BAB 50

Romance Completed 21274

TAMAN IXORA menjadi tempat pertemuan aku dengan Syirah Ainul dan juga Elina Ryne. Aku sangkakan Elina Ryne sudah bertolak ke Pura Janggi rupanya tidak. Sambil menunggu kedatangan mereka sambil aku makan aiskrim vanilla yang aku beli di kedai aiskrim yang tidak jauh dari tempat aku duduk ini.

Habis setangkai aiskrim dan aku dikejutkan lagi dengan aiskrim berperisa lain. Seorang remaja lelaki memberikan aku aiskrim berperisa vanilla-yam kepadaku. Aku memandang remaja lelaki itu tanpa berkelip.

“Untuk kakakkah?”

“Ya.” Jawabnya dengan senyuman.

“Kakak kenal adikkah?” Tanya aku lagi. Aku masih ragu-ragu hendak menerima aiskrim itu.

“Tak. Tapi ada orang suruh saya hadiahkan aiskrim ni untuk kakak yang comel dan cantik.”

Tersipu malu aku apabila dia memuji aku sebegitu. “Terima kasih.”

Aku cuba mencari kelibat orang yang memberi aiskrim ini kepada aku. Tiada satu pun yang mencurigakan. Tidak mungkinlah Putera Shiraz Adrian.

“Hoi! Termenung apa tu?” Sergah Elina Ryne.

“Cari orang.”

“Siapa?” Tanya Syirah pula.

“Empunya aiskrim ni.” Aku langsung tidak pandang mereka.

“Tak usahlah kau cari orang tu.” Syirah melabuhkan punggung. Elina Ryne pula duduk di atas rumput. Katanya, selesa.

“Hah, apa hal kau cari kami berdua?” Elina Ryne meregangkan kaki dan tangannya.

“Macam ni. Abang Ikhwan ajak bercuti ke pulau Intan minggu depan. Jadi, aku nak ajak kau orang berdua pergi sama. Nak?”

Mereka berdua saling berpandangan dan kemudian tersengih.

“Kenapa tersengih-sengih ni?”

“Aku ikut abang Fariz pulang ke Pura Janggi.”

“Betulkah? Kali ini kau memang jadi ikut abang Fariz ke sana?”

“Ya. Lusa nanti. Keluarga aku tak sabar nak jumpa aku.”

Aku sedikit kecewa. Aku pandang Syirah. Harap dia tidaklah mengecewakan aku.

“Maaf Yana. Aku pun tak dapat ikut kau bercuti sana.”

Kecewa.

“Kenapa pula?” Aku mahu merajuklah kalau begini.

“Aku ikut Elina pulang sana.”

Terbeliak mataku. Aku merenung dua orang teman aku ini dengan renungan tajam. Pasti ada sesuatu yang mereka sembunyikan daripada aku.

Aku berpeluk tubuh. Memandang mereka seolah-olah mahu marah.

“Janganlah marah Yana. Bukan selalu aku dapat ikut Elina ke sana. Nanti, kalau ada cuti lagi kita ke sanalah, ya?” Pujuknya. Aku mendengus dan berpaling ke arah lain.

“Ala, Yana. Abang Fariz yang nak bawa Syirah ke sana. Jangan marah. Aku janji kalau semua selesai dekat sana nanti aku akan belanja kau makan. Okey?” Elina Ryne pula memujuk aku.

“Eh, Syirah. Kenapa kau nak ikut Elina ni pulang dengan abang dia, huh?” Aku mula sangsi. Mereka berdua pula menunjukkan muka orang yang tidak bersalah. Aku geramlah.

“Ala, lepas balik dari Pura Janggi nanti sajalah aku cerita. Kalau aku cerita sekarang nanti tak seronok pula.” Syirah tetap mahu menyembunyikan hal itu.

“Ish, kau ni Yana. Kira adillah. Kau kumpul dulu cerita kau dekat pulau Intan tu. Kami kumpul cerita kami dekat Pura Janggi. Lepas daripada cuti kita jumpa balik. Baru cerita. Adil, kan?”

Aku mencebik. “Yalah tu. Aku tagih nanti tau.”

Mereka cuma membalas dengan anggukan dan senyuman. Aku terus membuka plastik aiskrim lalu menjilatnya. Syirah yang rasa cemburu dengan aku terus sahaja menuju ke kedai aiskrim. Elina Ryne hanya memesan kepadanya sahaja.

MALAM ini abang Ikhwan sekeluarga makan malam di rumah. Seperti biasa mama dengan aunty Irdina akan bercerita tentang butik mereka. Bariz dengan abang Ikhwan pula main permainan mereka di ruang tamu. Papa dengan uncle Adham bersembang di halaman belakang sambil menikmati minuman panas mereka.

Aku yang tidak berteman ini terus naik ke bilik dan berbaring di atas tilam. Fikiranku melayang jauh. Tidak ada siapa pun yang tahu aku ke istana hari itu. Aku cuba risik papa dan reaksi papa biasa sahaja. Dia sepertinya tidak tahu apa-apa tentang aktiviti aku itu.

Aku mengiring ke sebelah. Teringat kata-kata Syirah sewaktu kami masih berada di dalam hospital. Kata-katanya itu sudahku fikir. Tetapi, niat tidak kesampaian kerana kemunculan Puteri Alissa.

Aku mengaku yang aku ada rasa cemburu apabila melihat kemesraan mereka itu. Aku cemburu bila Putera Shiraz Adrian senyum dengan Puteri Alissa. Dengan aku, senyumannya itu selalu menjengkelkan. Langsung tidak ikhlas di pandanganku.

Tapi!

Aku bangun dari pembaringan. “Apa sebab pula mereka ada di Taman Tema Bulan itu, huh? Tahu-tahu saja aku ada di sana.” Aku mengusap dagu dan berfikir lagi.

Mungkin juga mereka berdua sedang bertemu janji di tempat itu.

“Ah! Boleh bengkak kepala ni tau. Asyik fikirkan putera raja tu saja.” Aku meramas kasar rambutku.

“Ish, tak boleh jadi ni!” Aku berdiri dan meregangkan otot-otot sendiku. Kemudian aku berlari-lari anak di sekitar ruang bilik tidurku.

“Tolonglah keluar daripada kotak minda aku ni.” Aku mengetuk-ngetuk kepala. Aku cuba membuang bayangan Putera Shiraz Adrian dari fikiran aku ini.

Aku keluar ke beranda mengambil angin malam. Macam-macam cara aku guna tetapi semuanya tidak berhasil. Putera Shiraz Adrian tetap bermain di ruang kepala aku ini. Aku menyentuh rantaiku.

“Cincin ni...”

Sekali kali aku mengetuk kepala aku.

“Bodoh juga kau ni, Yana. Peluang sudah ada di depan mata tapi benda ini langsung kau tidak ingat.” Aku menggerutu. Masa aku berada di istana tidak pula aku pulangkan cincin ini pada Raja Shakawi Shaif.

“Tak apa. Bertenang, Yana. Masih ada masa lagi.”

Aku mendongak ke langit hitam. Aku menggeram lagi.

“Tempoh yang Putera Shiraz Adrian beri tu dah habiskah?” Aku megira hari. Aku betul-betul terlupa untuk kira hari yang telah ditetapkan oleh putera raja itu.

Tidak mengapa. Jangan difikirkan lagi masalah itu. Kalau difikirkan nanti bertambah lagi tekanan aku. Nasib baiklah dapat bercuti ke pulau Intan. Boleh juga aku tenangkan fikiran di sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience