BAB 54

Romance Completed 21274

SELESAI beribadah dan berpakaian kemas, aku keluar mengambil angin pagi di pantai. Dalam perjalanan keluar daripada resort aku ternampak Tuan Rian bersama dengan temannya si rambut kembang itu menuju ke lorong sebelah. Tingkah laku mereka berdua itu agak mencurigakan aku.

“Nak intipkah atau tak?” Aku berfikir. Disebabkan keinginan tahu aku ini tinggi, aku putuskan untuk mengikut mereka dari belakang.

Mereka berdua memasuki sebuah bilik VIP yang terletak hujung lorong. Aku langkah seribu menuju ke arah daun pintu yang masih terbuka sedikit. Aku mengintai dalam bilik tersebut tapi tidak ada sesiapa pun di bahagian ruang tamu itu. Ke mana pula agaknya mereka berdua itu menghilang?

Aku hendak masuk ke dalam bilik tersebut tetapi terbantut kerana aku dengar suara lain sedang menuju ke arah ini. Cepat-cepat aku sembunyi di sebalik langsir tebal dinding kaca di lorong ini.

“Kanda Rasyiq. Agaknya, bagaimanalah reaksi kanda Shiraz bila dapat tahu tentang hal ini?”

“Mestilah dia gembira. Lagipun, hari ini hari istimewa dia.” Tersenyum-senyum Putera Rasyiq Shaqy.

“Eh, kanda. Puteri Alissa!”

Aku terkedu mendengar suara itu. Aku cuba mengintai mereka. Ternyata Tuan Rian itu adalah Putera Shiraz Adrian.

Putera Rasyiq Shaqy dan juga Puteri Alissa agak terkejut melihat penampilan Putera Shiraz Adrian.

“Apa sudah jadi dengan rambut kanda ini?” Tanya Puteri Alissa.

“Tidak ada apa-apa. Kanda cuma bermain dengan Zairi saja tadi.”

Kedua-duanya mengerutkan dahi.

“Menyamarkah?” Tebak si putera sulung. Putera Shiraz Adrian hanya tersengih dan mengajak mereka berdua masuk ke dalam. Sebaik sahaja pintu tertutup aku terus keluar dari situ.

PERASAAN aku tidak tentu arah sekarang. Aku datang sini hendak tenangkan fikiran. Aku mahu buang jauh-jauh pasal lelaki itu. Tetapi hal sebaliknya pula berlaku. Sejak bila lagi dia ada di sini? Bagaimana aku hendak mengelak dari dia kalau dia asyik muncul di depan aku sahaja?

Aku melunjurkan kaki. Sejuk sahaja duduk di atas pasir pantai ini. Udara pun segar. Tapi itu semua tidak dapat menenangkan hati aku sekarang. Sejak ternampak mereka aku asyik terfikirkan apa yang berlaku dalam bilik VIP tersebut.

“Hari istimewa...?” Laju aku membuka telefon dan mencari latar belakang Putera Shiraz Adrian. Rupanya, hari ini adalah hari jadinya yang ke-25. Patutlah Puteri Alissa beria-ia sangat hendak menyambut ulang tahun si putera raja itu.

Aku menjuih bibir. Aku tidak suka dengan perasaan galau seperti ini. Lebih baik aku tenangkan hati dan fikiran aku. Nanti-nanti sahajalah aku fikir hal itu. Lagipun, dia sudah ada orang istimewa yang sambut hari jadinya hari ini.

Aku meregangkan tubuh dan saat itu aku ternampak dua orang budak sedang berjalan tanpa arah. Wajah dan pakaian mereka agak kotor. Aku menerpa ke arah mereka dan ternyata mereka berdua sedang menangis.

“Adik berdua menangis ni sebab apa?” Tanya aku prihatin dengan keadaan mereka.

“Ibu sakit. Tapi, kami tak tahu nak cari ubat dekat mana. Kami tak ada duit.” Luah budak perempuan itu.

“Rumah adik berdua ini dekat mana?”

“Hujung sana. Rumah kami jauh daripada orang.” Jawab yang seorang lagi. Ini pasti adik lelaki budak perempuan ini.

Aku berfiki sama ada hendak membantu atau pun tidak. Tetapi melihat keadaan mereka berdua ini buatkan aku rasa sebak dan pilu. Jadi aku putuskan agar mereka membawa aku ke rumah mereka.

RUMAH kayu tempat tinggal mereka ini agak usang. Banyak kerosakkan pada rumah tersebut. Halaman mereka juga tidak bersih dan banyak rumput-rumput panjang dan liar tumbuh sana sini. Tempat tinggal mereka juga jauh daripada pekan Intan dan juga resort Intan Pearl itu.

Dua beradik itu mempelawa aku masuk ke dalam rumah mereka. Terharu aku melihat dua beradik ini. Walaupun mereka susah tetapi mereka tidak mengabaikan tanggungjawab kepada ibu mereka. Boleh tahan juga mereka berjalan jauh dengan perut kosong mencari ubat untuk ibu mereka.

Kata Fina si anak sulung itu, papa mereka sudah lama meninggal dunia akibat serangan jantung. Arwah papanya dulu bekerja di sawah padi dekat kampung Bara. Kampung itu letaknya jauh dari sini. Selepas pemergian papa mereka, ibu mereka pula jatuh sakit. Duit habis pun sebab beli ubat-ubatan dan juga barang rumah.

Ibunya hendak mencari kerja tetapi ditegah oleh dua beradik ini. Fina yang baru berumur 10 tahun itu sanggup keluar mencari duit. Dia tidak kisah kalau bekerja di gerai makan sebagai pencuci piring. Dia juga tidak kisah kalau kerjanya itu menggilap kasut. Adik lelakinya, Nuah pula disuruh tinggal di rumah sahaja supaya boleh menjaga ibunya.

Mendengar sahaja kisah hidup mereka buatkan aku terasa terharu dan mahu menangis. Aku bertekad hendak menolong mereka sekeluarga. Aku tidak kisah kalau orang lain hendak mengata aku. Yang penting niat aku baik. Jadi, dari mana patut aku mula dulu?

Aku perasan yang mereka berdua asyik mengusap perut sahaja. Pasti mereka berdua kelaparan. Ibunya pula sedang tidur. Jadi, tugas aku yang pertama adalah menyediakan makanan untuk mereka. Aku perlu ke pekan terlebih dahulu dan membeli barang-barang yang patut untuk mereka. Aku tidak kisah kalau guna duit yang banyak. Lagipun, papa selalu sahaja masukkan banyak duit ke dalam bank aku. Begitu juga dengan Bariz.

“Fina, mari ikut kakak ke pekan. Fina temankan kakak beli barang.”

Aku pandang Nuah yang berumur 8 tahun itu. “Nuah duduk rumah jaga ibu. Nanti kak Yana dengan Fina datang bawa ubat dan barang-barang lain, ya?” Aku mengusap kepalanya.

“Baiklah.” Dia menurut kata. Aku dengan Fina terus bergerak ke pekan. Nasib baiklah tadi aku bawa basikal sebelum ke rumah mereka.

SELESAI mengeluarkan sejumlah wang besar di bank aku terus membawa Fina ke butik pakaian. Aku tidak sangka pula di pekan Intan ini ada butik pakaian Rose Haradina. Itu butik mama dan juga aunty Irdina. Aku membawa Fina masuk ke dalam dan mencuba pakaian-pakaian yang ada di situ. Tidak lupa juga aku belikan untuk Nuah dan juga ibu mereka.

Tersenyum-senyum pekerja itu melihat kami. Aku tidak tahu sama ada pekerja itu kenal aku atau pun tidak. Yalah, aku ini anak perempuan kepada pemilik butik pakaian ini. Tapi, tidak kisahlah kalau mereka tidak kenal. Aku bukan minta percuma pun. Walaupun ini butik pakaian mama dengan aunty Irdina, aku tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hak mereka, kan? Jadi, lebih baik aku guna duit aku sahaja untuk beli pakaian-pakaian mereka.

Urusan pakaian selesai dan sekarang aku perlu beli kasut mereka, ubat untuk ibu mereka dan juga barang-barang dapur. Banyak juga barang-barang di tangan kami ini. Fina pula asyik membebel sahaja kerjanya. Katanya dia malu. Dia cakap lagi serba salah dengan aku. Ish, budak ini fikir sampai ke situ pula.

Kedai terakhir kami pergi adalah gerai buah. Sepatutnya banyak benda lagi yang aku perlu beli untuk mereka tetapi tidak apalah. Esok masih ada. Kalau tidak selesai hari ini aku belikan sahajalah untuk mereka esok.

Sebaik sahaja aku berpaling ke belakang aku terkejut dengan kehadiran lima orang lelaki berbadan sasa yang berpakaian seragam berwarna hitam dengan kaca mata hitam berdiri di depan aku. Fina yang agak ketakutan itu terus menyembunyikan diri di belakangku.

“Kamu semua ni siapa?” Dengan berani aku bertanya.

“Cik Yana sila jawab panggilan ini dulu.”

“Hah?” Aku teragak-agak hendak mengambil telefon tersebut.

“Tuan Baihaqi hendak bercakap dengan cik Yana.” Tegas suara lelaki berbadan sasa ini.

“Papa?” Renungan tajam itu memaksa aku untuk menjawab panggilan daripada papa.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Yana dekat mana sekarang ni?”

Gulp! Suara papa agak tegang.

Aku memandang mereka berlima. Pasti ini semua orang-orang papa.

“Ya... Yana dekat pekan Intan.” Jawabku takut.

“Buat apa dekat sana?”

“Err... Yana... Yana beli barang.”

“Dengan begitu banyak duit?!”

Aku cuak. Papa menggeram dihujung talian.

"Tadi, orang-orang papa baru saja bagitahu papa yang Yana keluarkan duit terlalu banyak. Papa juga sudah periksa dalam akaun bank Yana tadi. Buat apa dengan duit yang banyak tu, huh? Beli barang apa?"

“Papa, Yana bukan saja-saja bazirkan duit. Yana keluarkan duit pun sebab nak bantu orang. Yana kesiankan budak-budak tu. Lagipun, ibu mereka sakit. Papa mereka pula sudah tak ada.” Jujurku.

Diam. Papa langsung tidak bersuara.

"Kalau papa tak percaya, papa tanyalah orang-orang papa ni." Aku mengerling lelaki sasa di depan aku. Wajahnya ketat merenungku.

“Bagi telefon tu dekat Zul. Papa nak bercakap dengan dia.”

Laju aku memberi telefon kepada lelaki berbadan sasa itu. Gerun aku melihat wajah-wajah mereka. Pandai juga papa aku ini pilih orang untuk jaga aku di sini. Aku menoleh ke belakang. Sementara lelaki yang bernama Zul itu bercakap dengan papa aku mengeluarkan duit lagi untuk membeli beberapa jenis buah-buahan. Fina masih berkepit di sebelah aku dengan barang-barang yang kami beli. Wajahnya agak ketakutan.

“Cik Yana, barang-barang itu biar kami saja yang bawa.” Kata abang Zul.

“Papa cakap apa?”

“Dia suruh kami tengok-tengokkan cik Yana. Kalau ada apa-apa nanti cakap saja dengan kami. Kami sedia membantu.”

Aku melepas lega.

“Baiklah.” Aku tersenyum senang. Aku tidak tahu apa yang dibualkan oleh papa dengan orang dia ini. Tapi, aku gembira sebab orang-orang papa ini sudi membantu aku dan tidak memaksa aku untuk berbuat demikian.

Memandangkan aku sudah ada ramai pembantu. Lebih baik aku beli semua barang-barang keperluan hari ini juga. Barang-barang di tangan aku dengan Fina aku beri kepada mereka.

Sebelum bergerak ke tempat seterusnya ada sesuatu yang perlu aku lakukan pada mereka berlima. Aku mengeluarkan telefonku dan meminta persetujuan daripada papa terlebih dahulu. Kalau papa setuju aku senang hati mahu beri arahan kepada mereka berlima ini.

“Kakak Yana senyum-senyum ni dah kenapa?” Tegur Fina.

“Rahsia. Nanti, Fina tahulah lepas ni.” Aku pandang mereka berlima dengan senyuman misteri aku ini.

“Jom!” Ajakku. Orang-orang papa menurut kataku. Kami meneruskan aktiviti membeli-belah dan sekejap lagi tahulah aku hendak buat apa dengan mereka berlima ini. Aku ketawa sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience