BAB 44

Romance Completed 21274

LAJU tangan mencari gosip-gosip yang diperkatakan oleh pak cik itu. Ah, lupa pula aku hendak tanya nama pak cik tadi. Tapi, biarlah. Perkara penting sekarang ini adalah gosip tentang aku dengan Putera Shiraz Adrian.

“Jumpa!”

Berkerut-kerut aku membaca tajuk gosip itu.


TUNANG PUTERA SHIRAZ ADRIAN IALAH ORANG BIASA!


TUNANG PUTERA SHIRAZ ADRIAN DARI UNIVERSITI YANG SAMA.


PERTUNANGAN MEREKA BUKAN ATAS DASAR CINTA.

Macam-macam lagi tajuk yang keluar mengenai aku dengan Putera Shiraz Adrian. Aku seperti cacing kepanasan. Matilah aku kalau mereka tahu yang aku ini tunang kepada Putera Shiraz Adrian. Aku tidak puas hati lagi. Aku baca juga komen-komen mereka tentang gosip-gosip tersebut.


Komen pertama: Untunglah dapat anak raja. Hidup senanglah lepas ni.


Komen kedua: Ubat apa yang dia guna-guna dekat putera raja tu sampai putera tu jatuh hati dekat dia, hah?


Komen ketiga: Putera Shiraz Adrian itu aku punya! Dasar perempuan murahan.

Semua orang tahu yang dia nakkan putera raja tu sebab harta saja.

Aku tutup telefon. Aku tidak mahu teruskan membaca komen-komen tersebut. Sungguh aku berkecil hati dengan komen-komen negatif itu. Air mata yang bergenang di tubir mataku ini laju aku seka.

Siapalah yang berani-beraninya buat gosip seperti ini? Kalau aku dapat tahu siapa orang itu, memang dia kenalah dengan aku ini.

“Yana!”

Tersentak aku apabila Syirah merempuh masuk ke bilik ini.

“Kau ni Syirah! Tak reti nak bagi salamkah?” Marahku.

“Maaflah. Aku risau dengan kau sebab tu aku lari pecut sampai ke sini.” Tercungap-cungap dia bersuara. Keringat di dahinya itu langsung tidak dihiraukan olehnya. Laju dia menarik kerusi lalu duduk. Dia mengipas wajah dengan tangannya.

“Nah,” aku beri dia majalah yang aku letak di tepi bantal. Cepat tangannya mengambil majalah tersebut dan mengipas dirinya.

“Kau dari mana ni? Risau kenapa pula?” Aku buat muka. Janganlah dia cakap pasal gosip-gosip itu.

“Aku dari resort papa kau. Dia orang masih sibuk uruskan bilik stor yang terbakar tu. Aku bantu apa yang patut saja. Abang Fariz dengan yang lain pun ada sekali dekat sana.”

“Eh, aku lupa pula tanya pasal hal ni. Macam mana dengan pertandingan hari tu? Diteruskan atau sebaliknya?” Aku betul-betul terlupa hendak bertanya pada mama dengan aunty Irdina tentang pertandingan itu. Sepanjang mereka di sini, kami hanya berbicara tentang hal cinta. Aku langsung tidak ingat hendak bertanyakan tentang resort papa aku itu.

“Diteruskan juga. Mulanya mereka nak batalkan saja tapi dah alang-alang semua dekat situ terpaksalah teruskan juga. Cuma, pertandingan tu dikecualikan bagi Lisha. Aunty Melisa okey saja. Dia lagi pentingkan keselamatan Lisha berbanding dengan pertandingan tu.” Beritahunya.

Aku sedikit hampa. Pertandingan itu diteruskan tanpa kehadiran aku. Tidak apalah. Sekurang-kurangnya tidak mengecewakan mereka.

“Pasal... pasal gosip kau dengan Putera Shiraz Adrian. Kau dah tahu?”

Aku baring dan menarik selimut hingga menutupi separuh wajahku.

“Kalau aku tahu pun apa aku boleh buat? Takkan nak serang mereka yang buat cerita ni pula?”

Kepala aku terasa pening akibat terlalu fikirkan benda ni.

“Yana...”

“Syirah bagi aku tenang dulu. Aku nak tidur. Bangun nanti baru aku fikirkan balik tentang hal ni.” Ujarku lalu menutup mata.

“Yalah. Aku temankan kau. Nak apa-apa panggil saja aku kat sana. Aku duduk dekat sofa.”

Aku senyap. Malas hendak membalasnya.

BERMIMPI aku dikejar oleh sekumpulan manusia. Aku berlari menyembunyikan diri tetapi gagal kerana mereka berjaya juga mencari aku. Aku meminta bantuan tetapi tidak ada seorang pun yang mahu membantu aku. Aku kira mereka semua itu marah dengan aku kerana aku dapat berkahwin dengan putera raja. Tiba-tiba muncul Putera Shiraz Adrian. Dia datang melindungi aku. Kami berada di tengah lautan manusia yang penuh dengan kemarahan. Aku takut.

“Argh!” Aku tersedar dari mimpi.

“Yana, kau okey tak?” Laju Syirah menerpa ke arahku.

“Aku okey. Aku cuma bermimpi buruk.” Aku mengesat peluh di dahi.

“Syirah apa aku nak buat ni? Aku takutlah.”

“Tenanglah. Bukan orang kenal kau pun.” Dia menuju semula ke arah sofa.

“Kau tahukah siapa yang buat semua gosip-gosip ni?”

Syirah jungkit bahu.

“Pasti putera raja itu sudah tahu mengenai hal ini, kan?” Aku pandang Syirah.

“Mungkin.” Jawabnya sepatah. Aku pula naik geram dengan jawapannya. Ketika itu aku teringatkan sesuatu.

“Eh, Syirah. Kau dah kunci pintukah?”

“Kau jangan risaulah. Sejak aku masuk ke sini lagi aku dah kunci pintu tu. Kalau ada orang nak masuk pun aku tanya dulu.”

Aku memandang ke arah pintu. Bukan boleh percaya cakap si Syirah ni. Aku turun dari katil. Aku mahu memastikan yang pintu itu berkunci. Aku perlu berjaga-jaga kerana situasi aku sekarang dalam bahaya. Takut nanti orang yang tidak dikenali merempuh masuk sahaja ke dalam ini dan menyoal aku tentang gosip tersebut. Tapi, dia orang sudah tahukah tunang Putera Shiraz Adrian itu adalah aku?

Puas hati dengan keadaan sekeliling baru aku menuju ke tempat Syirah. Buah epal yang sudah dikupas dan di potong olehnya itu aku ambil dan menyumbatkannya ke dalam mulutku.

“Syirah apa patut aku buat sekarang? Kalau aku marah putera raja tu nanti bertambah merajuklah dia.” Gerutuku.

“Senang saja. Kau balaslah apa yang dia buat dekat kau selama ni.”

“Maksudnya?”

“Kau balas cinta dia. Kau ingat aku tak tak boleh baca hati kaukah?” Dia angkat kening. Buah epal yang belum dikupas kulitnya itu digigit dan dikunyah.

“Kalau kau tak suka orang mengata kau dengan dia, apa kata kau buat betul-betul. Kau tunjukkan dan buktikan pada mereka yang kau ni layak untuk Putera Shiraz Adrian.” Sambungnya lagi.

“Tapi, aku tak cinta dia.”

“Tipu! Kau dah lama sukakan dia cuma kau saja yang tak tahu.”

“Bila?” Aku tidak puas hati. Pandai-pandai sahaja dia ini bercakap tentang aku.

“Kau tanyalah diri kau sendiri. Mana aku tahu bila kau jatuh hati dekat dia.”

Diri aku? Sejak bila aku jatuh cinta dengan dia? Aku menyentuh dada yang kian berdebar. Selalu sahaja terjadi begini tiap kali aku memikirkannya.

Syirah masih melayan nafsu makannya. Semua jenis buah dalam piring itu dia makan. Aku menuju ke arah tingkap yang terbuka.

“Yana,”

“Hmm...”

“Kau pernah rasa kehilangan dia tak? Rindu orang itukah? Atau pernah tak saat kau perlukan orang tu, dia muncul dan bantu kau?”

“Kenapa kau tanya aku soalan begitu?”

“Itu pun salah satu petanda cinta.”

Laju aku menoleh ke belakang dengan wajah berkerut-kerut. Syirah memandang aku dengan tersengih. Dia berdiri dan mengambil beg tangannya.

“Yana, nanti lagilah kita berbual. Aku nak ke resort papa kau. Aku nak jumpa abang Fariz. Sejak malam tu aku tengok dia macam ada yang tak kena saja. Kelmarin, aku tak sengaja terjumpa dia di luar dobi resort papa kau. Wajah dia sayu. Macam dia baru saja lepas nangis.”

Aku tergamam. Fariz Qyle menangis kerana apa?

Aku baru mahu buka mulut tetapi Syirah laju melangkah keluar. Dia tinggalkan aku begitu sahaja. Geleng kepala aku dibuatnya. Sudahlah pergi tidak beri salam, lepas itu, dia habiskan pula buah dalam piring itu.

Aku menyandar sambil meninjau pemandangan luar. Pasti Fariz Qyle sedang memikirkan tentang Elina Ryne. Kalau benarlah apa yang aku fikirkan ini, aku tumpang gembira buatnya. Syirah pula aku lihat makin rapat dengan Fariz Qyle. Aku perasan dia begitu pun sejak di resort papa lagi. Tidak mustahil teman baik aku ini ada hati dengan Fariz Qyle.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience