BAB 26

Romance Completed 21282

ABANG IKHWAN menyuruh aku menunggunya di depan bangunan fakulti pentadbiran perniagaan kerana kelasnya lewat habis hari ini. Aku menunggunya di taman berdepan dengan fakultinya.

Aku merenung jauh. Sebelum ke sini aku ada pergi ke tempat hari, tempat di mana aku dengan Elina Ryne bergaduh. Puas aku mencari rantai itu di situ tetapi tidak ada. Takut pula aku kalau ada orang lain yang menjumpai rantai kepunyaan aku itu.

“Abang Fariz!” Baik aku telefon dia. Manalah tahu rantai itu terjatuh dalam kereta dia tempoh hari. Lantas aku mendail nombor telefonnya.

“Hello,”

“Hello, abang Fariz. Yana ni.”

“Ya, Yana. Kenapa telefon abang ni?” Soalnya di hujung talian.

Aku tersengih. “Err... Yana nak tanya. Abang Fariz ada jumpa apa-apa barang tak dalam kereta abang Fariz?”

“Barang apa Yana?”

“Rantai Yana. Ingat tak hari tu Yana ikut abang Fariz. Lepas daripada pementasan teater?”

“Abang ingat. Tapi, rasanya tak ada Yana. Sebabnya, kelmarin abang baru cuci kereta. Rantai Yana langsung tak ada dalam kereta abang.”

“Oh... Yakah?” Aku melepaskan keluhan kecil.

“Rantai Yana hilangkah?”

“Ya. Tak apalah abang Fariz.”

“Kalau Yana nak, abang boleh belikan rantai baru untuk Yana.” Pujuknya.

“Eh, tak apalah abang Fariz. Terima kasih banyak. Rantai tu sebenarnya hadiah daripada adik Yana. Yana sayangkan rantai tu.” Beritahuku.

“Tak apalah abang Fariz. Nanti kita berbual lagi, ya?”

“Okey. Kalau Yana ada masalah, Yana beritahu sajalah dengan abang.”

“Yalah. Yana letak dulu.” Selesai beri salam aku terus mematikan talian.

Aku mengerling sebelah dan ke sebelah. Mengeluh lagi. Buntu. Aku tidak tahu di mana rantai itu pergi.

Masa itu jugalah mataku melekat pada susuk tubuh yang aku amat kenali. Putera Shiraz Adrian berjalan beriringan dengan seorang pelajar perempuan. Bukan Eline Ryne tetapi perempuan lain.

“Beginikah tunang? Aku seorang-seorang dekat sini. Dia pula sibuk melayan perempuan-perempuan lain di belakang aku.” Aku mencebik. Ketika itu mata kami bertembung. Hatiku mula terasa lain. Cepat-cepat aku berpaling.

“Kenapa dengan aku ini, hah? Asal nampak dia mesti jantung aku buat hal.” Aku mengetap bibir.

“Yana, marilah.” Abang Ikhwan muncul tepat waktunya.

“Kita nak ke mana?” Tanya aku.

“Rahsia. Nanti Yana tahulah.” Ujarnya lalu menarik tangan aku meninggalkan tempat tersebut. Sempat aku mengerling ke arah putera raja itu. Ternyata dia sudah hilang dari pandangan mata. Hampa.

KAMI tiba di sebuah kafe. Tidak ramai pengunjung di kafe Melati ketika ini. Mungkin juga disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan. Di luar sana hujan turun dengan lebatnya. Kalau cuaca berterusan begini alamatnya aku demamlah nanti.

“Abang Ikhwan. Buat apa kita ke sini, huh?” Tanya aku. Abang Ikhwan memilih tempat duduk dekat dengan dinding kaca bahagian tengah.

“Sekejap lagi Yana tahulah.” Ujarnya.

Pelayan kafe datang meminta pesanan. Aku memilih mochaccino sebagai minumanku dan juga kek black forest. Abang Ikhwan pula memesan minuman frappuccino dan juga kek yang sama dengan aku. Selesai memesan pelayan lelaki itu terus ke belakang.

“Abang Ikhwan yang ajak Yana jadi, abang Ikhwan yang kena belanja Yana, ya?” Aku menyimpul senyuman kecil.

“Untuk Yana, abang okey saja.” Dia membalas senyumanku.

“Assalamualaikum.”

Serentak kami mendongak seiring dengan balasan salam. Seorang wanita berpakaian kurung moden berdiri di depan kami. Dia nampak anggun dengan pakaian kurungnya itu. Mekap pada wajahnya itu tidaklah terlalu tebal. Nampak cantik.

“Yana, kenalkan yang ini Adyra.”

Aku senyum.

“Adyra, yang ini adik angkat saya. Aryana Hani.” Abang Ikhwan memperkenalkan aku pula kepadanya. Kami bersalaman dan dia mengambil tempat di sebelah abang Ikhwan.

“Siapa Adyra ini abang Ikhwan?” Tanyaku ingin tahu.

“Panggil dia kakak. Dia seumur abang. Adyra ini buah hati abang.”

Aku mencebik. Depan wanita bukan main tegas lagi abang Ikhwan menegurku. Wanita itu sudah tersenyum-senyum melihat telatah kami berdua.

“Cantiklah kak Adyra ni.” Aku memujinya.

“Terima kasih Aryana.”

“Eh, panjang sangat tu. Kak Adyra panggil saya, Yana saja.”

Dia ketawa.

“Kak Adyra dengan abang Ikhwan sudah berapa lama bercinta?” Aku terus mengajukan soalan utama. Sebagai seorang adik angkat, aku kenalah ambil tahu.

“Setahun lebih sudah.” Jawab kakak Adyra ini.

Aku pandang abang Ikhwan dan kemudian beralih pada kakak Adyra. Aku boleh hidu sesuatu dari mereka berdua ini tahu. Tajam mataku memandang abang Ikhwan.

“Yana rasa Yana tahu kenapa abang Ikhwan mahu Yana ikut abang. Ini pasti pasal kahwin, bukan?” Tebakku. Serentak dua pasangan kekasih di depan aku ini tersengih.

“Betulkan?” Aku tidak berpuas hati.

“Ya. Tamat saja belajar abang akan ambil alih perniagaan papa dan lepas tu abang nak kahwin dengan kak Adyra kamu ni.”

Teruja aku mendengarnya. “Betulkah kak Adyra? Kakak nak kahwin dengan abang Yana inikah?” Aku meminta kepastian daripadanya pula. Laju kakak Adyra mengiakan pertanyaan aku itu.

“Jadi... Yana, boleh tolong abang tak?”

Keningku terangkat sebelah. “Tolong apa?”

“Pujuk mama abang supaya terima Adyra ini sebagai menantu?”

Aku melopong. Aunty Irdina memang baik. Tapi, tegas kalau bab anak-anak dia ini. Aku dengan Bariz yang sudah di anggap anak oleh aunty Irdina dengan uncle Adham pun tetap kena marah.

Aku garu kepala. Terasa berat pula permintaan abang Ikhwan ini.

“Abang dengan kakak memang seriuskah nak berkahwin?”

“Ya.” Jawab mereka serentak.

Jawapan mereka buatkan kepala aku pening. “Yalah. Nanti, Yana cuba pujuk.”

“Patutlah abang Ikhwan selalu saja menolak perempuan yang mama Irdina kenankan dengan abang.”

Dia tersengih.

“Sebelum itu, Yana nak tahu juga kakak Adyra ini siapa? Bagaimana orangnya? Bolehkan?”

“Boleh. Apa saja yang Yana mahu tahu kakak akan beritahu.” Senyumannya menampakkan lesung pipi kecil di sebelah kiri. Comel.

Pelayan tadi datang semula dan memberikan hidangan yang kami pesan. Dia kemudian mengambil pesanan kakak Adyra dan berlalu ke belakang semula. Sementara menunggu pelayan itu tiba kami berbual lagi.

Hujan di luar masih lagi tidak memberi tanda-tanda untuk berhenti. Aku terasa sejuk walaupun minuman yang aku pesan ini adalah minuman panas. Aku memerhatikan dua pasangan sejoli di depan aku. Bukan main bahagia lagi mereka berdua.

“AUCHU!!” Aku menggosok hidungku.

“Yana, okey tak ni?” Tanya kakak Adyra. Aku senyum sahaja.

“Okey, kak. Kakak dengan abang berbual dulu. Yana nak ke tandas.” Aku meminta diri.

Aku membersihkan tangan dan keluar daripada tandas. Sekali lagi aku bersin. Aku rasa aku memang hendak demam. Kepalaku mula berat. Aku melabuhkan punggung di bangku panjang yang berdekatan dengan tandas perempuan ini. Sambil aku mengurut kepala sambil aku memanaskan tapak tangan aku.

Aku tersentak apabila tanganku tiba-tiba ditarik oleh seseorang. Kedudukan kami agak rapat. Dari atas ke bawah aku menelitinya. Serba hitam semuanya. Dia mengenakan jaket panas dan kepalanya ditutup dengan hud. Mulutnya pula ditutupi oleh topeng mulut dan dia memakai kaca hitam.

Aku senyum sinis. Kau ingat aku tidak kenal kaukah?

“Apa kau buat ni?” Soalku keras.

“Nak panaskan tangan awaklah. Saya tahu awak kesejukkan.”

Aku diam. Panggilannya sudah berubah.

“Aku tak sejuklah. Lepaskan tangan aku ni.” Bentakku. Semakin ditarik semakin dicengkam olehnya.

“Kau...” Aku tidak jadi marah. Sakit kepala datang menyerang semula.

“Mari saya hantarkan awak pulang.” Pujuknya lembut.

“Tak nak. Aku balik dengan abang Ikhwan saja.” Suaraku kendur sedikit.

“Putera Shiraz, tolonglah beredar. Aku nak rehat sekejap ni.” Rayuku.

“Sini.” Dia melentokkan kepala aku di bahunya.

“Dinda tidurlah. Kanda jaga dinda sekejap.”

Bicaranya seolah-olah jampi buatku. Aku tidak memberontak mahupun marah. Perlahan-lahan aku menutup mata. Terasa tanganku disentuh lembut olehnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience