reaksi abang Fendi? Sukakah? Atau benci? Tak apalah, andai abang Fendi tidak mahu mengaku ini anaknya, dia sendiri akan membesarkan anaknya. Dia sudah berjanji pada dirinya yang dia akan menjaga kandungannya itu sebaik-baiknya. Dia cuma ada anak ini sebagai penemannya kelak. Anak ini amanah ALLAH kepadanya.

Akhirnya entah pukul berapa, Zulaikha terlelap jua. Terlelap bersama bingkai gambar Affendi di atas dadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience