BAB 5

Romance Completed 21274

RUMAH banglo tiga tingkat ini jadi riuh rendah sekali kerana papa membawa kami semua pergi bercuti di tempat pelancongannya. Macam-macam bekalan yang mama sediakan untuk kami semua. Dua orang gaji kami, Mak Teha dan Mak Yah pun turut ikut sama dengan kami hari ini.

Sebelum keluar, mama sempat berpesan kepada Pak Auf agar menjaga rumah ini. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang lain. Wah! Tak sabarnya nak pergi Moden-Klasik Pura Cahaya tu. Aku tak pernah lagi pergi ke sana. Hanya melihatnya dari kaca televisyen sahaja.

SENYUMANKU lebar hingga ke telinga. Tidak sangka pula tempat pelancongan papa aku ini cantik. Saat turun daripada kereta ada pula kereta lain yang berpakir di sebelah kami. Bukan satu tetapi dua buah kereta. Kedua-dua kenderaan itu dari jenama yang agak mahal daripada kenderaan kami. Pada masa yang sama ada lagi dua kenderaan lain yang berpakir bertentangan dengan kereta papa aku. Aku kenal dengan salah satu kenderaan tersebut. Kereta itu milik abang Ikhwan.

Aku menoleh ke arah mama sebelum mengeluh. Aku pasti cuti ini bukan sekadar cuti keluarga. Pasti mama sudah mengatur sesuatu yang aku tidak tahu.

“Papa, bukankah itu Putera Shiraz Adrian dengan...” Mama dengan yang lain laju menuju ke arah kereta mewah itu. Tinggal aku sahaja yang berdiri jauh dari mereka.

Mahu jatuh rahang aku saat melihat dia dengan keluarganya keluar daripada perut kereta tersebut. Ini buat kali pertamanya aku dengan yang lain bertemu dengan raja dan permaisuri Pura Cahaya. Separuh hati aku ini mahu tunduk hormat kepada mereka dan separuh hati lagi menahan kerana benci melihat lelaki playboy itu.

“Ah, sebelum mereka perasan aku lebih baik aku larikan diri.” Aku ambil keputusan untuk meninggalkan mereka senyap-senyap.

“Maafkan patik tuanku. Patik lari inipun bukan sebab tuanku berdua tetapi anak tuanku itu.” Seperti lipas kudung aku berlari menyembunyikan diri.

SUDAH sejam setengah aku duduk di kawasan pantai ini. Aku tahu, pasti mereka sedang mencari aku. Adik aku ini pun sudah berkali-kali menghubungi aku tetapi aku buat tidak tahu sahaja dengan panggilan tersebut.

Aku tidak sangka kawasan pelancongan ini begitu luas sekali. Kawasan pelancongan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kawasan moden dan juga kawasan klasik. Kedua-dua tempat ini dipisahkan oleh sungai Biruan dan sekarang ini aku berada di bahagian kawasan klasik.

Aku meliarkan pandangan ke sekeliling kawasan. Di sekeliling aku ini dipenuhi dengan alam hijau dan terdapat beberapa buah penginapan jenis rumah kayu yang tidak jauh dari tempat aku beristirahat. Aku seperti berada di pulau pula. Yalah, tempat ini luas macam kawasan Universiti Diraja Kadziyah itu. Tapi, jika dibandingkan keluasan kawasan klasik ini dengan kawasan moden, kawasan moden itu lagi luas.

Kedua-dua tempat ini ada tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Macam-macam aktiviti luar dan dalam disediakan untuk pengunjung yang datang bercuti di sini. Begitu juga dengan penginapan. Boleh dikatakan tempat pelancongan ini sempurna. Semua ada.

Aku menarik nafas panjang dan kemudian menghembus perlahan. “Segarnya udara!”

Lebih baik aku duduk diam sahaja di sini sambil menikmati pemandangan yang indah ini. Aku tumpang gembira dengan kejayaan papa aku ini kerana berjaya membangunkan pusat pelancongannya yang tersendiri. Pengunjung pun tidak putus-putus datang ke sini.

Melihat pemandangan di waktu petang sebegini sungguh mendamaikan dengan tiupan bayu lembut membelai setiap helaian rambut panjangku ini. Hari ini aku tidak mengikat rambutku. Biasalah aku ini kalau hendak bersopan di tempat belajar sahaja. Ikat rambut dengan pakaian yang sopan dan kemas. Kalau di luar universiti lantak akulah hendak menggayakan rambut apa. Bukan orang nak mengata pun.

“Cik seorang sajakah?”

Baru sahaja aku hendak bersenang-lenang di sini, sudah ada yang menegurku. Aku mendongak memandangnya. Kacak. Boleh tahan juga lelaki ini.

“Ya, saya seorang saja. Awak siapa tiba-tiba saja mahu menegur saya?” Aku tidak malu bertanya pun. Dia manusia dan aku juga manusia. Lainlah kalau dia ini makhluk asing yang datang dari planet lain. Sudah tentu aku pecut, lari dari sini.

“Fariz Qyle. Saya pengunjug di sini. Tinggal dekat penginapan sana tu.” Dia menunjuk ke arah salah satu rumah kayu yang ada di atas bukit itu.

“Oh...”

“Hmm... boleh saya duduk?”

“Silakanlah. Tapi, duduk jauh-jauh sikit. Jangan dekat dengan saya. Saya tak suka lelaki yang tidak dikenali duduk dekat dengan saya. Nanti, saya jadi singa betina.” Aku siap-siap beri amaran kepadanya.

Dia ketawa lalu mengikut seperti apa yang aku cakapkan tadi. Dia duduk di sebelah pokok kelapa yang bertentangan dengan kedudukan aku.

“Boleh saya tahu nama awak?” Dia membetulkan posisi duduknya.

“Aryana Hani. Nama pendek, Yana.”

“Cantik nama, macam orangnya juga. Manis. Sedap mata memandang.”

Aku tersengih. Kaum lelaki biasalah. Kalau kenal dengan kaum Hawa pasti tidak lepas dengan pujian mereka itu.

“Hmm... awak sudah berapa lama dekat sini?” Aku meneruskan perbualan.

“Empat hari lepas lagi saya ke sini. Saya saja datang tempat ni. Kata orang tempat ini adalah tempat pelancongan yang terbaik di Pura Cahaya.”

Bangga aku. Inipun sebab usaha gigih papalah. Aku ketawa dalam hati.

“Dari cara awak cakap itu saya pasti awak bukan berasal dari sini, bukan?”

Senyumannya menampakkan lesung pipi di sebelah kiri wajahnya. Cair aku!

“Ya. Saya dari Pura Janggi. Datang sini saja hendak hilangkan tekanan.”

Aku angguk-angguk kepala. “Kerja? Belajar?”

“Kerja. Saya kerja dengan papa saya. Papa saya ada perniagaan perabot dekat Pura Janggi.”

“Oh...”

“Kalau ikutkan hati saya ini saya memang hendak sambung belajar lagi. Tapi, keadaan sekarang tidak mengizinkan saya berbuat begitu.” Dia tersenyum nipis.

“Awak umur berapa?” Tidak semena-mena aku bertanya umurnya.

“25 tahun. Kenapa?”

Umur dia ini sama dengan abnag Ikhwan dengan si putera itu.

“Tak ada. Saja tanya. Lagipun, tengok muka awak ni matang saja. Tapi, kalau awak ada kesungguhan hendak sambung belajar, awak masih boleh masuk universiti atau kolej.”

Abang Ikhwan dengan si putera itu sekarang ambil program master. Tidak lama lagi mereka mahu tamatkan pengajian mereka.

Ish, boleh pula aku fikir pasal mereka berdua itu.

“Belajar tu bila-bila masa sahaja pun boleh. Belajar ni tak kira umur pun. Kalau ada peluang nanti saya sambung belajarlah balik. Cukuplah dengan ijazah yang saya ambil sebelum ini.” Ujarnya dengan senyuman. Tenang sahaja cara dia bercakap dengan aku.

“Tadi awak kata keadaan tidak mengizinkan? Keadaan apa yang awak maksudkan tu?” Aku mahu tahu juga apa sebab dia tidak mahu menyambung pelajarannya.

“Awak ni banyak tanya juga, ya.” Dia mentertawakan aku.

“Tak bolehkah? Kalau begitu kita diam sajalah. Buat hal masing-masing.”

Tawa kecilnya menjadi besar. Aku mencebik.

“Cakap macam tu pun awak nak merajukkah?” Dia masih dengan sisa tawanya.

“Sebenarnya, sekarang ini papa saya mahu saya ambil alih perniagaan dia. Tapi, saya tak bersedia lagi. Sebab tu saya minta cuti untuk berfikir tentang permintaan papa saya tu.”

“Wah, kerja keraslah awak lepas ni. Tapi, kena fikir betul-betullah. Lagipun, itu semua soal masa depan awak. Sekali awak terima awak tak boleh patah balik.”

“Yakah?”

“Ya.” Jawab aku dengan yakin.

“Saya boleh saja patah balik. Tapi, tengoklah macam mana keadaannya.” Dia meregangkan tangan ke atas dan melepaskan lega.

“Rasa macam kurang sikit tekanan saya ini. Yalah, ada awak yang sudi berbual dengan saya.”

Aku membalas dengan senyuman.

“Awak pula tak nak cerita pasal diri awakkah?” Giliran dia pula menyoalku.

“Tak ada benda menarik pun pasal saya.”

“Ceritalah saja. Sikit pun tak apa.”

Aku memandangnya sekejap. Malas sebenarnya mahu cerita latar belakang aku ini. Tapi dia nak tahu juga. Ah, cerita sikit sajalah.

“Saya masih belajar. Saya belajar dekat Universiti Diraja Kadziyah.”

“Universiti tu bukankah kepunyaan kerabat diraja? Err... tak silap saya Raja Shakawi Shaif. Anak dia ada belajar di situ, kan?”

“Macam mana awak tahu? Padahal, awak bukannya dari sini.”

“Mestilah tahu. Raja Shakawi itu sangat terkenal sampai dekat Pura Janggi. Jiwa rakyat dia itulah yang buatkan masyarakat teringin hendak berjumpa dengannya. Kalau berpeluang, saya pun mahu juga berjumpa dengan pemimpin Pura Cahaya ini.”

Aku cuma membalas dengan sengihan. Mana mungkin aku mahu beritahu dia tentang hal kerabat diraja Pura Cahaya ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience