BAB 10

Romance Completed 21274

SEMINGGU lebih sudah berlalu. Terasa bosanlah pula hari ini. Syirah sibuk dengan teater dia yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

“Apa aku nak buat ni...?” Aku menongkat dagu. Mataku meliar di sekitar kawasan taman Universiti Diraja Kadziyah ini. Sejak peristiwa di pejabat pentadbiran itu aku tidak pernah nampak lagi kelibat Mr. Crocodile itu.

Bunyi mesej masuk. Aku segera membuka dan membacanya.

Tersenyum aku sendiri apabila melihat mesej tersebut. Mesej itu datang daripada Fariz Qyle. Selepas daripada kejadian tempoh hari, kami berdua kerap bermesej sehinggalah ke hari ini.

Fariz Qyle masih bercuti dan masih lagi menetap di tempat penginapan Moden-Klasik itu. Katanya, dia mahu mengajak aku keluar hari ini. Aku menerima ajakannya itu dengan hati yang terbuka.

Aku menunggu Fariz Qyle di depan pintu utama masuk Universiti Diraja Kadziyah ini. Hampir 20 minit aku menunggunya di sini dan kelibatnya masih juga belum muncul. Aku berpeluk tubuh sambil menggigit bawah bibir. Mundar mandir melihat kereta-kereta yang lalu lalang di depan aku ini.

“Nasib baiklah cuaca redup. Kalau panas memang aku balik rumah terus ni.” Gumamku sendirian.

Aku memerhatikan kawasan sekeliling dan ketika itu mataku menangkap kelibat Elina Ryne sedang memeluk seorang lelaki tinggi lampai. Mereka beriringan keluar dari kawasan universiti. Aku cepat-cepat bersembunyi di sebalik tong sampah besar dekat dengan pondok bas ini.

Aku mengerutkan dahi. Kemana pula kereta perempuan itu? Lelaki tinggi macam zirafah ini siapa pula? Kenapa dia orang tidak balik dengan kereta sahaja? Bermacam-macam soalan yang berlegar di kepala aku sekarang.

“Elina, sampai bila kau nak tipu putera tu, hah?” Tanya lelaki tinggi itu. Tangannya mengusap lengan Elina Ryne. Geli pula aku tengok kelakuan mereka.

“Sampai dia sah menjadi milik aku.” Dia ketawa jahat.

Dahiku berkerut. Aku memasang telinga untuk mendengar lebih lanjut lagi perbualan mereka berdua.

“Sah milik kau? Eh, Elina. Kau betul-betul nak kahwin dengan dia ke, hah? Aku ni kau nak campak dekat mana pula?”

“Zyan, sayang...” Elina Ryne merapatkan dirinya pada tubuh lelaki itu. Pipi lelaki itu dielus beberapa kali.

Aku telan liur. Tidak sanggup melihatnya. Janganlah mereka berdua ini buat cerita 18 tahun ke atas. Walaupun umur aku ini 23 tahun tapi otak masih budak-budak. Tolonglah jangan cemarkan otak suci aku ini.

Aku ternganga. Terbeliak melihat kemesraan mereka berdua. Terus aku menoleh ke tempat lain. Ish, cium-cium pipi pula perempuan ini. Mahu sahaja aku membaling botol air di tepi tong sampah ini ke muka mereka. Tak senonoh langsung!

Laju aku menundukkan kepala apabila perempuan itu menoleh ke sebelah kanan. Huh! Mujurlah dia tidak perasan aku sedang bersembunyi di sini.

“Kau masih kekasih aku, Zyan. Aku lebih sayangkan kau daripada putera raja tu. Aku nak rapat dengan dia pun cuma nak bolot harta dia saja.”

Aku tercengang. Dasar perempuan pengikis harta!

“Tapi, kau sedarkan yang putera raja itu bukannya ada hati dekat kau pun.”

“Aku tahu. Sebab itulah aku tak boleh putus asa walaupun terpaksa berdepan dengan perempuan kasar tu.” Dia mencebik lalu berdiri sambil berpeluk tubuh.

Aku buat muka. Mengutuk akulah tu!

“Elina sayang, kau buat macam tu pun tetap buatkan hati aku ni risau. Lagipun, bukan calang orang yang kau jadikan mangsa kau ni.”

“Zyan, janganlah risau sangat. Aku tahulah apa yang aku buat ni.” Dia berpaling membelakangi lelaki itu.

“Apa yang kita ada sekarang ini belum cukup untuk menampung hidup kita di masa akan datang. Tengoklah saja apa yang terjadi dengan kereta kita berdua tu. Dua-dua kena tarik balik sebab tak bayar ikut masa yang ditetapkan. Keluarga kita pun bukannya kaya sangat macam si putera raja itu.”

Aku mengetap gigi. Rupanya, perempuan ini sudah lama merancang mahu membolot harta Putera Shiraz Adrian. Kasihan pula aku dengan Mr. Crocodile tu.

“Sudahlah. Bas pun dah sampai. Kita bincang hal ni di dalam bas saja.” Ujar lelaki itu. Bas berhenti di hadapan mereka.

Aku berfikir sejenak. Mereka masih mahu membincangkan tentang rancangan jahat mereka itu. Aku patut ikut mereka dan siasat apa yang mereka mahu buat terhadap Putera Shiraz Adrian.

Baru sahaja aku berdiri, bas itu sudah bergerak pergi. Aku mahu kejar tetapi ada kenderaan lain pula berhenti di depan aku. Siap menghon aku lagi.

“Yana, masuklah.”

Wajahku berubah sebaik sahaja melihat gerangan pemilik kereta mewah ini.

“Okey, abang Fariz.” Aku segera masuk ke dalam perut kereta.

“Sejak bila pula Yana ni ber 'abang’ dengan saya?”

“Sejak tadi.” Aku tersengih.

“Alah, salahkah Yana panggil abang? Yana malaslah nak ber’awak’, saya ni.” Mulutku muncung sedepa.

“Alalala... merajukkah?”

“Mana ada merajuk.” Aku mencebik dan kemudian menarik seat belt.

“Abang Fariz kata nak bawa Yana jalan-jalan. Jomlah.”

“Okey. Okey. Ish, Yana ni.” Fariz Qyle menggelengkan kepala. Dia terus memecut laju menuju ke tempat destinasi.

PERBUALAN Elina Ryne dengan teman lelakinya itu masih bermain-main di fikiranku. Patutkah aku beritahu hal ini pada dia? Hmm...

“Diam saja. Yana okey tak ni?” Tegur Fariz Qyle yang sedang memandu.

“Okey. Cuma, Yana terfikirkan sesuatu.” Aku melepaskan keluhan kecil.

“Fikirkan Putera Shiraz Adrian?”

Aku geleng kepala. Pandanganku masih menghala ke hadapan.

“Habis, kalau bukan putera raja tu, apa yang Yana fikir? Ketat saja wajah tu abang tengok.” Sesekali dia mengerling ke arah aku. Panggilannya juga sudah berubah.

“Tak ada benda pun yang nak difikirkan. Yana cuma fikir mana abang Fariz nak bawa Yana sekarang ni. Itu saja.” Terus air mukaku berubah ceria. Tidak payahlah dia tahu apa yang aku sedang fikirkan sekarang ini.

“Yakah?”

“Ya.”

“Hmm...”

Dia memberhentikan kereta apabila lampu isyarat memberikan isyarat warna merah. Jari-jarinya menari-nari di atas stereng kereta. Mungkin dia sedang berfikir.

“Sebenarnya abang lapar. Kita pergi cari tempat makan yang mahal, nak?”

“Tak naklah. Walaupun kita kaya, tak payahlah bazir sangat duit tu. Kalau abang nak makan Yana boleh cadang tempat makan yang termurah sekali. Murah tapi sedap.”

“Eee... Tak ada standard langsung. Baik Yana ikut saja cadangan abang ni.”

“Tak nak.” Aku geleng kepala.

“Naklah.”

“Tak nak. Abang dengarlah cakap Yana. Yana janji tempat tu makanan dia sedap-sedap. Bukan saja makanan tapi tempat dia pun cantik. Apa yang penting, dekat sana tu memang murah-murah. Ya. Ya.” Aku memujuknya. Lampu isyarat bertukar warna. Dia meneruskan pemanduannya.

Fariz Qyle menggeram. Jelingan tajam dihadiahkan kepadaku.

“Yalah. Yalah.”

Aku tersenyum puas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience