BAB 13

Romance Completed 21274

“KAU ingat aku percayakah dengan orang-orang biasa seperti kau ni, hah?!”

Aku muncul sahaja dia terus mengherdik aku. Mahu gegar planet ini dibuatnya.

“Aku kenal sangatlah perempuan macam kau ni. Bukan ikhlas pun nak kan adinda aku tu.”

Aku menjegilkan mata. Main kasar dia dengan aku, ya. Okey! Kalau kau nak berkasar, aku pun nak berkasar juga dengan kau. Kau ingat aku hadap sangat dengan status kau itu!

Nafasku turun naik menahan marah. Aku menarik lengan baju kemeja denim bewarna biru yang aku pakai ini sehingga ke paras siku.

“Hoi, Putera Rasyiq Shafy! Kau dengar sini.” Aku menunding jari ke wajahnya. Terundur terus dia ke belakang apabila aku bertindak seperti itu. Tahu takut!

“Kau ingat semua perempuan biasa itu sama macam yang kau fikirkankah, hah?!” Aku menengkingnya.

“Kau ingat aku suka sangatkah dengan adinda kau tu? Kandanya bengis, tahi hidung masing! Adindanya pula playboy nak mampus!” Aku mendengus. Berpeluk tubuh membelakanginya.

“Cik Aryana, tolong jaga tataadab cik Aryana dengan tuan putera raja.” Tegur abang botak.

“Abang botak diam boleh tak!”

“Aryana Hani!”

Aku memandangnya. Wajah lelaki itu merah menahan marah.

“Biadab sangat kau dengan aku, kan. Kau tahu tak yang kau sekarang ini berada dekat mana?”

Panas hati aku apabila dia menunjal bahuku dengan kuat.

“Tahulah! Yang kau tunjal-tunjal bahu aku ni, kenapa?” Aku menjelingnya. Dia menggeram.

“Daripada aku pilih adinda kau, lebih baik aku pilih lelaki-lelaki di luar sana. Miskin pun tidak apa. Asalkan sikap dan adabnya itu baik. Bukan macam Putera Shiraz Adrian tu! Kaki perempuan. Kau pun sama! Adik dengan abang langsung tiada ciri-ciri bakal suami mahupun bakal pemimpin.”

Terdiam terus dia. Baru padan dengan muka dia ini, huh! Aku senyum senget.

Tidak lama kemudian dia meledakkan tawanya. Aku tergamam.

“Kenapa kau ketawa?”

“Betullah apa yang adinda aku ceritakan pada aku tentang kau.” Dia ketawa lagi dan kali ini tawanya makin kuat. Aku bingung.

“Cerita pasal aku? Pasal apa?” Gumamku sendirian.

“Panjang benar perbualan anakanda dengan Aryana ini, ya.” Tegur Permaisuri Raniatu Afra yang baru sahaja muncul di depan kami.

“Tuanku,” aku tunduk hormat.

“Aryana tidak payahlah bertuanku dengan bonda. Panggil bonda, ya?”

“Tidak, tuanku. Patik tidak biasa dengan panggilan itu.”

“Mengapa pula tidak biasa?” Permaisuri Raniatu Afra geleng kepala.

“Mahu atau tidak, Aryana kena belajar juga. Nanti lepas kahwin Aryana tinggal sini juga, bukan?”

“Err...” Kalau aku bidas lagi mesti ada balasnya. Aduh, apa sebenarnya yang jadi ini?

Tadi, aku bergaduh dengan putera sulungnya. Lepas itu dia tiba-tiba ketawa. Permaisuri Raniatu Afra pada awalnya bermuka ketat tiba-tiba berubah riak. Ish, apa semua ni? Aku tak faham langsung!

“Nah,”

Aku terkejut apabila Permaisuri Raniatu Afra memberikan aku sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian.

“Untuk apakah ini tuanku?”

“Ingat lagi dengan cincin ini?”

“Huh?” Aku membelek-belek cincin tersebut. Ya, aku pernah nampak cincin ini. Di mana, ya?

“Rasanya, Putera Shiraz Adrian ada memberikan cincin ini kepada Aryana tetapi Aryana menolaknya.”

Aku tersengih. Tahu pula permaisuri ini.

“Hmm... begini tuanku. Patik sebenarnya sudah mengetahui hal pertunangan ini. Tetapi, tuanku tidak boleh memaksa patik untuk menerimanya kerana patik tidak ada perasaan pun dengan Putera Shiraz Adrian.” Aku berterus terang. Aku tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham di antara aku dengan mereka.

Permaisuri Raniatu Afra tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif kepadaku. Sebaliknya, mempamerkan senyuman manisnya.

“Aryana Hani. Bonda bangga dengan Aryana.”

“Bangga kenapa pula?”

“Yalah. Sebab kau sudah berjaya mengikat hatinya.” Sampuk Putera Rasyiq Shafy.

“Untuk pengetahuan kau, Putera Shiraz Adrian sudah lama hidup dengan dunia dia sendiri. Bergaul bebas dan dia kaki perempuan. Susah untuk kami semua menegurnya. Sehinggakan ayahanda kami membuat keputusan untuk mengusir dia dari istana ini.”

“Nasib baik bonda berjaya pujuk ayahanda mereka berdua ini.” Celah Permaisuri Raniatu Afra pula.

“Tapi, bukan senang untuk dia mengikut perintah ayahandanya kerana ayahandanya mahu dia berkahwin dengan segera. Ayahandanya sudah memberi tempoh setahun untuk mencari bakal isteri. Tidak kiralah sama ada perempuan itu dari golongan bangsawan, atasan mahupun bawahan. Tapi, semua bakal-bakal isteri yang di bawa oleh Putera Shiraz Adrian itu tidak berguna. Kaki kikis. Gilakan harta. Perangai tidak senonoh dan tidak cukup kain.”

Aku terdiam memikirkan penjelasan mereka.

“Sehinggalah kau muncul dalam hidup dia.”

Aku beralih pandang. Putera Rasyiq Shafy tersenyum memandang aku.

“Katanya, belum pernah ada lagi perempuan yang naik angin dengan perangai dia dan disebabkan kau perempuan pertama yang buat dia begitu, dia terus mengambil keputusan untuk bertunang dengan kau. Aku sudah menasihatinya sebelum ini agar tidak terburu-buru membuat keputusan tetapi dia tidak mahu dengar.”

“Dia takut terlepas perempuan seperti Aryana ini. Bukan senang hendak mencari perempuan yang berhati baik macam Aryana sekarang.” Kata-kata Permaisuri Raniatu Afra membuatkan aku tersipu malu.

“Tapi, patik bukannya baik sangat pun. Tuanku pun sudah sedia maklum dengan hal yang terjadi antara kami berdua, bukan?”

“Kami tahu. Orang-orang kami sentiasa ada di mana-mana dan sedang memerhatikan kau dengan adinda aku.”

Berat pula hati aku ini.

“Nah, pakai cincin ini sekarang juga.”

“Tapi, tuanku...”

“Pakai.” Tajam mata lelaki itu memandang aku.

“Baiklah.” Akhirnya aku mengalah. Aku menyarungkan cincin itu ke jari manis. Aku kalah untuk hari ini sahaja tapi tengoklah apa yang aku akan buat dengan cincin ini nanti.

“Jangan hilangkan pula cincin itu. Kalau hilang alamatnya kau kena kahwin cepat dengan adinda aku itulah.”

Aku buat muka. Main ugut pula putera sulung ini.

“Sudahlah. Mari kita masuk ke dalam.” Ajak Permaisuri Raniatu Afra. Aku cuma membalas dengan senyuman nipis.

Ini malangkah atau bertuah dapat memiliki Putera Shiraz Adrian? Bagi aku malang sebab dia adalah lelaki yang aku benci. Aku sudah janji dengan diri aku supaya tidak jatuh cinta dengan dia. Kalau aku jatuh cinta juga dengan lelaki ini... aku pun tidak tahu apa yang aku akan buat pada masa itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience