BAB 51

Romance Completed 21282

TURUN sahaja dari bot aku terpaksa angkat beg bagasi sendiri ke resort Intan Pearl. Bariz sibuk menolong kekasihnya. Begitu juga dengan abang Ikhwan. Untunglah mereka berdua sudah ada kekasih.

Selesai mendaftar bilik penginapan, kami terus ke kafe Intan untuk mengisi perut. Aku tidak sabar mahu lihat hidangan tengah hari ini. Mesti lauk-pauk dekat pulau ini sedap-sedap belaka.

Rambang mata ku melihat hidangan-hidangan ini. Semuanya nampak menyelerakan. Susah untuk aku buat pilihan.

“Apa aku nak makan, ya?” Sambil aku berfikir sambil aku menggigit bibir atas.

Tersentak aku apabila orang sebelah aku ini berdeham dengan kuat. Aku memandangnya dengan wajah yang meremehkan. Buang tabiatkah dia ini hendak berdeham-deham depan rezeki.

Apa yang pelik lagi apabila lelaki di sebelah aku ini memakai hud di kepala dan wajahnya pula ditutupi oleh topeng masquerade yang berwarna putih-kelabu. Topengnya itu mempunyai corak flora.

“Encik tak panaskah pakai benda tu?” Tanya aku. Rimas pula aku tengok lelaki ini.

Ada seorang lagi yang satu spesis dengan dia ini iaitu Putera Shiraz Adrian. Putera raja itu kalau keluar daripada istana pasti akan memakai topeng dan kaca mata.

Ergh! Sepatutnya aku datang ke sini untuk tenangkan fikiran. Aku mahu lupakan semua masalah aku dengan putera raja itu. Bukannya, teringatkan dia semula.

“Ini semua gara-gara lelaki pelik di sebelah aku ni.” Aku menggeram.

“Cik mengata sayakah?”

Erk! Dia dengarkah?

Aku mengerlingnya dan kemudian mengukir senyuman tidak ikhlas.

“Bila masa saya mengata awak.”

“Saya tak pekak. Saya dengar apa yang cik cakap tadi.”

Suaranya mengingatkan aku pada dia. Tapi, mustahillah Putera Shiraz Adrian ada di sini. Dia sibuk berkepit dengan Puteri Alissa, bukan? Apa-apa pun sekarang ini aku tinggal tunggu keputusan daripada raja dan permaisuri sahaja untuk batalkan pertunangan kami.

“Cik,”

“Err... maafkan saya. Saya pergi dulu.” Laju aku meninggalkan tempat hidangan itu. Lebih baik aku larikan diri daripada lelaki itu.

AKU berjalan ke kafe sebelah. Aku sudah memaklumkan mereka yang aku ke kafe Sand Kristal. Aku makan tengah hari di situ sajalah. Lagipun, kafe Sand Kristal dekat dengan bilik penginapan aku. Biarkan sajalah pasangan-pasangan kekasih itu berseronok. Kalau aku hendak berseronok pun dengan siapa?

“Lebih baik cari makan lepas tu jalan-jalan tengok resort ni.”

Selesai makan, aku mengambil angin di luar. Cuaca agak redup. Kelajuan angin sederhana. Janganlah hujan. Kalau hujan, rosaklah aktiviti aku untuk hari ini.

Kata abang Ikhwan hari ini kami rehat dulu. Aktiviti akan dibuat pada hari esok. Aku tidak sabar untuk tahu aktiviti-aktiviti yang abang Ikhwan buat untuk kami semua. Aku duduk di bawah pokok kelapa sambil menikmati pemandangan laut yang begitu luas dipandangan mata.

“Nak air kelapa?”

Terkejut aku dengan suara garau yang datang dari arah belakang aku. Laju aku berpaling melihat gerangan tersebut. Lelaki yang sama lagi.

“Apa awak buat dekat sini?”

Di tangannya ada sebiji kelapa yang sudah dibuka. Dia memberi kelapa itu kepada aku.

“Tak apa. Saya tak haus lagi.” Aku menolak pemberian tersebut.

“Okey.” Tanpa disuruh dia terus melabuhkan punggung di sebelah aku.

“Betul, tak nak rasa air kelapa ni?”

Aku senyum dan geleng kepala. “Kalau saya nak nanti saya boleh cari sendiri.” Aku mengangkat punggung mahu pergi dari situ. Aku tidak selesa duduk berdua-duaan dengan lelaki yang aku tidak kenali. Lagi pula lelaki ini memakai topeng dan berhud.

“Eh, janganlah pergi dulu. Kita berbuallah sekejap.” Dia menghalang aku.

“Saya tak mesra sangat dengan lelaki terutama orang pelik macam awak ni.”

Dia ketawa. “Jangan risau. Saya ni baik orangnya.”

“Kalau baik tanggalkanlah topeng muka tu. Saya nak tengok wajah awak.”

“Saya tak boleh tanggalkan topeng ni. Kalau saya tanggal takut awak lari pula nanti.”

Aku mengerutkan wajah. “Buat apa saya hendak lari dari awak. Buka sajalah. Macam mana saya hendak tahu yang awak ini baik atau jahat?” Aku mendengus geram.

“Kalau saya cakap wajah saya ini ada parut, awak percaya?”

“Kalau saya nak tengok juga, awak bukakah topeng tu?” Soalan berbalas soalan.

“Saya tak akan bukanya.” Nadanya seperti kecewa dengan aku. Dia berdiri dan melangkah ke depan.

“Maaflah kalau saya ganggu awak. Saya tak berniat pun hendak takutkan awak. Kalau awak tak sudi berkawan dengan saya tidak apalah. Saya pergi dulu.”

Aku bungkam. Lelaki bertopeng ini merajuk pula dengan aku.

“Okey. Okey. Saya minta maaf.”

Ish, aku tidak sukalah lembut hati dengan dia ini. Tapi, nada dia itu buatkan aku rasa bersalah. Tidak apa. Kalau dia hendak jadi kawan aku, aku akan terima. Lagipun, aku perlukan teman juga di sini. Mengharapkan abang Ikhwan dengan Bariz memang tidaklah. Mereka berdua asyik melayan kekasih kesayangan mereka sahaja.

“Saya terima maaf awak. Saya tahu awak baik orangnya.”

Aku mencebik.

“Awak...”

“Panggil saya Yana.”

Dia garu kepala dan tersenyum.

Aku terpesona seketika melihat senyuman itu walaupun bahagian atas wajahnya ditutupi dengan topeng masquerade.

“Yana. Yana!”

“Ah!”

“Termenung apa tu?”

Wajahku membahang. Aku berdeham. “Mana ada saya termenung. Sudahlah. Saya nak balik ke bilik saya. Lagipun, cuaca tak nampak baik hari ni.”

Ya, cuaca memang tidak elok. Angin semakin kuat dan awan mula bertukar warna. Ramai pengunjung yang sudah bergerak pulang ke penginapan mereka.

“Kita gerak sama.” Dia bangkit dari tempat duduknya dan membawa aku pulang ke resort.

MEMANDANGKAN cuaca tidak mengizinkan, petang itu abang Ikhwan membawa kami lepak di ruang riadah yang ada di dalam resort Intan Pearl ini. Kami berbual sambil menikmati minuman petang. Tidak sangka pula aku Zaliah ini lawak orangnya. Kakak Adyra pun sama. Ketawa besar kami dibuatnya.

“Yana nak ke mana pula tu?” Tanya abang Ikhwan.

“Tandas.”

“Nanti singgah belikan air mineral, ya?”

“Okey.” Aku terus bergerak pergi.

Selesai urusan di dalam tandas aku ke gerai membeli air mineral. Pada masa itu jugalah aku terserempak dengan lelaki bertopeng masquerade. Laju aku menyembunyikan diri di sebalik dinding.

Lelaki itu sedang membeli kek coklat dan juga minuman sejuk. Teman sebelahnya pula membeli makanan ringan. Aku perhatikan kawan dia itu agak pelik. Rambut kembang tidak sesuai dengan lelaki kaca mata itu. Tapi, bila aku perhatikan betul kawan si topeng masquerade ini macam aku kenal.

“Hmm... Tidak mungkinlah rambut abang botak tu tumbuh lebat dan kembang cepat macam tu, kan?” Aku menggumam sendirian sambil berfikir.

“Ah, lebih baik aku pergi beli dekat gerai lain.” Aku terus menghala ke sebelah lorong. Di situ juga ada gerai makanan. Aku putuskan untuk beli di situ sahajalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience