BAB 38

Romance Completed 21282

NASIB BAIK pekerja-pekerja di sini tidak membuka mulut tentang kejadian semalam. Itupun disebabkan Putera Shiraz Adrian sudah memberikan amaran kepada mereka semua.

Hari ini mereka semua ke dewan untuk latihan peragaan kerana esok adalah pertandingan. Aku juga turut ikut serta. Sepanjang latihan berjalan di atas pentas itu tiada seorang pun yang bertanyakan hal yang berlaku kelmarin.

“Kak Yana!” Lisha berlari menghampiriku.

“Kenapa ni?” Aku tengok wajah dia masam sahaja.

“Kelmarin, kak Syirah cakap kak Yana tak ikut kami sebab kak Yana ada hal. Betulkah?” Dia duduk rapat di sebelah aku.

“Ya. Maaflah, Lisha. Tapi, hari ini kakak ada di sini, kan?”

Dia angguk-angguk. Kemudian senyum. Aku terus cubit pipi gebunya. Comel.

“Esok buat betul-betul tau.”

“Mestilah. Lisha nak menang.”

“Ala, takkan Lisha ni saja yang kak Yana sokong.” Tegur Nira, budak perempuan berumur 11 tahun.

Aku ketawa kecil. “Nira ni.” Pipinya aku usap lembut.

“Bukan Lisha seorang saja tapi Nira dengan yang lain pun kakak sokong. Tak kiralah menang atau kalah, kakak mahu kamu semua berseronok.”

“Cik Yana.”

Serentak kami bertiga berpaling.

“Abang Dai. Ada apa?”

“Tadi, abang tak sengaja dengar perbualan perempuan yang bergaduh dengan cik Yana kelmarin.”

Aku menyuruh Lisha dengan Nira ke depan. Aku berdiri dan beriringan keluar dari dewan dengan abang Dai.

“Perbualan apa yang abang Dai dengar dari mereka?”

“Macam ni...”

MALAM itu aku tidak dapat tidur memikirkan cerita abang Dai. Pertandingan peragaan pakaian akan bermula esok pagi. Semua persiapan sudah siap. Bahan-bahan untuk mereka pakaian juga telah disediakan.

Pintu beranda aku buka. Kardigan yang menutupi pakaian tidurku itu aku betulkan sebelum melabuhkan punggung di kerusi sudut beranda. Tidak cukup dengan itu aku melebarkan selimut yanga aku bawa dan menutup bahagian kakiku. Angin sejuk tidak dapat menghilangkan rasa risau aku ini.

Aku mengerling ke sebelah. Syirah tidak ada di biliknya. Katanya, keluar dengan Fariz Qyle. Aku membuang pandang ke arah laut. Berfikir panjang tentang aktiviti esok hari dan juga cerita abang Dai itu.

“Fariz Qyle... Elina Ryne... dan...”

“Fikir siapa?”

Aku tersentak. Laju aku membalut tubuh dengan selimutku.

“Apa ni?!”

“Apa?”

“Kaulah! Muncul tiba-tiba dekat sini.”

Dia ketawa kemudian melompat masuk ke beranda. Kerusi di sebelah aku di tarik olehnya lalu duduk. Aku cuak. Aku mahu melarikan diri tetapi dia menyekatku dengan sebelah kakinya di angkat ke dinding kayu.

“Abang Zairi! Abang bawalah putera raja abang ni balik!” Marahku pada abang botak yang setia berdiri di luar beranda ini.

“Zairi, kamu ke sana dulu. Tinggalkan kami berdua di sini.” Arahnya.

Aku menggeram.

“Sebelum ni elok saja tak bertegur. Kenapa sekarang sibuk nak kacau orang pula? Ke sanalah! Aku nak masuk.” Aku cuba menolak kaki kanannya itu tetapi gagal. Maklumlah, tenaga aku tak sama dengan tenaga dia.

“Dah putus asa?” Soalnya apabila melihat aku duduk semula.

Aku menjeling dan memandang ke tempat lain. Selimutku betulkan semula.

“Tak bolehkah kanda jumpa tunang kesayangan kanda ni?” Dia menurunkan kakinya dan membetulkan posisi duduk.

“Diam. Aku bukan tunang kau.”

Dia ketawa lagi. “Dinda lupakah dengan janji kita tu?”

“Bila masa aku lupa. Aku ingatlah!”

“Kalau ingat, kenapa panggilan tu masih kasar, hmm? Mana rasa hormat adinda pada kanda. Kalau beginilah, alamatnya kanda kena kahwin cepatlah dengan adinda.”

Laju aku memandangnya dengan pandangan tajam. Kalau ada laser di mata aku ini sudah lama aku laser dia.

“Sabarlah. Tempoh yang kau bagi pun masih panjang lagi.” Balasku.

“Tempoh yang kanda beri tu sebulan dua minggu, bukan? Dan sekarang hanya ada beberapa minggu lagi sebelum tamatnya tempoh tu.” Dia berpeluk tubuh.

Aku tidak membalas. Sebaliknya, melentokkan kepala di atas meja dengan beralaskan lengan kiri. Aku membelakanginya. Tidak mahu aku pandang wajah kacak dia itu. Sebelah tangan lagi membetulkan selimut di bahagian kaki.

“Dinda Hani. Mana cincin tunang adinda, huh? Kanda baru perasan yang adinda tidak memakai pun cincin tu.”

Gulp! Mataku membulat dan berkali-kali aku telan liur. Aku tidak suka dengar soalan ini tahu. Lantas aku menyembunyikan tangan kananku di sebalik selimut.

“Ada di rumah. Malas nak pakai. Aku tak nak orang tanya aku pasal cincin tu.” Alasanku. Kalau beginilah jadinya aku kena cari cepat cincin dengan rantai itu.

“Yakah...? atau hilang?”

“Mana ada hilang! Kan, aku dah cakap aku tak suka pakai. Aku tak nak orang tanya aku itu ini pasal cincin tu.” Laju aku membalas tanpa memandangnya.

“Okey. Tak apa. Tak pakai pun tak apa. Adinda tetap tunang kanda.”

Aku diam. Malas membalas bicaranya itu.

Suasana sepi untuk seketika. Aku perlahan-lahan berpaling ke belakang dan ternyata Putera Shiraz Adrian tengah tidur. Mataku tertancap pada cincin yang di pakai olehnya. Aku pasti itu adalah cincin tunang. Laju aku masuk ke dalam bilik mengambil sesuatu.

Aku keluar dengan membawa telefon. Senyap-senyap aku mengambil gambar cincin itu. Terpaksalah aku cari cincin ini di kedai. Kalau tidak mati aku di soal lagi.

Telefon aku letak tepi. Wajah tenang itu aku pandang lama. Ya, tidak dinafikan yang Putera Shiraz Adrian ini memang kacak. Tetapi perangai tidak seperti ayahandanya langsung.

Aku berdiri dan masuk ke dalam bilik lagi mengambil kertas dan pensil. Aku duduk semula dan bersedia untuk melukis. Wajah siapa lagi kalau bukan dia ini. Cantik tidak cantik itu belakang cerita. Memandangkan dia tengah tidur, ini peluang aku mahu melukis wajahnya. Aku saja mahu melukis, mahu hilangkan tekanan aku ini. Lagipun, esok banyak benda yang mahu diuruskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience