BAB 21

Romance Completed 21282

INI adalah babak terakhir di mana Mutiara di lamar oleh Andika dan masa itu jugalah pemuda bangsawan itu akan membuka topeng yang menutupi wajahnya sepanjang pementasan Tira Mutiara ini.

Pelbagai rintangan sudah yang dilalui oleh dua pasangan itu. Pada awal pertemuan mereka, Mutiara dengan Andika bertengkar kerana Andika mahu Mutiara menjadi pasangan hidupnya. Kata Andika, tidak ada perempuan lain yang layak selayak Mutiara. Mutiara melayannya dengan cara yang berbeza daripada perempuan-perempuan sebelum ini. Namun, kata-katanya itu langsung tidak dapat membuka pintu hati Mutiara.

Banyak cara diusahakan oleh Andika untuk memikat hati Mutiara. Tetapi satu pun tidak berhasil. Andika tidak berputus asa. Dia mencuba dan terus mencuba membuka hati Mutiara.

Aku mengeluh apabila mengimbas kembali watak Mutiara yang aku bawa ini. Hampir sahaja aku hilang akal dek kelakuannya yang membuatkan aku rasa sakit hati. Geram. Apa yang dilakukan olehnya itu tidak semua mengikut jalan cerita asal Tira Mutiara ini.

AKU menarik nafas panjang sebelum masuk ke dalam pentas semula. Babak terakhir ini aku akan tahu siapa dia yang sebenarnya. Dengan lafaz bismillah aku kembali ke pentas dengan watak Mutiara.

Aku berjalan ke taman untuk mengambil angin malam. Tempat duduk di bawah pokok rendang menjadi tempat berlabuh aku. Sesekali bayu lembut menampar pipiku. Tenang sekali.

Ruang pentas digelapkan dan cahaya di pasang tepat ke arah aku yang sedang duduk melayan perasaan. Aku berdiri dan melangkah beberapa kaki ke hadapan. Berdepan dengan para penonton yang sedang memaku pandangan mereka ke arahku.

Sekilas aku memandang Putera Rasyiq Shafy yang duduk betul-betul berhadapan dengan aku. Renungan tajamnya mengingatkan aku tentang kata-katanya tadi.

Aku kembali ke tempat dudukku tadi dan melabuhkan punggung di situ. “Indah sungguh bulan malam ini. Hilang segala tekanan di dalam jiwa.” Aku menyentuh dada dengan senyuman kecil. Tekanan yang aku maksudkan ini adalah selepas Mutiara bergaduh besar dengan perempuan yang mahu menggoda Andika iaitu Anggerik.

Masalah di antara Mutiara dengan Anggerik sudah selesai. Mutiara menyiasat sendiri perbuatan Anggerik itu dan ternyata Anggerik sudah lama berdendam dengan Mutiara. Anggerik cemburu dengan sifat yang ada pada Mutiara. Mutiara sentiasa digilai oleh pemuda-pemuda kampung termasuklah Andika. Dia berniat mahu memfitnah Mutiara agar Mutiara dengan keluarganya malu dan kemudian keluar daripada kampung Tanjung.

Anggerik pernah melakukan perkara keji. Dia mengupah orang untuk memperkosa Mutiara tetapi diselamatkan oleh Andika, pemuda bangsawan yang memakai topeng di wajahnya. Sejak dari situlah cinta mula berputik. Mutiara jatuh cinta pada lelaki bertopeng itu.

Namun, kerana ego yang tinggi dia tetap dengan hatinya yang keras. Bagi Andika, tiada satu pun kelakuan Mutiara yang terkesan pada dirinya. Bertambah sayang ada lagilah.

“Adinda Mutiara.”

Aku berpaling. Riak muka sukar untuk aku kawal. Sekejap sahaja lakonan aku bertahan. Muncul si topeng hitam ini terus hilang semangat hendak berlakon.

“Eh, kanda Andika. Bagaimana kanda tahu adinda ada di sini?” Aku cuba mengawal suaraku.

Setiap kali aku hendak melepaskan marah pasti Syirah membuat muka marahnya dari jauh. Ditambah lagi dengan amaran Putera Rasyiq Shafy itu terpaksalah aku melayan karenahnya.

“Mestilah kanda tahu. Bukankah kanda sudah memasang peranti cinta di hati dinda.”

Ini tidak ada di dalam skrip tahu!

Aku menahan sabar. Penonton-penonton yang sedang menonton persembahan kami ini sudah tersenyum-senyum kesukaan dengan ayat si lelaki bertopeng ini.

“Dinda,”

Aku rasa tidak selesa dengan nadanya memanggil aku dengan panggilan tersebut. Kalau Putera Shiraz Adrian yang memanggil aku begitu aku tidak kisah sangat. Lagipun, aku sudah biasa dengan kenakalannya.

“Sebenarnya, kanda mahu berjumpa dengan adinda untuk memberitahu dinda tentang sesuatu.”

Aku mengerutkan dahi. “Hal apakah itu?”

Dia menarik nafas panjang sebelum membelakangi aku.

“Sebenarnya...”

Dia membuka cerita. Watak Andika bukan sekadar menjadi pasangan Mutiara dalam teater Tira Mutiara ini sahaja tetapi juga membawa amanah besar daripada keluarga kandung Mutiara. Andika memberitahu Mutiara bahawa keluarganya rapat dengan ayah kandung Mutiara dan Andika sentiasa tertanya-tanya siapakah Puspa Bunga itu? Dengan hati yang rela dia menerima tanggungjawab besar yang diberikan oleh ayah kandung Mutiara. Dia berjanji untuk mencari anak perempuan Tirana dengan Bima dan akan menyatukan semula keluarga tersebut.

Dia merantau, mengembara ke seluruh pelusuk kota untuk mencari Puspa Bunga. Dia juga bertekad mahu menjadikan Puspa Bunga itu sebagai isterinya selepas menjumpainya.

“Jadi, dinda ini Puspa Bungalah, ya?” Aku memandanya meminta kepastian sekali lagi.

“Ya. Dinda adalah Puspa Bunga. Satu-satunya anak tunggal kepada Tirana dan Bima.”

Di sini watak Mutiara kena menangis. Tetapi, aku tidak boleh. Jadinya aku buat-buat menangis sahajalah.

Andika juga memberitahu Mutiara bahawa keluarga ayah kandungnya sudah meminta maaf kepada ayahnya atas segala kesalahan yang mereka lakukan terhadap keluarga kandungnya itu. Mereka menyesal. Kerana darjat segala-galanya musnah. Kasih sayang yang di cari hilang begitu sahaja.

“Kalau dinda beritahu hal ini pada...”

“Tidak usahlah dinda risau. Kanda sudah menceritakan segala-galanya pada keluarga angkat adinda.”

Aku tercengang. “Bila masa pula kanda...” Aku diam. Bukan bermakna aku geram ataupun sakit hati. Tetapi watak Mutiara di sini kena diam sekejap. Mengimbas hal sebelumnya.

Selepas kejadian Mutiara hampir diperkosa itu, keluarga angkat Mutiara dengan senang hati membenarkan lelaki bertopeng hitam ini tinggal di rumah. Semakin hari keluarga angkat Mutiara dengan Andika semakin rapat. Rupa-rupanya Pak Andak dengan Mak Midah itu sudah mengetahui siapa Mutiara itu sebenarnya.

“Dinda Mutiara, dinda pasti hendak tahu siapa kanda sebenarnya, bukan?”

Aku memandangnya.

“Kanda hendak buka topeng itukah? Kanda mahu tunjukkan wajah kandakah?” Aku teruja. Dari awal pementasan lagi aku hendak tahu siapa dia ini.

Sepanjang aku jadi Mutiara bukan aku tidak cuba untuk menanggalkan topeng tersebut. Sudah banyak kali tetapi tetap gagal. Bila babak makan pasti dia keluar ke belakang pentas. Bila babak tidur pandai pula dia mengenakan aku balik.

“Sebelum itu, kanda minta maaf atas apa yang berlaku antara kita. Tentang perempuan-perempuan itu kanda ada sebab sendiri untuk berbuat begitu. Kanda bukan suka-suka untuk bermain dengan perempuan-perempuan di luar sana.”

Aku mengerutkan dahi.

“Habis untuk apa kanda berbuat begitu?”

“Kanda cuma mahu kenal yang mana satu wanita dan yang mana satu perempuan.”

“Bukankah dua-duanya sama?”

Dia tersenyum dan mendekati aku. Cahaya difokuskan kepada kami. Dia menggeggam tanganku erat.

“Tidak sama sayang.”

“Err...” Dia ini mulalah hendak buat hal dengan aku.

“Wanita itu lebih mulia dan mempunyai sifat yang terpuji berbanding dengan perempuan.”

“Jadi, dinda ini...?”

“Adinda lain. Adinda pandai menjaga diri. Tidak melayan leleki-lelaki di luar sana termasuklah kanda. Sifat marah adinda itu buatkan kanda mahukan adinda. Sifat mahal yang ada pada diri adinda itu buatkan kanda mahu memiliki adinda.”

“Err... Andika...” Aku pandang penonton-penonton yang khusyuk menghayati lakonan kami dan memandangnya semula. Aku tidak rasa ini dialog Andika.

“Dinda...”

Dia memperkemaskan lagi genggaman tersebut. Aku cuak.

“Kanda benar-benar rindukan adinda. Kanda sayang dan cintakan adinda. Sudikah adinda berkahwin dengan kakanda?” Dia melamarku.

Ini bukan jalan cerita seperti dalam Tira Mutiara itu. Sepatutnya, dia melamar Mutiara di depan keluarga kandung Mutiara.

“Kanda tanggalkan dulu topeng itu.”

“Baiklah. Kalau kanda tanggalkan topeng ini adinda berjanji tidak akan melarikan diri daripada kakanda, ya?"

Aku tidak mengerti. Jelas sekali ini tidak ada di dalam skrip Tira Mutiara.

“Bukalah saja. Buat apa adinda hendak lari pula?” Aku telan liur.

Dia melepaskan tanganku. Perlahan-lahan dia menanggalkan topeng itu dari wajahnya. Aku tergamam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience