BAB 43

Romance Completed 21274

KEESOKKANNYA, aku melawat Lisha pula. Bukan main ceria lagi budak itu apabila melihat aku. Laju dia turun dari atas katil dan memelukku dengan erat. Aku membalas pelukan tersebut. Lama kami begitu.

Pintu dikuak dan muncul aunty Melisa. Bukan dia sahaja yang datang tapi mama dan juga aunty Irdina turut ada bersama.

“Gembira betul Lisha nampak kamu, Yana.” Aunty Melisa meletakkan buah-buahan yang dibelinya di atas meja.

“Mama dengan aunty cari kamu dalam bilik tadi tapi kamu tak ada. Nampak puan Melisa ni terus kami ke sini. Tak sangka pula anak mama ada dekat sini.”

“Maaflah, ma. Yana cuma nak jenguk Lisha ni saja. Lagipun, bosanlah duduk dalam bilik saja.” Aku memjuih bibir.

“Haih, encik tunang tak datang jagakah?”

“Ish, aunty Irdina ni. Awal pagi lagi dah usik Yana. Malulah.”

“Eleh, malu apanya. Tunang kamu tu bakal suami kamu juga nanti, kan?”

Aku tersedak. Bakal suami?

Terus fikiran aku melayang pada perbualan kami malam itu. Dia merajuk dan terus pergi. Mungkin juga sekarang ini dia tengah berbincang dengan ahli keluarganya tentang pertunangan kami itu. Kalau betul dia hendak putuskan hubungan ini...

Apa yang aku hendak buat selepas itu? Gembirakah aku dengan perpisahan yang bakal berlaku nanti?

Yalah, aku tidak pernah hadapi masalah seperti ini. Apatah lagi soal lelaki dan juga cinta.

“Yana! Budak ni mengelamunlah pula.” Mama geleng kepala.

Aku rasa hendak menangis pula. Aku sendiri tidak tahu apa perasaan aku terhadap dia. Tiga wajah wanita yang duduk di hadapan aku itu aku pandang satu persatu. Masalah jangan disimpan lama nanti padah akibatnya. Aku putuskan untuk luahkan saja. Mungkin mereka boleh bantu aku.

AKU bersiar-siar di taman hospital ini sambil melihat gelagat-gelagat pesakit yang lain. Aku membalas setiap senyuman yang diberikan. Pesakit-pesakit di sini semuanya mesra. Ada juga yang membawa aku bercerita dengan mereka.

Setelah puas melayan karenah pesakit lain aku menuju ke kerusi kayu panjang dekat dengan taman kaca itu. Aku melabuhkan punggung. Fikiran aku menerawang mengingatkan perbualan aku dengan mereka tadi.

Kalau bercinta memang banyak dugaannya. Tapi dugaan cinta sebelum kahwin itu tidak sama dengan dugaan selepas kahwin. Itu ayat mama.

Aunty Irdina pula kata kena banyak bersabar dalam hubungan bercinta ini. Susah senang sama-sama kena hadapinya. Jujur dalam percintaan. Jangan cepat marah atau menuduh sekiranya berlaku apa-apa yang melibatkan maruah.

Bagi aunty Melisa pula kepercayaan itu harus ada dalam setiap hubungan. Kenal hati budi masing-masing. Terimanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Jika inginkan kesempurnaan dalam sesuatu hubungan itu memang tidak akan dapat kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Tapi, kalau hendak berjaya dan kekal dalam hubungan percintaan ini mereka perlulah saling melengkapi dan memahami kekurangan dan kelebihan diri sendiri. Barulah hubungan itu jadi sempurna dan kekal bahagia.

Aku mendongak ke langit yang cerah. Mujurlah sekarang ini tengah musim cuti. Tidak penatlah otak ini memikirkan perkara lain.

“Anak seorang sajakah?” Tegur suara parau. Dia salah seorang pesakit di Hospital Cendana ini.

“Ya. Pak cik silalah duduk.” Aku mempelawa orang tua itu duduk di sebelah aku.

“Pak cik seorang saja?”

“Ya. Anak pak cik baru pulang tadi.”

“Boleh saya tahu pak cik ni sakit apa?”

“Pak cik ada lemah jantung. Dah seminggu pak cik dekat sini.”

“Oh... kesiannya pak cik.”

Aku tumpang sedih melihat keadaan pak cik ini. Sudahlah tangannya di cucuk dengan jarum. Wajah dia pun nampak pucat sahaja.

“Err... Tak adakah jururawat yang temankan pak cik sekarang? Saya tengok muka pak cik pucat saja.” Risau aku melihat wajah tua itu. Aku meliar mencari seseorang yang boleh bantu pak cik ini.

“Anak jangan risau. Pak cik tak apa-apa. Mungkin sebab pak cik terlalu berjalan tadi.”

“Betul ni?”

Pak cik ini ketawa pula. Dia buat aku risau tahu.

“Anak ni siapa nama?”

“Yana.”

Dia ketawa lagi.

“Yana ni macam anak pak cik. Terlebih risau dengan keadaan pak cik.”

“Siapa pun akan risau kalau tengok muka pak cik yang pucat ni.”

“Tak ada yang nak dirisaukan Yana. Banyak jururawat berkeliaran di sekitar sini. Tahulah dia orang nak bantu pak cik kalau pak cik pengsan.”

Aku jungkit bahu. Kalau sudah begitu katanya dengar sahajalah. Ingat, Yana tujuan kau ke sini mahu lapangkan fikiran kau. Bukan tambah masalah lagi.

Aku menyandar tubuh di kerusi. Masing-masing mendiamkan diri. Sekejap-kejap aku mengerling ke sebelah. Jauh sungguh pak cik ini termenung. Apa agaknya pak cik ini tengah fikirkan?

“Heboh satu hospital ni pasal kedatangan anak bongsu Raja Shakawi Shaif kelmarin. Pak cik dengar yang dia bertunang dengan orang dari golongan biasa.”

Aku telan liur. Janganlah satu Pura Cahaya ini tahu tentang hal ini.

“Mana pak cik tahu dia bertunang dengan orang biasa?” Aku cuba mencari tahu.

“Wartawan. Media sosial. Yana tak bacakah gosip-gosip hangat tentang tu?”

Aku tayang gigi. Sumpah! Aku memang jarang ambil tahu pasal gosip-gosip ini. Kalau Putera Shiraz Adrian kata satu universiti sahaja yang tahu, hanya itu sahajalah aku percaya. Lagipun, dia sendiri yang beri amaran pada mereka kalau sekiranya hal ini sampai ke media massa dia akan beri hukuman kepada mereka.

“Nanti, Yana tengoklah. Baca sendiri gosip tu. Ramai yang komen negatif berbanding dengan positif.”

Mereka mengata akukah? Lantas aku berdiri mahu meninggalkan tempat tersebut.

“Yana nak ke mana pula?”

“Balik ke bilik. Rasa tak sedap badan pula.”

“Err... Pak cik kenalkah siapa orang yang tunangan putera raja tu?” Tanyaku sebelum melangkah pergi.

“Entah. Pak cik tak kenal pula. Tak ada nama pun diletak dalam tajuk-tajuk gosip tu.”

Aku melepas lega. Sekejap lagi aku cari. Aku perlu beredar. Tapi sebelum itu aku kena cari seseorang. Kebetulan, seorang jururawat perempuan lalu di depan kami. Laju aku menghalangnya.

“Cik jururawat, saya minta tolong boleh?”

“Boleh. Kenapa? Cik ada masalahkah? Nak saya panggil doktor?”

“Tak. Saya tak ada masalah pun. Saya masih boleh berjalan dengan tongkat ni. Tapi, saya risau dengan pak cik ni. Wajah dia pucat saja. Kalau boleh cik jururawat tolonglah temankan dia. Saya nak balik ke bilik sudah.” Tuturku lembut.

Dia tersenyum senang. “Baiklah. Hati-hati masa berjalan tu.”

“Baik.”

Aku pandang pak cik itu pula. “Yana gembira dapat berbual dengan pak cik. Yana pergi dulu, ya. Assalamualaikum.”

Mereka berdua sama-sama membalas salamku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience