Bab 22

Family Series 17159

ZULAIKHA menyambut kepulangan suaminya dengan senyuman manis tersungging dibibir. Dia ingat pesan penceramah bebas Dato’ Siti Norbahyah Mahmood supaya para isteri hendaklah menyambut kepulangan suami yang penat berkerja dengan senyuman. Sejuk mata suami yang memandang, akan hilang penat suami yang seharian bekerja di pejabat.

Kot dan briefcase Affendi diambil sebelum Zulaikha tunduk mencium tangan suaminya penuh hormat. Seperti biasa, pasti satu ciuman akan hinggap didahi dan pipinya. Tetapi, Affendi terus berlalu disofa tanpa memandang ke arahnya.

Zulaikha pelik tetapi dia berlalu juga ke dapur setelah menyimpan briefcase dan kot suaminya. Mungkin Affendi menghadapi masalah di pejabat. Zulaikha cuba meneka sendiri. Jus oren yang sudah dibancuh tadi dituang ke dalam gelas. Sudah menjadi kebiasaan dia menyediakan minuman untuk suaminya setiap kali pulang dari kerja.

“Air, bang...” Affendi mencapai gelas yang dihulurkan isterinya tanpa sebarang ucapan. Zulaikha merenung suaminya dengan hati yang mula terasa pedih. Namun perasaan itu cuba diusir jauh. Zulaikha bangkit untuk mengurut apabila melihat Affendi mengurut tengkuknya.

“Mari... Zu urutkan.” tangan yang baru mendarat dibahu, ditepis oleh Affendi. Zulaikha terpana. Walaupun perlahan, tetapi dia tetap terasa. Affendi tidak pernah menolaknya begitu. Perasaan itu datang kembali. Dia hanya mampu memandang susuk tubuh Affendi yang mula meninggalkan ruang tamu dan menuju ke tingkat atas.

Sehingga selesai mereka menunaikan solat isyak berjemaah, Affendi masih tidak mahu menegurnya. Suaminya itu cepat-cepat menarik tangannya sebaik sahaja dia mencium tangan kasar suaminya. Zulaikha rasa semakin tidak sedap hati dengan kelakuan Affendi. Entah kenapa, tiba-tiba dia terasa sangat jauh dari suaminya.

“Abang nak makan sekarang? Zu hidang sekejap...” Zulaikha berlalu ke dapur setelah tiada sebarang kata keluar dari Affendi.

Affendi diam tanpa sebarang reaksi. Dia sedang mengawal amarah yang sedang bermukim di hatinya. Dia sudah mula rasa menyampah dengan kelembutan yang dipamerkan oleh Zulaikha kepadanya. Gambar didalam foto tersebut berkali-kali berulang tayang di depan matanya.

Dia tidak sanggup membayangkan tubuh isterinya yang sepatutnya menjadi hak mutlak kepadanya seorang, terlebih dahulu dirasai oleh orang lain. Tangan lembut isterinya pernah dulu mengurut tubuh lain. Tangan lembut isterinya pernah dulu membelai lelaki lain sebelumnya. Arghhh...Affendi semakin sesak nafas memikirkannya.

 

 

AIR mata yang mengalir hangat diseka lagi. Dia sangat terasa dengan tingkah laku Affendi sebentar tadi. Belum pernah lagi Affendi tidak menjawab pertanyaannya. Malahan Affendi juga tidak pernah lupa mencium dahi dan pipinya setiap kali selepas mereka solat berjemaah.

Mungkin Affendi ada masalah dipejabatnya. Tetapi, bukan sikap Affendi untuk membawa masalah dipejabat ke rumah. Suara-suara jahat mula berlumba-lumba masuk ke fikirannya.

Hatinya kuat menolak Affendi mempunyai masalah dipejabat. Mungkin memang benar Affendi marah kepadanya. Cuma dia saja tidak dapat meneka apa yang menjadi punca kemarahan suaminya itu.

Zulaikha semakin sebal apabila Affendi masih tidak turun-turun untuk makan malam. Zulaikha naik semula ke tingkat atas setelah lebih setengah jam menunggu. Dia melihat Affendi yang sudah berbaring dengan mata terpejam. Zulaikha merapati suaminya yang sudah lena. Selimut dihujung kaki ditarik menutupi tubuh Affendi sehingga ke dada. Dahi Affendi dicium penuh kasih.

“Apa salah Zu bang?” luah Zulaikha sendiri.

Soalan itu bermain-main dihatinya sejak tadi. Air matanya terbit lagi. Lain benar tingkah laku suaminya hari ini. Apa yang telah berlaku? Pagi tadi suaminya ceria ke pejabat. Tapi mukanya berubah keruh sewaktu pulang ke rumah petang tadi. Zulaikha buntu memikirkannya.

Sepanjang malam itu Zulaikha tidak tidur langsung. Zulaikha menoleh pada Affendi yang masih lena dalam tidurnya. Sepanjang perkahwinan mereka, inilah kali pertama suaminya tidur tanpa memeluknya seperti selalu. Tidur tanpa mengucapkan selamat malam kepadanya. Dan yang paling perit, tidur dengan membelakangkannya.

Zulaikha bangkit mengambil wudhu dan mengerjakan solat sunat. Panjang doa dipanjat ke Yang Khaliq, untuk kesejahteraan rumah tangganya. Mengalir air matanya memohon kepada Yang Satu supaya kuat untuk menghadapi ujian-NYA.

 

 

PUAN Barsyiah membelek lagi baju dihadapannya satu-persatu. Sudah lelah dia mencari baju di tingkat bawah, beralih pula ke tingkat atas.

Zulaikha hanya memandang tanpa sebarang nafsu untuk membeli. Dia hanya memberi pendapat apabila mama mentuanya sesekali bertanya. Tidak seperti selalu, dia turut akan sibuk tolong memilih baju yang sesuai dengan tubuh wanita itu.

“Zu, okey tak baju ni?” tanya Puan Barsyiah sambil sibuk mengacu blaus separas lutut itu ke badannya.

“Okey jugak. Sesuai dengan kulit mama warnanya.”

“Mama nak pergi cuba kejap. Tolong pegangkan beg mama ni sekejap.”

Zulaikha hanya mengekori mama mentuanya dari belakang. Dia duduk di bangku berhampiran sementara menanti mama mentuanya mencuba pakaian tersebut.

Matanya di tebarkan pada orang ramai yang sibuk memilih dan mengacu pakaian di badan masing-masing. Pandangannya ralit memerhati sepasang suami isteri yang sedang sibuk memilih baju. Sang suami sibuk mengacu baju mengandung pada si isteri.

Tersentuh hati Zulaikha melihatnya. Ingatannya terhadap Affendi semakin menebal. Kalau dia dengan Affendi keluar membeli-belah, tentu suaminya yang terlebih sibuk memilih. Malahan, beg tangannya juga Affendi yang pegangkan sepanjang dia sedang memilih pakaian. Sedikit pun tidak berasa malu atau janggal.

Hatinya dipagut rasa sebak mengenangkan sikap Affendi dua hari ini. Affendi selalu mengelak darinya. Dia sendiri bingung mencari di mana silapnya sehingga Affendi memperlakunya begitu.

Seperti tadi, sebelum dia keluar dia sudah menghantar pesanan ringkas ke nombor telefon suaminya. Bukan meminta izin, sekadar memberitahu kerana dia sudah mendapat keizinan dari Affendi. Memang dari minggu lepas Puan Barsyiah mengajaknya keluar membeli-belah.

Sudah dua hari Affendi tidak bercakap dengannya. Sarapan yang dibuatnya pun sikit tidak dijamah Affendi. Makan malam, apatah lagi. Sebal hatinya mengenangkan Affendi yang berubah laku.

Dia terasa amat jauh dari Affendi. Walaupun suaminya itu tidak memberi tahu, tetapi dia teramat yakin memang Affendi sedang marahkannya. Cuma punca kemarahan suaminya itu sahaja tidak diketahui.

Bermakna sudah dua hari juga Affendi tidak memeluknya setiap kali hendak ke pejabat. Walhal, suaminya pernah berkata, tidak sempurna harinya kalau keluar tanpa memeluknya walau sebentar.

Pedihnya mencalar hatinya yang semakin cepat terasa sejak akhir-akhir ini. Dia akui, sudah terlalu menyintai Affendi. Masakan tidak, Affendi melayannya sangat baik selama mereka berkahwin.

Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Affendi sangat bertanggungjawab. Tidak pernah sekalipun tubuhnya disakiti, tidak pernah sekali pun hatinya dicalari, dan tidak pernah sekalipun mereka berselisih faham sehingga tidak bertegur sapa.

Kalaupun ada kelakuannya yang Affendi tidak berkenan, suaminya itu akan menegur dengan cara yang paling berhemah. Dan tidak sedikit pun dia terasa. Tetapi kini, apa kesalahan yang telah dilakukannya sehingga Affendi mengelak dari bercakap dengannya?

“Zu, jauh menung?”

“Eh, mama...dah cuba? Muat tak?”

“Dah. Mama dah bayar pun.”

“Yeke? Sorry, mama.”

“Tak apa. Jomlah kita lunch. Mama dah laparlah. Lepas tu kita zohor.”

“Okey.”

 

 

“DIAM je mama tengok Zu hari ni?” soal Puan Barsyiah setelah pelayan di Kenny Rogers menghidangkan pesanan mereka.

“Hah? Yeke, mama? Zu rasa biasa je.” Dalih Zulaikha sambil sibuk memotong daging ayam dipinggannya. Kononnya tersangat lapar dan hidangan tersebut amat menyelerakannya.

Puan Barsyiah memandang Zulaikha yang kelihatan bersungguh-sungguh makan. Wajah menantunya ditenung tepat seolah-olah dengan cara itu dapat membaca apa yang tersirat di hati satu-satunya menantu kesayangannya.

“Betul ke ni, Zu tak apa-apa? Mama tengok Zu macam dah kurus sikitlah. Zu diet ke? Kalau Zu diet cara yang betul, mama tak kisah. Tapi jangan ambil pil sebarangan.”

“Eh, tak adalah mama. Zu tak pernah diet. Lagipun abang Fendi tak bagi Zu kurus sangat. Dia cakap tak sedap nak peluk.”

“Hehe...ada-ada je laki kamu tu. Zu ada masalah dengan Di ya?” tebak Puan Barsyiah tidak puas hati.

“Hish, mama... Tak adalah, Zu dengan Abang Fendi baik-baik je.” Selindung Zulaikha bersungguh-sungguh.

Hatinya berderau hanya Tuhan yang tahu. Janganlah hendaknya sampai Puan Barsyiah memaksanya membuka pekung di dada. Dia tidak bersedia.

“Dah tu, mama tengok Zu senyap je hari ni. Macam tak bersemangat.”

“Betul, ma. Zu tak okey. Cuma, lately ni Zu rasa cepat letih.”

Memang itulah yang dirasakannya. Malah hal itu juga sudah diadukan kepada Affendi sebelum ini dan suaminya itu semakin ringan tulang membantu mengemas rumah.

Bila hujung minggu, Affendi sendiri akan turut sama membantu membersihkan karpet dan juga mengelap lantai rumah mereka.

“Tulah, kalau tak sihat, pergi klinik. Ni, muka pun pucat je. Macam kurang darah. Jangan tangguh-tangguh. Jangan main telan ubat farmasi tanpa nasihat doktor. Kalau Zu tak larat, mama boleh hantarkan. Balik nanti kita singgah terus pergi klinik. Tapi memang mama perasan Zu dah kurus sikit. ”

“Yeke, ma? Zu makan macam biasa je. Makin berselera adalah.” Jawab Zulaikha jujur. Memang seleranya lain macam akhir-akhir ni. Perutnya juga kerap lapar. Cuma sekarang dah kurang sikit nak dibandingkan bulan lepas. Affendi juga turut menegurnya yang makan lebih dari biasa. Namun dia pelik kenapa ibu mentuanya masih nampak badannya sudah susut.

“Entah-entah dah berisi tak?”

Zulaikha gamam seketika. Kemudian dia ketawa lepas sambil menggeleng beberapa kali. Ibu mentuanya ini, ada-ada saja. Dah tak sabar nak bercucu agaknya.

“Mama ni, ke situ pulak.” Kata Zulaikha masih bersisa ketawa.

“Eh, betullah. Manalah tahu? Cuba jelah checkkat klinik. Kalau betul, alhamdulillah. Tapi kalau tak, tak apalah. Mungkin belum rezeki Zu dengan Di lagi.” Saran Puan Barsyiah. Dalam hati sudah berbunga suka membayangkan dia akan bercucu.

“Tak naklah mama. Zu yakin bukan sebab tu. Zu tengah sihat walafiat ni.”

“Laa...memanglah. Mana ada mama kata Zu tengah tak sihat kan?”

“Mama...sama aja tau dengan abang Fendi.” Zulaikha semakin galak ketawa.

“Memanglah. Like mother like son.”

“Mama ni...suka tau buli Zu. Dah puas dah Zu kena buli dengan abang Fendi kat rumah. Ni kena kat mama pulak. Tak laratlah. Dua lawan satu, mana aci.”

“Di buli Zu ke?” tanya Puan Basryiah tiba-tiba serius.

“Mana ada. Abang Fendi baik ma. Terlalu baik.” Zulaikha faham dengan nada pertanyaan ibu mentuannya. Dia sudah tersalah cakap tadi. Tentunya ibu mentuanya membayangkan Affendi menderanya di rumah. Sedangkan maksud bulinya tadi adalah dia tidak tahan disakat oleh Affendi.

Tapi, kini hari-harinya sunyi tanpa gurauan dari Affendi, tanpa sakat dan usikan dari suaminya. Terlalu sunyi dan sepi. Kalaulah dia berkuasa mengetahui apa yang tersirat di hati setiap manusia, akan diselami hati suaminya terlebih dahulu. Biar dia tahu apa sebenarnya yang difikirkan Affendi, apa sebenarnya salah dilakukan supaya dia boleh membetulkannya tanpa Affendi memberitahu terlebih dahulu.

“Kalau dah tu kata Zu, alhamdulillah. Mama senang hati tengok kamu berdua saling menyayangi dan hidup bahagia. Itu doa mama hari-hari.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience