Bab 54

Family Series 17159

AFFENDI memerhatikan isterinya yang termenung di taman mini rumah mereka. Sudah dua hari dia perasan isterinya seperti sedang memikirkan sesuatu. Mata isterinya juga bengkak seakan kerap menangis. Dia tidak tahu apa yang dirunsingkan.

“Zu, buat apa kat sini?” Affendi menyapa isterinya dari belakang.

Jemarinya mengurut bahu Zulaikha bebarapa kali sebelum mengambil tempat di sebelah isterinya.

“Eh, abang...” Zulaikha tersenyum hambar memandang suaminya sekilas. Matanya dialihkan kembali merenung kolam ikan mini di hadapan.

“Abang tengok Zu termenung je dua hari ni. Ada apa-apa yang Zu nak cerita dengan abang? Abang sedia mendengarnya.” ucap Affendi berhati-hati setelah agak lama mereka membisu.

Zulaikha terkedu. Dia menggeleng lemah.

Affendi melepaskan nafas berat melihat reaksi itu. Dia amat berharap Zulaikha sudi berkongsi masalah. Dia tidak mahu Zulaikha memendam rasa kerana ia akan menjadi sekam dalam rumah tangga mereka.

“Zu...kalau ada masalah, share la dengan abang. Abang ada buat salah ke?” pujuk Affendi lagi.

Sudah dua hari isterinya itu membawa diri. Seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri.

“Zu okey...” jawab Zulaikha lemah.

“Abang rindu Zu...” getus Affendi perlahan.

Tangan Zulaikha di tarik ke dadanya sebelum dibawa ke hidung. Tangan halus itu dicium beberapa kali.

“Jom naik...tadi kita tak sempat berjemaah sama-sama. Kita solat sunat sama-sama ya. Lepas tu kita baca Ma’thurat. Kalau Zu tak nak cerita sekaraang, tak apa. Zu cerita pada abang bila-bila Zu bersedia nak cerita.” Affendi beralah. Dia tidak mahu terlalu memaksa isterinya.

“Jom, sayang...” ajak Affendi lagi.

Zulaikha menuntun langkah suaminya. Hatinya menangis parah. Hatinya berperang hebat. Dia amat menyintai Affendi dan dia tidak mahu disebabkan sejarah silamnya, akan memusnahkan hidup Affendi. Namun, dia tidak sanggup dan tidak berdaya meminta perpisahan.

Mereka mengerjakan solat sunat bersama. Memang begitulah kebiasaannya jika ada masa terluang. Mereka akan sama-sama mengaji atau membaca Ma’thurat jika ada kesempatan. Kadang-kadang Affendi sendirian bangun malam kalau Zulaikha sendiri tidak boleh.

“Tidurlah sayang, dah lewat.” Affendi mengajak Zulaikha ke katil.

Dia tidak mahu isterinya mempunyai ruang melayani fikiran. Dia runsing melihat Zulaikha yang semakin pasif. Dia yakin, Zulaikha begitu bukan disebabkan kemurungan kehilangan kandungannya dahulu. Dia pasti tentang itu. Tetapi dia juga buntu meneka apa yang dimenungkan isterinya.

 

 

“YA ALLAH! Astaghfirullahala’zim...” Zulaikha beristighfar perlahan. Wajah diraup beberapa kali. Affendi yang tidur nyenyak di sebelah ditatap sayang. Semerta cecair jernih mula memenuhi kelopak mata. Perlahan ia mengalir menuruni lekuk pipi. Mimpi itu datang lagi.

Dia nampak gambarnya semasa menjadi pelayan kelab malam tergantung di seluruh pejabat Affendi. Semua pekerja suaminya mengejek dan memandang Affendi sinis, seolah-olah sangat jijik kerana telah beristerikannya. Semua pekerja suaminya juga sudah hilang rasa hormat padanya. Masyarakat sekeliling juga turut mencerca.

Zulaikha memandang lagi pada suaminya yang lena dibuai mimpi. Affendi mempunyai ciri-ciri suami yang diidam mana-mana wanita. Walaupun tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. Suaminya seorang yang penyayang, bertoleransi, bertanggungjawab dan memahami jiwa dan rasa hatinya.

Dia tidak sanggup melihat nama suaminya tercemar kerana memperisterikannya. Dia harus membuat sesuatu sebelum terlambat. Zulaikha teringat-ingat akan kata-kata Diana beberapa hari lalu. Kata-kata itu merobek ke jiwanya yang paling dalam. Luka lamanya berdarah kembali dan ia semakin parah.

Zulaikha mengelus rambut Affendi penuh kasih. Sungguh, dia amat menyintai lelaki ini. Dia tidak sanggup melihat Affendi dihina masyarakat kerana dirinya. Zulaikha pantas mengesat air matanya apabila melihat tubuh Affendi mula bergerak. Dia tidak mahu Affendi melihat dia menangis.

“Zu, kenapa? Pukul berapa ni?”  Affendi bertanya terpisat-pisat.

Garau suaranya bertanya kerana baru bangun dari tidur. Affendi mencapai telefon bimbit. Oh, baru pukul 3.20 pagi. Dia melihat isterinya yang masih bersandar di kepala katil.

“Zu, kenapa ni...Zu tak sihat ke?” Affendi lantas bangun meletakkan belakang tangannya di dahi isteri dengan mata yang masih berat.

“Tak panas pulak. Awal lagi ni, sayang... jom tidur.” ajak Affendi sambil menutup mulutnya yang menguap.

Dia berkira-kira mahu baring semula.

“Kita..kita cerai, bang...” ucap Zulaikha perlahan.

“Hah! What??”

 

 

 
WAJAH bersahaja Zulaikha direnung dalam-dalam. Berharap mencari kepastian atas apa yang didengarinya sebentar tadi, tidak benar sama sekali. Namun, melihatkan isterinya sengaja melarikan wajah, membuatkan Affendi sesak.

“Zu! Apa Zu cakap ni?” terjerit Affendi mendengarnya.

Mata yang berat tadu terus segar. Bulat matanya merenung Zulaikha yang bermain dengan jemari sendiri.

“Abang dengar apa Zu cakap tadi.” kata Zulaikha separuh tegas.

Dia tidak sanggup mengulang ayatnya tadi. Dia tahu bergegar tiang Arashy apabila seorang isteri meminta cerai. Dia tahu dia berdosa besar tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain.

Bukan dia tidak tahu, cerai adalah perbuatan halal yang paling dibenci ALLAH SWT. Ya ALLAH, ampunkan dosa hamba-Mu ini ya ALLAH... Aku tidak ada pilihan lain ya ALLAH. Berikanlah kekuatan, moga aku mampu menghadapinya dengan tenang. Doa Zulaikha di dalam hati.

“Zu, kenapa ni Zu? Cuba cerita kat abang.” pujuk Affendi perlahan.

Suaranya kembali kendur. Dia cuba bertenang walaupun dia sendiri amat terkejut. Dia tidak mahu menegangkan keadaan. Hatinya disabarkan dengan istighfar.

“Tak ada apa-apa, bang. Zu cuma nak kita berpisah.” dalih Zulaikha masih berselindung.

Wajah suaminya langsung tidak berani dipandang.

“Mana boleh tak ada apa-apa. Habis, kenapa nak berpisah tiba-tiba?? Sebelum ni kita okey je. Kenapa Zu? Apa yang tak kena?” Affendi bertanya geram.

Tegang juga suaranya. Hilang kesabaran yang cuba dihimpun sebentar tadi.

“Bukan tiba-tiba. Dah banyak kali Zu fikir.” suara Zulaikha bergetar..

Matanya mula digenangi cecair jernih. Sesungguhnya, dia memang tidak cukup kuat untuk membuat keputusan tersebut.

Zulaikha bangkit menyelak selimut tebal dipinggangnya dan berlalu ke sofa bilik. Affendi juga turut bangkit, pantas mengekori dan duduk di sebelah isterinya. Dadanya berombak kecil menahan seribu rasa.

“Abang tak percaya. Abang ada buat salah apa? Zu ada kecil hati dengan abang ke? Zu, tolonglah jangan ambil keputusan terburu-buru macam ni. Kita berbincang dulu. Kalau abang ada buat salah, abang minta maaf.” rayu Affendi dengan hati yang mula sebak.

Jemari Zulaikha digenggamnya erat.

“Abang tak salah apa-apa.”

“Bohong! Kalau tak ada apa-apa, kenapa Zu macam ni?” tempik Affendi kuat.

Suara Affendi mula memecah keheningan bilik tersebut. Zulaikha menahan air matanya dari mengalir. Dia terkejut dengan suara Affendi yang kuat.

“Cakap Zu. Kenapa?!” soal Affendi geram dengan isterinya yang membisu.

Zulaikha menggeleng kepalanya membalas soalan Affendi. Kepalanya masih ditundukkan, tidak berani menentang pandangan suaminya.

“Tolonglah, abang...jangan tanya Zu apa-apa...”

“Macam mana Zu boleh minta abang jangan tanya apa-apa sedangkan benda yang Zu cakap ni bukan hal kecil. Abang ada menyinggung perasaan Zu ke?”

“Abang, please....” Zulaikha menggeleng tanda tidak mahu Affendi bertanya apa-apa lagi mengenai keputusannya. Air matanya sudah berhambur keluar.

“Dah tu, kenapa? Bagi tahu abang, apa yang mengganggu Zu sebenarnya sampai Zu boleh minta benda mengarut ni dengan abang?” Affendi memujuk lagi.

Suaranya sudah tidak sekeras tadi. Dia menyeka air mata isterinya yang sudah mengalir deras.

Zulaikha terus menangis tanpa menghiraukan Affendi yang masih menanti reaksinya. Tindakan Zulaikha yang masih mendiamkan diri membuatkan Affendi naik darah. Dia betul-betul geram dengan isterinya yang membisu seribu bahasa.

“Zu, dengar sini. Dah banyak hari abang tunggu Zu cerita pada abang apa yang Zu menungkan, apa yang Zu fikirkan... Zu ingat abang tak susah hati ke tengok Zu termenung setiap hari? Cuba Zu bagi tahu abang apa yang mengganggu Zu sebenarnya. Jangan hukum abang begini!” suara Affendi bergetar menahan marah.

Zukaikha diam lagi.

“Looks Zu...abang tak kan semudah itu nak lepaskan Zu. Lebih-lebih lagi dengan alasan yang tak konkrit!” ugut Affendi tegas.

Dia perlu memecahkan tembok inferior yang dialami isterinya segera. Ini sudah sangat serius. Zulaikha sudah pun tega dan sangat berani meminta perpisahan!

“Tolonglah, abang... Jangan desak Zu macam ni. Ini semua untuk kebaikan abang jugak...” ucap Zulaikha perlahan. Terasa diri semakin lemah dengan desakan suaminya.

“Bohong! Kalau Zu fikir untuk kebaikan abang, Zu tak kan minta benda mengarut ni!” jerkah Affendi garang. Matanya membulat merenung isterinya yang mula tersedu kembali.

Zulaikha menyeka air mata yang sudah mengalir lebat. Betulkah apa yang aku buat ni? Ya ALLAH, aku buntu. Abang, maafkan Zu...

“Zu...” Affendi memegang kedua-dua bahu Zulaikha kejap. Pandangannya dihala tepat ke wajah isterinya yang basah.

“Apa yang mengganggu Zu, sebenarnya? Dah dekat seminggu abang tunggu Zu cerita dengan abang. Tapi, Zu tak pernah cuba untuk memberitahu abang. Suddenly, you ask a divorce from me? Apa maknanya semua ni, sayang...? Apa maknanya?” Affendi menyelati rambutnya dengan kedua-dua jemarinya.

“Zu, abang ni suami Zu...bukan orang lain, bukannya orang asing, orang luar. Tapi suami Zu! Kenapa susah sangat Zu nak bagi tahu abang? Zu anggap abang ni siapa dalam hidup Zu?!”

Affendi semakin geram dengan sikap isterinya. Matanya yang mengantuk tadi hilang entah ke mana. Jam berdetik empat kali menandakan telah pun masuk pukul empat pagi.

“Kadang-kadang abang sangsi, Zu. Abang sangsi sama ada Zu pernah menyayangi abang atau pun tidak. Abang tak tahu...abang tak tahu sama ada Zu cintakan abang atau pun tak... Tapi sekarang, abang...abang rasa abang dah tahu jawapannya. Zu tak pernah cintakan abang seperti mana abang cintakan Zu!”

“Abang! Itu tak betul! Zu sayangkan abang lebih dari nyawa Zu sendiri... Abang segala-galanya bagi Zu!” ucap Zulaikha sebak..

Semakin galak air mata mengalir mendengarkan sebaris ayat yang keluar dari mulut suaminya. Zulaikha menentang wajah suaminya berani. Walaupun tidak berapa jelas, namun dia dapat mendengar deru nafas Affendi.

“Tak. Abang tak tahu! Kalau betul Zu sayang abang, Zu tak kan buat macam ni!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience