BAB 34

Romance Completed 21282

MINGGU terakhir dan hari terakhir. Aku merdeka! Aku ketawa riang kerana peperikasaan untuk semester ketiga ini sudah habis dan kami sudah mula cuti. Namun, wajah ceriaku hanya sementara sahaja kerana lepas ini aku perlu membantu mama dengan aunty Irdina.

Aku mengeluh. Langkah ku atur menuju ke taman kerana Syirah menyuruh aku menunggunya di sana sebelum ke rumah Lisha. Seminggu ini kami asyik ke rumah budak itu sahaja. Lepas habis peperiksaan kami terus ke rumah Lisha dengan buku-buku bacaan untuk peperiksaan yang seterusnya. Mujurlah keluarga aku dengan Syirah faham kenapa kami pulang lewat ke rumah.

JANTUNG berdegup pantas saat memandang wajah kacak itu dari jauh. Sudah lama aku tidak melihat dan bergaduh dengannya sejak kami bertengkar di vila. Apa agaknya khabarnya sekarang?

Aku mengetap bibir. Walaupun rindu mahu bergaduh tetapi syaratnya masih lagi aku simpan kemas di dalam kotak fikiran ini. Lagi tiga minggu lebih masa yang ada untuk aku ubah diri aku menjadi feminin.

“Serbu!!”

Terkejut aku dengan jeritan tersebut. Aku berpaling sahaja terus mereka menyimbah aku dengan air lumpur. Bukan setakat lumpur sahaja di dalam baldi itu tetapi juga ada katak. Aku tidak tahu berapa jumlah katak yang mereka masukkan dalam tiga baldi itu. Katak? Aku bukannya takut dengan binatang pun. Serangga pun aku tidak takut, tahu.

“Elina Ryne!” Aku naik geram. Tangan aku kepal kuat. Mahu sahaja aku tumbuk wajahnya itu.

“Kau jangan cabar kesabaran aku boleh tak?!”

Dia ketawa sambil mengejek, menjelirkan lidahnya ke arah aku.

Dia ini sudah melampau! Kau tunggu!

Aku menangkap seekor katak dan memegangnya erat kerana takut terlepas nanti. Aku meluru ke arahnya dan menarik leher bajunya. Katak yang aku pegang itu terus aku masukkan ke dalam bajunya. Laju dia melompat ketakutan. Aku ketawa berdekah-dekah.

“Penakut! Elina Ryne penakut!” Aku mengejeknya. Mahu menangis dia apabila mengeluarkan katak tersebut dari dalam bajunya.

BUKK!!

Dia jatuh di atas rumput. Aku masih ketawa. Geli hati melihat dia.

“Aryana Hani!!” Jeritannya tidak aku peduli. Namun, ketika itu ada satu menangkap pandangan aku. Rantai yang di pakai oleh Elina Ryne.

Aku tidak percaya. Laju aku mendekatinya yang masih tercari-cari katak di dalam bajunya.

“Apa kau nak buat lagi ni, hah?!” Marahnya.

Aku tidak peduli dengan reaksinya itu. Tangan mencapai buah rantai di leher Elina Ryne.

“Lepaslah! Tak cukup ini, kau nak ambil rantai ni juga?!” Dia menepis tanganku.

“Eh, perempuan! Siapa yang mula dulu, huh? Aku cuma kenakan kau saja sebab kau ni tak serik. Kau ganggu lagi aku lepas ni, siaplah kau!” Aku tunding jari dengan wajah bengis.

“Aryana Hani!!” Dia menggeram. Aku terus berlalu dari situ. Lebih baik jumpa Syirah di luar universiti sahaja.

“GADUH lagi!” Syirah menunjukkan wajah tidak puas hatinya. Kami berdua sedang menikmati makanan tengah hari di sebuah kafe Chocoberry.

“Bukan aku yang cari pasal dengan dia. Dia tu yang mulakan dulu.”

“Yakah? Bukan kaukah yang mula dulu? Aku ingat lagi masa dia tengah romantik dengan tunang kau tu. Kau tu yang tegur mereka.” Syirah menyumbat sedikit makanan ke dalam mulutnya.

“Tapi, aku betullah. Kena tegur kalau mereka buat kesalahan, kan?” Aku tidak berpuas hati. Mee di dalam piring itu aku kuis-kuis dengan gerpu.

“Ya. Tapi kau tau, kan yang mereka berdua ada kedudukan di universiti ini?”

“Maksud kau, mereka berdua tu orang popular? Satu anak raja yang satu memang popular, ratu uni?” Aku senyum sinis dan membuang pandang ke luar dinding kaca kafe ini.

“Aku bukan kisah sangat kedudukan mereka tu.”

Syirah geleng kepala.

“Sakit otak aku ni ada teman macam kau. Benda kecil begini pun kau nak panjangkan.”

Aku mencebik. “Sakit otak kau pun kau tetap nak kawan dengan aku, kan?”

“Mestilah. Sebab kau lain dari yang lain.” Katanya itu membuatkan aku ketawa kecil.

“Lain cerita. Kau aku tengok dah ada perubahan sekarang. Pakaian ke arah perempuan. Gaya bahasa kau dengan orang dah lembut. Siap tukar panggilan diri lagi. Kecuali dengan musuh kau dan juga aku.”

“Yakah? Betul aku dah ada perubahan?”

“Ya. Boleh aku tahu sebab apa?” Tanya Syirah ingin tahu. Dia ini belum tahu lagi apa yang berlaku pada aku dengan si putera raja itu.

“Betul kau nak tahu?”

“Yalah. Sepanjang kita berkawan. Ini kali pertama kau nak berubah ke arah feminin. Selalunya main-main saja.”

“Aku buat ni pun sebab Putera Shiraz Adrian tu.”Aku menundukkan wajah.

“Untuk tunang kau?” Syirah baru mahu senyum tetapi aku marah.

“Kau jangan fikir lebih-lebih pula. Tunang memang tunang tapi sementara sahaja. Kalau aku berjaya ubah diri aku ni jadi perempuan sejati dia sudah janji akan putuskan pertunganan ni.”

“Hah!!” Bula matanya apabila mengetahui hal sebenar.

“Kenapa pula kau nak putuskan pertunangan kau dengan dia. Kau ni rugi betullah.”

“Buat apa nak rugi dengan orang macam dia tu, Syirah? Dia puterakah, anak orang kayakah, anak berpengaruhkah, aku tak peduli semua tu. Yang aku peduli cara dia melayan seseorang. Hati budi dia. Tingkah laku dia.” Aku mendengus lalu berpeluk tubuh.

“Eh, Yana. Kau tau tak yang tunang kau tu sayang-sayang ketat dengan kau.”

“Ada aku kisah!” Aku menjelingnya.

“Kau kena kisah juga Yana. Putera Shiraz tu ambil berat terhadap diri kau.”

“Bila masa dia ambil berat terhadap aku, Syirah?”

“Sudah lama. Sejak dia nampak kau di depan dewan utama universiti kita.”

Aku mengerutkan dahi. “Ah, kau mengarut saja.”

“Mana ada aku mengarutlah. Aku cakap betul. Dia dah ceritakan segala-galanya pada aku.”

“Bila dia cerita dengan kau?”

“Sebelum latihan teater Tira Mutiara. Malam tu kami tengah berlatih dan tiba-tiba dia datang berjumpa dengan kami semua. Siap bawa buku skrip untuk kami semua lagi. Dia beritahu aku yang dia mahukan kenangan indah bersama kau. Jadi, dia mahu watak utama dalam teater tu dia dengan kau.”

Aku buat muka tidak percaya.

“Malam tu dia luahkan masalah dia dengan aku. Dia kata dia rindu sangat dengan kau. Dia rindu mahu bercakap dengan kau. Tapi dia tak tahu cara bagaimana lagi untuk dapatkan perhatian kau. Yalah kau ni degil. Langsung tak nak bagi peluang orang bercakap dengan kau.”

Aku mengetap gigi. Geram.

“Eh, Syirah. Kau tahukan aku ini orangnya macam mana?” Aku memandangnya tajam.

“Aku tahu. Aku kenal kau sangat-sangat. Tapi, kau tak bolehlah nak lari selama-lamanya daripada lelaki macam tu. Benda yang kau tak suka itu jugalah yang akan dekat dengan kau.”

Aku diam. Buat-buat tidak dengar. Aku meneruskan suapan dengan kasar. Minuman jus itu aku teguk rakus. Bosan betul aku bila masuk bab putera raja itu.

“Buatlah muka macam tu. Aku korek-korek juga mata tu tau.” Gerpu yang di pegang olehnya itu dihalakan ke arah aku. Aku menjeling.

“Okey. Kalau kau tak nak cakap tak apa. Tapi aku nak juga cerita. Aku bagitahu kau apa yang tunang kau beritahu pada aku sebelum ini.” Tegasnya.

“Malam latihan teater tu dia bagitahu aku dan ceritakan pada aku kenapa dia mahukan kau. Pertama kali dia nampak kau masa dekat dewan uni. Masa tu kau bergaduh dengan seorang lelaki sebab lelaki itu kacau seorang gadis yang tengah belajar. Kau pertahankan gadis itu.” Dia diam seketika. Aku langsung tidak memberikan reaksi dengan cerita dia.

“Kedua kalinya pertemuan kamu di perpustakaan. Masa itu Putera Shiraz terlanggar dengan kau dan kau marah. Dia cakap kau tak tahu dia itu putera raja. Orang-orang dia ada bagi amaran dekat kau tapi kau tak percaya.”

Ya, aku masih ingat dengan kejadian itu. Hal itu berlaku semasa semester pertama. Aku ke perpustakaan untuk mencari bahan buku rujukan matematik tambahan tetapi buku yang aku mahu itu sudah di pinjam oleh pelajar lain. Jadinya, aku mencari buku rujukan lain. Sedang aku mencangkung mencari buku rujukan di bahagian rak bawah tiba-tiba seorang lelaki terjatuh dan menghempap tubuh belakangku. Apa lagi, aku naik marahlah. Kalau perempuan aku boleh maafkan lagi tapi ini lelaki!

Dia minta maaf dekat aku. Aku pula terus marah dia. Lelaki-lelaki yang berdiri di belakang dia juga turut sama terkena tempiasnya. Aku ingat lagi dia cuba menahan mulutku daripada bersuara lantang. Lelaki-lelaki di belakangnya pula buat muka marah dan ada yang memberi amaran kepada aku. Mereka bagitahu aku yang dia itu putera raja tapi aku tidak percaya. Lagipun, kalau dia putera mesti dia tahu langkahnya macam mana. Mesti dia pandai tengok jalan dia, kan? Sudah ada pengawal pun masih lagi boleh jatuhkah?

“Ketiga kalinya bila kau bergaduh dengan perempuan. Putera Shiraz kata perempuan yang kau gaduh tu pelajar popular di universiti kita dan perempuan itu juga selalu berkepit dengan dia tapi dia tak layan.”

“Yalah tu. Padahal...”

“Ish, aku cakap betul. Putera Shiraz Adrian bukan seperti lelaki yang kau sangkakanlah Yana.”

Aku mencebik. Pandangan aku halakan ke sebelah kiri pula. Memandang karenah pelanggan-pelanggan yang datang berkunjung ke kafe ini.

“Sejak dari situlah Putera Shiraz mahu kenal kau. Dia kata kau ini menarik dan tidak sama seperti perempuan lain yang ada di universiti kita. Semua gerak-geri kau tu dia tahu, Yana. Dia sentiasa perhatikan kau. Dalam pada masa yang sama dia mencari sesuatu.”

“Apa?” Kali ini Syirah berjaya menarik perhatianku. Dia tersenyum.

“Pasangan hidup. Dia sudah berbincang dengan keluarga dia dan mereka membenarkan dia untuk berkahwin dengan perempuan biasa. Tetapi, dengan syarat perempuan itu mesti berhati mulia. Tidak memandang harta dan pangkat semata-mata.”

“Jadi, kenapa dia pilih aku juga sedangkan aku bukannya seperti yang keluarga dia mahukan?”

Dia ketawa.

“Aku cerita panjang lebar pun bukannya kau nak faham juga. Asyik nak menyoal saja. Kalau kau nak tahu sangat pergilah tanya tunang kau tu. Aku cuma nak ingatkan kau saja apa yang dia cakap masa babak terakhir teater tu betul tau. Dia cari wanita bukan perempuan.”

Aku pandang Syirah dengan riak kosong.

“Ah, sudahlah. Habiskan hidangan ni cepat. Lepas ni nak ke rumah Lisha pula.” Aku menggerutu. Nanti-nanti sajalah aku fikirkan hal itu. Mahu cerita pasal cincin pertunangan aku itu pun tidak ada mood sudah.

Sebenarnya, cincin pertunangan itu hilang bersama dengan rantai yang Bariz hadiahkan kepada aku. Puas aku cari tetapi tidak jumpa. Aku suka sahaja kalau cincin itu hilang tetapi aku takut pula kalau Putera Shiraz minta balik cincin itu. Lagipun, dia sudah janji kalau aku berubah dia akan tunaikan janjinya itu. Argh!!

Kalau boleh ganti memang aku akan ganti. Tapi masalahnya aku langsung tidak ingat rupa cincin tersebut. Ish, masalah betul!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience