BAB 29

Romance Completed 21274

TERKONGKONG, itu yang aku rasakan ketika ini. Baru seminggu lebih dan aku masih belum cuba untuk berubah. Aku sibuk mencari rantaiku yang hilang itu tetapi langsung tidak jumpa. Aku juga sudah bertanyakan pada beberapa orang yang lalu di situ kalau-kalau ada menjumpai barang kesayangan aku itu. Tapi, jawapan yang diberikan sungguh menghampakan aku.

“Kenapa ni Yana? Cuba cerita dekat abang, manalah tahu abang boleh tolong.”

Aku mengeluh dan terus mengeluh di dalam kereta.

“Mahu abang berhenti di mana-manakah?”

“Dekat pantai tu.” Aku tunjuk pantai yang ada di sebelah kanannya. Lantas dia memberhentikan keretanya di tepi jalan.

“Jom,” dia mematikan enjin kereta. Kami keluar daripada perut kereta dan beriringan menuju ke pantai.

Cuaca petang agak redup hari ini. Mujurlah angin tidak bertiup dengan kencang. Aku menyusur pantai sambil melayan perasaan yang tidak tentu arah ini. Fariz Qyle setia berjalan di belakang aku. Agak lama jugalah kami berjalan sebelum mengambil keputusan duduk di bawah pokok kelapa.

“Lega?” Fariz Qyle bersuara setelah agak lama berdiam.

Aku senyum dan anggguk. Dia membalas senyumanku. Fariz Qyle melunjurkan kakinya ke depan sambil meregangkan otot-otot sendinya.

“Abang Fariz,”

“Ya.”

“Abang Fariz sebenarnya cuti berapa lama?”

“Kenapa tiba-tiba saja tanya abang macam tu? Yana tak suka abang dekat sinikah?”

Aku menyengih. Aku bukannya hendak menghalau dia dari hidup aku ini. Cuma tertanya-tanya sahaja.

“Yana tanya saja. Abang janganlah terasa hati.” Aku buat muka comel dan dia ketawa.

“Yana ni. Tau tak perangai Yana ni buatkan abang teringatkan seseorang.”

Dahiku berkerut. “Siapa?”

“Adik perempuan abang.”

“Yakah! Abang Fariz ceritalah pasal adik perempuan abang Fariz tu. Manalah tau kalau Yana terjumpa adik abang Fariz itu nanti.”

“Yana nak jumpa?”

Aku angguk laju.

“Tapi sayang sekali. Yana mana mungkin dapat jumpa adik abang tu.”

Aku mengerutkan dahi. “Kenapa pula?”

Dia berdiri dan menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan kasar.

Dia memandang aku semula. Riak wajahnya berubah.

“Sebab dia dah di ambil orang.”

“Hah?! Biar betul? Sejak bila? Abang Fariz tidak cari diakah?” Bertalu-talu soalan yang aku ajukan kepadanya.

“Tengah carilah ni. Bertahun-tahun abang cari dia. Lagipun, dia satu-satunya adik yang abang ada.”

Aku masih bingung.

“Apa maksud abang Fariz? Cuba abang Fariz ceritakan pada Yana dari awal kisah adik abang Fariz tu. Yana nak tahu.”

Dia senyum nipis sebelum membuang pandang ke arah laut. Air laut ketika ini tidaklah terlalu bergelora.

“Hal ini berlaku 19 tahun yang lepas. Masa itu, keluarga abang ada masalah dengan syarikat dia. Hutang pun sana sini. Rumah kami di sita. Mama abang masa itu tengah sakit. Papa abang begitu tertekan. Dia tidak dapat menampung kami sekeluarga.”

“Kesiannya...” Aku sebak mendengarnya.

“Masalah papa abang semakin rumit. Hampir saja papa abang mahu menceraikan mama abang tetapi abang tidak mahu mereka berdua berpisah.”

“Jadi, macam mana papa abang selesaikan semua ini?” Tanya aku ingin tahu.

“Masa tu ada keluarga kaya mahukan seorang anak perempuan. Pasangan tu sudah lama berkahwin tapi masih tidak mempunyai anak. Mereka datang dan memberi pertolongan kepada papa abang untuk selesaikan masalahnya. Tetapi, sebagai gantinya mereka mahukan adik perempuan abang itu. Mereka janji akan menjaganya dengan baik.”

Fariz Qyle duduk dan menghadap aku semula.

“Mahu atau tidak keluarga abang terpaksa buat begitu. Lagipun, Ershanti masih kecil dan banyak benda yang dia perlukan ketika itu. Papa abang meminta agar keluarga kaya itu mengasuh dan mendidik adik abang dengan baik. Papa juga meminta mereka agar tidak memberitahu perkara sebenar sehinggalah dia dewasa dan matang.”

“Sedih pula dengar kisah abang Fariz ni. Abang tak nak cari diakah?”

Dia menghembus nafas kasar.

“Sebab abang bercuti ini pun untuk mencari dia. Apa yang orang-orang papa abang beritahu, adik perempuan abang itu ada di Pura Cahaya ini. Tapi, di mana dan dekat mana dia tinggal abang tak tahu.” Dia mengeluh kecil.

Aku berfikir sejenak.

“Ini, rantai yang papa dengan mama abang berikan kepada Ershanti.”

Aku melihat gambar rantai yang ada di dalam telefon Fariz Qyle.

“Abang pun ada satu. Tapi, abang simpan untuk diberikan kepada pasangan hidup abang nanti.”

Aku tidak tahu sama ada mahu senyum atau tidak. Cara dia memandang aku lain macam sahaja. Janganlah pula dia ada hati dengan aku.

Tiba-tiba dia ketawa. Aku pelik.

“Abang ingatkan abang bolehlah dengar masalah Yana tapi, ini terbalik pula.” Ujarnya dengan sisa tawa. Aku pun ikut ketawa sekali.

“Tapi, bagus juga abang Fariz luahkan masalah abang yang terpendam itu. Ringan sikit bebanan otak abang tu.”

“Ya. Terima kasih Yana sebab sudi dengar luahan abang ni.” Dia menepuk-nepuk seluarnya yang terkena dengan pasir.

“Tak payahlah nak berterima kasih. Lagipun, Yana yang nak tahu, kan?”

Kami senyum. Kemudian wajahku masam semula.

“Eh, tadi bukan main ceria lagi sekarang kenapa muka masam balik ni?” Tanya Fariz Qyle yang kehairanan.

“Abang Fariz dengar pula luahan Yana ni. Yana sekarang ada masalah dengan putera raja tu.” Aku mengeluh.

“Masalah apa pula? Gaduh lagi?”

Aku angguk perlahan.

“Dia kata kalau nak putuskan pertunangan, Yana kena ikut syarat dia. Yana kena berubah.” Aku mendengus. Aku memeluk lutut dan melentokkan kepala di situ.

“Menyesalkah bertunang dengan anak raja?”

“Menyesal? Tak menyesal? Entahlah.” Ranting kayu di tepi kaki aku itu aku ambil dan melukis sesuatu pada pasir itu. Lukisan yang tidak membawa makna apa-apa pun.

“Rugilah kalau Yana lepaskan putera raja tu. Bukan senang mahu dapat pasangan macam tunang Yana tu.”

“Rugi tak rugi belakang ceritalah, abang Fariz. Masalahnya, Yana tak suka dia. Hati Yana langsung tidak terpikat dengan anak raja tu.”

“Yakah?”

“Ya.”

“Betul ni?”

Aku menggeram. “Abang Fariz, soal hati ini mana boleh paksa. Kalau boleh biarlah perasaan itu datang dengan sendiri.”

“Tapi, Yana. Abang tengok Putera Shiraz Adrian tu memang sayangkan Yana tau. Yana janganlah jual mahal sangat.”

“Yana tak akan jual mahal kalau orang itu berperangai baik. Tapi, Putera Shiraz Adrian itu bukan macam tu orangnya. Dia playboy!” Aku mendengus.

“Okey. Okey. Yana janganlah marah.”

Aku menjelingnya. Siapa suruh buat aku marah!

“Kalau betul Yana tak mahu teruskan pertunangan ini ikutlah syarat dia tu.”

“Yana tak bolehlah abang Fariz. Abang Fariz pun tahukan Yana ni macam mana orangnya.”

"Ya, abang tahu. Nama saja perempuan tapi perangai ke laut. Nasib baiklah si putera raja tu terpikat juga dengan perempuan macam Yana ni.”

“Abang Fariz ni! Yana mahu abang Fariz dengar saja masalah Yana ni. Bukan berdebat. Ish!”

Dia ketawa.

“Ketawa pula dia ni. Sudahlah. Daripada bergaduh dengan abang Fariz lebih baik pergi gerai buah dekat sana tu.” Aku berdiri dan terus meninggalkannya dengan hati yang geram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience