BAB 56

Romance Completed 21274

AKU meninggalkan mereka untuk seketika. Hati masih terasa dengan kata-kata abang Ikhwan tadi. Bukan marah, cuma aku mahu bertenang. Sudahlah aku di marah dan di hukum depan mereka tadi. Malu tahu.

Abang Ikhwan sempat meminta maaf pada mak cik Nia. Dia bukannya tidak suka dengan perbuatan baik aku ini tetapi dia marah sebab aku tidak berbincang dengan dia tentang hal ini. Lagipun, jumlah wang yang aku keluarkan tadi sangat banyak sekali. Lagi yang membuatkan dia marah adalah disebabkan rasa bersalahnya pada papa. Lagipun, sekarang ini aku di bawah tanggungjawab dia.

“Kak Yana!”

“Nuah,” aku tidak sangka pula budak ini mencari aku di pantai ini. Aku bangun dan menepuk-nepuk bahagian punggung yang terkena dengan pasir.

“Kenapa Nuah? Ada apa panggil kakak ni?” Aku menunjukkan riak risau. Ada apa-apa berlakukah di sana?

“Nuah rasa bersalah pula tengok kakak kena marah dengan abang Ikhwan tadi.”

Aku melepas lega. Ingatkan apalah tadi.

“Bukan salah Nuahlah. Salah kakak. Niat kakak memang nak bantu Nuah sekeluarga. Tapi, cara kakak salah. Kakak sudah buatkan abang Ikhwan risau. Kakak sepatutnya minta kebenaran dulu untuk guna duit yang banyak. Lagipun semua keluar masuk duit papa kakak yang pantau.”

“Yakah...” Bibirnya disengetkan ke sebelah kiri.

“Kak Yana!”

Terkejut aku. Tiba-tiba sahaja budak ini meninggikan suaranya.

“Nuah tahu macam mana nak gembirakan kakak.”

“Eh, Nuah ni. Kakak tak sedihlah.”

“Kalau tak sedih tak apalah. Tapi, Nuah tetap nak gembirakan kak Yana.”

Aku mengusap kepalanya. Comel.

“Yalah. Yalah. Nuah nak bawa kak Yana pergi mana ni, hmm?”

“Ikut Nuah.” Dia menarik tanganku dan membawa aku masuk ke dalam hutan.

TERPESONA aku melihat pemandangan di depan mata aku ini. Jambatan yang menghubungkan pantai dengan pulau kecil di sebelah sana cukup indah sekali apabila bulan purnama menyinarinya. Keindahannya ditambah lagi dengan kelip-kelip yang berterbangan di kawasan sekitarnya. Nuah laju berlari naik ke jambatan itu. Aku membuntutinya dari belakang.

“Tak sangka ada tempat cantik begini.” Pujiku. Aku mendongak melihat cahaya bulan itu. Bintang-bintang bertaburan di langit luas menemani sang bulan.

“Mestilah. Nuah dengan kak Fina selalu datang ke sini kalau nak tenangkan fikiran.” Nuah berdiri dan berpusing-pusing di situ. Seronok betul dia.

“Kalau kakak nak tahu, kelip-kelip ini semua datang dari pulau kecil tu.” Dia berhenti berpusing dan menunjuk ke arah pulau kecil tersebut.

“Yakah?” Aku melihat ke arah pulau kecil itu. Baru aku perasan di sana begitu banyak kelip-kelip. Cantik.

Nuah duduk di tepi jambatan. Aku pula duduk bertentangan dengannya.

Aku menarik nafas panjang dan menghembus perlahan. Segar sungguh udara waktu malam ini. Air laut nampak tenang sahaja. Tapi sayang sekali kerana kaki aku ini tidak panjang. Tidak dapatlah aku bermain air laut ini.

“Err... Kak Yana. Kakak di sini sampai bila?”

“Mungkin sampai lusa nanti. Tapi tak tahulah. Lagipun, yang ajak kakak ke sini abang Ikhwan. Keputusan semua di tangan dia.” Beritahuku.

“Kalau macam tu, kakak tinggallah dengan kami untuk sementara ni. Nuah suka kalau kakak ada di rumah tu. Tidaklah sunyi.”

Aku menoleh ke belakang dan Nuah tersenyum kepadaku.

“Kakak tidak janji. Apa-apa pun nanti kakak tanya abang Ikhwan dulu, ya?”

“Okey.”

BEBERAPA minit berlalu dan kami masih lagi dalam kedudukan yang sama. Aku melayan perasaan sendiri. Nuah pula sudah mengubah posisi duduknya kepada posisi baring. Dia baring dengan bantal yang beralaskan tangan. Entah apalah agaknya budak ini tengah fikirkan sekarang?

Sedang aku mengelamun jauh, aku terasa sesuatu pada belakangku. Terkejut aku apabila si topeng masquarade ini muncul tanpa menyapa. Aku menjelingnya.

“Macam mana tahu kami ada dekat sini?”

“Fina bagitahu.” Dia melabuh punggung di sebelahku. Aku mengerling ke arah Nuah. Nampaknya budak itu sudah tidur.

“Nuah, sini.” Aku menyuruhnya tidur di sebelahku. Kepalanya biar di atas ribaku ini.

“Sejuk?”

“Hmm...” Dia mengerekot. Lantas ku buka jaket yang aku pakai dan kemudian menutup separuh tubuhnya itu.

“Awak tak selimutkan saya? Saya pun kesejukkan macam Nuah tu.”

Laju aku menayang buku lima aku pada dia. Dia ingat aku ini macam perempuan lain yang senang-senang sahaja ikut cakap dia ini.

Dia ketawa. “Saya gurau sajalah. Cik Yana janganlah ambil hati pula.”

“Kalau orang macam awak ini memang saya ambil hati. Sebabnya saya tak suka. Buat sakit hati.”

“Tidak usahlah cik Yana marah-marah.”

Aku mencebik dan mengeluh untuk kesekian kalinya.

“Kenapa?”

Aku menoleh. Wajahnya tenang melihatku. Aku membuang pandang semula ke arah air laut yang tenang itu.

“Saya tak fahamlah. Kenapa papa dengan abang Ikhwan nak marah sangat dengan saya kalau saya buat baik dengan orang? Duit tu bukannya boleh bawa mati pun.” Akhirnya perasaan yang aku pendam aku luahkan juga padanya.

Dia tersenyum. “Cik Yana memang baik. Tapi, ingat. Bukan semua orang yang ada hati baik macam cik Yana. Memang patutlah mereka marah dengan cik Yana.”

“Awak pun sokong merekakah?”

“Ya. Kalau saya di tempat Ikhwan atau pun papa cik Yana, saya pun akan buat begitu.” Tenang dia membalasku.

“Tapi, kenapa?” Aku tidak puas hati.

“Sebabnya cik Yana buat baik tetapi tidak fikir siapa dan bagaimana orang itu dulu. Latar belakang dia macam mana?”

Aku mengerutkan dahi. Tidak faham.

“Senang-senang saja cik Yana hulurkan bantuan pada mereka tetapi hakikatnya mereka itu bukan seperti yang cik Yana sangkakan. Nampak saja orang tu miskin atau orang yang perlukan bantuan tetapi siapa tahu yang dia sebenarnya berbohong dan hanya mengambil kesempatan pada cik Yana.”

“Tapi, keluarga Nuah memang perlu bantuan pun.”

Dia tersengih dan mencuit hidungku.

“Ya. Tapi, kalau terjadi pada orang lain macam mana pula? Cik Yana nak bantu jugakah? Nak beri duit yang banyak lagi dengan mereka?”

Aku diam.

“Sebab itulah kalau cik Yana nak bantu orang dan keluarkan duit yang banyak kena berbincang dulu dengan keluarga cik Yana. Lagipun, mereka tahu apa yang perlu di buat. Kalau saja cik Yana bantu orang yang salah, siapa yang rugi? Siapa yang kena marah? Cik yana jugakan?”

Betul juga kata dia ini. Kalau aku tolong orang itu dan tiba-tiba orang itu bukan seperti yang aku sangkakan. Aku juga yang kena marah nanti.

“Faham tak apa yang saya cakap ni?”

“Faham.” Jawabku perlahan.

“Baguslah kalau faham. Lain kali bincang dulu dengan keluarga. Biar mereka yang siasat latar belakang orang yang cik Yana nak tolong tu. Orang-orang sekarang bukan boleh percaya pun. Sanggup buat apa saja demi duit.”

Aku diam dan memikirkan kata-katanya itu. Selepas ini, apa-apa mengenai duit aku kena bincang dulu dengan papa. Tapi, kalau aku keluarkan sikit duit untuk buat kebaikan tidak apa, kan?

“Kita tukar topik lain. Cik Yana tahu tak hari ni hari apa?”

Ah, dia sudah mula. Tadi, bukan main lagi menasihati aku. Sekarang ini hendak menggatal pula. Malaslah aku hendak menjawab soalannya itu.

“Hari ini hari jadi saya. Cik Yana tak nak beri apa-apa pada saya?”

“Tak tanya pun.”

“Memanglah cik Yana tak tanya. Saya saja nak bagitahu.”

Menyampah! Aku baru teringat pagi tadi yang Puteri Alissa ada menyebut tentang hari istimewa dan itu adalah hari jadi Putera Shiraz Adrian ini.

Aku menjelingnya. Jangan haraplah dia nak dapat hadiah daripada aku.

“Awak tak ada kerja lainkah selain kacau saya?”

“Tak ada. Sebab tu saya kacau awak.”

Aku menggeram.

“Mana teman wanita awak? Awak pergi sajalah kacau dia.”

“Saya tengah kacau teman wanita sayalah ni.”

Turun naik nafas aku dibuatnya.

“Awak seriuslah sikit. Saya malaslah nak layan orang macam ni.”

Tiba-tiba dia menarik daguku dekat dengannya. Saat itu kami bertentang mata dan jantungku berdegup dengan pantas. Aku jadi tidak keruan melihat senyuman menggoda itu. Aku melarikan pandangan tetapi sekali lagi dia menarik wajahku memandangnya.

“Diam. Saya nak tengok wajah comel awak ni sekejap saja.”

“Awak jangan macam-macam dengan saya.” Aku memberi amaran.

“Tadi, elok saja cik Yana berbual dengan saya. Kenapa nak ubah-ubah emosi pula ni?”

Aku telan liur. Suaranya menggetarkan hatiku.

“Cik Yana, rindu dan sayang saya tak akan pernah berubah.”

“Yakah? Tak sampai seminggu kenal dah cakap macam tu.” Aku menolak wajahnya jauh daripadaku.

Dia berdeham. Air mukanya juga berubah.

Mahu sahaja aku ketawa melihat wajah malunya itu. Macamlah aku tidak kenal dia. Putera Shiraz Adrian yang aku kenal ini memang tidak pandai kawal perasaannya. Tengok sahajalah apa yang jadi masa persembahan teater lepas. Gara-gara dia tidak dapat kawal perasaannya terhadap aku, kami bergaduh besar.

Aku berfikir sejenak. Memandangkan aku sudah tahu siapa dia di sebalik topeng masquerade ini. Jadi, ini peluang aku. Aku akan ambil tahu sebanyak yang mungkin tentang hubungan kami ini.

“Tuan Rian, saya nak tanya awak sesuatu boleh?”

Dia membuang pandang ke tempat lain. Selalunya, dia bukan begini. Malu sangatkah dia kerana terlepas cakap tadi?

“Tuan Rian, awak diam saja. Kenapa?”

“Ah... Tak. Saya rasa saya tersalah cakap tadi.”

Alahai, puteraku. Comel pula wajah malu-malu kucing dia ini.

“Err... Yana.”

“Ya.”

“Awak dah ada teman lelaki?”

Eee! Kecil sahaja aku tengok dia ini tahu. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu pula dia. Kalau aku tipu karang, nanti dia merajuk lagi.

Oh, lupa! Dia inikan sedang menyamar. Dia buat begini pasti mahu tahu isi hati aku, kan? Atau pun dia menyamar begini supaya dapat ikut aku ke mana sahaja? Sekaligus mengawal pergerakan aku.

Dia ingat aku tidak tahu perangai dia sebelum ini. Mana-mana aku pergi mesti ada dia. Dekat kafe ada dia. Dekat resort papa pun dia ada juga. Masa aku ikut Bariz dengan Zaliah ke taman tema Bulan pun dia ada juga. Tapi, di situ aku pula yang naik marah sebab dia dengan Puteri Alissa.

Hmm...

Tapi, ini sahaja peluang yang aku ada sekarang. Belum tentu hari lain dia akan buat begini, kan? Jadi, kalau aku mahu terima cintanya, aku mesti siasat dan tahu semua tentang dia.

Aku pandang wajah tampan itu. Dia tidak memandang aku sebaliknya menjatuhkan pandangannya di atas permukaan air laut yang berombak ini. Baiklah, aku pun tidak mahu gaduh dengan dia.

“Saya tak ada teman lelaki tapi saya dah bertunang.”

Dia mengerutkan dahi.

“Hah? Apa maksud cik Yana ni?”

“Hmm... macam mana saya nak cerita, ya?”

“Cerita sajalah.” Senyum-senyum dia mahu tahu cerita aku.

Aku mencebik.

“Ceritanya begini. Masa tu, dia tengah ‘bermesra’ dengan perempuan. Orang cakap dia ni kaki perempuan dan saya tak suka lelaki macam tu. Kebetulan saya lalu tempat tu dan terserempak dengan mereka. Saya naik marah dan terus serang mereka. Lepas tu, dia cabar saya tapi saya tolak dan akhirnya dia buat keputusan tanpa pengetahuan saya. Dia bawa keluarga dia berbincang dengan keluarga saya dan disitulah saya tahu yang saya bertunang dengan dia.”

“Beruntunglah ada orang nakkan awak. Bukan senang nak cari teman hidup yang sayang dan cinta dekat kita ni.”

“Tapi, dia buat begitu bukan sebab cinta. Sebab dia rasa tercabar dengan saya.”

“Mungkin sebab awak perempuan pertama yang buat dia begitu dan dia rasa diri dia semakin hari semakin berubah. Daripada buaya darat kepada seorang yang setia pada awak.”

“Yakah? Awak macam boleh baca pula fikiran tunang saya tu.”

Dia terkedu. Aku menahan ketawa.

“Err... sa... Saya teka saja.”

Aku angguk-angguk. Pura-pura mengiakannya.

“Saya tak tahulah sama ada dia benar-benar sayang sayakah atau pun tak. Perangai dia itu kadang-kadang buatkan saya naik angin. Tapi, kadang-kadang dia buatkan saya rasa selamat.”

Aku jeling sebelah dan dia tengah senyum sendiri. Ish, dia ini memang tidak pandai sembunyikan perasaan dia tahu. Disebabkan aku geram aku tarik rambut dia ke belakang. Terkejut dia dengan perbuatan aku itu.

“Awak senyum sendiri ni dah kenapa? Fikir apa?”

“Err... fi... Fikirkan seseorang.” Ujarnya menggelabah.

“Siapa?” Aku tanya lagi. Aku perhatikan sahaja tingkah lakunya itu. Dia sedang mengelap peluh di dahi. Lantas topeng yang dipakainya itu dibuka.

Haaih... Putera. Putera. Yakin betul dia buka topeng masquerade itu. Kau buka topeng itu pun aku kenal juga. Suara dan mata kau tidak dapat menipu aku tahu.

“Bagitahulah siapa orang tu. Teman wanita awakkah? Teman baik? Kawan sejak kecil lagi?”

Senyumannya agak kekok kali ini. Aku tenang.

“Seseoranglah. Dia sangat istimewa bagi saya.”

“Oh...” Teruja pula aku mahu tahu siapa gerangan orang tersebut. Akukah? Atau Puteri Alissa?

“Hmm... Boleh saya tahu siapa perempuan istimewa tu?” Tenang aku menyoalnya walaupun dalam hati ini sebenarnya berdebar-debar ingin tahu.

“Kalau saya cakap orang tu adalah awak. Awak percaya?”

Aku tergamam. Kalau aku yang bertakhta di dalam hati dia, bagaimana pula dengan Puteri Alissa? Gosip-gosip mengenai mereka berdua itu tidak benarlah? Aduh, aku pula yang tidak keruan sekarang.

“Kalau saya cakap saya tak percaya? Lagipun, saya milik tunang saya.”

“Betul juga. Kalau dia tunang awak pasti kamu berdua akan berkahwinkan?"

Aku mahu korek isi hati dia tapi dia pula yang korek isi hati aku ini.

“Ya. Tapi, saya tak nak kahwin sekarang. Habiskan belajar dulu baru fikir masa depan. Kalau dia boleh tunggu, okey. Tapi, kalau dia tak dapat tunggu cari orang lain sajalah.”

“Dia pasti akan tunggu awak. Lagipun, awak satu-satunya cinta hati dia.”

Aku menepuk dahi. Geram. Hilang sabar aku dengan dia ini. Mahu menyamar tapi tidak pandai. Dia memang sengaja cakap macam itukah, hah?

“Apa sebabnya awak buat begini, hah? Awak takut saya cari lelaki lainkah?”

Laju dia memandang aku. “Apa maksud cik Yana?”

Aku menjuling mata ke atas. Aku tidak boleh marah sekarang. Lagipun Nuah tengah tidur.

Baru sahaja aku mahu buka mulut datang seorang lagi mengacau kami. Itu adalah Hanif.

“Di sini rupanya kamu bertiga.”

Aku tersengih. “Kenapa abang Hanif?”

“Ikhwan dengan Bariz tengah cari Yana. Abang saja jalan-jalan sini tapi tak sangka pula terserempak Yana dengan mereka berdua ni di sini.”

“Yana dah buat mereka risaukah? Baik Yana pulang sekarang.” Aku mahu bangunkan Nuah tapi di halang olehnya.

“Biar abang bawa Nuah.” Lantas Hanif mengangkat Nuah.

Aku berdiri dan mengibas-ngibas pakaianku. Kenapa aku rasa tidak sedap hati dan rasakan suasana sekarang seperti tegang? Sebaik sahaja aku menegakkan wajah, jelas sekali mereka berdua sedang berperang mata.

“Err... Kenapa asyik berpandangan lama? Kamu berdua jatuh cintakah?”

“Yana!!”

Aku diherdik pula oleh mereka berdua ini. Hanif terus berjalan ke depan membawa Nuah bersamanya.

“Tuan Rian...”

Dia mendengus dan meninggalkan aku.

“Tiba-tiba marah aku. Aku ada buat salahkah?” Aku pandang mereka yang sudah jauh meninggalkan aku. Ah, esok masih ada. Esok-esok sahajalah aku tanya mereka berdua.

“Pelik. Marah aku sebab apa pula?” Aku terus menggumam sambil berjalan pulang ke rumah Nuah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience