BAB 55

Romance Completed 21274

SERONOK sungguh aku hari ini dapat membantu orang yang memerlukan bantuan. Semuanya bekerjasama dengan aku untuk baiki rumah dan juga membersihkan halaman rumah ini. Walaupun aku ada lima orang pembantu tetapi mereka semuanya kuat-kuat, bijak dan serba boleh.

Sambil buat kerja sambil aku berkenalan dengan orang-orang papa aku ini. Orang-orang papa ini walaupun tegas, nampak garang tetapi hati mereka baik. Di antara mereka berlima, abang Yat paling mesra dengan aku. Macam-macam jugalah yang kami bualkan. Bukan itu sahaja, bila aku perlukan bantuan dia laju menghulurkan tangan.

Dari jauh aku memerhatikan orang-orang papa aku ini buat kerja mereka. Terbayang pula aku dengan wajah-wajah cemberut ketat mereka pagi tadi. Selepas mendapat persetujuan dari papa, aku terus mengubah penampilan abang-abang sasa ini. Aku menyuruh mereka tukar pakaian mereka kepada pakaian kasual. Bukan main marah lagi abang Zul tadi tapi aku buat tidak tahu sahaja. Aku juga menyuruh mereka tidak berlaku tegas sepanjang mereka berada dengan aku. Aku cuma mahu mereka berlagak seperti biasa seperti orang lain.

“Cik Yana tak nak pulang ke resort dulukah?”

Terkejut aku dengan teguran abang Eli. Dia meminta segelas air kosong dan aku laju memberikannya.

“Tak apa. Sini lagi penting. Kalau saya ada dekat sana pun saya tak tahu nak buat apa.” Aku tersenyum dan meneruskan kerja memasak.

“Yalah. Kalau ada apa-apa yang cik Yana nak beritahu saja dengan saya atau yang lain.” Abang Eli meletakkan gelas itu di atas meja dan melangkah keluar daripada dapur.

“Okey.”

Hilangnya kelibat abang Eli, aku ke singki memcuci pinggan mangkuk yang aku guna tadi. Aku teringat perbualan aku dengan abang Ikhwan. Dia menelefon aku sewaktu kami tengah beli barang-barang keperluan tadi. Suaranya garang. Dia bertanyakan keberadaan aku. Bukan main risau lagi dia dengan yang lain bila tahu aku tidak ada bersama dengan mereka. Aku jujur sahaja dengannya tetapi aku tidak mahu dia dengan yang lain datang ke sini.

“Kak Yana, pembalut luka kak Yana dah kotor. Kak Yana tak nak tukarkah?” Nuah muncul di depanku. Tugasnya memberi makan kepada ibunya sudah selesai. Aku cuma buat bubur untuk mak cik Nia kerana keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan dia untuk makan makanan yang berat.

“Nanti sajalah kakak tukar. Lagipun, banyak kerja yang hendak diselesaikan sebelum menjelang malam.” Aku cubit pipi gebunya. Comel sahaja aku tengok si Nuah ini.

“Tapi, pembalut luka tu dah kotor sangat. Nanti kena bakteria.”

Aku terharu. Prihatin sungguh Nuah terhadap aku. Pembalut luka ini kotor pun sebab tadi aku terjatuh dalam lopak. Nasib baik ada abang Hakim tadi. Dia yang bantu aku dan kemudian dia menutup lopak di halaman rumah ini dengan tanah.

“Nuah jangan risaulah. Tahulah kakak jaga diri. Nuah tu pun kotor juga. Pergi mandi. Bersihkan badan tu. Lepas tu cuba pakaian-pakaian yang kakak beli tadi.”

Bola matanya besar. Bibirnya mengukir senyuman lebar. “Kak Yana beli pakaian untuk Nuah?”

Aku angguk. Laju dia memeluk aku dan kemudian berlari menuju ke biliknya. Aku geleng kepala.

MALAM menjelma dan kerja-kerja kami semua sudah selesai. Kami semua bertungkus lumus membersihkan dan membaiki halaman dan juga rumah mak cik Nia ini. Sempat juga tadi aku meminta tolong abang Arul belikan dua buah basikal untuk budak-budak ini. Nanti, senanglah mereka mahu ke sana dan ke sini.

Bahagian dapur sudah cantik dan bersih. Walaupun ruang ini kecil tapi cukup selesa untuk mereka bertiga yang tinggal di rumah ini. Dari jauh aku melihat senyuman terukir di wajah si ibu. Reaksi itu turut membuatkan aku tersenyum sendiri.

“Cik Yana, hidangan-hidangan ini semua nak letak dekat mana?”

Aku menoleh ke belakang. Abang Hakim sudah sedia mahu menghidang makan malam untuk kami semua. Hidangan-hidangan itu semua aku masak dan dibantu oleh abang Arul tadi.

“Oh, ya. Saya hampir lupa pula.” Aku bangkit dari tempat dudukku lalu mengambil tikar dan membentangkannya di ruang tamu kecil ini. Abang Hakim meletakkan semua hidangan-hidangan itu di atas tikar. Aku memanggil abang-abang lain yang berada di luar. Wajah mereka semua nampak kepenatan.

Aku ketawa dalam hati bila mengingatkan mereka berlima ini. Pagi tadi bukan main tegas lagi dengan aku. Sekarang terlebih mesra. Siap bergurau senda lagi. Aku sebenarnya suka tengok mereka berlima bergembira. Berseronok tanpa pakaian seragam hitam. Bukan senang hendak dapat peluang begini, kan? Untung mereka dapat cik muda macam aku.

USAI makan malam kami berehat sambil bercerita. Aku dengan yang lain tidak henti-henti ketawa apabila abang Eli dan juga abang Yat buat lawak. Hilang terus karekter ‘bodyguard’ mereka berdua itu. Kalau mereka masuk pertandingan lawak pasti mereka berdua akan menang.

“Abang Yat, tadi abang zul kata abang pandai nyanyi. Nyanyilah untuk kami semua.” Pintaku. Siap buat muka comel lagi.

“Tak naklah. Buat malu saja. Suara abang bukannya sedap sangat.” Tersipu malu si abang Yat.

“Ala, sikit pun bolehlah.” Pujuk Nuah. Fina juga turut memujuknya.

“Okey. Okey. Abang nyanyi.”

Kami bertepuk tangan. Mak cik Nia juga turut serta dengan kami. Dia duduk di atas kerusi malas sambil menonton persembahan abang Yat.

Abang Yat membetulkan kotak suara sebelum memulakan persembahannya. Sebaik sahaja dia memulakan nyanyiannya kami semua terpegun. Merdu suara abang Yat ini. Selesai satu lagu, Fina meminta lagi lagu lain dinyanyikan. Abang Yat pula melayan sahaja permintaan Fina.

“Assalamualaikum.”

Kami tersentak dengan suara tersebut. Abang Yat serta merta berhenti nyanyi. Abang Eli berdiri dan menuju ke luar.

“Waalaikumussalam.”

“Err... Yana ada tak?”

Laju aku keluar menjenguk gerangan yang mencari aku itu. Terkejut aku melihat abang Ikhwan dengan yang lain. Lelaki bertopeng masquerade dan juga temannya itu pun turut ada bersama dengan mereka.

“A... apa abang Ikhwan dengan yang lain buat dekat sini?” Pandangan aku sekejap ke sana sekejap ke sini. Orang-orang papa berdiri di sisiku. Fina dan Nuah juga turut keluar melihat tetamu mereka. Hanya mak cik Nia sahaja yang masih berada di ruang tamu.

“Abang dengan yang lain risau tau. Sekali saja Yana jawab panggilan. Bila abang dengan yang lain telefon balik, Yana tak jawab dah.”

Aku garu kepala. Abang Ikhwan kalau dah marah macam Bariz. Depan semua orang aku kena marah dengan dia.

“Maafkan Yana, abang Ikhwan. Telefon Yana habis bateri.” Perlahan aku menjawab.

“Yana. Yana. Budak ni memang suka buat hal sendiri.” Abang Ikhwan geleng kepala. Riak mukanya sebal.

“Nasib baik mereka ada. Kalau Yana betul-betul hilang macam mana? Siapa yang susah?!” Dia naik berang.

Gerun aku melihat wajah itu. Aku terus melutut di depannya. Yang lain sudah naik ke atas. Abang Zul meminta semua masuk ke dalam dan membiarkan aku dengan abang Ikhwan sahaja di luar halaman ini.

“Tangan dekat mana?”

Aku mengetap bibir. Aku mengepit telinga dengan dua jari. Selalunya, kalau aku buat orang risau atau salah besar pasti aku akan dihukum dan yang selalu buat hukuman terhadap aku adalah abang Ikhwan dan juga papa.

Kenapalah aku tidak terfikir tadi tentang hal ini. Patutlah suara papa tidak garang sangat. Rupanya papa sudah beritahu anak angkatnya ini dan sekarang aku kena terima hukuman daripada dia. Mahu atau tidak aku kenalah juga terimanya.

LUTUT dan tangan terasa kebas dan sakit. Abang Ikhwan pula masih mundar mandir di hadapan aku. Aku agak keadaan kami ini sudah lebih daripada 20 minit. Sekejap-kejap aku mengerlingnya. Wajahnya masih sama seperti tadi. Garang. Serius.

“Yana janji dengan abang dulu.”

“Janji apa?”

“Janji lepas ni apa-apa hal beritahu abang terlebih dahulu. Bincang dengan abang. Tengok apa dah jadi hari ini. Papa Yana telefon abang dan beritahu apa yang Yana buat. Terkejut abang tahu.”

Aku tersengih. “Maaf. Tapi...”

“Abang tahu niat Yana tu baik. Tapi, seelok-eloknya berbincang dulu. Lagipun, duit yang Yana keluarkan tu bukan sikit. Banyak tahu!”

Aku mahu menangis. Buat baik pun salahkah?!

“Ikhwan, sudahlah. Maafkan sajalah dia.” Si topeng masquerade datang menyapa. Hanif turut ada bersama.

“Nak bagi maaf memang senang. Tapi, untuk dia ini susah. Degil. Berkali-kali maaf tapi buat lagi.”

Aku menjuih bibir mendengar bebelan abang Ikhwan. Hanif memandang aku dan dia menyimpul senyuman kecil.

“Biasalah tu, Ikhwan. Maafkan sajalah adik angkat kau ni. Lagipun, benda yang dia buat ini benda baik juga, kan.” Hanif memujuknya.

“Baik memang baik. Tapi, aku geram. Suka sangat buat aku risau. Nasib baik ada orang-orang papa dia ini. Kalau duit yang dia keluarkan itu dicuri oleh orang yang tidak dikenali, macam mana? Lagi susah.”

“Ala, kalau hilang duit papa masih boleh bagi Yana duit.”

“Ish, budak ni. Kecil saja abang tengok Yana tau. Ingat papa Yana tu mesin duit? Boleh bagi Yana sesuka hati?” Dia mendengus geram.

“Abang Ikhwan, janganlah marah. Yana tahu Yana salah. Yana minta maaf. Maafkanlah Yana. Yana lebih rela abang Ikhwan hukum Yana berbanding dengan papa.”

Ini bukan kali pertama aku buat kesalahan besar yang melibatkan duit. Sebelum ini aku pernah keluarkan jumlah wang yang lagi besar untuk selamatkan rumah-rumah anak yatim yang terbakar. Bila keluarga aku dengan keluarga abang Ikhwan tahu, aku dimarahi teruk oleh mereka.

Aku tahulah aku kena bincang dengan mereka. Tapi, kenapa hendak buat baik perlu beritahu mereka terlebih dahulu?

“Maafkan dia. Kaki dia dah sakit tu.” Si topeng masquerade memujuknya lagi.

“Baiklah.”

Abang Ikhwan pandang aku semula dan menyuruh aku berdiri.

“Lepas ni jangan buat lagi. Bukan abang dengan papa nak halang Yana buat baik. Cuma, Yana kena ingat. Apa-apa hal yang berkaitan dengan orang lain maklumkan dulu pada kami. Baru buat keputusan.” Suaranya tidak setegas yang tadi.

Aku mengeluh. “Baiklah.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience