BAB 62

Romance Completed 21274

TIDAK sangka rupanya mereka berempat sudah kenal lama. Empat tahun lepas, abang Ikhwan dengan Hanif bertemu dengan dua orang perempuan itu di satu pertandingan terbuka di Shua Mall. Pertandingan itu adalah mencari harta tersembunyi dan pemenang membawa pulang hadiah misteri dan juga sejumlah wang besar.

Setiap kumpulan mempunyai empat orang ahli. Twiita dan Adiana memilih abang Ikhwan dan juga Hanif. Mereka menang dalam pertandingan itu dan selepas daripada acara itu mereka menjadi semakin rapat.

Hanif mula bercinta dengan Twitta. Sementara Adiana pula masih cuba memikat abang Ikhwan. Masa itu, abang Ikhwan tidak ada niat lagi hendak bercinta tetapi Adiana berkeras juga mahukan abang Ikhwan. Macam-macam cara yang dia gunakan untuk dapatkan abang Ikhwan tetapi semuanya gagal. Adiana mengalah pun kerana orang-orang papa dengan uncle Adham berjaya menakutkan Adiana.

Abang Ikhwan terkejut juga dengan kehadiran dua perempuan itu di tempat seperti ini. Mujurlah Adiana tidak mendekati abang Ikhwan kerana abang Zul, Abang Arul dan juga abang Yat ada bersama dia masa mengurus aktiviti membuat rakit kelmarin. Adiana ini penakut juga orangnya berbanding dengan Twiita. Tapi bila tidak ada yang menghalangnya, Adiana jadi berani. Tengok sahajalah apa yang jadi dekat aku kelmarin.

Cerita Hanif dengan Twiita pula, mereka berdua berpisah kerana Twiita curang dengan Hanif. Setelah di siasat oleh abang Ikhwan rupanya Twiita perempuan yang suka bertukar pasangan. Bukan sekali dua abang Ikhwan nampak perbuatan jijik Twiita itu. Disebabkan sayang pada teman baiknya, abang Ikhwan memberitahu pada Hanif tentang hal sebenar dan juga bukti-bukti yang dia dapat.

Abang Ikhwan kata, masa itu Hanif betul-betul mengamuk. Dia cari Twiita dan mereka bergaduh besar. Hanif memutuskan hubungan mereka dan dia juga sudah memberi amaran kepada Twiita. Dia tidak mahu perempuan itu tunjukkan diri di depannya lagi.

“Tapi, tak sangka pula mereka boleh bertemu lagi di sini.” Aku membuang pandang ke arah laut. Duduk di bawah pokok kelapa dengan angin yang bertiup lembut di waktu senja ini sungguh menenangkan aku ketika ini walaupun fikiran masih memikirkan cerita abang Ikhwan.

Abang Ikhwan memberi andaian bahawa Twiita mungkin masih mencintai Hanif. Dulu, walaupun perempuan itu suka bertukar pasangan tetapi dia masih tetap datang kepada Hanif dan apa yang aku lihat kelmarin aku rasa Hanif pun masih mencintainya. Tetapi, mungkin dia masih kecewa dan hatinya masih belum terubat dengan perbuatan Twiita sebelum ini.

“Haaih...” Aku melepas keluh.

Masalah tidak akan pernah selesai kalau tidak ada cara yang betul untuk selesaikannya. Ah, pedulikanlah hal mereka berdua itu. Aku pun ada masalah yang belum selesai lagi. Yang penting hubungan abang Ikhwan dengan kakak Adyra baik.

Cakap pasal masalah ini, tadi abang Ikhwan buka cerita semula tentang hal pertunangan aku dengan Putera Shiraz Adrian. Katanya, mereka teruskan juga perbincangan mereka tentang pertunangan aku dengan putera raja itu selepas aku melarikan diri dari resort papa.

Rupanya, raja dan permaisuri Pura Cahaya memang menginginkan aku untuk menjadi menantu mereka. Alasannya kerana aku berjaya mengubah kenakalan Putera Shiraz Adrian. Bukan itu sahaja, putera raja itu juga sekarang sudah serius belajar tentang tanggungjawabnya pada rakyat dan juga hal-hal lain.

Raja Shakawi Shaif memberitahu mereka bahawa baginda tidak kisah siapa yang menjadi bakal menantunya. Apa yang penting ciri-ciri yang baginda mahu itu ada pada orang tersebut dan ternyata semua ciri-ciri itu ada pada diri aku.

Fikiran melayang kembali saat aku berjumpa dengan baginda. Padahal, masa itu aku datang mahu batalkan pertunangan aku dengan anakandanya.

Aku tepuk dahi. “Kalau dia tahu aku jumpa ayahanda dia, apa dia akan kata nanti? Dia marahkah?” Aku cuak pula.

“Padahal kami baru saja berbaik. Kalau dia tahu tentang hal ni pasti dia marah. Aduh...” Seriau aku membayangkan wajah putera raja itu kalau dia tahu pasal ini.

“Buat apa kanda hendak marah.”

Terkejut besar aku bila dia muncul dari belakang dengan tiba-tiba. Pantas aku mengerling ke sekeliling. Nasib baiklah tidak ada orang di sekitar kawasan kami ini.

Walaupun rambut palsunya sudah rosak dia masih boleh menyembunyikan wajahnya di balik topeng masquerade. Penampilannya yang memakai jaket putih dan menutup kepala dengan hud juga berjaya menyembunyikan identitinya sebagai putera raja.

“Awak nak marah apa pula?” Dalihku. Buat-buat tidak tahu. Janganlah dia dengar apa yang aku cakap tadi.

“Apa yang dinda buat di belakang kanda semuanya kanda tahu. Tapi, jangan haraplah kanda hendak lepaskan bidadari cantik yang berhati baik macam adinda ini.”

“Mana ada saya baik.” Malu pula aku bila dia cakap aku ini bidadari dia. Ini baru tunang. Kalau sudah kahwin nanti lagi banyak aku makan gula. Boleh kena kencing manis kalau hari-hari dengar ayat-ayat manis dia ini.

“Dinda tak nampak tapi kanda nampak kebaikan yang dinda buat tu.” Dia menyimpul senyuman. Aku menjauh sedikit apabila dia melabuhkan punggung di sebelah aku.

“Jangan nak menggatal. Kita tunang saja. Bukan suami isteri.” Aku beri amaran.

Dia jungkit bahu, buat tidak tahu dengan kata-kataku ini.

“Baru-baru ini dinda ada jumpa dengan ayahanda kanda, kan? Dinda nak batalkan pertunangan kita.”

Aku gigit bibir bawah. Dia tahu akan hal itu. Aku tidak berani hendak melihat wajahnya. Dengar sahaja suara tegangnya itu memberi aku andaian bahawa dia tengah marah atau geram dengan tindakan aku itu.

“Berani juga dinda ke istana tanpa pengetahuan kanda. Nasib baiklah Zairi bagitahu kanda pasal hal ini.”

Aku menggeram. Abang botak itu langsung tidak berguna. Bukankah aku sudah beritahu padanya jangan bagitahu pada putera raja ini. Abang botak itu mungkir janji dengan aku.

“Dinda rasa kalau dinda buat begitu ayahanda kanda akan tunaikankah?”

“Mana saya tahu. Kalau dia tunaikan pun baguslah. Saya boleh cari lelaki lain. Yang penting bukan anak raja.”

“Dia dah mula dah.” Renungannya tajam padaku.

“Kita baru saja berbaik. Dinda nak buat hal lagikah?”

Aku tersengih. “Maaf.”

Putera Shiraz Adrian menoleh ke depan semula.

“Tapi, sekarang dah terlambat kalau nak tarik balik kata-kata saya tu. Jadi, tengok sajalah keputusan dari ayahanda awak. Kalau dia setuju batalkan pertunangan kita...” Belum sempat aku habiskan ayat dia mencubit pipi gebuku ini.

“Sakitlah!” Aku menggosok tempat cubitan itu.

“Jangan ingat awak putera raja boleh sentuh saya sesuka hati awak.” Aku mendengus kasar.

“Ayahanda kanda tidak akan berbuat demikian. Ayahanda suka dengan dinda. Begitu juga dengan bonda. Jadi, kalau kita hendak berumah tangga pun tidak ada masalah.”

Aku bangun dan mengibas pakaian yang terkena dengan pasir.

“Awak seriuskah nak berumah tangga ni?”

“Ya. Kalau dinda nak cepat, kanda boleh uruskan semua. Kita kahwin minggu depan atau pun bulan depan. Macam mana?”

Aku menggeram. Lantas kepalanya aku ketuk.

“Tak payah nak cepat-cepat. Saya belum bersedia lagi. Kalau nak kahwin tunggulah lepas habis belajar. Tunggu semuanya stabil dulu barulah awak lamar saya. Itupun kalau saya terima lamaran awaklah.” Aku ketawa dalam hati melihat wajah cemberutnya.

“Sampai begitu sekalikah dinda benci kanda?” Dia berdiri dan merapati aku.

“Ikutkan hati, saya memang tak nak benci. Tapi, perangai awak ni buat saya rimas tau tak. Nakal awak tu menyakitkan hati.” Aku mengorak langkah. Laju dia membuntuti aku di belakang.

“Kalau kanda berlembut hati pun belum tentu dinda mahukan kanda, kan.”

Aku mencebik.

“Sudahlah. Baik kita pulang. Kalau cakap dengan awak ni buang tenaga saja. Cakap satu ayat, berbelas-belas yang di balas. Alasan semata-mata.” Aku mendengus kasar. Dia pula mentertawakan aku.

“Ah, dinda. Kanda nak bagitahu dinda yang esok pagi kanda akan pulang ke istana.”

“Jadi, apa kena mengena dengan saya?”

Tidak semena-mena kepala aku jadi mangsa ketukannya.

“Dinda langsung tak ambil peduli dengan kandakah?”

“Kalau saya peduli pun saya tak akan tunjukkan yang saya peduli dengan awak.” Aku meneruskan langkah membiarkan dia tercegat di situ.

“Dinda!”

Terkejut aku dengan sergahan suara besar dia itu. Aku menoleh ke belakang. Dia tersengih dan berlari ke arah aku.

“Kanda tahu dinda peduli dengan kanda. Tapi dinda tak nak tunjukkan lagi sekarang, kan. Dinda hanya tunjukkan peduli dinda, manja dinda dengan kanda lepas kita kahwin saja, kan?” Dia menebak dengan tepat sekali.

Aku cuba berlagak tenang. Apa-apa pun aku tidak boleh turunkan ego aku disebabkan kata-kata dia itu.

“Jangan nak merepek. Awak nak saya tumbuk muka awak tu.”

“Eleh, cubalah. Demam macam tu pun ada hati nak lagi nak tumbuk kanda.”

Aku baru sedar yang diri aku ini masih dalam keadaan yang tidak sihat. Nasib baik dia tolong ingatkan aku. Hehehe...

Aku berpura-pura batuk. Dia panik.

“Dinda okey tak? Kalau tak okey duduk dulu. Kanda telefon doktor Zen.” Dirinya sudah tidak keruan melihat keadaan aku ini.

Geli hati aku melihat tingkahnya itu.

“Tak payah telefon doktor Zen. Saya okey saja. Saya saja nak kenakan awak.”

“Dinda!”

Aku terus lari pecut ke hadapan meninggalkan dia yang sedang menahan amarahnya padaku. Padan dengan muka dia.

Baru sahaja aku mahu menapak masuk ke dalam resort Intan Pearl tetapi langkahku mati apabila melihat salah satu gerai berdekatan dengan resort tersebut. Apa yang menarik perhatiannya adalah gerai itu menjual pelbagai cenderamata dan dia tertarik dengan salah satu barang yang dijual di gerai tersebut.

“Patutkah aku belikan untuk dia?” Mataku tidak lepas memandang cenderamata itu. Aku mengerling ke belakang. Dia belum muncul lagi. Ini kesempatan aku untuk ke sana. Aku harap dia tidak ikut aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience