BAB 52

Romance Completed 21282

KEESOKKAN harinya. Cuaca cukup baik dan kami meneruskan aktiviti untuk hari ini. Abang Ikhwan memperkenalkan kami dengan temannya yang juga merupakan pengurus resort Intan Pearl ini. Namanya, Hanif. Dia tidaklah kacak sangat. Berperwatakkan sederhana dan mesra orangnya.

Abang Ikhwan dengan Hanif sudah lama berkawan tetapi Hanif tidak menyambung pelajarannya ke universiti. Dia lebih suka mengambil kursus-kursus di luar berbanding belajar di universiti tempatan mahupun kolej. Katanya, belajar di dalam universiti mahupun kolej agak memenatkan berbanding dengan mengambil kursus-kursus di luar yang hanya memakan masa selama dua tiga bulan sahaja.

Aku setuju juga dengan pendapat teman abang Ikhwan ini. Tetapi, sayanglah kerana belajar di universiti ataupun kolej boleh dapat ramai kawan. Ada pengalaman manis dan pahit. Ada kenangan dalam setiap aktiviti-aktivit yang dianjurkan. Tapi, tidak apalah. Lagipun, itu keputusan teman abang Ikhwan. Buat apa hendak dikisahkan sangat.

“Yana. Pasangan Yana dengan kawan abang ini, ya?”

Aku buat muka kesian. “Boleh tak Yana tak ikut serta?”

“Mana boleh. Abang dengan kakak dah lama rancang ini semua. Yana mana boleh tidak setuju pula.”

Aku garu kepala sambil buat muka.

Aku tidak sangka pula abang Ikhwan sudah merancang awal semua aktiviti-aktiviti ini. Dia beritahu kami yang Hanif telah membantunya untuk menyiapkan semua aktiviti ini sebelum kami sampai ke sini.

“Eh, tapi abang Hanif pun sama juga, kan? Dia yang urus semua ini sebelum kita sampai, kan? Jadi, bagilah abang Hanif rehat.”

“Yana macam tak suka saja abang jadi pasangan Yana.”

Aku senyum sengih. “Bukan begitu abang Hanif. Yana... Yana tak selesa. Lainlah kalau Yana dengan adik Yana sendiri. Tidak pun dengan abang Ikhwan.”

“Eh, tak nak. Bariz nak dengan Zaliah.” Laju adik aku membantah.

“Ala, Yana ni. Ini semua cuma permainan saja, kan? Lagipun, bukan Yana hendak tenangkan fikirankah? Cubalah ikut aktiviti ni dulu. Otak akan jadi lebih cergas dan segar tau lepas main aktiviti ni.” Kakak Adyra pula bersuara memujuk aku.

“Okeylah. Yana terima abang Hanif jadi pasangan untuk permainan ni.” Aku buat muka kecewa. Hanif memandang aku dengan tawa kecilnya.

Aku menoleh ke sisi dan belakang aku. Agak ramai juga pengunjung yang ikut serta dengan aktiviti pencarian harta karun ini. Semuanya berpasangan. Aku sedikit kecewa sebab pasangan aku bukannya perempuan. Tapi, tidak apalah. Pasangan lelaki pun kira okeylah. Kalau ada apa-apa nanti dialah yang akan bantu aku.

“Okey, semua! Kamu gerak dan cari harta karun bermula dari sekarang. Siapa yang sudah jumpa segera ke sini dan berjumpa dengan cik Adyra. Faham?!”

“Ya!!”

Kami terus bergerak pergi selepas diberi bekalan air dan juga peta.

SETENGAH jam aku dengan Hanif berjalan di dalam hutan mencari harta karun yang disembunyikan. Mujurlah ada peta diberi tadi. Tidaklah kami berdua sesat dalam hutan ini. Aik?!

“Abang Hanif.” Aku mematikan langkah dan berpaling ke belakang. Hanif memandangku dengan keringat di wajahnya.

“Kalau abang yang uruskan aktiviti ni semua sebelum ini, buat apa lagi kita hendak cari harta karun tu, kan? Tak tengok peta ni pun abang Hanif mesti sudah tahu di mana tempat harta karun tu, kan?”

Dia ketawa dan buatkan aku rasa pelik.

“Kenapa abang Hanif ketawa pula?”

“Abang ingatkan Yana tak fikir pun pasal ni. Tak sangka bijak juga Yana ni, kan.”

“Mestilah bijak. Kalau tak bijak nanti senang kena buli.” Aku terus berlagak apabila dipuji sebegitu.

“Simpan sajalah bijak Yana tu. Abang memang uruskan semua aktiviti ni tapi harta-harta karun tu semua bukan abang yang sembunyikan. Abang dah tugaskan kepada pekerja lain.”

Aku berpeluk tubuh. Kening aku terangkat sebelah. Aku tidak percaya.

“Yana tak percayakah?”

“Tak.”

Dia ketawa lagi. Hanif kemudian ke depan dan terus berjalan meninggalkan aku.

“Nak pergi mana pula tu?”

“Nak cari harta karunlah. Yana nak ikut abang atau tinggal situ saja?”

Laju aku memandang sekeliling aku. Semuanya hutan dan hanya bunyi burung berkicauan sahaja yang kedengaran di anak telinga aku ini. Aku berpaling semula ke hadapan dan nampaknya Hanif langsung tidak menungguku.

“Abang Hanif!”

Tiada sahutan dari dia. Aku mula gelisah.

“Abang Hanif! Abang Hanif janganlah bergurau dengan Yana.” Aku maju ke depan dengan langkah perlahan sambil mencari kelibat Hanif.

“Abang Hanif...” Aku putus asa. Jadinya, aku duduk dan menyandar tubuh pada pokok besar di belakang aku.

“Abang Hanif!” Sekali lagi aku menjerit memanggil namanya. Tapi, tetap tidak ada sahutan. Aku memeluk lutut. Sudahlah aku tidak bawa telefon. Tersangkut pula di tengah-tengah hutan ini.

“Yana!”

“Abang Hanif!” Kami saling berpandangan. Aku dengan wajah geram dan marah. Dia pula mempamerkan riak risau kepadaku.

“Maafkan abang. Abang ingatkan Yana ikut abang dari belakang tadi.”

“Yana takut tau!” Marahku.

“Ya. Abang tahu. Sebab itulah abang cari Yana balik. Abang minta maaf sangat-sangat. Abang betul-betul tak tahu tadi.” Dia membantu aku berdiri.

Aku merengus.

“Jangan tinggalkan Yana lagi lepas ni. Janji?!”

“Abang janji takkan tinggalkan Yana. Sudahlah. Mari kita pergi. Nanti lambat pula kita hendak jumpa harta karun tu.”

Aku seperti terkena renjatan elektrik apabila dia menyentuh dan menarik tanganku. Aku berjalan di belakangnya sambil berpaut tangan. Lelaki ini buat aku rasa malu pula. Walaupun aku marah tadi dia tetap berlembut dengan aku. Aku ingatkan dia terus menghilangkan diri. Tidak sangka pula dia datang balik dan meminta maaf kepada aku. Haaih... Jaga-jaga wahai hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience