BAB 46

Romance Completed 21274

BARIZ ARRYAN memberitahu aku yang mereka berada di dalam rumah hantu. Aku malas hendak ikut serta dengan mereka. Lebih baik aku merehatkan diri dekat tasik itu sahaja.

Angin malam menampar lembut kulit tubuhku. Terasa sejuk dan selesa. Aku melepaskan penat di kerusi kayu panjang ini. Aku membuang pandang ke arah tasik. Nyaman dan pada masa yang sama aku berasa geram.

Mujurlah dia tidak perasan tadi. Aku baru keluar daripada tandas dan melihat dia bersama dengan seorang wanita. Wanita itu cantik. Cara dia berpakaian pun amat bergaya seperti kelas atasan. Rambutnya di sanggul rapi. Bila aku teliti betul wanita itu rupanya dia adalah Puteri Alissa. Mereka jauh daripada orang ramai dan aku boleh nampak mereka mesra sekali.

Batu-batu kecil aku pungut dan meletakkan di atas riba. Sambil berfikir sambil aku membaling batu-batuk kecil ini ke dalam tasik. Kata orang jangan terlalu benci orang itu nanti lama-lama jadi suka.

“Huh,” aku rasa kata-kata itu kena dengan aku. Benci pada lelaki yang berfoya-foya dengan perempuan lain. Benci pada lelaki yang nakal. Benci lelaki yang kaki perempuan. Tapi sekarang benci itu bertukar sayang.

Tapi aku tidak layak berada di dalam hatinya kerana status kami berbeza. Dia anak raja dan mendapat perhatian ramai masyarakat Pura Cahaya. Sementara aku pula hanyalah anak kepada Tuan Baihaqi, usahawan terkenal di Pura Cahaya. Hanya papa sahaja yang menjadi perhatian orang. Itupun orang-orang yang sebidang dengan papa sahaja. Aku pula hanyalah seorang anak yang menjalani kehidupan biasa seperti anak perempuan lain.

“Syirah, aku rasa aku tak boleh.” Luahku. Seolah-olah teman baik itu aku ada bersama di sebelah aku ini.

Sedang aku menenangkan fikiran tiba-tiba ada budak memberi aku sekuntum bunga ros merah. Aku ragu-ragu hendak menerima bunga tersebut.

“Kakak ambillah. Bunga ni memang untuk kakak.” Ujar budak lelaki itu.

“Untuk kakak? Adik memang tak salah orang, kan?” Aku pandang ke sekeliling. Tiada siapa di situ melainkan aku dengan budak ini.

“Ish, kakak ni. Ambil sajalah.” Dia meletakkan bunga ros itu di atas riba aku dan terus berlari meninggalkan kawasan tersebut.

Aku pelik. Kenapa dengan budak itu?

“Dia suka dekat akukah?” Aku jungkit bahu. Bunga ros merah yang masih segar itu aku hidu. Harum baunya.

“Kakak, nah.”

Aku terkejut. Seorang lagi budak lelaki memberikan aku sekutum bunga ros merah.

“Kenapa adik beri kakak bunga ni?”

Dia cuma tersenyum dan memaksa aku mengambilnya.

“Adik suka kakakkah?”

“Suka. Tapi suka saya tidak setinggi suka orang itu pada kakak.” Budak itu terus menghilangkan diri sebelum sempat aku bertanyakan soalan lagi.

Siapa agaknya?

Baru aku mahu angkat punggung ada lagi datang memberi aku bunga yang sama. Dua orang budak perempuan memberi aku bunga ros dan kemudian berlalu pergi. Beberapa minit kemudian datang lagi budak memberi aku benda yang sama. Aku malas hendak bertanya. Ambil sahajalah apa yang budak-budak ini beri pada aku.

Budak bunga datang lagi. Ini adalah kuntuman bunga ros merah yang ke-15 aku terima daripada seorang budak.

“Kakak, dia cakap dia minta maaf dengan kakak.”

“Minta maaf? Untuk apa? Adik, siapa sebenarnya yang bagi bunga ros ni, huh?” Soalku pada budak perempuan itu.

“Tak tahu. Adik cuma sampaikan pesan saja. Assalamualaikum.” Laju seperti lipas kudung dia berlari.

Semakin lama semakin geram aku. Setiap kali aku diberi bunga dan menyoal mereka pasti mereka diam. Hanya segelintir daripada budak-budak itu sahaja yang akan buka mulut menyampaikan pesanan orang itu.

Argh!! Siapa dia ini, hah?! Sudahlah fikiran aku tengah kusut memikirkan nasib aku ini. Orang misteri ini pula datang ganggu aku. Peminat akukah?

“Beritahu kakak siapa bagi bunga ros ni?” Aku memaniskan wajah sebaik yang mungkin. Kuntuman bunga ros yang ke-24 itu aku letak bersama dengan kuntuman bunga yang lain di tempat duduk sebelah aku ini.

Budak lelaki ini tersengih dan menggaru belakang kepalanya. Aku merenungnya tajam.

“Kak, janganlah marah. Pesan orang tu pada kakak...”

Aku menggeram. Pesanan lagi aku terima.

“Apa dia?” Tegas suaraku.

“Dia... Dia cakap dia selalu ingat kakak. Dia langsung tak boleh berhenti ingatkan kakak. 24 jam setiap hari kakak ada dalam ingatan dia.”

“Hah?!” Aku tergamam. Takut pula aku dengar pesanan ini. Budak lelaki itu pula laju melarikan diri.

“Ish, tak boleh jadi ni!” Pantas aku ambil telefon dalam beg tangan kecil aku ini. Aku cuba menelefon Bariz tetapi tidak di jawab olehnya pula. Berapi-api sudah wajah aku ini menahan marah tahu. Kalau aku jumpa pemilik bunga ini aku tumbuk muka dia sampai berdarah.

“Hai, kak!”

Ah, sudah! Bunga lagi.

“Ada apa-apa pesanan?” Tanya aku. Budak lelaki berambut ikal ini hanya tersenyum dan menggeleng kepala.

“Kakak jangan pergi lagi tau. Banyak lagi bunga yang kakak akan dapat selepas ni.” Dia terus berlalu pergi.

“Okey! Okey! Mana budak-budak bunga tu. Mari sini!” Geram betul aku. Layan sahajalah budak-budak bunga ini.

Semuanya ada 99 kuntum bunga ros merah. Nampaknya, tidak ada lagi yang datang, bukan? Hmm... kira cukuplah ini untuk hias tanaman bunga di halaman rumah. Aku berdiri dan melangkah pergi.

“Kakak!”

Aku berpaling. Satu lagi kuntum bunga ros diberikan kepada aku. Ini sudah cukup seratus kuntum bunga ros merah. Apa maksud semua ini, huh?

“Eh, adik ni yang minta patung beruang tadi, kan?” Aku masih ingat lagi budak terakhir yang minta patung beruang aku itu.

Dia tersenyum.

“Nah. Dia suruh saya bagitahu akak yang dia kata ‘saya cinta awak’ pada kakak.”

Aku mengerutkan dahi. “Siapa?”

“Tak tahu. Tak kenal pun. Dia pakai topeng mulut dan cermin mata hitam.”

Aku agak itu...

“Dia cakap lagi yang dia rindukan kakak. Walau apapun terjadi dia tetap pilih kakak sebagai permaisuri hatinya.”

Aku tidak tahu hendak balas apa lagi dengan budak ini. Aku pasti lelaki yang dimaksudkan oleh budak ini adalah Putera Shiraz Adrian. Dia buat semua ini untuk pujuk akukah?

“Adik, orang tu dekat mana?”

“Ada dekat sana. Kakak jalan terus saja. Lagipun, dia perhatikan kakak sejak dari tadi lagi.” Ujar budak itu dan terus berlalu.

Aku menyentuh dada. Apa perasaan yang sedang bermain dalam hati aku ini, hah? Aku terharukah?

Seratus kuntum bunga ros itu aku tenung lama. Perlukah aku berjumpa dengannya? Apa yang aku hendak balas kepadanya nanti? Bolehkah aku percaya dengan kata-kata dia sebelum ini? Banyak sungguh persoalan yang bermain di benak fikiran aku ini.

“Ah, lebih baik jumpa dia. Aku yakin semua bunga-bunga ni dia yang bagi. Aku nak dengar penjelasan dia dulu sebelum aku buat keputusan aku ini.” Aku bergerak bertemu dengannya. Dalam perjalanan aku berfikir tentang keputusan yang bakal aku beri nanti.

LULUH hati apabila melihat kemesraan itu. Di waktu malam sebegini mereka berdua bergelak tawa di bawah pokok rendang. Aku punyalah gemuruh mahu berjumpa dengannya. Bila sampai di sini, ini pula kejutan yang aku dapat.

Terasa lemah seluruh tubuhku. Wajahnya ceria tanpa topeng mulut. Langsung tiada tanda-tanda dia sedang memikirkan aku. Mungkin betul apa yang digosipkan oleh mereka tentang dia dan juga Puteri Alissa.

Sejambak bunga ros yang diberi olehnya itu aku baling ke tepi. Tidak semena-mena air mata mengalir.

“Di... Dinda...”

Dia perasan aku. Aku mengesat air mataku dan terus meninggalkannya.

“Dia sama saja macam lelaki lain! Aku tahulah siapa diri aku!” Marahku sambil berlari. Jeritannya aku tidak peduli.

“Dinda dengar dulu!”

“Tak nak! Kau sama saja dengan lelaki lain!” Aku melajukan langkah. Aku tidak mahu lagi berjumpa dengannya. Aku mahu pergi dari sini!

“Aku tak suka hati aku dipermainkan.” Laju aku berlari dan kebetulan ada teksi di depanku. Laju aku meluru masuk ke dalam teksi tersebut.

“Pak cik saya nak ke resort Moden.”

“Baik cik.” Pak cik itu terus memandu keluar daripada kawasan tersebut.

Sempat aku mengerling dia yang sedang melaung memanggil namaku. Terbayang kemesraan mereka berdua tadi dan itu sungguh menyakitkan hati.

“Cik tak apa-apakah?” Tanya pemandu itu.

“Saya tak apa-apa.” Balasku.

Pemandu ini begitu mesra dengan aku. Sekejap sahaja air mata aku hilang. Macam-macam yang kami bualkan dan aku merasa sedikit lega. Pak cik ini juga memberi cadangan kepada aku tempat-tempat yang menarik untuk merehatkan diri. Cadangan-cadangan itu aku akan fikirkan kemudian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience