Bab 51

Family Series 17159

KEDATANGAN Affendi dan Zulaikha disambut gembira oleh Rafiq dan isterinya, Maisarah. Affendi memeluk Rafiq erat melepaskan rindu. Sudah lama dia tidak bertemu Rafiq.

Sahabatnya itu kelihatan berisi malah nampak semakin tampan berbanding dulu hanya sekeping. Maisarah menyalami Zulaikha dan berpelukan sebelum mengajak Zulaikha duduk di ruang tamu.

“Wah...berisi badan kau sekarang ya. Dulu, sekeping je.” bahu Rafiq ditumbuk mesra.

Rafiq hanya ketawa mendengar usikan sahabatnya.

“Senang hati, wei... Ada orang jaga. Kau pun apa kurangnya.” Rafiq membalas sambil menjeling Zulaikha disebelah Affendi.

“Ni bini kau tu ke?” Rafiq bertanya.

Affendi ada menjemputnya datang ke majlis perkahwinannya itu tetapi dia tidak dapat datang kerana Maisarah diserang demam panas. Dia hanya menelefon mengucapkan tahniah.

“Yelah. Dah tu, aku nak bawak siapa pulak datang sini.” Affendi menjawab pertanyaan Rafiq. Tangan dilingkarkan ke bahu Zulaikha. Merah muka Zulaikha menahan malu dengan perlakuan Affendi.

“Sayang...ni Rafiq, kawan abang tu and Fiq, this is my beloved wife, Zulaikha. You can call her Zu.” Zulaikha hanya mengangguk membalas pandangan Rafiq sambil menghadiahkan senyuman.

“Jemput minum ya.” Pelawa Maisarah meletakkan air di atas meja tamu.

“Zu, ni Sarah. Sarah, ni Zulaikha isterinya Fendi. Ingat tak masa dia kahwin dulu kita tak dapat datang sebab Sarah demam?” Rafiq memperkenalkan Zulaikha kepada isterinya sebaik sahaja Maisarah selesai menghidang air.

“Yelah, Sarah ingat. Saya Maisarah.” ujar Maisarah menghulurkan tangan berjabat dengan Zulaikha.

“Zulaikha.” balas Zulaikha sambil tersenyum. Mereka berbual seketika sebelum beredar ke meja makan.

“Mana anak kau, Fiq. Senyap je ni.” Tanya Affendi.

“Dia tidur lagi. Kejap lagi bangunlah tu.” jawab Maisarah. Rafiq mengangguk mengiakan.

“Aah. Ilman tu kalau time macam ni, memang tidur, Di. Tapi elok jugak, kalau dia jaga, satu kerja pun tak boleh buat. Melayan dia saja.” Ujar Rafiq. Ceria wajahnya bercerita tentang anaknya, Ilman.

Suasana di meja makan siang itu dipenuhi gelak tawa mereka berempat. Affendi dan Rafiq tak payah cakaplah. Memang suara mereka berdua yang mendominasi.

“Eh, tak apa lah kak. Biar sarah kemas. Akak ke depan la.” Tolak Sarah bila Zulaikha mahu membawa pinggan kotor ke dapur. Maisarah memanggil Zulaikha kakak apabila mengetahui umur Zulaikha lebih tua dua tahun darinya.

“Tak apalah, Sarah. Kalau akak ke depan pun, kekok dibuatnya. Men’s talk. Mana nak masuk dengan kita.” Sarah ketawa mendengar ucapan Zulaikha. Dalam hati dia juga menyetujui kata-kata Zulaikha. Lelaki sama lelaki kalau dah berborak, lupa dunia.

“Sedap Sarah masak. Dua kali akak tambah.” puji Zulaikha ikhlas. Tangannya ligat membilas pingan mangkuk yang dicuci Maisarah.

“Biasa ajalah kak.”

“Sarah ambil medic ke?” Zulaikha ramah bertanya.

“Aah. Pandai akak teka.”

“Akak agak-agak je. Eh, akak dengar suara budak nangis. Ilman dah jaga kot. Sarah pergilah tengok. Biar akak selesaikan ni. Sikit je lagi kan.”

Maisarah kelam kabut mencuci tangan sebelum berlalu ke bilik mendapatkan anaknya. Sempat dia menoleh ke arah suara yang bergema di ruang tamu. Suaminya dan Affendi sedang bergelak tawa. Entah apa yang dibualkan, Maisarah tersenyum sendiri sebelum cepat-cepat masuk ke dalam bilik.

 

 

“LAWA bini kau, Di. Pandai kau cari.”

“Ada-ada aja kau tu, Fiq. Mana boleh tanding Sarah?” sakat Affendi.

Rafiq ketawa menggeleng kepala. Tahu Affendi mahu menyakatnya.

“Patutlah kau nak tamatkan zaman bujang. Dulu aku dengan kawan-kawan kita semua ingat kau ni elergi dengan kaum hawa.”

“Amboi, ‘kureng’ betul kau Fiq! Kemain sedap mengata aku. Dah tu, tak kanlah aku nak membujang sampai tua?”

“Yelah, macam manalah kita orang semua tak fikir macam tu? Kau tu boleh buat tak layan je kalau ada perempuan nak kenal.” tukas Rafiq.

“Tapi aku menyintai dia bukan kerana kecantikan fizikal yang dia miliki, tapi kecantikan akhaknya.” jelas Affendi.

Rafiq mengakuinya. Zulaikha dilihatnya sangat menjaga tertib. Tutur katanya sopan dan senyumannya manis dan tampak sangat ikhlas. Jelingan yang Zulaikha berikan kepada Affendi, malu tapi nampak manja dan melahirkan kasih sayang dengan cara tersendiri.

“Eh, bila nak ada anak ni? Tak kan merancang kot. Dah ada setahun kau kahwin rasanya.” giat Rafiq tanpa mengetahui hal sebenar.

Affendi tersenyum mendengar pertanyaan sahabatnya

“Memang dah setahun pun. Tak adalah merancang. Zu baru lepas keguguran sebenarnya. Lebih kurang tiga bulan lepas. Tu yang aku ajak dia bercuti.” Affendi menghela nafas berat.

“Sorry, Di. Aku tak tahu.” Rafiq rasa bersalah.

“Tak ada apalah, Fiq. Lagipun kandungan tu baru lagi. Belum masuk empat bulan pun. Dah bukan rezeki kami.” Perit rasanya mengingati perkara tersebut. Kalau bukan kerana dia yang membuat onar, sudah tentu mereka tidak kehilangan bayinya.

“Tak apa. Mana tahu, berkat korang bercuti ni dapat, melekat.” Ujar Rafiq menceriakan keadaan.

Affendi ketawa besar mendengarnya. Dia maklum sangat dengan sikap Rafiq yang suka bergurau. Dia dan Rafiq memang telah lama bersahabat. Semenjak dia berada ditingkatan satu lagi.

“Mengata aku. Kau tu bila nak tambah lagi satu? Ilman pun dah dua tahun kan?” Affendi membalas usikan Rafiq.

“Alah... Bukan aku tak nak. Aku on je. Tapi tulah, Sarah cakap tunggu dia habiskan pengajian dia. Lagipun, aku kesian dekat dia. Terkeja-kejar.” Jawab Rafiq masih tergelak-gelak.

“Betul jugak. Sarah berapa lama lagi nak habis?” soal Affendi.

“Dua bulan lagi habislah. Tak lama lagi dia final.”

“Then, kau menetap dekat sini ke?”

“Woi, Sarah ke sini pun aku ikut. Sok, dia posting kat Malaysia. Buat apa aku nak duduk sini lagi.”

Affendi ketawa mendengarnya. Sengaja dia mahu mengusik Rafiq, dia tahu macam mana keadaan sekali pun, Rafiq tidak akan mahu berjauhan dengan isterinya.

Mereka pulang ke hotel ketika waktu sudah menginjak ke petang. Sengaja mahu meluangkan lebih masa di rumah Rafiq. Lebih-lebih lagi melayan keletah Ilman yang mencuit hati.

Zulaikha ketawa sepanjang masa melayan Ilman yang sangat keletah. Ada sahaja yang dilakukan Ilman sehingga tidak menang tangan Zulaikha melayannya.

“Nanti aku dah transfer ke Malaysia, kita jumpa. Seronok aku jumpa kau. Terubat juga rindu aku kat Malaysia.” Rafiq menepuk dadanya lega.

“Blah la kau, Fiq.” Affendi menumbuk bahu Rafiq mesra.

Rafiq kalau dilayan memang melebih-lebih. Sepanjang hari ini dia asyik ketawa dengan lawak Rafiq. Rafiq ketawa membalas ucapan Affendi. Mereka berangkat pulang ke hotel setelah bersalaman.

 

 

“SEDAP tak?” soal Affendi ketika mereka menghadapi makan malam di hotel tempat mereka menginap.

“Bolehlah...” jawab Zulaikha sepatah.

“Zu penat ke?” tanya Affendi lagi.

Sejak pulang dari rumah Rafiq lagi dia perasan perubahan Zulaikha. Tentu Zulaikha teringat-ingat akan Ilman. Dia lihat Zulaikha hanya menggeleng kecil dan meneruskan suapan. Tidak lama itu, air mata Zulaikha mula mengalir ke pipi.

“Sayang...” Affendi menggenggam tangan Zulaikha.

“Sayang... Janganlah macam ni... Insya-ALLAH akan ada rezeki kita tak lama lagi. Kenapa sedih sangat ni...” air mata Zulaikha diseka lembut.

“Zu tak apa-apa... Sorry ya... Jomlah makan.” Zulaikha membalas genggaman tangan suaminya. Affendi melihat Zulaikha yang sudah kembali menyuap makanan.

“Abang kenapa? Makanlah...” Zulaikha membalas pandangan suaminya dengan senyuman.

Hidung Affendi dikepit perlahan. Affendi tergelak mengusir pergi rasa risau yang mula hendak bermukim didada.

Dia sangat takut mengenangkan emosi Zulaikha sewaktu keguguran dahulu. Sepanjang hari Zulaikha hanya akan bermenung dan menangis. Tiada raungan, tiada sendu tetapi air matanya akan mengalir hangat dipipi, menimbulkan rasa sebak kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Itulah yang sangat ditakuti Affendi.

 

 

HARI ketiga mereka di Bali, hanya diisi dengan berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Besok mereka akan berangkat pulang ke Malaysia. Zulaikha mahu membeli cenderahati untuk mak teh dan ibu mentuanya. Rambang matanya melihat telekung dan songket yang cantik-cantik sulamannya.

Banyak kedai yang mereka masuk dan semua kedai menawarkan harga yang murah. Affendi juga tidak menang tangan memilih telekung yang hendak dihadiahkan pada mamanya. Mereka memilih sehingga tidak sedar waktu telah menginjak ke tengah hari. Cuaca panas pula membuatkan mereka keletihan berjalan.

“Zu penat?” Affendi bertanya kepada Zulaikha yang mengurut bahu.

Wajah Zulaikha kemerahan menahan kepanasan matahari. Zulaikha mengangguk membalas pertanyaan suaminya. Sememangnya dia letih. Tekak pula terasa haus dan perit kerana cuaca yang panas dan debu yang agak tebal.

Orang ramai yang berasak-asak di kawasan beli-belah begini membuatkan dia rimas dan tidak selasa. Dia amat maklum dengan kepadatan penduduk Indonesia di kawasan bandar. Tidak hairanlah ramai pendatang di Malaysia. Mereka tentunya sudah selesa dengan suasana di Malaysia yang jauh lebih baik dan selesa.

Zulaikha mengekori rapat dibelakang Affendi menuju ke kedai minuman. Air limau yang dihantar pelayan sebentar tadi disedut rakus. Terasa lega tekak apabila minuman sejuk menyapa. Afffendi juga tidak ketinggalan menyedut air yang sama. Dia tersenyum melihat isterinya yang kelegaan setelah mendapat air.

Mereka pulang ke hotel tidak lama kemudian. Mereka akan keluar semula petang nanti untuk menunaikan solat asar di masjid berhampiran. Indonesia memang banyak masjid.

Keindahan seni binanya  menggamit pelancong yang untuk singgah menunaikan solat berjemaah. Sebelah malamnya, mereka makan malam di restoran yang dicadangkan oleh orang tempatan.

“Banyaknya lauk. Terhabis ke kita ni, bang?” itulah reaksi Zulaikha ketika makanan sampai di meja mereka.

Affendi pula tersenyum sahaja melihat isterinya yang sedikit kalut melihatkan aneka jenis lauk terhidang di atas meja. Mana tidaknya, penuh meja mereka. Hampir dua puluh jenis lauk!

“Alah, tak apa. Lagipun, memang set makanannya macam ni. Masakan kat sini sedap tau Zu. Zu cubalah.” Kata Affendi bersahaja sambil tangannya sibuk mencedokkan sayur ‘berlado’ ke dalam pinggan isterinya.

“Ye ke? Mana abang tahu?”

“Abang dah pernah datang ke sini dulu tapi lama dah. Tadi tu tanya sebab abang dah tak ingat jalan.”

“Oh, dah pernah datang sini. Zu tak tahu pun?” soal Zulaikha pelik. Seingatnya, Affendi memang tidak pernah memberitahunya.

“Dah Zu tak mahu tanya?” Affendi bercanda.

“Abang ni...” Zulaikha ketawa kecil.

“Dah, sayang. Makanlah, abang dah lapar ni.”

“Abang tu memang tak boleh tengok makanan tau. Lapar memanjang...”

Dan ocehan Zulaikha itu segera dimatikan Affendi dengan menyuapkan nasi ke mulut isterinya. Zulaikha menjeling geram. Affendi hanya tertawa suka.

 

 

PADA hari ke empat pula, masa mereka dihabiskan dengan melawat candi Borobudur yang terkenal. Orang kata, tidak lengkap datang ke bali kalau tidak singgah ke candi yang terkenal dengan sejarah. Mereka akan berangkat ke Malaysia pada sebelah malamnya.

Empat hari di Bali, menjanjikan keseronokkan dan kegembiraan buat mereka. Malah, ikatan cinta dan kasih semakin kukuh tersemat dalam diri masing-masing.

Itulah yang Affendi mahukan. Dia mahu merapatkan jurang yang terbina di antara masa mereka berkrisis sebelum ini. Dia mahukan suasana segar mewangi dalam rumah tangga mereka seperti awal mereka bernikah. Dia amat berharap ujian pahit yang mereka tempuh dapat mengeratkan lagi ikatan mereka yang hampir-hampir sahaja terlerai.

“Dah lama abang tak dengar Zu cakap sayang kat abang.” Kata Affendi lewat petang itu ketika sedang bersiap bertolak balik ke Malaysia.

“Eh? Kena cakap ke?” balas Zulaikha sambil mencari wajah suami yang sedang memeluknya dari belakang.

Affendi mengangguk beberapa kali dan mencium-cium rambut Zulaikha yang berbau harum. Inilah yang paling disukai tentang Zulaikha. Isterinya itu sentiasa berbau harum walaupun tanpa sebarang minyak wangi.

“Kalau tak cakap pun, abang tahu Zu sayang abang kan?”

“Memanglah...” kali ini bibir Affendi sudah merayap ke leher Zulaikha.

“Abang... Zu nak pakai tudung ni.”

Affendi tidak mempedulikannya. Dia terus mencium-cium isterinya.

“Abang...nanti kita tertinggal ‘flight’, baru tahu.”

“Abang sayang Zu...” ucap Affendi perlahan. Amat perlahan, hanya untuk pendengaran mereka berdua sahaja.

Zulaikha membalas pandangan suaminya dengan mata berkaca. Lama mereka berpandangan, menatap anak mata masing-masing.

“Terima kasih, abang.” perlahan sekali ucapan Zulaikha yang kemudiannya bersama air mata yang mengalir.

“Hey, kenapa menangis ni...” tegur Affendi sambil menyeka air mata di wajah isterinya.

Kalau boleh, dia tidak mahu lagi melihat isterinya mengalirkan air mata. Cukuplah. Isterinya itu telah banyak mengalirkan air mata kerananya.

Zulaikha hanya menggeleng. Melihatkan itu, Affendi menarik Zulaikha ke dalam pelukannya. Badan isterinya diusap sayang.

Zulaikha sendiri tidak mengerti. Entah kenapa rasa sebak menyelubungi hatinya tiba-tiba. Betapa dia rasa bersyukur kerana ALLAH masih memberinya peluang untuk rasa disayangi. Betapa dia rasa terharu kerana masih ada lagi lelaki yang mahu menyayanginya walaupun sudah tahu masa silamnya.

Namun, disebalik rasa syukur itu, disebalik rasa terharu itu, masih ada jurang yang besar dalam hatinya. Jauh di sudut hati, dia berasa sangat rendah diri setiap kali Affendi melafazkan rasa cinta kepadanya. Kerana itu juga dia tidak lagi mengucapkan sayang mahupun membalas ucapan cinta yang lahir dari mulut suaminya.

Adakah kerana dia serik mendengarnya?

Atau dia terasa diri seolah-olah digulakan oleh suaminya?

Atau dia sedang mengawal rasa kasih dan cinta yang sememangnya menebal ini kerana takut akan kemungkinan rebah sekiranya ombak melanda sekali lagi dan dia tak kan termamapu untuk bangkit?

Anehnya perasaan ni... Dia benar-benar tidak mengerti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience