BAB 31

Romance Completed 21282

“BARIZ, kita jumpa kawan kau tu sekejap sajalah. Mama suruh aku buat ni.” Aku tunjukkan buku kecil yang mengandungi senarai nama peserta kanak-kanak yang mengikuti pertandingan peragaan pakaian itu.

Aku sudah meneliti isi di dalam buku ini. Seramai 50 orang peserta yang mengikuti pertandingan tersebut, 25 peserta perempuan dan 25 peserta lelaki. Peserta-peserta itu semua dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun. Kategori yang dipertandingkan adalah lima kategori iaitu peragaan musim panas, sejuk, bunga, luruh dan satu kategori bebas.

Setiap kategori itu mewakili 10 orang peserta dan akan disingkirkan lima orang dari setiap kategori tersebut. Baki peserta 25 orang itu akan di bawa ke kategori yang seterusnya di mana peserta akan mereka sendiri pakaian mereka dan akan di nilai oleh mama, aunty Irdina dan juga beberapa pereka lain yang dijemput oleh mereka. Peserta itu juga turut berpeluang untuk meragakan pakaian yang di reka oleh mama aku dan juga aunty Irdina.

“Ramai ni kak Yana. Lagipun, Zaliah tak boleh lama sebab dia kena pergi kelas piano lepas jumpa kita.” Beritahunya. Bariz memandu keluar daripada perkarangan rumah.

“Aduh. Jadi, macam mana?”

“Kita jumpa Zaliah lain kalilah. Kita selesaikan dulu tugas mama ni.” Cadangnya.

“Yalah. Tapi, bila kita nak jumpa kawan kau tu lagi?”

“Kita jumpa esok atau pun lusa. Lagipun kak Yana dah nak cuti, kan?”

Aku angguk perlahan. Aku setuju sahaja dengan cadangan tersebut. Bariz terus memandu masuk ke lebuh raya.

KAFE KID’Z menjadi tempat untuk perjumpaan kami dengan 50 peserta tersebut. Tapi, malangnya yang dapat hadir cuma 35 peserta sahaja. Yang lainnya tidak dapat datang kerana mempunyai hal sendiri. Aku sudah memaklumkan kepada ibu bapa mereka bahawa kami akan berjumpa dengan anak mereka di rumah mereka sahaja nanti.

“Kak Yana, nampaknya semunya sudah ada di sini.” Bariz baru selesai mengambil kehadiran mereka.

Aku mengukir senyuman. Ada yang datang bersama dengan ibu bapa. Ada yang datang bersama kakak, abang dan ada juga yang datang bersama dengan pak cik dan mak cik mereka. Masing-masing dengan telatah dan gelagat yang mencuit hati aku.

“Kakak.”

Aku menunduk melihat kanak perempuan yang bertocang dua itu. Secara spontan aku mengukir senyuman kepadanya.

“Ya, kenapa?”

“Saya Anna, 10 tahun.”

“Aryana. Panggil kak Yana pun dah cukup.” Beritahuku. Aku duduk mencangkung di depan budak itu. Comel. Lawa lagi.

“Kak Yana. Kakak cantiklah.”

“Terima kasih. Anna pun cantik juga.” Aku mencubit lembut pipinya.

“Anna nak tanya apa dengan akak?” Dengan budak memang aku berlembut. Tidak boleh kasar melayan mereka ini. Kalau tidak nanti mereka buat hal dengan aku pula.

“Kak Yana, Anna sebenarnya tak pandai nak berjalan macam model-model lain. Kak Yana boleh ajarkan Anna tak nanti?”

Gulp. Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana hendak berjalan macam model-model itu.

“Kak Yana?” Dia menggoncangkan tubuhku.

“Ya. Ya.”

“Kak Yana mengelamunkah?”

Aku ketawa kecil. Sekali lagi pipinya menjadi mangsa cubitanku.

“Akak tak mengelamunlah. Baiklah, akak akan ajar Anna dengan yang lain.”

“Yeah!!”

Seronoknya dia. Aku tumpang gembira. Anna terus berlari menuju ke arah ibunya yang duduk tidak jauh dari tempat aku berdiri.

Aku baru mahu berpaling ke tempat lain namun ada satu susuk tubuh yang buatkan aku memaku ke arahnya. Aku mengamati lama lelaki berpakaian serba putih dengan kepala ditutupi oleh hud. Separuh wajahnya ditutupi oleh topeng mulut dan dia memakai kaca mata.

Aku tidak meneliti mata lelaki itu sangat. Tapi, cara dia itu mengingatkan aku pada Putera Shiraz Adrian. Diakah?

“Ah, tak mungkinlah.” Lagipun, lelaki itu bersama dengan teman-temannya yang berpakaian sama dengannya. Cuma warna hud mereka berbeza.

“Bariz. Bariz.” Aku mencari-cari kelibat adik aku itu tetapi tidak ada di situ. Padahal, tadi dia duduk di belakang aku.

“Ke mana pula budak ni?” Aku menggerutu.

“Kakak! Kakak!”

Budak-budak ini nampaknya sudah tidak sabar lagi. Hal adik aku itu letak ke tepi dulu. Sekarang aku mahu selesaikan masalah mama ini dan kemudian memberitahu mereka serba sedikit tentang pertandingan peragaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“KAK YANA, salahlah.”

Mereka mentertawakan aku. Yalah, cara jalan aku tidak seperti model dalam televisyen. Tapi, aku seronok melihat mereka ketawa. Walaupun baru beberapa jam kenal mereka tapi aku suka kerana kami semua bergembira.

“Kakak gurau sajalah. Hari ini kakak mahu semua bergembira, ya. Apa yang kamu semua nak minta saja dengan pelayan tu.”

“Yeah! Kak Yana dengan Abang Bariz terbaiklah!” Mereka menjerit kegembiraan. Mini Playground yang ada di sudut belakang kafe itu menjadi mangsa mereka. Seronok betul mereka bermain bersama.

Aku terkejut juga bila Bariz memberitahu aku yang dia sudah menyewa tempat ini untuk kami semua. Segala apa yang kami minta dia akan bayar kemudian.

Aku duduk semula di tempat aku. Tempat duduk dekat dengan dinding kaca kafe ini. Aku melepaskan lega sambil mengurut bahu. Tidak lama itu datang pula orang-orang tua mereka bercerita dengan aku. Aku layan sahajalah.

Tengah seronok bercerita mataku menangkap lelaki tadi. Mereka duduk di hujung kafe sebelah kiri. Lelaki itu dari jauh memandang ke sini. Aku rasa dia pandang aku.

“Yana,”

“Ya, aunty.”

“Yana dah ada teman lelaki?” Tanya aunty Wahi. Dia mama kepada kanak-kanak yang bernama Jiha.

Aku tersengih. “Tak ada aunty. Kenapa?” Aku jujur tahu. Putera Shiraz Adrian itu bukan teman lelaki aku. Aku tidak pernah pun terima dia dalam hidup aku. Dia sahaja yang mahu aku jadi sebahagian dari hidupnya.

“Yana cantik macam ini pun belum berpunyakah?” Wanita ini agak terkejut sedikit.

“Bukan tidak mahu teman lelaki, aunty Wahi. Yana cuma mahu habiskan belajar dulu.” Berhati-hati aku menjawab soalannya.

“Oh, baguslah macam tu. Fikir masa depan.” Dia senyum. Aku membalas senyuman tersebut. Kami meneruskan lagi perbualan.

Aku rasa lain. Entah kenapa aku rasakan pandangan lelaki berpakaian putih itu masih lagi melekat pada aku?

Aku melihat jam di telefon. Hampir tengah hari barulah selesai perjumpaan tersebut dan sekarang ada lagi tugasan seterusnya. Sementara Bariz sibuk membayar aku menelefon ibu bapa peserta-peserta yang lain. Aku akan pergi ke rumah mereka sekejap lagi.

“Jom, kak Yana.”

“Kejap.” Aku mengemas barang-barangku yang bersepah di atas meja.

“Marilah.” Ajak aku. Ketika aku mengorak langkah ketika itu jugalah lelaki itu dan teman-temannya keluar daripada kafe ini.

“Bariz,”

“Hmm...”

“Geng putih tadi tu kawan-kawan kaukah?” Aku tanya sebab aku ada nampak dia bercerita dengan lelaki yang tengok aku sejak dari tadi lagi.

Dia ketawa kemudian serius. “Kawan begitu saja. Dia orang datang sini mahu hilangkan tekanan. Lagipun, kafe ini satu-satunya kafe yang ramai ibu bapa bawa anak-anak dia orang ke sini.”

“Yakah?” Aku berfikir seketika. Di Pura Cahaya ini hanya ada tiga sahaja kafe jenis kanak-kanak tetapi yang popular adalah Kafe Kid’z ini.

“Yalah.”

“Ish, pelik aku. Banyak lagi benda yang boleh hilangkan tekanan, kan? Lagipun dia orang semua itu lelaki.”

Tergamam aku apabila Bariz menunjal tepi kepala aku.

“Kak Yana ingat perempuan sajakah yang pergi ke sini dengan anak, adik dia orang? Lelaki pun suka pergi sini tau.” Dia menggeram.

“Sudahlah. Mari kita pergi. Kata nak jumpa budak-budak yang tak datang perjumpaan ni.” Dia terus berlalu pergi. Aku menjulingkan mata ke atas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience