BAB 59

Romance Completed 21282

“AWAK dah putus asakah?”

Nampaknya, Putera Shiraz Adrian tewas dalam debat cinta kali ini. Aku rasa aku akan menang malam ini. Aku masih kekal dengan ego aku.

Wajahnya sebal. Kecewa. Murung. Merajuk dengan aku. Dia mula menjauhi aku. Pandang aku pun tidak. Dia memarakkan lagi unggun api yang sudah mengecil itu.

Aku biarkan sahaja dia begitu. Aku berdiri dan duduk di tebing sungai. Tadi, Putera Shiraz Adrian meluahkan semua perasaan yang terbuku di hatinya. Dia juga memujuk aku untuk terima cintanya walaupun aku sudah beri banyak alasan.

Alangkah bagusnya kalau dia ini hanya orang biasa sahaja. Bercinta dengan seorang putera bukannya senang. Lagi pula aku ini orang biasa yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan istana. Banyak benda lagi yang aku takut sekiranya aku terima dia dalam hidupku.

Kalau sahaja aku terimanya menjadi suami nanti, aku mungkin tidak akan bebas seperti isteri orang lain. Tidak boleh ke sana dan ke sini. Tidak boleh buat benda yang aku suka.

Sebiji demi sebiji batu aku lontar ke dalam sungai itu. Aku mendongak ke langit hitam pula. Malam ini hanya bulan yang terang itu sahaja yang menerangi langit gelap. Bintang-bintang pula langsung tidak kelihatan.

“Aww!”

Aku meraba perutku. Nampaknya, bekas tumbukan Twiita sudah memberi kesan padaku. Lenganku juga terasa sakit begitu juga dengan pipiku. Ganas juga dua orang itu. Sanggup mereka buat begini dekat aku. Nasib baiklah aku tidak beritahu Putera Shiraz Adrian tentang kejadian petang tadi.

“Kita balik.”

Pantas aku menoleh ke belakang. Dia sudah mengemaskan semua barang-barang. Unggun api juga sudah di padam olehnya. Dia betul-betul merajuk dengan akukah?

Putera Shiraz Adrian melangkah meninggalkan aku. Abang Eli dan abang Zairi membawa barang-barang makanan tadi dan terus mengejar Putera Shiraz Adrian.

“Cik Yana, mari kita pulang.” Ajak abang Hakim. Di tangannya ada tikar dan juga bekas air.

“Baiklah.” Aku berdiri dan perut aku terasa sakit. Mesti lebam sangat ini.

“Cik Yana tak apa-apakah?” Tanyanya apabila melihat aku sedang membongkok.

“Saya okey saja. Jom, pulang.”

Kami gerak bersama. Aku cuba sembunyikan sakit aku ini seboleh yang mungkin. Tetapi, nampaknya sakit aku tidak mahu bekerjasama dengan aku. Akhirnya, aku terduduk di atas kayu.

“Abang Hakim, perut saya sakitlah.”

Segera dia meletakkan barang-barang tersebut dan memeriksa keadaan aku. Abang Hakim ini bukan setakat pengawal perbadi sahaja tetapi dia juga ada bakat seorang doktor. Tapi dia lelaki. Mana boleh sentuh aku sesuka hatinya.

“Abang Hakim tak apa. Bagi saya rehat sekejap.” Aku menolak apabila dia mahu menyentuhku.

“Betul ni, cik Yana?”

Aku angguk lemah. Aku mengubah posisi duduk. Aku duduk di atas tanah dan berandar pada batang pokok tempat duduk aku tadi. Aku menyentuh perutku yang teramat sakit. Tidak mungkinlah kesan tumbukan Twiita itu sakit macam ini sekali.

“Kenapa dengan dia?”

Itu suara Putera Shiraz Adrian.

“Perut cik Yana sakit. Saya mahu periksa tapi dia tidak mahu.” Jelas abang Hakim.

Sakit perut aku datang lagi. Berkerut-kerut aku menahan sakit.

“Dinda. Dinda okey?”

Aku geleng kepala. Aku mencengkam hujung pakaiannya.

“Adrian...” Aku mengerang kesakitan.

“Adrian... ubat...”

“Ubat? Ubat apa dinda? Dinda sakit apa ni?” Dia panik. Wajahnya risau yang teramat.

“Paracetamol. Bagi saya ubat tu.” Aku rasa ini senggugut. Ah, janganlah datang ‘bulan’ sekarang. Aku masih dalam hutan ini.

Aku mengerang sakit lagi. Lebam pada perut dan juga sakit itu silih berganti menyerangku.

“Siapa di antara kamu...”

“Ini dia, tuanku.” Laju abang Eli memberikan ubat itu kepada Putera Shiraz Adrian.

“Dinda. Makan ubat ni dulu.” Putera Shiraz Adrian memasukkan ubat tersebut ke dalam mulutku. Setelah itu, dia menyuruh aku minum air. Beberapa minit kemudian aku terlelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience