BAB 7

Romance Completed 21274

WAJAHKU ketat. Mulut muncung sedepa. Aku berpeluk tubuh dan memandang ke luar tingkap. Rasa sakit dalam hati ini sudah bertambah dengan kejadian tadi. Aku rasa bersalah pula dengan Fariz Qyle. Aku pergi begitu sahaja tanpa meninggalkan kata. Tidak apalah, nanti aku hantar sahaja mesej kepadanya. Nasib baiklah kami berdua sempat bertukar nombor telefon.

Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Entah kemanalah agaknya dia ini mahu membawa aku. Aku langsung tidak mencelah apabila dia berbual dengan pengawal peribadi dan pemandunya yang duduk di bahagian depan. Sesekali terdengar juga gelak tawa mereka bertiga.

“Senyap saja.”

Aku pekakkan telinga.

“Aryana Hani, berbuallah dengan kanda.”

Diam. Aku langsung tidak memandang ke sebelah.

“Dinda Hani, janganlah senyap saja. Cakaplah sesuatu.”

Aku menjeling tajam. Dia ini masih tidak berputus asa dengan aku.

“Jeling. Jeling. Nanti terjuling mata tu baru tau.”

Tidak bolehkah dia ini tidak mengacau hidup aku. Ergh! Aku menyesal tahu! Menyesal sebab tegur perbuatan dia tempoh hari. Kalau aku tidak tegur, semua ini tidak akan terjadi. Ish, kau memang bodoh Aryana Hani!

“Okey. Tak apa.” Dia ketawa sinis.

“Tak apa kalau dinda tak nak berbual dengan kanda. Tapi, kanda nak adinda dengar apa yang kanda mahu katakan ini.”

Aku mendengus. Tidak ada bendakah yang boleh menutup telinga aku ini. Mulut dia itu langsung tidak pandai diam!

“Keluarga kanda sudah berbincang dengan keluarga adinda. Bonda dengan ayahanda mahu berjumpa dengan adinda secepat yang mungkin. Ini tentang kita berdua.”

Aku sedikit terkejut mendengar bicaranya, namun cuba berlagak tenang. Agaknya hal apalah yang mereka bincangkan tentang aku dengan dia ini? Tidak mungkinlah aku di hukum kerana berlaku kasar dengan dia?

“Seperti yang kanda cakap sebelum ini, kita berdua sudah bertunang. Mama sudah setuju dan bonda juga sudah setuju.”

Laju aku berpusing menghadapnya.

“Semudah itu mereka setuju?!”

“Ya.”

Aku senyum sinis. “Mana mungkin semudah itu. Iyalah, kita berdua ini bukannya sama darjat. Aku orang biasa dan kau itu putera raja.”

“Kanda tahu. Pangkat dan darjat itu bukanlah ukuran dalam mencari jodoh. Semuanya telah ditakdirkan oleh Tuhan dan kanda yakin dinda adalah jodoh terbaik kanda.”

“Itu kaulah. Bagi aku tak. Kau bukannya jodoh terbaik buat aku pun.” Aku mendengus, geram.

“Mahu atau tidak dinda kena terimanya juga. Kanda tidak akan ubah keputusan kanda ini. Kedua-dua belah keluarga juga sudah bersetuju. Bonda dengan ayahanda terima keputusan kanda dengan hati yang terbuka.”

Sekali lagi aku tersenyum sinis. Kata-katanya itu bukan boleh buat hati aku ini senang pun. Dia ingat aku hendak sangat berkahwin dengan diakah? In your dreams!

“Nah, pakai cincin ni.” Dia menyerahkan cincin emas putih yang bertatahkan berlian itu kepadaku.

“Tak nak!” Aku menolak.

“Ambil dan pakai. Kalau tak, kanda yang pakaikan.” Paksanya.

Laju aku menyembunyikan kedua tanganku di dalam poket jaket yang aku pakai. Aku tetap berkeras tidak mahu menerima cincin tersebut.

“Dinda ni benci sangatkah dengan kanda? Normallah bagi lelaki kalau berperangai begitu. Nakal. Kaki perempuan.”

“Normal tak normal sama saja. Aku tak suka! Aku benci!” Tinggi suaraku. Jelingan si pemandu dengan pengawal peribadi yang duduk di hadapan itu tidak aku pedulikan.

“Baiklah. Kanda tidak akan paksa dinda memakai cincin ni. Tapi bukan bermakna kanda berputus asa dengan adinda. Kanda tetap mahukan adinda untuk mengisi ruang hati kakanda ini. Bukan perempuan lain tetapi Aryana Hani Tuan Baihaqi.”

Aku mencebik.

“Ruang hati kau tu bukankah sudah ada perempuan yang bernama Elina Ryne. Pelajar popular dari jurusan kecantikan. Semua orang katakan yang kau itu milik dia. Buat apa lagi kau nak aku sedangkan kau sudah ada dia?” Kata-kata Syirah tentang perempuan itu masih segar di ingatan aku ini.

“Cemburu?”

Aku mengerling tajam. “Buat apa aku nak cemburu dengan lelaki playboy macam kau. Buang masa tau tak!”

“Hmm...”

“Tak tahu nak balaslah tu.” Perliku.

Kalau dia diam maknanya dia sudah mengalah, bukan? Baru padan dengan muka dia itu. Lebih baik aku tutup mata. Tidur. Aman dunia.

“Kanda bukan tak nak balas. Cuma, penat. Cukuplah kita bergaduh hari ini.”

Aku mengajuk katanya. Penatlah sangat.

ZUPP!!

Terbuntang mataku apabila dia menarik aku ke dalam dakapannya.

“Putera Shiraz Adrian!!”

“Ya, dinda.” Lagaknya tenang sahaja. Ini yang buat aku bertambah geram.

“Buat-buat tak tahu pula dia ni. Lepaslah!” Bentakku.

“Duduk diam. Kanda peluk saja. Bukan buat apa-apa pun.” Senyumannya menjengkelkan aku.

“Tetap aku tak suka! Ish, kau ni memang tak reti bahasakah? Nak aku pakai bahasa apa lagi supaya kau faham?!” Aku cuba melepaskan diri daripada pelukannya.

“Bahasa cinta. Kalau dinda guna bahasa cinta pasti kanda faham.” Boleh pula dia kenyit mata dengan aku dalam keadaan begini.

“Ergh! Pergi lautlah bahasa cinta kau tu!” Marahku. Ada sahaja balasan dia ini.

“Jangan bilang dengan kanda yang dinda ini tidak pernah belajar bahasa cinta?” Dia angkat kening sebelah.

“Hoi, putera raja! Suka hati akulah nak belajar atau tidak bahasa tu. Bukan penting pun. Apa yang penting sekarang pembelajaran aku.”

“Yakah tak penting? Habis, cinta dengan Tuhan tak penting?”

Aku terkena. Dia mentertawakan aku.

“Mestilah penting! Tapi, bahasa cinta yang aku maksudkan ini adalah bahasa cinta sesama manusia di antara kau dengan aku. Lelaki dan perempuan.” Aku menggeram.

“Lepaslah! Aku nak tidur. Layan kau ni memang buat sakit hati saja.” Sekali lagi aku cuba melepaskan diri daripada dakapannya. Namun, tidak berjaya kerana dia memperkemaskan lagi pelukan tersebut.

“Tidur saja dekat sini.” Dia menepuk bahu kanannya, menyuruh aku melentokkan kepala di situ.

“Tak nak!”

“Nak kanda bertegas lagikah, huh?” Dia mengugut aku.

“Kau, kan!” Aku mendengus dan terus mendengus. Mudah sangat aku mengalah dengannya.

Dengan perasaan geram dan tidak puas hati, aku turutkan sahaja katanya. Kalau di bantah lagi, aku tidak tidurlah jawabnya. Terpaksa menghadap bebelan dan usikannya itu.

“Kau janji dengan aku yang kau takkan usik aku masa aku tidur. Janji?!”

“Kanda janji.”

“Kalau kau buat benda yang tak senonoh, siaplah kau! Aku memang belasah kau cukup-cukup. Pedulilah aku di hukum oleh keluarga kau dan juga rakyat jelata, yang pastinya aku puas hati!” Amaran keras dariku.

“Tidurlah. Kanda tak akan mungkir janji pun.” Dengan lembut dia melentokkan kepalaku di bahunya.

Saat itu, aku merasakan ada sesuatu pada hatiku ini. Irama jantungku lain macam sahaja. Ah, pedulikanlah! Aku mengantuk mahu tidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience