BAB 27

Romance Completed 21282

LEWAT! Hari ini kelas aku awal dan aku sudah lewat sejam lebih. Aku bingkas bangun dan menyiapkan diri. Selesai menyusun buku-buku yang perlu dibawa hari ini aku terus turun ke bawah.

“Yana! Tak payahlah Yana pergi kuliah hari ini.” Tegur mama.

“Mana boleh tak pergi, ma. Yana malas nak copy nota dari kawan.”

“Rehat sajalah. Semalam tunang Yana yang hantar Yana ke sini. Putera Shiraz kata Yana demam.” Papa pula menegurku.

Aku mengerutkan dahi. Semalam? Aku memang tidak ingat apa-apa langsung tentang hal semalam. Memori terakhir aku semasa berada di luar tandas itu. Putera Shiraz Adrian datang dengan pakaian serba hitamnya dan menarik aku ke sisinya. Dia menyuruh aku tidur dan lepas itu aku tidak ingat lagi apa yang berlaku.

Kalau tidur pun aku mesti terjaga semula. Lagipun, aku ini jenis yang cepat terjaga. Tidak mungkinlah aku pengsan, kan?

“Bila masa pula Yana demam? Yana sihat sajalah.” Aku tidak mahu mengalah.

“Yana, cuba dengar cakap papa dengan mama. Sakit-sakit macam ni pun nak pergi kuliah.” Papa geleng kepala.

“Mestilah. Belajar itu penting. Yana tak nak ketinggalan apa-apa pun subjek hari ini. Tertinggal satu pun dah buat hati Yana ni risau tahu.” Aku mengeluh.

“Yalah. Yalah. Budak ni degil.” Mama menggeram.

“Pergilah.”

“Mari Bariz hantarkan. Lagipun, Bariz nak pergi universiti hari ni. Nak jumpa pensyarah.”

“Okey.” Aku terus mengikutnya keluar. Aku memang tidak pandai memandu kereta. Papa belikan kereta pun untuk dia ini sahaja. Senang hendak berulang alik dari rumah ke universiti dia.

NASIB aku baik hari ini. Pensyarah langsung tidak memarahi aku. Siap berikan aku nota percuma lagi.

Kuliah habis tengah hari dan aku mahu pulang. Aku malas hendak berjumpa dengan teman aku si Syirah Ainul itu. Lagipun, aku rasa tidak sedap badan. Langkahku terbantut apabila melihat Putera Shiraz Adrian dengan Elina Ryne di taman universiti dekat dengan tempat parkir kereta. Serta merta perbualan Elina Ryne dengan kekasihnya terlintas di fikiranku.

“Tak boleh jadi ni!” Aku mengorak langkah tetapi terbantut sekali lagi. Aku sedikit pelik dengan mereka berdua itu.

“Bukankah Putera Shiraz Adrian sudah memberikan amaran kepada dia itu. Kenapa perempuan tu masih melekat dengan dia?” Tanyaku sendirian.

Aku memerhatikan mereka. Tapi tidak mustahil juga kerana Elina Ryne itu sendiri cakap yang dia tidak akan berputus asa untuk dekat dengan Putera Shiraz Adrian.

“Aku tak takut kalau putera raja itu putuskan pertunangan ini. Tapi aku takut kalau dia termakan kata-kata Elina Ryne. Aku tak nak Putera Shiraz Adrian menyesal di kemudian hari. Yang malu keluarga dia juga.” Macam-macam yang aku fikirkan tentang mereka berdua itu. Apa-apa pun aku tidak akan biarkan perkara buruk berlaku pada anak raja Pura Cahaya ini. Aku melajukan langkah ke sana. Aku mahu ajar perempuan itu.

Bukan main gembira lagi perempuan itu berkepit dengan tunang aku. Si tunang ini pun satu! Dibiarkan sahaja si Elina Ryne itu menyentuhnya.

“Sayang, kalau awak tak suka tunang awak batalkan sajalah pertunangan tu.” Pujuknya.

“Kalau saya tak nak?”

“Ala, naklah. Habis saya ni awak nak letak mana? Lagipun, saya kenal awak dulu berbanding dia.”

Sakit hati aku melihat perlakuan perempuan itu. Seronok betul dia sentuh tubuh Putera Shiraz Adrian. Siap mengusap dada putera raja itu lagi.

“Elina...”

“Shh!”

Marahku memuncak apabila melihat jari telunjuk itu didekatkan di bibir Putera Shiraz Adrian. Mereka berdua ini masih belum menyedari aku yang berada di belakang mereka.

“Sayang janjilah dengan Elina. Janji yang sayang setia dengan Elina saja, ya?”

Eee! Kucing pun tidak manja macam kaulah! Dia ini melebih-lebih pula.

“Hoi!” Sergahku dari arah belakang. Kedua-duanya terkejut melihatku.

“Dinda!”

“Apa dinda-dinda?!” Aku menjegil mata.

“Kalau kau nak putuskan pertunangan silakan. Aku tak kisah pun kalau kau nak putuskan pertunangan ni.” Marah sungguh aku ketika ini. Aku memandang Elina Ryne pula. Kecil sahaja dia ini aku lihat. Lagi buat aku bertambah geram bila dia mempamerkan senyuman sinisnya.

Aku maju ke depan dan menolaknya jauh dari Putera Shiraz Adrian. Aku menarik tunang aku ini ke belakang. Sekarang aku pula berdepan dengan musuhku sendiri.

“Kau ingat senang nak dapatkan putera raja ni. Hei, Elina! Dalam mimpi sajalah.” Dengan beraninya aku menunjal kepalanya dengan kuat.

“Kau!”

“Apa aku, hah?!”

Kami berperang mata untuk seketika. Putera Shiraz Adrian hanya menjadi pemerhati di belakang.

Elina Ryne mengetap bibir.

“Kau tengok sajalah apa yang aku buat dekat kau nanti. Aku akan pastikan yang Putera Shiraz Adrian itu milik aku.”

Aku senyum sinis. “Tamak betul kau ni, Elina. Tak cukup dengan emas, berlian pun kau hendakkah, hah?!”

“Suka hati akulah.” Dia mengerling ke belakang dan kemudian memandang aku dengan tajam. Aku tahu dia pandang Putera Shiraz Adrian.

“Eh, perempuan kasar. Berlian pun tak cukup untuk aku tau. Kalau boleh seluruh isi alam semesta ini aku mahu kecuali kau dan keturunan kau.” Sinis suaranya.

“Kau gila!” Aku menolaknya ke belakang.

“Aku gila aku punya sukalah.” Dia menunjal kepala aku dan kemudian menuju ke arah Putera Shiraz Adrian.

Aku masih membelakangi mereka. Masih mencerna kata-katanya.

“Sayang, jumpa lagi.”

“Tak payah nak bersayang dengan aku!” Herdik si putera raja.

“DINDA,”

Aku tidak peduli.

"Dinda cemburukah tadi itu?"

Tiada komen.

“Dinda Hani!” Dia masih mengejarku.

“Jangan ikut aku!” Marahku. Aku melajukan langkah membelok ke sebelah kiri bangunan perpustakaan. Di situ ada satu taman kecil dan ada tempat untuk berehat.

Aku melentokkan kepala di atas meja konkrit. Aku sudah menelefon Bariz untuk mengambil aku di sini.

“Bukankah semalam kanda sudah beri amaran pada adinda?” Lembut sahaja dia menegurku.

“Amaran apa? Bila?” Aku langsung tidak memandangnya. Aku menutup mata dan cuba untuk menenangkan fikiran.

“Dinda tidak ingat apa-apakah tentang hal semalam, hmm?”

Membulat mataku sebaik sahaja aku membuka mata. Dia menongkat dagu sambil memandangku. Wajahku membahang. Apa yang membuatkan aku rasa malu lagi apabila dia menyelitkan helaian rambutku di tepi telinga. Dia tersenyum. Lantas aku berpaling ke arah lain, mengubah posisi tidur.

“Malu?”

“Ish, jangan kacaulah!” Marahku. Aku cuba untuk melelapkan mata lagi. Lama-kelamaan aku menguap. Mataku berat. Bebelan putera raja itu aku tidak endahkan sudah. Pedulilah dia hendak bercakap dengan siapa.

“Dinda, kanda rindukan dinda.”

Suara itu timbul tenggelam aku dengar dan selepas itu aku terlelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience