BAB 30

Romance Completed 21274

"BARIZ ARYAN! Tolong aku boleh tak?"

Aku memaksa dia masuk ke dalam bilikku dan menyuruhnya duduk di sofa.

"Kak Yana main tarik-tarik sampai ke bilik dah kenapa? Apa yang kak Yana nak Bariz tolong ni, hah?" Tanyanya malas. Dia menggaru-garu kepala dan kemudian berbaring di atas sofa itu. Telefon aku jadi manga mainannya.

"Tolong ubah aku jadi perempuan betul."

Wajahnya berkerut. Aku tahu dia pasti pelik kenapa aku cakap macam ini.

Aku tersentak apabila adik aku itu ketawa besar.

"Kak Yana nak jadi perempuan? Bukankah sejak lahir lagi kak Yana ni perempuan?" Dia menyambung ketawanya lagi.

Laju aku mengetuk kepalanya. Dia mengadu kesakitan. Padan dengan muka!

"Bariz, aku serius ni. Kau tolong aku. Ubah diri aku ini jadi feminin. Kau tak nak tengok akak kau ni jadi perempuan sejati macam kawan-kawan perempuan kaukah?"

"Kak Yana. Bariz suka lagi akak macam ni tau. Tak perlulah nak berubah. Tapi..." Dia pandang aku dari atas ke bawah.

"Rasanya, perlu berubah jugalah." Dia ubah fikirannya semula. Aku menjulingkan mata ke atas. Nasib baiklah kau ini adik kesayangan aku.

"Kak Yana betulkah nak berubah ni?"

"Betul."

"Untuk apa?"

"Untuk... untuk diri akulah." Aku sendiri tidak pasti dengan jawapan aku itu.

"Kak Yana. Kalau niat akak tu tak betul tak payahlah nak berubah. Nanti, perangai balik macam ni lagi."

"Aku betul-betullah nak berubah. Bariz tolonglah aku, ya?" Aku memujuknya.

"Okey. Esok kak Yana tak ada kelaskan?"

Aku angguk laju.

"Esok ikut Bariz. Bariz akan kenalkan akak dengan seorang kawan Bariz. Bariz yakin dia pasti boleh tolong kak Yana."

"Yakah?" Aku ragu-ragu pula.

"Iya. Esok kita pergi jumpa dia."

"Yalah."

KAMI bersiap-siap hendak keluar. Hari ini seperti yang dijanjikan oleh adik aku, dia akan membawa aku berjumpa dengan kawannya. Kawan perempuan yang bernama Zaliah.

"Yana, tunggu." Mama menghalangku.

"Kenapa mama?"

"Nak pergi mana ni?" Tanya mama.

"Keluar dengan Bariz. Jalan-jalan."

"Ingatkan Yana duduk dekat rumah saja hari ini." Kedengaran keluhan halus dari mulut mama.

"Kenapa mama? Mama ada apa-apa masalahkah?" Tanyaku.

"Sebentar lagi mama nak ke tempat resort papa kamu. Nak siapkan apa yang patut dekat sana untuk pertandingan peragaan pakaian kanak-kanak tu."

Oh... Aku ada dengar juga sebelum ini tentang hal tersebut.

"Bila berlangsung pertandingan tu mama?"

"Bulan hadapan. Sekarang ini mama dengan aunty Irdina tengah sibuk untuk persiapan tu. Banyak benda lagi yang tak siap. Kalau mula cuti nanti, Yana tolong mama dengan aunty Irdina, boleh?"

"Boleh!" Laju aku mengiakannya. Mama sudah tentu tersenyum senang.

"Kalau boleh baguslah. Mama nak minta tolong lagi ni."

"Tolong apa, ma?"

"Nah,"

Mama memberikan aku buku senarai nama kanak-kanak yang mengikuti pertandingan peragaan pakaian yang akan datang ini. Semua kanak-kanak itu mewakili sekolah masing-masing.

"Kenapa mama bagi Yana buku ni?"

Lain macam sahaja senyuman mama ini. Ini mesti ada apa-apa.

"Boleh tak Yana tolong mama jumpa budak-budak ni semua?"

"Untuk apa pula?"

"Tanya mereka saiz pakaian mereka. Sebab, lepas pertandingan tu ada satu lagi yang mereka kena buat. Meragakan pakaian yang mama dengan aunty Irdina reka. Nanti, Yana tanyalah apa yang patut untuk persediaan pertandingan tu nanti."

"Ini semua nak kena buat hari ini jugakah?" Air muka berubah. Aku malas sebenarnya hendak buat benda ini. Lagipun, hari ini aku hendak jumpa kawan si Bariz itu.

"Ya, Yana anak yang baik, kan? Yana sayang mama, kan?"

Ah, mula sudah mama aku ini. Kalau bab memujuk ini memang aku kalahlah. Mama aku siap buat muka comel lagi.

"Yalah. Yalah. Tapi, Yana tak janji kalau siap hari ini, ya."

"Ala..."

Aku tepuk dahi sendiri. Mama macam budak-budaklah.

"Okey. Okey." Terpaksalah aku mengalah. Lagipun, bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu?

"Macam itulah anak mama." Satu ciuman hinggap di pipiku. Aku tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience