BAB 33

Romance Completed 21274

“KAKAK YANA!” laju Lisha memeluk aku sebaik sahaja aku dengan Syirah tiba di rumah aunty Melisa.

Aku dengan Syirah berpandangan sesama sendiri. Tidak lama kemudian muncul aunty Melisa. Dia menghadiahkan kami dengan senyuman manisnya.

“Terima kasihlah, Yana. Gembira hati aunty, Yana datang ke sini. Yang ini siapa pula?” Aunty Melisa mengalihkan pandangannya ke arah Syirah.

“Saya Syirah Ainul. Aunty boleh panggil saya Syirah saja. Saya teman baik Yana.” Syirah memperkenalkan dirinya.

“Oh. Nama aunty, Melisa. Jemputlah masuk.”

“Kak Yana marilah masuk.” Laju Lisha menarik aku masuk ke dalam meninggalkan Syirah dengan aunty Melisa di belakang.

SAMPAI ke malam aku dengan Syirah di rumah aunty Melisa. Aku sibuk melayan karenah budak itu. Syirah pula sibuk melayan aunty Melisa. Entah apa yang dibualkan oleh mereka berdua. Suami aunty Melisa sudah tidak ada. Suaminya meninggal setahun yang lepas akibat serangan jantung. Di rumah ini hanya ada aunty Melisa, Lisha, orang gaji mereka dan Rita iaitu adik perempuan aunty Melisa. Tapi, aunty Rita tidak ada malam ini kerana dia ada kerja luar dari Pura Cahaya.

“Lisha, boleh tak kak Yana dengan kak Syirah pulang dulu? Lagipun hari sudah malam.” Lembut bicaraku pada budak itu.
Wajahnya bertukar masam.

“Ya, Lisha. Esok kakak berdua ada peperiksaan. Kak Syirah dengan kak Yana tak belajar lagi ni.” Syirah buat muka comel memujuk Lisha.

“Ala... Tak nak. Kakak berdua tidur sajalah di rumah ini.” Dia pula memujuk kami berdua.

Aku dengan Syirah garu kepala.

“Syirah, esok subjek peperiksaan kau apa?” Tanyaku.

“Esok lakonan. Pensyarah nak tengok lakonan kami berdasarkan tajuk yang diberi. Kau pula?”

“Aku ada subjek sumber manusia dengan pemasaran esok.” Aku melepaskan keluhan kecil. Lisha masih memaku pandangannya ke arah kami berdua.

“Lisha bolehlah kak Yana dengan kak Syirah pulang, ya? Kami janji lepas peperiksaan kami akan ke sini.”

Laju Syirah mengangguk menyokong kataku.

“Lisha bagilah kakak berdua ni pulang dulu. Esok-esok ada lagi, kan?” Giliran aunty Melisa pula memujuk anaknya.

“Okey. Tapi kakak berdua janji datang esok, ya?” Dia siap buat pinky promise lagi dengan kami berdua. Mahu tidak mahu kenalah juga berjanji dengan dia.

SYIRAH AINUL mengeluh. Aku pun mengeluh. Kami beriringan jalan ke tempat pondok bas. Harap-harap ada bas lalu di kawasan ini.

“Yana, kau nak tau tak cerita si Lisha ni?”

“Cerita budak tu? Cerita apa?”

“Kau tau tak kenapa dia asyik nakkan kau saja?”

“Ish, kau ni banyak soalan betul. Cerita sajalah.” Aku menggerutu.

Dia ketawa. “Ya. Ya. Aku ceritalah.” Dia mencebik.

“Begini, Lisha sebenarnya ada kakak tapi kakak angkatlah.”

“Jadi, apa masalah dengan kakak angkatnya itu?”

“Kakak angkatnya meninggal akibat kemalangan jalan raya. Kakak angkatnya muda dari kita tapi wajah dia seakan-akan kaulah, Yana.”

“Betulkah?”

“Ya. Aunty Melisa sendiri bagi tengok aku gambar Kila, kakak angkat Lisha tu.”

“Patutlah budak tu asyik nak berkepit dengan aku saja. Aku rasa dia nak lepaskan rindu dekat akulah tu.”

“Mungkin.”

Kami meneruskan perbualan lagi sehingga ada satu kenderaan putih berhenti di depan kami. Itu kereta milik Bariz Arryan, adik aku. Sebentar tadi dia ada mesej aku kerana risau aku tidak balik ke rumah. Setelah memberitahunya dia terus ke sini dan mengambil kami berdua.

“Risau kami kakak tak pulang tau. Mesej pun tak.” Keluar sahaja dari perut kereta dia terus membebel.

“Maaflah. Budak Lisha tu yang tak nak akak pergi.”

Kedua-duanya membulat mata. Aku pelik.

“Sejak bila kak Yana tukar panggilan ni?” Tanya Bariz.

“Yakah? Mungkin sebab si Lisha itulah tu. Budak-budak kenalah berlembut dengan dia orang. Kalau berkasar nanti lain pula jadinya.” Laju aku beri alasan. Aku sendiri pun tidak sedar dengan perkataan yang aku guna tadi.

“Baguslah. Ada perubahan kakak Bariz ni.” Dia memeluk bahuku. Syirah juga turut tersenyum.

“Jom. Sebelum pulang kita pergi makan dulu. Lepas tu hantar kak Syirah pulang.”

“Okey! Akak setuju saja.” Ujar Syirah riang. Masing-masing masuk ke dalam perut kereta. Bariz terus memandu keluar daripada kawasan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience