BAB 14

Romance Completed 21274

MALAM itu aku bersendirian di dalam bilik memikirkan hal yang terjadi petang tadi. Tidak sangka pula Permaisuri Raniatu Afra itu baik orangnya. Putera sulung permaisuri itu pula tidak boleh di jangka sikapnya. Sekejap hendak menengking aku sekejap hendak berbaik dengan aku. Pening kepala aku dibuatnya.

Aku menutup tingkap dan menuju ke katil tempat beraduku.

“Ke mana pula dia pergi? Sepanjang berada di istana tadi aku langsung tak nampak batang hidung dia.”

Cincin yang tersemat di jariku ini aku buka dan membuangnya ke belakang. Rimas. Aku bukan suka sangat dengan cincin berlian itu. Aku menghempaskan tubuh di atas tilam.

“Kak! Kak Yana! Bariz masuk boleh?”

Aku menggeram. Aku baru sahaja hendak menenangkan fikiran, adik aku pula datang menganggu ketenteraman aku. Mentang-mentanglah dia baru pulang daripada bercuti. Mahu berkongsi ceritalah tu dengan aku.

“Bukalah! Pintu tak berkunci pun.”

Laju dia menguak pintu dan menuju ke arah aku dengan senyuman.

“Kau senyum-senyum macam orang gila ni dah kenapa?” Aku menjelingnya.

“Ceritalah.” Wajahnya begitu teruja ingin tahu sesuatu dari aku.

“Cerita apa?”

“Istana Pura Cahaya. Tadi, mama beritahu yang kak Yana pergi sana. Cantik tak istana tu?”

Aku menjulingkan mata ke atas. Aku ingatkan dia hendak bercerita tentang percutian dia dengan kawan-kawan seuniversitinya itu. Rupanya, pasal istana megah Pura Cahaya.

“Kau rasa?”

Dia buat muka cemberut. Aku tidur membelakanginya.

“Kak Yana!” Dia menggoncang tubuhku dengan kasar.

“Bariz Arryan! Ergh, budak ni, kan.” Aku bangun dan menyekeh kepalanya.

“Cubalah kau fikir, Bariz. Mana ada istana yang tak cantik. Istana Pura Cahaya itu seribu kali cantik daripada rumah banglo tiga tingkat ini tau.”

“Yakah, kak? Lain kali kalau kak Yana pergi sana, bawalah Bariz sekali.” Teruja betul budak umur 20 tahun ini.

“Yalah. Yalah. Itupun, kalau permaisuri tu nak jumpa kaulah.”

“Eh, dia orang mestilah nak jumpa dengan Bariz. Hari tu bukan main lagi kami bergurau senda. Raja Shakawi tu gelak habis dengan lawak-lawak yang Bariz bagi tau.”

Aku buat muka menyampah. Puji diri sendiri pula budak ni.

Baru aku teringat! Aku langsung tidak nampak Raja Shakawi Shaif semasa berada di sana. Permaisuri Raniatu Afra dengan putera sulungnya tidak pula memberitahu aku apa-apa tentang raja dan putera bongsu mereka itu. Aku hendak bertanya tapi aku segan.

“Ah, sudahlah. Kau keluarlah. Aku nak tidur.”

“Eh, kejap.”

“Apa lagi.” Aku merengus.

“Nah,”

“Rantai? Eh, ini bukan kristal saljikah?” Aku mengamati buah rantai itu.

“Ya. Seronok tau kak Yana percutian kami dekat Briona tu. Berhari-hari dalam kapal laut. Sampai Briona musim salji pula. Banyak tempat yang kami lawat dekat sana dan sempat beli cenderamata untuk kakak Bariz yang Bariz sayang ni.”

“Tapi, banyak-banyak cenderamata kenapa kristal salji ini juga yang kau belikan untuk aku?” Pelik.

“Supaya hati kak Yana tu sentiasa sejuk. Tak panas baran.” Dia ketawa mengekek dan terus melarikan diri daripada aku. Tahu-tahu sahaja dia yang aku hendak marah.

“Siaplah kau Bariz! Aku turun cari kau nanti!” Jerit aku.

“Apalah yang seronok sangat dekat negara Briona tu. Dekat negara Edenuana ni pun banyak tempat-tempat yang cantik dan menarik.” Aku membetulkan posisi tidurku dan menarik selimut hingga ke paras dada.

“Pura Cahaya belum habis lagi budak tu teroka dah nak pergi luar negara.” Aku mencebik. Rantai pemberian adik aku itu aku letak tepi. Nanti sahajalah aku fikirkan pasal rantai dan cincin itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience