BAB 60

Romance Completed 21274

TERKEJUT aku apabila tersedar daripada lena. Sekarang aku berada di dalam bilik penginapan aku. Aku mendesis. Tubuhku masih lagi terasa sakit terutamanya di bahagian perut aku ini.

“Dinda baring dulu.”

Aku tersentak dengan suaranya.

“Apa awak buat dekat dalam bilik ni? Mana mereka bertiga?” Aku menarik selimut hingga ke paras dada. Nasib baiklah pakaian aku belum bertukar.

“Mereka ada di luar. Dinda jangan risau. Kanda tak buat apa-apa pun.”

Aku mengecilkan mata. Bukan boleh percaya dia ini.

“Tadi, kanda panggil doktor Zen ke sini untuk periksa keadaan dinda.”

Aku melopong. Dia berdeham. Wajahnya merah merona. Kenapa?

“Dinda kena sen... senggugut. Dinda haid.” Dia garu belakang tengkuknya.

“Saya tahu. Tapi, saya tak sangka pula senggugut saya sakit macam tu sekali.” Aku bangkit dan melangkah ke bilik air.

“Awak tolong keluar. Saya nak bersihkan diri.”

“Okey.”

SELESAI berpakaian aku kembali ke katil. Aku meneliti setiap luka yang ada di tubuhku. Balutan pada buku lali aku juga sudah di tukar. Aku mencari sesuatu di dalam beg sandang yang aku bawa.

Aku mengusap perutku dengan minyak putih. Tangan beralih pada bahagian luka yang lain. Terkejut juga aku tengok lebam-lebam bekas Twiita dan Adiana buat pada aku ini. Kepala aku pula terasa pening.

“Dinda,”

Terperanjat aku dek suara itu.

“Nah, makan bubur ni dulu. Lepas tu makan ubat. Baru rehat.”

“Saya ingat awak dah pergi.” Aku kembali menyapu ubat pada lebam-lebam di tanganku.

“Macam mana kanda nak pergi kalau keadaan adinda begini.” Dia menarik kerusi dekat denganku. Pandangan kami bertaup seketika.

“Sakit?” Dia menyentuh pipiku yang biru akibat tamparan Adiana.

“Tak.” Aku buat muka.

“Sudah tahu macam ni mestilah sakit.” Aku mencebiknya. Aku melihat penampilannya masih sama seperti tadi. Tangan aku secara spontan menarik kulit-kulit palsu yang melekat pada wajahnya.

“Awak dari tadi macam inikah? Doktor Zen tak cakap apa-apakah bila tengok awak macam ni?”

“Dia tak cakap apa-apa pun. Kanda mana ada masa hendak buka ini semua. Kanda dari hutan tu lagi khuatirkan keadaan dinda.”

“Jadi, ada tak orang perasan dengan identiti awak?”

“Tengah malam macam ini mana ada orang berkeliaran di lobi resort ni mahupun di luar. Lagipun, kanda pakai jubah yang Zairi bawa untuk kanda tadi.”

“Oh...”

“Dinda kena jaga diri untuk beberapa hari ni. Esok jangan keluar. Jangan buat apa-apa aktiviti selagi badan tu tak sihat. Tadi, doktor Zen kata dinda kena demam. Luka-luka pada badan dinda tu sudah dirawat oleh jururawat doktor Zen.” Dia menekan hujung ayat itu. Wajahnya juga berubah riak.

“Tahulah kanda hendak hukum mereka berdua tu. Berani-beraninya mereka cederakan adinda sampai begini.”

Aku telan liur.

“Adrian, tak payahlah hukum Twiita dengan Adiana. Biarkan sajalah mereka berdua tu.” Aku memujuk. Kalau dia marah sudah pastinya lagi teruk mereka kena.

“Biarkan mereka begitu saja?! Dinda tahu tak? Hati kanda sakit tengok luka dan lebam-lebam tu tau. Apatah lagi bila mereka cuba bunuh dinda. Ini sudah masuk kes cubaan membunuh tau tak?”

“Sayang betul awak dengan saya.”

“Mestilah. Walaupun mulut ni penat meluah. Memujuk adinda. Tetapi, hati kanda tidak pernah berubah. Kanda cintakan adinda. Sampai bila-bila pun adinda tetap ada dalam hati kanda ni.”

Aku terharu mendengarnya. Cukup-cukuplah seksa diri ini. Kalau sudah sayang, katakan sahajalah padanya. Nanti melepas, aku yang merana.

“Awak duduk bawah.”

Dia angkat kening.

“Cepatlah. Duduk dekat sini.” Arahku. Dia menurut kata.

Aku senyum-senyum bila tengok tingkah lakunya ini. Dia duduk di depan ku sambil bersila di atas lantai. Aku pula bersila di birai katil.

“Apa dinda hendak buat ni?”

“Bukan rambut-rambut palsu awak inilah.” Tanganku bergerak melakukan tugasnya. Rambut-rambut palsu yang terlerai dari ikatannya aku letak di atas kerusi.

“Saya minta maaf.”

Dia mendongak. “Untuk apa?”

“Untuk semuanyalah. Saya akui saya sayangkan awak. Tapi, saya tak berani nak ungkapnya kerana takut kalau awak bukan jodoh saya. Macam saya kata sebelum ini kita bukan dari golongan yang sama. Awak putera raja. Sementara saya pula orang biasa.”

Dia tersenyum puas. Sukalah dia dengar pengakuan aku ini.

“Dinda, jodoh itu semua tuhan yang tentukan. Kita hanya merancang. Kanda yakin kita ditentukan untuk saling melengkapi. Kanda tak pernah pun menyesal untuk memilih adinda sebagai permaisuri hati kanda.”

“Yalah tu. Saya nak tanya sekali lagi. Awak dengan Puteri Alissa betul-betul tak ada apa-apa?”

Dia ketawa. “Betul. Kami kawan saja. Lagipun dia dah ada putera sulung kanda.”

Aku melopong. “Betul ni?”

“Ya, dinda. Buat apa kanda hendak berbohong. Dia dekat dengan kanda pun sebab nak tahu apa kesukaan putera sulung saja. Dia nak buat kejutan untuk putera sulung nanti.”

Aku tidak sedar yang aku sedang diperhatikan ketika itu.

“Mengelamun jauh dinda ni. Senyum-senyum sendiri lagi tu.”

Aku tersengih.

“Baiklah. Saya pegang kata-kata awak tu. Tapi ingat kalau awak buat hal di belakang saya, tahulah nasib awak nanti. Jangan menangis kalau saya menghilang dari pandangan awak.”

“Tak mungkin dinda boleh hilang dari pandangan kanda. Orang-orang kanda ada di merata-rata tempat. Kanda boleh saja suruh mereka cari dinda balik."

Aku mencebik.

"Dinda, kanda janji akan setia pada dinda.”

“Simpan saja perkataan tu dulu. Bukan boleh percaya awak ni. Lepas ni, kalau saya nampak awak berkepit dengan perempuan siaplah awak. Dalam otak saya ni dah set yang awak ni lelaki nakal tahap dewa. Langsung tak ada rupa putera raja.”

Dia hanya ketawa mendengar bebelanku. Sambil aku membuka rambut-rambut palsu itu sambil kami berbual lagi. Sempat juga dia mengusik aku. Katanya, panggilan aku padanya sudah berubah. Tapi perangai kasar aku tetap ada. Selagi belum kahwin selagi itulah aku berperangai kasar macam ini. Mana boleh aku tunjukkan sikap romantik aku pada dia selagi kami tidak bergelar suami isteri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience