BAB 45

Romance Completed 21274

SELANG beberapa hari aku, Elina Ryne dan juga Lisha sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Seronok dapat keluar daripada rumah sakit itu. Tidak suka aku menghidu bau ubat-ubatan di sana.

“Ahhh! Selesanya!” Aku berguling-guling di atas tilam bersaiz king ini. Rindu sungguh aku dengan tempat tidur aku ini. Bantal peluk aku ambil dan memeluknya erat.

“Kak Yana!”

Terkejut aku. Bariz melompat naik katil dan memelukku erat.

“Ish, kau ni dah kenapa?!” Aku menolaknya ke belakang. Dia buat muka.

“Bariz cuma nak lepaskan rindu saja. Lagipun, Bariz ada cerita. Kak Yana nak dengar?”

Cepat sangat budak ni berubah mood.

“Malas aku nak dengar cerita kau. Aku nak merajuk.” Aku mendengus dan berpaling ke belakang sambil berpeluk tubuh.

“Bariz ingatkan kak Yana dah berubah betul. Panggilan dengan adik masih kasar lagi.”

Aku diam. Aku sudah fikir masak-masak yang aku tidak mahu berubah. Itu sudah memang diri aku. Mereka kenalah terima aku seadanya. Lagipun, aku bukannya berperangai jahat. Aku berkasar dengan orang yang aku tidak suka sahaja. Yakah?

“Berubah tak berubah itu semua belakang cerita. Apa yang kau nak cerita dekat aku ni, hah?”

Pelik. Tersengih-sengih. Sekejap gigit jari sekejap tarik-tarik kain tilam ini. Kalau ada masalah, gaya dia bukan macam ini.

“Kau sakitkah, Bariz?”

Dia geleng kepala.

“Kau kena buli? Nak aku tolong kau kenakan orang tu balik?”

Dia menggeleng kepala lagi. Turun naik nafas aku dibuatnya.

“Sebenarnya... Bariz... Bariz...”

“Bariz apa?!”

“Jatuh cinta!” Laju dia menjawab apabila aku meninggikan suara.

Mataku membulat.

TAMAN TEMA BULAN menjadi tempat pertemuan di antara adik aku dengan kekasihnya. Aku ikut sekali itu pun disebabkan permintaan adik aku sendiri. Dia mahu memperkenalkan aku kepada kekasihnya itu.

Zaliah itu namanya. Seorang gadis yang penuh dengan aura kewanitaan dan dia mesra orangnya. Itu apa yang dikatakan oleh adik aku sebelum keluar rumah tadi. Kekasihnya ini juga adalah gadis yang sama yang mahu diperkenalkan kepada aku sebelum ini. Tetapi pertemuan kami tidak jadi disebabkan mama memberi aku tugas lain ketika itu.

“Mana Zaliah yang kau katakan tu?” Aku mundar mandir sambil berpeluk tubuh. Wajahku ketat. Tadi, sebelum keluar rumah mama dengan papa sempat marah dekat aku. Mereka sebenarnya tidak membenarkan aku keluar rumah lagi tetapi aku degil. Aku mahu juga menghirup udara segar di sini sambil itu boleh berkenalan dengan Zaliah.

“Dia ada dekat sini sudah. Sekejap lagi datanglah tu.” Bariz tenang sahaja duduk di kerusi panjang sambil bermain telefonnya.

Aku membuang pandang ke tempat lain. Ramai sungguh orang datang di taman tema ini. Pelbagai jenis permainan yang ada di sini dan semuanya nampak menyeronokkan. Aku mengeluh panjang. Bukankah bagus kalau aku datang dengan kekasih aku juga? Aku teringin juga hendak bermain semua permainan ini dengan dia.

Tapi... bila teringat semula gosip-gosip itu buat aku rasa takut dan serba salah. Aku hanyalah perempuan biasa. Bukan berdarah raja pun. Gosip yang hangat diperkatakan sekarang ini lagi tentang Puteri Alissa yang datang bertandang ke istana Pura Cahaya. Semua orang tahu bahawa Puteri Alissa dengan Putera Shiraz Adrian itu teman baik sejak dari kecil lagi.

Bagaimana aku hendak bersaing dengan puteri itu walhal diri aku ini langsung tidak ada apa-apa. Dia puteri yang menawan dan penuh dengan sifat kewanitaan. Semua orang tahu tentang hal itu. Bila aku teringat tentang gosip yang aku baca yang membandingkan diri aku dengan puteri itu aku jadi kecil hati.

“Kak Yana!”

Aku tersentak.

“Ish! Dah berapa kali Bariz panggil tau.”

Aku tersengih menahan malu. Rupanya kekasihnya sudah tiba.

“Assalamualaikum, kak Yana. Saya Zaliah.” Dia menghulur tangan untuk bersalam dengan aku.

“Waa... Waalaikumussalam.” Aku menyambut salamnya dan pada masa yang sama aku terpesona melihat penampilannya itu. Rambut hitamnya di sanggul dan dihias dengan begitu cantik dan kemas. Pakaiannya cukup menawan. Tidak menyakitkan mata pun. Gaun labuh berwarna kuning keemasan dan bercorak bunga kecil di bawah gaun labuh itu sangat padan dengan dirinya. Pandai adik aku pilih perempuan.

Laju aku berpaling ke belakang. Kalau melihat penampilannya dengan penampilan aku jauh beza sekali. Aku rasa diri aku kecil saja.

“Kak Yana okey tak?”

Laju aku menoleh ke arah mereka semula dan menyimpul senyuman palsu. “Okey. Kakak okey.” Tergagap-gagap aku menjawab.

“Tak sangka Zaliah dapat bertemu juga dengan kak Yana. Bariz banyak bercerita tentang kakak. Bariz kata kakak cantik dan ternyata kata Bariz itu betul.” Dia tersenyum manis.

Wajahku membahang. Aura apakah ini? Dia mampu buat aku rasa malu dengan diri sendiri. Tidak seperti Elina Ryne.

KAMI berbual sambil menikmati suasana petang itu. Semakin ramai pula pengunjung ke sini. Aku yang berjalan di belakang mereka berdua ini rasa cemburu melihat kemesraan mereka. Ah, lebih baik aku jalan ke sana.

“Bariz, akak nak ke sana. Bariz jaga Zaliah baik-baik, ya?” Pesanku sebelum mengundur diri.

“Kak Yana tak nak ikut kamikah?” Tanya Zaliah dengan lemah lembutnya.

Aku geleng kepala. “Nanti, kalau nak pulang telefon akak.”

“Okey. Akak jangan pergi jauh-jauh. Nanti susah Bariz nak cari kak Yana.”

“Ya. Ya.” Aku terus melangkah pergi.

SEJAK dari tadi benda itu menarik perhatian aku. Segera aku ke sana dan membelinya. Ah... Rindunya zaman kanak-kanak aku. Rasa gula-gula kapas ini masih sama seperti dulu. Aku berjalan dan terus berjalan sambil mencuci mata.

Setiap permainan itu membawa aku kepada zaman kanak-kanak aku. Waktu aku kecil, papa selalu membawa aku ke sini dan bermain permainan ini. Antara permainan yang paling aku suka adalah baling bola. Kalau bola kecil itu kena pada sasarannya dapat hadiahnya lumayan, patung beruang besar.

Aku menghampiri salah satu permainan dan mencubanya. Memancing anak itik ini memang susah. Kalau dapat kira bernasiblah. Yang malangnya bila dapat tapi tidak kena. Itu memang menyakitkan hati. Habis duit untuk pancing saja. Hadiah misteri langsung tidak dapat.

Selesai satu permainan aku mencuba lagi permainan lain. Bariz dengan Zaliah hilang terus dari ingatanku kerana terlalu asyik bermain dengan permainan-permainan tersebut. Permainan seterusnya adalah memanah. Aku memang tidak ada bakat dalam memanah tetapi aku hendak mencubanya juga.

“Cik, boleh saya bantu?” Tegur seorang lelaki. Aku agak lelaki ini pasti salah satu pekerja di sini. Lagipun dia memakai t-shirt yang mempunyai lambang Taman Tema Bulan ini.

“Boleh juga. Saya tak pandai pegang alat memanah ni.”

Dia tersenyum. Baru sahaja dia mahu menyentuh tanganku tetapi ditepis pula oleh tangan lain. Serentak aku dengan pekerja lelaki itu memandang ke sisi.

Aku telan liur. Walaupun dia menutup mulutnya dengan topeng mulut dan memakai kaca mata hitam tetapi aku masih boleh kenal dia. Aku pandang kiri dan kanan. Sudahlah ramai orang dekat sini dia pula muncul dengan tiba-tiba. Mahu gugur jantung aku ini tahu.

“Encik ini siapa?” Tanya pekerja itu.

“Saya bakal suami dia. Kamu buatlah kerja kamu di sana. Biar saya saja yang bantu dia.” Suaranya agak tegang. Aku cuma tersenyum kelat memandang pekerja itu.

“Baiklah.” Pekerja itu terus berlalu.

Aku membelakanginya dan kaku untuk seketika. Takut aku mahu memandang wajah itu. Mana lagi gosip-gosip yang bermain dalam kepala otak aku ini sekarang.

“Kenapa tak main?” Tegang suaranya menyoalku.

“Saya tak pandai.”

“Sini. Saya ajar awak cara main memanah ni.”

Jantung berdegup laju. Nafasku seperti tersekat apabila dia menyentuh tangan aku. Entah berapa lama aku boleh menahannya.

“Maaf. Saya tak nak main.” Aku mengalah. Laju aku meninggalkannya.

Aku mengetuk kepala sendiri. Apa yang sudah terjadi pada diri aku ini?

Argh!! Ini semua gara-gara si Syirah punya kata-kata itu. Melekat terus dalam minda ini. Aku mahu lari ke mana supaya tidak bertembung dengannya lagi?

“Baling bola! Baling bola! Siapa yang dapat baling bola ini dan terkena pada sasarannya akan dapat dua patung beruang comel yang besar.”

Mati langkahku apabila mendengar jurucakap itu. Laju aku ke tempat permainan tersebut. Ramai pula pesaing-pesaing aku ini. Disebabkan dapat dua patung beruang besar terus mereka ke sini termasuklah aku.

Semua mencuba nasib dan nampaknya satu orang pun belum berjaya membaling bola itu ke sasarannya. Tiba giliran aku dan aku harap tuah menyebelahi aku.

Semua mata memandang ke arah aku. Aku pula fokus pada sasaran tengah itu. Bola kecil yang berada dalam genggaman aku ini aku genggam erat. Aku menyalurkan semua tenaga ke dalam bola itu sebelum membaling ke sasaran.

“Yah!!!” Aku baling sekuat hati.

Aku bagaikan tidak percaya! Kena!

“Yeah! Yeah!” Tuah memang sukakan aku. Laju aku mengambil hadiah tersebut. Orang-orang di sekeliling aku hampa kerana nasib tidak menyebelahi mereka. Gembira bukan kepalang lagi aku mendapat dua patung beruang besar ini.

“Mama... Ina nak juga patung tu.”

Aku menoleh. Seorang budak merenung ke arah patung beruang aku ini.

“Tak boleh, sayang. Itu orang punya. Kita main permainan lain, nak? Mama dapatkan yang lagi comel dari patung tu, nak?” Si ibu memujuknya. Laju budak itu menggelengkan kepalanya.

“Tak nak! Tak nak!” Wajahnya menunjukkan dia mahu menangis.

Aku menghela nafas berat. Lagi sekali aku kena macam ini. Setiap kali aku menang pasti ada sahaja yang mahu hadiah yang aku dapat ini. Kalau orang dewasa memang aku tidak layan tapi ini budak-budak. Cepat sungguh lembut hati kau ini Aryana Hani.

Aku memaniskan wajah dan merapati budak perempuan itu.

“Adik,” aku membongkokkan sedikit tubuh.

“Nah, kakak bagi adik satu.” Berlapang dada aku memberinya. Aku gembira budak itu menerima pemberian aku ini. Sejujurnya, aku tidak suka melihat budak-budak sedih.

Aku senyum dan mengusap wajahnya. “Jaga elok-elok patung beruang tu, ya, Dengar caka ibu.” Pesan aku.

“Baik! Terima kasih kakak!” Dia menghadiahkan aku ciuman di pipi.

“Sama-sama kasih sayang.”

Mereka terus pergi. Baru sahaja aku mahu gerak pergi ada lagi budak mengacau aku. Permintaannya sama seperti budak perempuan tadi. Tidak apalah. Kalau benda ini boleh menggembirakan dia apa salahnya aku bagi sahaja patung ini kepada budak itu.

“Terima kasih kakak!!” Ucapnya girang.

Aku membalas dengan senyuman. Budak perempuan itu terus pergi dan memeluk ibunya. Sempat aku dengan ibu budak itu bertentang mata. Wanita itu menyimpul senyuman dan aku membalasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience