BAB 2

Romance Completed 21274

“SYIRAH, hari ini last korang semua buat teaterkan?”

“Ya. Nasib baiklah ramai yang datang tengok persembahan kami ni.” Syirah melepaskan lega. Aku senyum sambil menepuk lembut bahu teman aku ini.

“Aku sukalah dengan teater klasik korang tu. Seorang gadis bertemu dengan sang pangerannya. Siap ber’kanda’, dinda lagi.” Aku tersengih-sengih melihat Syirah yang sudah malu itu.

“Hoi, Syirah. Kalau kau suka sangat dengan dia, kau luahkan sajalah. Aku yakin dia tu pun suka dengan kau.”

“Kau! Kau jangan buat aku hilang mood, ya. Hal tu nanti-nanti sajalah kita cakap.”

Aku ketawa kecil. Comel saja si Syirah ini aku tengok. Perangai dia ini pun tidak banyak yang berubah. Yalah, aku kenal dia ini pun sejak dari bangku sekolah lagi dan tidak pernah berpisah. Mana sahaja aku pergi dia ikut. Begitu juga dengan aku. Dia pergi tandas pun aku ikut juga. Hahaha... gurau saja.

Sebenarnya, teater dua hari lepas dengan kelmarin dialah yang bawa watak utamanya. Tirana watak gadis kampung yang cantik, manis dan baik orangnya. Terkena pula dengan sang pangeran yang di bawa oleh Ryaikal dari jurusan lakonan dan seni persembahan yang sama dengan Syirah ini. Aku tahu Syirah memang suka dengan Ryaikal tapi aku biarkan sahajalah mereka berdua itu. Urusan cinta orang jangan masuk campur. Hehehe...

MASUK sahaja ke dalam dewan utama aku terus mengambil tempat di bahagian depan. Syirah sudah ke belakang menyiapkan dirinya. Teruja sungguh aku mahu lihat pengakhiran kisah cinta Tirana dengan sang pangerannya.

Walaupun aku dari jurusan pemasaran tetapi aku tetap suka dengan dunia seni. Nasib baiklah persembahan mereka itu di buat selepas kuliah.

Hari ini, watak Tirana yang Syirah bawa itu akan berkahwin dengan sang pangeran setelah halangan-halangan yang mereka berdua lalui bersama dari persembahan-persembahan kelmarin. Aku sudah tentulah tidak sabar mahu menontonnya. Aku mahu sangat tengok wajah Syirah yang merah-merah itu bila berdepan dengan si Ryaikal. Mereka berdua itu memang nampak sepadan. Bagai pinang dibelah dua. Aku harap sangat mereka berdua itu dapat bersama.

“Seorang saja?”

Sedang aku membalas mesej dari teman-teman aku tiba-tiba suara garau menyapa telingaku. Aku menoleh ke sebelah kanan dan ternyata lelaki itu adalah Putera Shiraz Adrian. Wajahku terus berubah.

“Tak nampakkah aku tengah duduk dengan hantu-hantu di sebelah aku ni?” Balasku tanpa memandangnya. Aku terus membalas mesej-mesej mereka.

“Boleh tak kalau bercakap tu pandang wajah saya.”

Aku buat tidak tahu. Lagi bagus aku layan mesej-mesej dalam telefon ini daripada layan lelaki ini.

“Aryana Hani anak usahawan terkenal Tuan Baihaqi, kan? Pusat pelancongan moden-klasik Pura Cahaya yang terkenal itu milik papa awakkan?”

Ah, malas aku mahu membalasnya. Buang masa!

“Okey. Kalau awak tak layan saya...”

Terbeliak mataku dengan tindakannya. Suka hati sahaja dia menarik telefon pintar aku itu.

“Bagi balik!” Aku cuba mencapai telefon tersebut namun tangannya pantas memasukkan telefon itu ke dalam poket seluarnya. Aku gigit bibir. Geram.

“Erghh!! Bagilah balik telefon aku tu.”

“Kalau saya bagi balik telefon ni apa yang awak akan balas kepada saya, hmm?”

“Kau jangan buat suara ‘seksa’ macam tu boleh tak?! Aku nak termuntah tau.” Siap buat muka mahu muntah lagi. Peduli apa aku dengan dia ini.

Dia tersenyum dan kemudian ketawa kecil. Bertambah sakit hati pula aku tengok gaya dia itu.

“Ish, benci betul aku dengan orang macam ni. Kenapalah ada putera berperangai macam kau ni, hah?!” Aku berdiri berpeluk tubuh di depannya. Aku sudah bersedia mahu menyerang jika dia mengapa-apakan aku.

“Dinda, Hani.”

Gulp. Aku telan liur berkali-kali. Dia berdiri dan merapatkan jaraknya denganku.

“Dinda janganlah berkasar dengan kanda.”

Aku laju mengundur ke belakang apabila dia cuba menyentuhku.

“Buat apa aku hendak berlembut dengan lelaki macam kau ni. Aku akan berlembut dengan lelaki yang berbudi bahasa saja. Lelaki yang baik.”

“Menarik.”

“Apa yang menarik?!”

“Dindalah. Dinda layan kanda tidak seperti orang lain melayan kanda.”

“Mestilah! Sebab kau di mata aku ini langsung tak nampak macam seorang putera. Lebih kepada buaya darat, kau tau tak?!”

“Buaya darat, ya?”

Aku terkedu apabila dia menarik dan memaut pinggangku.

“Putera Shiraz Adrian! Tolong jaga adab tu boleh tak?!” Aku cuba melepaskan diri. Mujurlah belum ramai pelajar yang masuk ke dalam dewan ini dan nasib baik jugalah dewan ini gelap. Hanya ada pancaran cahaya dari atas pentas itu sahaja.

“Kanda tidak akan melepaskan pautan ini selagi dinda tidak berlembut dengan kanda.”

“Ish, Boleh tak kau jangan nak ber’kanda’, dinda dengan aku. Geli anak-anak telinga aku ni nak mendengarnya.” Sekali lagi aku mencuba untuk melepaskan diri.

“Biarlah telinga dinda tu geli. Kanda mahu biasakan dinda dengan panggilan ini. Lagipun, kalau kita berkahwin nanti panggilan ini juga yang akan di guna nanti, kan?”

“Wei! Aku gelilah. Aku tak suka! Lepaskan akulah.” Aku meronta.

“Siapa yang nak kahwin dengan kau, hah?! Aku tak nak. Tak suka, faham tak! Lepaslah.” Makin aku geram bila dia mengetatkan lagi pautan di pinggang itu. Saat itu juga tangan aku terasa sesuatu di bahagian poket seluarnya. Aku mengerling ke bawah. Ya, memang telefon aku.

“Ini kali pertama kanda ada masalah dengan perempuan.”

“Baguslah. Sedar juga kau. Bukan semua perempuan minat, suka dekat kau walaupun kau tu putera raja.” Diam-diam aku cuba mencapai telefon aku itu.

“Baiklah. Kalau macam tu kahwin sajalah dengan kanda. Selesai masalah.”

“Wekk!! Aku dah cakap yang aku tak nak kahwin dengan kau. Hei, aku sedarlah aku ni siapa. Kita bukannya sama darjat. Kau carilah puteri kau. Tak pun kau carilah perempuan lain yang pastinya bukan aku.”

Dapat. Aku berjaya menyentuh telefon pintar aku itu. Dia belum menyedarinya lagi. Perlahan-lahan aku menarik keluar telefon itu dari poket seluarnya.

“Dinda tahu tak. Perangai dinda ini akan buatkan kanda mahukan dinda.”

“Huh. Itu nafsu tau! Sudahlah. Lepaskan aku!” Dengan tenaga yang ada aku terus menolaknya ke belakang.

“Padan dengan muka!” Aku menunjukkan telefon aku itu kepadanya. Laju dia memeriksa poket seluarnya.

“Sekali lagi kau panggil aku ‘dinda’ kau tahulah nasib kau nanti.” Aku mendengus lalu meninggalkannya. Lebih baik aku duduk di belakang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience