BAB 4

Romance Completed 21274

HABIS sahaja kuliah subjek akaun tadi aku terus ke perpustakaan. Assignments subjek akaun perlu di hantar sebelum jam 5.00 petang.

Hari ini aku langsung tidak berjumpa dengan Syirah. Masing-masing sibuk dengan tugasan sendiri. Aku melajukan langkah ke sana. Harap-harap lelaki itu tidak berada di situ. Pagi tadi aku ada terserempak dengan dia dan aku terus melarikan diri. Aku tidak ada mood hendak bergaduh dengan lelaki itu kerana fikiran aku sekarang tertumpu pada tugasan subjek aku ini.

Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Fokus adalah matlamat aku sekarang. Aku ada sejam lagi untuk menyiapkan separuh assignments akaun ini. Salah sikit pada ayat yang aku tulis terus aku merenyukkan kertas tersebut dan buang begitu sahaja. Habis bersepah kertas sana sini. Aku buat tidak kisah sahaja. Lagipun, aku seorang di sini. Pelajar-pelajar lain semuanya ada di bahagian depan. Mereka tidak ke sini kerana tempat aku ini di hujung perpustakaan.

“Jangan tengok!”

Aku tergamam mendengar suara tersebut. Aku angkat wajah namun sekali lagi aku di marah olehnya. Wajahku berubah riak.

“Fokus saja dengan assignment tu. Kanda bantu buat assignments yang lain.” Ujarnya.

Aku cuba bertenang, mengawal diri daripada marah. Sekarang ini assignments aku lebih penting. Aku tarik dan menghembuskan nafas. Aku mengulanginya beberapa kali sebelum meneruskan kerja yang tergendala sebentar tadi.

Fokus Yana. Kau boleh lakukannya!

Aku memberi semangat pada diri sendiri. Aku cuba untuk bertahan agar tidak terpandang wajahnya kerana takut sekiranya aku tidak boleh mengawal kemarahan aku ini.

“Dinda silap dekat soalan ini. Kena betulkan semula.” Dia bersuara selepas memeriksa hasil kerja akaun aku itu.

“Tapi...”

“Kanda cakap jangan tengok. Buat saja kerja tu.”

Aku mengepal tangan apabila dia menyuakan kembali kertas kerja akaun aku itu kepadaku. Setahu aku, aku sudah menyemak beberapa kali kertas kerja akaun itu. Ish, dia ini sengaja mahu hidupkan gunung berapi Yana, kan!

“Berapa kali semak pun kalau tak teliti tetap ada kesilapannya juga. Sebab itulah kena ada orang untuk jadi pemeriksa dan mujurlah kanda ada di sini. Kanda pastikan kertas kerja akaun adinda ini akan dapat markah yang tinggi.”

Dia sudah mula buat perangai. Sabar sahajalah!

Dia marah aku lagi bila sedar aku sedang curi-curi tengok dia.

“Dinda ni tak pandai dengar, kan. Kanda datang sini bukan niat hendak mengusik adinda. Cuma hendak menolong adinda. Kanda tak nak dinda tengok kanda pun sebab kanda tahu dinda akan naik marah dengan kakanda.”

Aku mencebik. “Yalah tu!” Aku meneruskan kerjaku tanpa menghiraukannya. Kalau dilayan nanti bertambah sakitlah hati aku. Silap hari bulan aku boleh kena kanser hati gara-gara dia ini.

“ALHAMDULILLAH! Akhirnya dapat juga aku berehat malam ini.” Baru sahaja tadi aku menghantar assignments aku itu. Semuanya siap sebelum masa akhirnya.

“Dah hantar mari ikut kanda pula.”

“Kau?!” Terkejut aku. Bila masa pula dia ada dekat sini?

“Aku tak mahu!” Aku mengorak langkah pergi namun tangannya pantas memaut pinggangku.

“Putera Shiraz Adrian!” Geram aku dengan tindakan melulunya itu.

“Jangan sentuh aku boleh tak?! Ish!” Dengan kasar aku menolak tangannya yang memaut pinggangku ini. Laju aku menjarakkan diri darinya.

Dia tiba-tiba ketawa. “Dinda ni tak bolehkah tak marah kanda. Baru saja tadi kanda tolong dinda. Sepatutnya, dinda kenalah layan kanda ni baik-baik. Tapi, ini pula yang dinda balas dekat kanda.”

“Siapa juga yang minta pertolongan dari dia.” Aku menyindir seiring dengan jelingan tajam yang aku hadiahkan kepadanya.

“Yana buat apa dekat sini? Kenapa tak balik lagi?”

Aku berpaling bila ada suara lain menegurku. Tidak sangka pula aku akan berjumpa dengan dia di sini.

“Abang Ikhwan, abang buat apa dekat sini?” Tersipu malu aku dibuatnya. Dia inilah yang dikenankan oleh mama kepadaku. Tapi, aku tidak mahu. Aku cuma menganggapnya sebagai abang sahaja. Tidak lebih daripada itu pun. Walaupun mama selalu sahaja mengenakan aku dengan abang Ikhwan ini tetapi aku tidak ambil kisah. Abang Ikhwan bukan ada perasaan dengan aku. Dia sendiri yang beritahu aku tentang perasaannya sebelum ini.

“Abang baru selesai jumpa profesor tadi.”

“Oh, Yana pula baru habis hantar assignments Yana.” Beritahuku sambil tersengih. Aku baru teringat yang abang Ikhwan ini ambil jurusan pentadbiran perniagaan. Sebab itu jugalah kami berdua jarang bertemu.

Tapi...

Aku berpaling. Lelaki playboy ini selalu sahaja berkeliaran di sekitar kolej ini. Dia tidak masuk kuliahkah? Setahu aku dia dengan abang Ikhwan sama jurusan.

“Korang berdua sudah lama kenalkah?” Putera Shiraz Adrian bersuara setelah lama memerhatikan kami berdua berbual.

“Ya. Keluarga kami berdua kenal rapat.” Beritahu abang Ikhwan. Umur mereka berdua ini sama dan tua dua tahun daripada aku.

“Err... kenapa tuanku tidak masuk kelas tadi?”

“Suka hati sayalah hendak masuk kelas ataupun tidak. Universiti inikan kepunyaan keluarga kerabat saya.” Lembut nadanya tapi bahasa seperti memerli abang Ikhwan.

“Hmm... Abang Ikhwan mahu pulang sudahkah? Kalau abang Ikhwan mahu pulang Yana mahu ikut sama. Bolehkan?” Peluang untuk aku melarikan diri dari dia ini. Abang Ikhwan menyimpul senyuman.

“Marilah.”

Aku ketawa dalam hati. Padan dengan muka Putera Shiraz Adrian ini.

“Assalamualaikum, tuan putera raja. Harapnya kita berdua tidak akan berjumpa lagi selepas ini, ya.” Aku terus menarik tangan abang Ikhwan. Biarkan sahaja lelaki itu terpinga-pinga di situ.

“Kenapa Yana cakap macam tu?”

“Nantilah Yana cerita dekat abang. Mari pergi.”

“Putera Shiraz, kami minta diri dulu. Assalamualaikum!”

Aku membuat muka. Abang Ikhwan ini mahu juga bersopan dengan lelaki itu.

“Yana cerita, ya. Kalau tak abang tak nak kawan dengan Yana lagi. Abang tak nak tolong Yana.”

“Eleh, ingat Yana takutkah?”

“Betul ni?” Dia angkat kening sebelah. Aku tersengih.

“Gurau sajalah.” Kami terus berbual sehingga ke tempat pakir keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience