BAB 49

Romance Completed 21274

TIADA siapa yang tahu apa yang aku buat hari ini. Aku juga sudah memberitahu papa yang aku tidak mahu orang-orangnya memerhatikan aku hari ini. Lagipun, ada perkara penting yang aku kena buat sebelum ikut abang Ikhwan dengan kakak Adyra ke pulau Intan.

“Cik Aryana, sila ikut saya ke dalam.”

Aku membuntuti abang Zairi ke dalam. Biasanya abang Zairi ini akan ikut Putera Shiraz Adrian ke mana sahaja, tapi, kenapa dia ada di istana Pura Cahaya ini hari ini?

“Putera Shiraz Adrian ada di dalamkah?” Tanya aku.

“Ya. Tetapi tuanku sekarang berada di bilik bacaan bersama dengan Puteri Alissa.”

“Oh...” Aku terus menundukkan wajah. Itu bukan tujuan aku ke sini hari ini. Ada lagi penting yang aku mahu bicarakan kepada Permaisuri Raniatu Afra dan juga Raja Shakawi Shaif.

“Cik Aryana tidak mahu bertemu dengan tuan puterakah?”

“Tak naklah. Biarlah dia bergembira dengan Puteri Alissa.”

“Baiklah. Saya bawa cik Aryana terus ke bilik tamu. Tuanku dan permaisuri sekarang berada di sana.”

“Okey. Tapi, abang Zairi jangan cakap pada putera raja tentang kedatangan saya ini.”

“Baiklah.”

NASIB aku baik sekali. Mujurlah tidak ada sesiapa pun di sini. Abang Zairi membuka pintu bilik tamu dan berbicara dengan mereka. Selepas beberapa minit aku dibenarkan menghadap tuanku dan permaisuri.

Gemuruh, itulah perasaan aku sekarang ini. Seumur hidup, aku tidak pernah berdepan dengan orang-orang penting Pura Cahaya ini. Dari jauh aku lihat wajah ketat Raja Shakawi. Permaisuri Raniatu Afra pula mengukir senyuman manisnya pada aku.

“Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun,” sembah aku kepada raja dan permaisuri.

“Hmm...”

Aku telan liur mendengar suara Raja Shakawi Shaif. Ini kali pertama aku berdepan dengan pemimpin Pura Cahaya.

“Zairi, beta mahu kamu keluar daripada kamar ini dulu. Jangan benarkan sesiapa masuk ke sini termasuklah anak-anak beta.”

“Menjunjung perintah, tuanku.” Dia tunduk hormat sekali lagi dan kemudian berlalu pergi.

“Apa hajat kamu hendak berjumpa dengan beta?”

Suara tegas itu membuatkan seluruh tubuhku menggeletar.

“Ampunkan patik, tuanku. Patik datang hendak berbicara tentang putera raja.” Bahasa diraja ini betul-betul buatkan aku rasa hendak pengsan. Aku memang tidak pandai berbahasa istana.

“Pasti tentang gosip-gosip tu, bukan?”

Aku mengerling ke arah permaisuri Raniatu Afra. Permaisuri itu menggunakan bahasa biasa yang buatkan aku rasa selesa sedikit.

“Bukan itu saja yang hendak patik bicarakan tetapi patik juga hendak berbicara tentang hal pertunangan patik dengan Putera Shiraz Adrian.” Aku memberanikan diri juga untuk mengatakan tentang hal itu. Kalau aku tidak selesaikan sekarang nanti aku tidak akan ada peluang lagi.

“Kalau tentang Putera Shiraz Adrian dengan Puteri Alissa itu...”

“Tuanku, patik tidak mahu bertunang dengan Putera Shiraz Adrian. Patik mahu batalkan pertunangan ini.” Dengan beraninya aku memotong bicara baginda.

Raja Shakawi Shaif diam dan merenungku dengan pandangan yang tajam dan dalam.

“Patik faham tuanku. Patik bukanlah dari keturunan diraja. Patik juga bukanlah perempuan yang mempunyai ciri-ciri seperti Puteri Alissa. Patik orang-orang biasa saja. Apa yang berlaku sebelum ini pun disebabkan salah patik sendiri. Patik tidak menghormati Putera Shiraz Adrian. Tapi... Tapi...” Aku tahu memang salah aku. Tapi, aku tegur dan berlaku kasar dengan putera raja itu pun sebab perangai buaya darat dia.

“Tapi apa? Habiskan ayat kamu itu.”

Aku mahu menangis pula. Tegas sungguh suara Raja Shakawi Shaif ini.

“Tapi... tapi... Patik berkasar dengan Putera Shiraz Adrian disebabkan tingkah lakunya terhadap perempuan. Dia...” Aku ketap bibir. Kekok rasanya berbahasa begini. Ah, lantaklah aku hendak pakai bahasa apa. Kalau aku dibuang negeri pun tidak apa. Yang penting jauh daripada putera raja itu.

Aku berdeham. “Tuanku, patik bukannya hendak berlaku jahat dengan Putera Shiraz Adrian. Tetapi, perangai dan sikapnya itu telah mengecewakan patik. Bukankah seorang bakal pemimpin itu perlu mempunyai sikap dan tingkah laku yang baik?” Aku pandangan raja dan permaisuri itu. Hanya permaisuri Raniatu Afra sahaja yang memberi reaksi. Permaisuri itu angguk-angguk kepala.

“Dari pandangan patik, ciri-ciri itu langsung tidak ada pada Putera Shiraz Adrian. Patik menegur sikapnya itu tetapi dia mencabar patik pula. Pasal pertunangan pula, patik memang tidak ada niat. Kalau boleh patik hendak bertemankan dengan orang yang biasa-biasa saja. Patik sejujurnya memang tidak layak untuk Putera Shiraz Adrian. Puteri Alissa itulah yang selayaknya buat Putera Shiraz Adrian,”

Kenapa pula aku rasa hendak sedih ini? Sebab hakikatnya Puteri Alissa itu memang layak untuknya berbanding dengan diri aku, bukan? Aku cuba menahan sebak di dada.

“patik tahu siapa diri patik, tuanku. Tidak terlintas difikiran patik ini mahu bersuamikan orang diraja. Apatah lagi orang-orang bangsawan yang lain. Patik cuma tidak suka dengan sikap Putera Shiraz Adrian saja. Patik tidak suka lelaki yang suka keluar berfoya-foya dengan perempuan. Lelaki yang tidak setia dan tidak jujur. Itu semua jauh dari sikap seorang pemimpin seperti tuanku.” Habis senafas aku luahkan kepada raja dan permaisuri itu.

Suasana senyap seketika. Baginda mundar-mandir di hadapan aku. Permaisuri Raniatu Afra pula masih setia berdiri dan memandang baginda.

“Beta tahu perangai anakanda beta itu. Pasal pertunangan jangan dikhuatirkan. Beta akan selesaikan secepat yang mungkin.” Raja Shakawi Shaif menghampiri ke arah aku.

Bagai terkena renjatan elektrik aku rasakan apabila dia mengusap kepala aku dengan tiba-tiba. Permaisuri Raniatu Afra juga melopong melihat tingkah laku baginda.

“Beta kagum dengan kamu. Beta suka dengan sikap berani kamu ini. Selepas ini, kamu perlu belajar lebih lagi tentang hal istana dan bahasa istana.”

Aku bungkam. Aku bingung seketika.

Raja Shakawi Shaif ketawa dan kemudian memanggil semula pengawalnya. Laju abang Zairi menghadap baginda.

“Iringi cik ‘Istimewa’ beta ini keluar."

“Menjunjung perintah, tuanku!”

Bersemangat betul abang Zairi. Dia membawa aku keluar dan terus menghantar aku pulang ke rumah. Tertanya-tanya juga aku apa maksud cik ‘Istimewa’ itu?

“Cik Aryana baik-baik sajakah?” Tanya abang Zairi yang sedang memandu.

“Saya baik-baik saja. Abang Zairi terima kasih, ya. Tapi, abang Zairi kena rahsiakan hal ini daripada putera raja. Biar raja dan permaisuri saja yang buka mulut, ya?” Takut aku jika hal hari ini sampai kepadanya. Bukan aku tidak kenal dengan sikap putera raja itu. Pasti dia akan mencari aku lagi.

“Baiklah.”

“Err... abang Zairi.”

“Ya, cik Aryana?”

“Saya tidak berapa fahamlah tadi. Kenapa Raja Shakawi Shaif panggil saya dengan panggilan cik ‘Istimewa’, huh?” Pertanyaan aku membuatkan dia berdeham beberapa kali.

“Cik Aryana pastikah yang tuanku ada menyebut perkataan itu tadi?”

Wajahku berkerut. Main-main pula abang botak ini.

“Abang Zairi ingat saya pekakkah? Saya pasti abang pun ada dengar perkataan itu tadi, kan?”

“Err... Err...”

“Jawablah!” Bentakku.

“Tenang. Tenang, cik Aryana. Ya, saya ada dengan tuanku panggil cik Aryana dengan panggilan cik ‘Istimewa’. Tapi, saya sendiri tidak tahu apakah maksud tersebut. Apa yang saya boleh katakan yang wajah tuanku tidak setegang seperti yang selalunya. Dengan cik Aryana tadi, wajah tuanku nampak gembira.”

“Yakah?”

“Ya, cik Aryana.”

Terus aku diam. Raja Shakawi Shaif gembira? Apa maksud disebalik wajah gembira itu? Raja itu betul-betul setujukah dengan hal pertunangan aku dengan Putera Shiraz Adrian tadi atau sebaliknya?

“Ish! Peninglah!” Aku menggerutu. Geram.

“Cik Aryana tak apa-apakah?” Sekejap-kejap dia mengerling aku yang duduk di belakang tempat pemandu.

“Abang Zairi pandu sajalah kereta tu. Tak payah risaukan saya. Nanti, turunkan saya dekat gerai ABC depan dengan kawasan perumahan saya, ya.”

“Baiklah.” Dia kembali fokus dengan pemanduannya. Sementara aku pula sibuk berfikir hal masa depan aku dengan Putera Shiraz Adrian itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience