BAB 58

Romance Completed 21282

“ARYANA HANI!”

“Hani, sayang. Buka mata ni.”

Terasa pipiku ditampar-tampar oleh seseorang.

“Dinda Hani jangan buat kanda macam ni. Tolong buka mata tu. Kanda tak nak kehilangan dinda.”

Seperti ada sesuatu yang mahu keluar daripada mulutku. Laju aku bangun dan memuntahkannya. Aku terbatuk-batuk. Dia pula mengusap belakang tubuhku.

“Syukur alhamdulillah.”

Tubuhku masih lemah. Sekali lagi aku memuntahkan air. Aku mengesat bibir dengan hujung lengan yang basah ini.

Wajah Putera Shiraz Adrian yang basah itu aku pandang lama. Rambutnya telah rosak begitu juga dengan wajahnya. Penyamarannya sudah gagal. Aku gagal menahan tangisan dan akhirnya menangis di depannya.

“Dinda jangan nangis. Kita kan dah selamat.” Dia menenangkan aku.

“Ini semua salah awak. Salah awak dengan abang Hanif! Tengok apa dah jadi dengan saya. Kalau saya mati tadi, macam mana?!” Aku melepaskan amarah.

Aku tengah marah dia ketawa pula.

“Kita tak mati lagilah. Bukankah, kanda dah selamatkan adinda.”

Aku merenungnya tajam.

“Kenapa tak teruskan penyamaran tu?”

“Dinda tahu kanda menyamar?”

“Tahulah. Tapi, saya buat-buat tak tahu saja. Siapa lagi yang suka mengintip saya dekat-dekat kalau bukan awak.” Aku mendengus. Aku cuba berdiri tetapi kakiku kebas. Aku terduduk semula.

Dia menyengih. “Ya. Kandalah orangnya tu. Bijak juga sayang kanda ni. Tapi, sekarang kanda tak boleh nak menyamar dah." Dia mencuit hidungku. Aku buat muka.

Pada masa itu aku sedar yang kami bukan di tempat tadi. Aku memandang sekeliling dan kemudian mendongak memandang langit. Hari sudah petang rupanya. Tempat ini juga asing bagiku.

“Berapa lama saya pengsan tadi?” Soalku.

“Tiga jam lebih begitu. Kanda pun tak tahu. Kanda panik tau bila tengok dinda lemas tadi. Kanda terus terjun dan selamatkan adinda. Tapi, arus sungai deras sangat dan kita hanyut sampai ke sini. Kanda dah banyak kali cuba sedarkan adinda tetapi tak dapat. Mahu saja tadi kanda buat CPR tapi..."

"Hah! Jadi awak buat?!" Aku menyentuh bibirku. Aku mahu tumbuk muka dia ini kalau dia betul-betul buat benda itu.

"Taklah. Kanda tahu adinda pasti akan mengamuk nanti. Kalau kanda buat pun bukan ada niat lain juga, kan? Niat kanda hendak selamatkan adinda saja."

"Buat tak buat, tetap saya tak suka. Haram!"

"Ke situ pula adinda ini. Tak apa, nanti kalau kita dah halal kanda buat lebih daripada itu. Nak?"

Wajahku membahang ditambah pula dengan perasaan geram dan marah. "Putera Shiraz Adrian!" Aku mencubit lengannya. Gatal!

Aku pandang sekeliling. “Dia orang tahukah kita dekat sini?” Aku meliau mencari sesuatu dan aku baru tersedar ada benda yang melekat di atas tubuhku.

“Ini tuala kering. Awak dapat...”

Aku tergamam. Bukan tuala sahaja yang ada dengan aku. Tepi aku itu ada unggun api dan ada beberapa ekor ikan yang sedang di bakar. Ada bekas menyimpan bahan-bahan makanan dan air mineral juga di situ.

Aku memandangnya tajam. “Apa semua ni?! Baik awak jujur dengan saya. Macam mana benda ini semua ada di sini. Mereka datang cari kita, kan? Kenapa awak tak bawa saya keluar daripada sini, hah?” Bertubi-tubi soalan aku ajukan kepadanya.

Aku meneliti tubuhku dan panik. “Awak ada buat apa-apa masa saya pengsan tadikah, hah?”

Dia tercengang. "Bukankah kanda sudah cakap tadi? Kanda tak buat apa-apa pun. Kanda biarkan saja adinda tidur tadi.”

“Tipu!”

“Dinda. Dinda dengar cakap kanda. Kanda betul-betul tak ada niat jahat pun.”

Aku berdiri dan berundur ke belakang. Dia juga turut berdiri dan mendekati aku yang masih bingung dengan keadaan kami ini.

“Dinda. Dinda dengar dulu!” Dia mencengkam bahuku. Kami bertentang mata seketika. Dia melepaskan keluhan kecil.

“Ya. Mereka jumpa kita sejam lebih yang lalu. Orang-orang papa adinda dan juga Zairi yang menjumpai kita di sini. Kanda yang minta mereka sediakan semua ni. Tapi, kanda suruh mereka pergi dulu sebab kanda mahu luangkan masa dengan adinda. Kanda mahu bincang dan selesaikan semuanya di sini juga.” Dia serius. Aku diam terkaku.

PUTERA SHIRAZ ADRIAN menyediakan makan malam untuk kami berdua. Aku berpeluk tubuh. Sejuk. Sambil aku memerhatikan dia sambil aku memanaskan badan dekat dengan unggun api.

Geram betul aku. Kami boleh sahaja berbincang hal itu di resort. Kenapa perlu di sini? Nasib baiklah ada abang Zairi, abang Hakim dan juga abang Eli. Mereka bertiga duduk tidak jauh dari kami.

“Awak dari tadi sibuk dengan makanan-makanan tu. Bila masa nak bincang pula? Saya nak balik cepat ni.” Aku merungut.

Aku tidak sangka putera raja di depan aku ini serba boleh. Bahan-bahan yang ada di dalam bekas tempat simpan makanan basah itu habis diguna pakai olehnya. Tikar yang terbentang luas di sebelah aku ini penuh dengan hidangan yang dia masak.

“Pergi panggil mereka berdua ke sini. Kita makan sama. Lepas makan baru kita bincang tentang soal hati kita ini, ya?” Dia kenyit mata dan menyambung semula kerjanya. Aku menggeram tapi ikut juga arahannya itu.

Selesai makan, mereka mengemaskan tempat tersebut. Abang Zairi, abang Hakim dan abang Eli kemudiannya kembali ke ke tempat mereka beristirehat tadi dan berbual sesama sendiri.

“Semua dah selesai tinggal perbincangan kita berdua lagi. Bila nak mula?”

“Sekarang pun boleh.” Dia mengibas-ngibas tempat duduk itu sebelum melabuhkan punggung.

“Okey. Kita nak mula daripada mana?” Soalnya.

Aku tengah panas dia boleh pula berlagak tenang.

“Apa yang awak nak tahu dulu?” Soalan berbalas soalan.

“Hati dinda. Siapa kanda dalam hati dinda tu?”

Aku terkedu.

“Cakaplah. Jujur dengan kanda. Bagitahu sekarang juga.”

“Ta... tak tahu.”

“Selama kanda ada dengan dinda, dinda tak pernah rasa apa-apakah? Sayang? Cinta dengan kanda?”

Aku menunduk. Aku sebenarnya takut hendak meluahkan perasaan aku padanya. Lagipun, dia ini putera raja.

“Kalau sayang pun apa saya boleh buat dengan awak? Lagipun, awak akan bersama juga dengan Puteri Alissa, kan?”

“Kanda dengan dia tidak ada apa-apa hubungan pun.”

Aku angkat wajah. “Tipu! Habis, gosip-gosip tu? Itu semua apa? Apa yang mereka kata tu pasti betul, kan?”

Dia tarik nafas panjang. “Okey. Okey. Kanda mengaku. Sebenarnya gosip-gosip itu semua kanda yang suruh orang buat.”

Aku melopong.

“Malam di hospital tu, kanda suruh Zairi upah wartawan untuk tangkap gambar kita dan sebarkan di media massa. Gambar adinda kanda minta supaya dikaburkan. Kanda libatkan Puteri Alissa juga.”

“Untuk apa awak buat semua tu? Awak nak jatuhkan saya?! Nak malukan saya?!” Aku naik marah. Hal pertunangan itu memang rahsia dan aku memang tidak tahu bagaimana pertunangan kami ini diketahui oleh orang ramai. Tapi, bila dengar katanya ini buatkan aku naik angin. Rupanya itu adalah angkara dia.

“Sanggup awak buat saya macam ni!”

“Kanda buat macam tu sebab nak tahu isi hati adinda. Kanda sanggup buat apa saja untuk tahu apa perasaan adinda pada kanda. Kanda juga tidak mahu adinda dimiliki oleh lelaki lain. Dinda hanya milik kanda seorang!”

Aku senyum sinis mendengar pengakuan tersebut.

“Bukankah banyak lagi cara yang awak boleh buat. Kenapa gunakan media massa juga?! Saya tak suka!” Aku menangis lagi.

“Kanda minta maaf. Tapi, kanda tidak tahu hendak buat apa lagi. Sikap adinda yang memaksa kanda buat begitu.”

“Jadi, salahkan sayalah?!” Nafasku sudah tidak teratur lagi. Aku berdiri dan melangkah ke tebing sungai.

“Memang dinda salah! Dinda seksa hati kanda tahu. Tak pernah lagi ada perempuan yang berani berkasar dengan putera raja macam kanda. Tak pernah lagi ada perempuan yang bencikan kanda seperti adinda. Tak pernah lagi ada perempuan yang berani mencabar dan cari gaduh dengan kakanda. Apa yang buatkan kanda mahukan adinda lagi adalah sikap adinda yang tidak suka dengan status kanda.”

Aku berpaling. Terkejut aku. Dia berdiri dekat denganku.

“Kalau dinda undur setapak dinda akan jatuh ke dalam sungai.”

Aku telan liur.

“Jauhkan diri awak dari saya.” Aku cuba menolak tubuhnya tetapi tidak dapat.

“Cakap dengan kanda. Bagitahu kanda tentang perasaan adinda terhadap kanda dulu.”

Aku berpaling. Tidak mahu melihat wajahnya.

“Kenapa adinda keras hati sangat ni, hmm?”

Laju aku menepis tangannya yang mahu membelai rambut panjangku ini.

“Susah sangatkah hendak cakap perkataan tu pada kanda.”

Aku mengepal tangan. Mendengus geram.

“Saya tak nak kecewa! Awak tahu tak?!” Aku menolaknya ke belakang dan menuju ke tempat duduk aku semula.

“Cinta bukannya boleh dibuat mainan. Sekali awak kecewa kerana cinta awak akan sakit. Hati awak sakit! Saya tak nak semua itu. Lagi-lagi lelaki macam awak. Saya tak nak ada hubungan dengan orang yang berdarah raja atau pun orang-orang kaya yang lain. Saya cuma mahukan lelaki biasa yang mencintai saya seadanya.”

“Kenapa dinda benci sangat dengan orang yang berstatus tinggi seperti kanda, huh?”

Aku mengesat air mata. “Sebab... sebab...” Lidahku kelu.

Dia duduk dan mempamerkan senyuman sinisnya. “Biar kanda beritahu adinda. Dinda tak suka lelaki-lelaki kaya atau lelaki-lelaki yang berdarah raja kerana mereka mempunyai sikap yang sama, bukan? Sikap nakal dan kaki perempuan.”

Aku tidak membalas kerana aku baru tersedar akan sesuatu. Aku tahu aku salah menilainya. Bukan semua lelaki bersikap sebegitu. Tapi, dia...

“Dinda, bukan semua lelaki kaya dan lelaki macam kanda ini berperangai begitu. Lelaki-lelaki dari golongan biasa pun ada juga yang nakal dan kaki perempuan. Malah, ada lebih teruk daripada itu. Lelaki yang sanggup buat apa saja demi duit dan nafsu mereka.”

Wajahku membahang. Malu. Kenapalah aku tidak fikir semua itu sebelum ini?

“Dinda. Kenapa dinda tidak bersuara ni? Marahkan kanda lagi?”

Aku geleng kepala.

“Kalau tak kenapa tak pandang kanda? Kenapa tak bersuara?”

“Saya tengah berfikir.”

“Fikir apa lagi?”

“Hubungan awak dengan Puteri Alissa. Jangan ingat saya dah terima awak sepenuhnya. Awak tak jelaskan lagi hubungan awak dengan si puteri tu. Banyak gosip-gosip yang keluar pasal awak dengan dia. Ada yang kata awak dengan dia akan berkahwin.”

“Dinda percaya semua tu?”

“Mungkin percaya mungkin tidak. Lagipun semua orang tahu yang awak dengan dia berkawan sejak dari kecil lagi. Tidak mustahil yang Puteri Alissa itu ada hati dekat awak. Saya tak nak jadi orang ketiga pula nanti.”

Dia mengeluh. “Dinda. Kami memang berkawan sejak dari kecil lagi tapi untuk jadi suri hati kanda, dia tidak layak.”

“Tak layak konon. Habis, apa yang awak buat dengan dia dekat taman tema Bulan? Bukan sekali saya nampak awak dengan dia tahu. Masa hari jadi awak, dia datang ke sini jumpa awak. Masa saya ke istana, abang Zairi bagitahu yang awak bersama dengan dia. Apa semua tu, hah?”

“Kanda buat begitu sebab nak tengok reaksi dinda pada kanda.”

Reaksi aku konon!

“Dinda ni sebenarnya cemburu, kan? Dinda memang cintakan kanda, kan? Tapi tak nak mengaku.”

“Pergilah cinta awak tu. Siapa yang nak cemburu dengan awak. Bukankah saya dah kata yang saya tak suka lelaki berperangai macam awak.”

Dia menggeram. “Dinda saja nak panjangkan perbincangan ni, kan?”

Aku menjeling.

“Jangan ingat dinda boleh balik sekarang. Kanda nak masalah kita selesai malam ini juga. Kalau dinda tetap dengan ego dinda, tak apa. Kanda ada banyak cara lagi nak cairkan hati keras adinda itu.”

Eee! Geram betul aku dengan dia ini. Langsung tidak mahu putus asa.

Aku mengeluh panjang. Nampaknya, lama lagi sesi perbincangan hati kami ini. Abang Eli dengan abang Hakim masih setia duduk di bawah pokok itu sambil berjaga.

Sebenarnya, aku sengaja buat begini. Aku nak tengok sejauh mana dia boleh tahan dengan perangai keras hati aku ini. Selama aku dengan dia, dia tidak pernah berputus asa. Aku ingat, kehilangan dia selepas pergaduhan kami sebelum ini adalah kerana dia sudah putus harapan dengan aku. Tetapi, apa yang terjadi sebaliknya pula. Dia sanggup menyamar dan buat itu ini untuk dekat dengan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience