BAB 22

Romance Completed 21274

AIR MATA mengalir deras. Aku berlari meninggalkan teater tersebut. Bagaimanalah aku tidak boleh mengecam suara tersebut?

“Hoi, perempuan! Jahanam kau. Sini!”

Habis rambutku ditarik olehnya. Aku memukul tangannya agar dia melepaskan cengkaman tersebut.

“Hoi, gila! Apa kau nak buat dekat aku, hah?!” Tengkingku.

“Aku nak kau berambus dari sini. Sakit hati aku tengok kau dengan putera raja tu dekat atas pentas. Aku nak kau keluar daripada universiti ni. Kau tak layak bersama dengan putera raja tu tau!”

“Jadi, kau tu layak sangatkah? Baju tak cukup kain. Main sana main sini dengan lelaki.” Aku masih mencuba melepaskan tangannya yang menggenggam kuat rambut panjangku ini.

“Kau cakap aku apa?!” Dia menarik kuat lagi rambutku.

“Sakitlah. Lepaskan!” Aku sudahlah tengah geram pasal hal tadi sekarang dia ini pula cari masalah dengan aku.

“Kau ingat aku nak lepaskan kau begitu saja?! Kau dah rampas putera aku kau tau tak!!” Marah sunguh dia dengan aku.

“Cik Elina Ryne, Putera Shiraz Adrian itu bukan milik sesiapa pun. Bila masa putera raja tu cop kau jadi milik dia dan aku tak pernah nampak pun cop kau dekat tubuh putera raja tu.” Lagi aku tambah api kemarahannya.

“Kau!” Dia menolak kasar sehingga aku jatuh terkena lumpur. Habis kotor baju kurung yang aku pakai ini.

“Hoi, perempuan tak sedar diri! Kau ingat kau tu cantik sangatkah, hah? Perasan tinggi menggunung saja kau ni, kan? Bukan semua lelaki pun suka dekat kau. Kau tak percaya kau tanyalah lelaki-lelaki yang lalu lalang depan kau tu. Mesti dia orang ejek kau bukan nak puji kau pun.” Aku mendengus. Aku bangun tetapi sekali lagi aku di tolak kuat ke belakang. Nasib baik kepala aku ini tidak kena dengan pokok besar itu.

PANG!

Aku tersentak. Bukan aku yang di tampar. Laju aku berpaling. Putera Shiraz Adrian berdiri tepat di hadapan Elina Ryne. Diakah yang menamparnya tadi?

“Putera...”

PANG!!

Dua kali penampar dia dapat. Mahunya aku ketawa di situ. Putera Shiraz Adrian memang sayanglah dekat aku ini.

“Elina Ryne! Berani kau kacau tunang aku. Kau ingat kau tu layakkah jadi tunang atau bakal isteri aku, hah? Cermin diri kau tu dulu sebelum nak jadi menantu dalam keluarga diraja ni.” Dia menunding jari ke arah perempuan itu.

Sementara mereka bertekak sesama sendiri aku di sini cuba untuk berdiri. Sudahlah kawasan ini berlumpur sebab hujan baru sahaja berhenti tadi. Sekarang, habis satu badan aku ini kotor.

“Mari kanda tolong.”

Saat dia menyentuh bahuku aku terasa hendak menangis.

“Tidak apa. Biar aku bangun sendiri.” Aku menolak tangannya.

“Huh, nak minta simpati konon. Baru tunang dah nak berlagak.”

Aku mengepal penumbuk. Sekejap lagi penumbuk ini singgah ke wajahnya. Tengoklah!

“Elina! Cukuplah. Kau buat hal kau sendiri. Jangan ganggu lagi tunang aku.”

“Putera...”

BUKK!!

Padan dengan muka. Kena dengan penangan penumbuk dari aku.

“Aryana Hani!” Putera Shiraz Adrian terkejut dengan tindakanku.

“Kau burukkan aku lagi kau kena sebelah mata. Biar jadi mata panda!” Tajam aku memandangnya.

“Tak guna!!” Elina Ryne membalasku namun aku sempat mengelak dan menolaknya jatuh ke bawah. Seri. Aku kotor dia pun sama kotor. Aku senyum puas.

“Kau ingat kau boleh lawan dengan aku. Kau silap besar kau tau tak!”

“Sudahlah dinda. Mari kita pergi dari sini.” Putera Shiraz Adrian mencapai tanganku dan membawa aku pergi dari situ.

“Awas, Elina Ryne! Kalau saya nampak awak kacau lagi Aryana Hani saya ini saya tidak teragak-agak hendak jatuhkan hukaman pada awak.” Amarannya.

Aku yang mendengarnya berasa terharu. Walaupun aku dalam keadaan marah tetapi aku berasa gembira kerana ada orang menyelamatkan aku.

“ZAIRI, tolong ambilkan tuala dalam kereta.” Arah Putera Shiraz Adrian pada abang botak.

Dalam diam aku tersenyum memandang abang botak itu. Akhirnya, namanya kutahu juga.

Putera Shiraz Adrian duduk mencangkung di hadapan aku yang duduk di kerusi panjang. Aku menjeling ke tempat lain.

“Kanda minta maaf. Kanda tidak tahu pula akan jadi seperti ini.”

Aku menjegilkan mata.

“Jadi, kaulah yang rancang semua ni?”

Dia angguk perlahan. “Salahkah kanda buat begini?”

“Apa sebab kau buat begitu? Kau nak malukan aku di depan semua orang?” Soalan berbalas soalan.

“Kanda... Kanda buat teater ni sebab dengan cara ini saja kanda boleh rapat dengan adinda. Kanda buat semua ini pun sebab kanda mahu teater ini menjadi kenangan manis untuk kita berdua.”

Dadaku berombak menahan perasaan yang bercampur. Saat itu muncul abang Zairi a.k.a abang botak. Dia memberikan tuala itu kepada Putera Shiraz Adrian.

“Mari kanda...”

“Tak payah! Aku boleh buat sendiri.” Aku menarik kasar tuala di tangannya dan kemudian mengelap rambutku.

“Kenangan manis konon. Apa yang kau buat tu bukan kenangan manis tapi kenangan pahit yang tak ada rasa langsung!” Geram.

“Kanda tahu tapi benar dinda.” Dia memandangku dengan wajah sayunya.

“Apa yang benar pula ni?!”

“Pasal teater tu benar kanda mahu jadikan sebagai kenangan manis tetapi, disebabkan kanda tidak dapat menahan diri kakanda daripada mengusik adinda teater ni jadi hancur.” Dia menghela nafas berat.

“Sejak kita bergaduh hari tu, kanda mahu berubah. Kanda tidak mahu adinda benci pada kakanda lagi. Kanda mahu jadi orang yang adinda sayang. Tapi, bila kakanda lihat wajah adinda sebelum teater mula tadi kanda jadi tidak keruan. Kanda tidak dapat mengawal sepenuhnya perasaan kakanda ini. Berhari-hari tidak jumpa adinda, hati kanda jadi rindu dengan adinda. Kanda rindu mahu mengusik adinda.” Luahnya.

Aku diam. Abang Zairi yang berdiri di tepi kami hanya memasang telinga sahaja. Pandangannya pula ke tempat lain.

“Nah, ambil balik.” Aku membaling tuala itu ke dadanya. Aku bangun mahu mengorak langkah.

“Dinda mahu ke mana?”

“Balik. Kau boleh tak jangan guna panggilan tu? Aku tak suka dengar. Geli!"

Tiga kali langkah dan aku berhenti semula. Aku menoleh ke arahnya.

“Lepas ni jangan jumpa aku lagi. Kalau tidak aku tidak teragak-agak pergi istana jumpa keluarga kau minta putus pertunangan ni.”

“Begini sekali dinda benci dengan kakanda?” Dia mendekati aku dengan wajah serius.

“Benci tetap benci. Orang playboy macam kau ingat senang nak berubahkah, huh? Sekali nampak perempuan cantik terus berubah hati.”

Dia diam. Kalau diam bermakna dia tidak ada kata-kata untuk membalas akulah, kan?

Aku buka langkah dan ketika itu ada seseorang memanggil namaku.

“Abang Fariz!” Wajahku bertukar ceria sebaik sahaja melihat wajah lelaki itu.

“Abang telefon Yana tapi Yana tak angkat. Rupanya Yana dengan tunang.”

“Kenapa abang cari Yana ni?”

“Sebenarnya abang nak bagi gambar...”

Laju aku menutup mulutnya. “Abang Fariz kita cakap dekat tempat lainlah, ya. Jom.” Aku menarik tangannya pergi dari situ.

“Dinda layan dia baik. Tapi, dengan kanda...”

Aku berhenti dan berpaling semula. “Nak tahu tak Putera Shiraz Adrian. Beza kau dengan dia ini adalah perangai kamu berdua. Kau tu perangai tak senonoh tapi abang Fariz tak. Aku benci kau sangat-sangat tapi aku tak benci abang Fariz.”

“Kalau macam tu, dinda bencilah kanda sepenuh hati adinda. Mungkin itu lebih baik daripada tidak ada perasaan di hati adinda terhadap kakanda. Adinda boleh cakap dengan meraka tentang kakanda tapi kanda yakin suatu hari nanti hati benci adinda itu akan bertukar cinta.”

Dia menoleh ke belakang.

“Bencilah kanda kerana dengan cara itu saja kanda akan selalu ada di ingatan adinda.” Dia terus melangkah pergi.
Aku tergamam. Kata-katanya membuatkan hati aku terasa lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience