BAB 53

Romance Completed 21274

SEHARIAN kami membuat aktiviti lasak berbasikal dalam hutan dan juga mencari harta karun dan akhirnya dapat juga aku rehatkan diri. Selesai mandi dan solat aku terus berbaring di atas tilam dan mengerekot. Luka pada buku lali di sebelah kiri ini agak sakit juga. Nasib baiklah aku tidak terseliuh masa berbasikal tadi.

Aku melihat jam pada telefonku dan masih awal untuk makan malam. Laju tanganku mendail nombor milik Syirah.

Sejam jugalah aku bercerita dengan dia dan juga Elina Ryne. Aku cuba juga korek-korek rahsia mereka berdua tetapi tidak dapat. Pandai betul mereka berdua sembunyikan rahsia mereka itu. Aku geram.

Tadi, Syirah cakap dia sahaja hendak bercuti tengok tempat orang. Siap puji-puji lagi tempat tersebut. Katanya lagi, Fariz Qyle akan membawa mereka melawat beberapa tempat menarik di sana. Aku rasa cemburu pula mendengarnya.

“Kalau aku telefon abang Fariz...” Aku mengetuk-ngetuk telefonku di kepala.

Sedang aku berfikir tiba-tiba pintu bilik penginapan aku diketuk oleh seseorang. Laju aku mengambil kardigan menutup tubuhku yang separuh terdedah ini.

Pintu diketuk lagi dan aku laju membukanya. Tersembul wajah si topeng masquerade di depan aku. Aku mengerling ke sisinya. Tidak ada sesiapa pun di lorong ini. Aku cuak.

“Apa awak buat dekat sini, hah?! Macam mana awak tahu bilik penginapan saya?!” Lantang aku bersuara dan dia laju menekup mulutku.

“Shhh! Janganlah jerit-jerit.” Marahnya.

Aku menepis tangan itu dan mengundur ke belakang. “Siapa awak ni sebenarnya, hah?!”

Dia tidak menjawab. Sebaliknya pandangannya menghala ke bawah. Aku cuak. Aku cuba mencapai benda-benda berat yang ada di atas meja tepi pintu ini.

“Saya bukan orang jahatlah. Saya datang ke sini nak tengok keadaan awak saja. Lagipun buku lali awak luka, kan?”

Aku melopong. Dia tahu aku cedera?!

“Luka sikit saja. Bukannya teruk. Mana awak tahu saya...”

“Shhh!” Jarinya diletakkan di bibirku. Aku terkejut dengan tindakannya itu.

“Doktor Zen, masuk.”

Mataku tidak lepas memandang seorang lelaki dan jururawat yang masuk ke dalam bilik penginapan aku ini. Doktor itu mengarahkan aku supaya duduk agar dia dapat memeriksa keadaan buku lali di sebelah kiri ini.

“Tuan Rian, luka pada buku lali dia ini tidaklah begitu dalam dan ada sedikit bengkak pada bahagian bawah buku lali ini.”

Dia berpaling ke arah aku. “Begini cakap luka sikit. Teruk.” Dia menggeram dan kemudian menyuruh doktor ini merawat segera luka tersebut.

Aku pandang si topeng masquerade yang berhud di kepala dengan doktor itu bersilih ganti. Aku dengan dia tidak sampai 24 jam pun kenal tapi dia ambil berat terhadap aku pula. Sikap lelaki itu mengingatkan aku kepada Putera Shiraz Adrian. Ah, tidak mungkinlah dia ada di sini.

Suaranya memang sama tapi betulkah ini Putera Shiraz Adrian?

Sedang doktor dan jururawat itu merawat luka di buku laliku, aku merenung tajam lelaki yang sedang berpeluk tubuh di hadapan aku ini. Satu cara sahaja hendak tahu sama ada dia ini Putera Shiraz Adrian atau pun tidak.

Selesai mereka membalut luka di bahagian kakiku ini aku terus berdiri. Aku pura-pura merapikan pakaian dan ketika itu dia sibuk bercakap dengan doktor itu. Ini peluang aku.

Aku membuntuti mereka keluar. Dia masih membelakangi aku dan ini masanya untuk aku tahu siapa dia sebenar. Tangan tangkas menarik hud di kepalanya. Dia terkejut. Aku juga terkejut.

“A... awak ni siapa sebenarnya?” Bukan seperti yang aku sangkakan. Suara sahaja sama tetapi orangnya lain. Lelaki bertopeng di hadapan aku ini berambut panjang separas bahu. Putera Shiraz Adrian bukan berambut panjang.

Aku meneliti lagi rambutnya itu. Ya, itu memang rambut asli. Kalau rambut palsu pasti senang diketahui.

Tanpa disuruh, dia membuka topeng masquerade itu. Lagi aku tidak terkata. Lelaki di depan aku ini bukan dia. Bentuk wajahnya lain. Tetapi, bila di teliti betul matanya seakan-akan dia. Eh, aku sepatutnya lupakan dia kenapa makin ingat dia pula ni?

Aku mengerlingnya. Dia tersenyum tiba-tiba.

“Apa senyum-senyum, hah?!” Marahku.

“Saya tidak tahu kenapa awak buat saya macam tu tadi. Tapi, awak ni macam tak sabar saja nak tahu siapa saya.”

“Mestilah! Lagipun awak mencurigakan. Awak mengingatkan saya pada seseorang tapi rupanya saya salah. Jadi, sekarang saya nak awak keluar daripada bilik ni sebelum saya jerit minta tolong dengan orang.” Aku beri amaran.

Dia ketawa kemudian menyimpul senyuman.

“Baiklah. Saya keluar dulu. Harap kita berjumpa lagi lepas ni.” Dia melambai dan pergi. Tapi sempat aku menghalangnya.

“Ya, cik Yana? Tak habis marah lagi.”

Aku mencebik. “Marah memanglah marah. Apa-apa pun terima kasih sebab ni.” Aku tunjuk buku lali yang sudah berbalut dengan pembalut luka.

“Sama-sama kasih, sayang. Jumpa lagi.”

Aku macam hendak cabut sahaja rambut panjang dia itu. Ergh! Aku bukannya suka tengok lelaki berambut panjang macam dia itu.

“TUAN RIAN?” Aku mundar-mandir sambil memikirkan lelaki bertopeng itu.

Doktor itu memanggilnya dengan panggilan ‘tuan’. Bermakna dia ini mesti dikenali orang. Macam papa aku. Aku mengambil telefon dan mencari latar belakang, berita atau gosip tentang lelaki ini.

“Langsung tak jumpa.” Aku menggerutu. Masih tidak berpuas hati dengan pencarian tersebut.

“Ish, kenapa tak jumpa ni?” Mungkin juga nama lelaki itu panjang dan orang biasa memanggilnya dengan nama Tuan Rian.

Aku menuju ke sofa dan berbaring di situ. Pandangan aku jatuh pada kaki kiri yang berbalut. Kemas balutannya. Baik hati juga Tuan Rian meminta doktor dan jururawat merawat luka aku ini. Aku mengelamun seketika.

“Kak Yana! Kak Yana!!”

Aku terkejut mendengar jeritan nama aku itu. Pantasku bangkit dari sofa dan terus membuka pintu. Itu pasti Bariz.
Aku tersengih melihat wajah cemberut adik aku ini.

“Mana yang lain?”

“Dia orang tunggu dekat lobi. Abang Ikhwan nak bawa kita pergi pekan Intan. Kita cari makan dekat situ. Lagipun malam ini ada festival dekat sana. Mesti meriah.”

“Yakah? Kejap. Akak nak tukar baju.” Aku segera menukar pakaian yang sesuai. Rambut dikemaskan. Barang-barang keperluan aku letak dalam beg tangan dan kemudian mengunci pintu.

“Kaki kakak betul-betul okey tak?” Riak risau terpancar di wajah kacak itu.

“Okey saja.”

“Habis, kenapa sampai berbalut? Kakak panggil doktorkah tadi?”

Aku telan liur. Tidak mungkinlah aku hendak cerita dia pasal Tuan Rian itu. Sudahlah lelaki itu berperangai pelik. Kalau aku cerita lagi dekat Bariz, mesti aku akan disuruh tidur bersama dengan kekasihnya itu. Ah, aku tidak mahulah.

“Mana ada. Aku minta pembalut luka ini pun dari bilik kecemasan tadi.” Tipuku.

“Betul? Jangan tipu Bariz. Kalau kakak tipu Bariz, tahulah nasib kakak.”

Aku cuba sembunyikan wajah bohongku. Kalau dia tahu ada lelaki yang tidak kenali datang membantu aku tadi sudah tentu adik aku akan naik angin.

“Tak. Akak tak tipu pun.” Aku menyakinkannya.

“Okey. Rasanya, kak Yana sudah lupa tentang pengintip-pengintip papa, kan?”

Alamak! Aku terlupa pula pasal hal itu.

Tapi, sekarang ini aku tidak nampak sesiapa pun di lorong ini. Dalam bilik tadi pun langsir semua tertutup. Mana mungkin ada orang-orang papa dekat sini, kan?

“Akak ingatlah. Pedulikanlah pengintip-pengintip papa tu. Baik kita cepat. Nanti abang Ikhwan dengan yang lain tinggalkan kita pula.” Aku menarik tangan Bariz menuju ke lobi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience