Ezrik Aslan
4 Bulan lalu.
Lampu-lampu chandelier di ruang makan hotel itu memantul di atas meja makan yang berlapik kain satin putih. Pinggan porcelain berkilat sudah penuh dengan hidangan mahal yang masih berasap, tetapi aku tak sentuh langsung. Pisau dan garpu tersusun kemas di hadapan, seolah menunggu aku untuk mula tapi nafsu makan aku hilang entah ke mana.
Jam di dinding restoran sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Aku sandarkan siku ke meja, jemari mengetuk-ngetuk permukaan kayu dengan ritma yang semakin laju. Ghea Edriana masih tidak muncul.
Telefon di tangan aku berulang kali bergetar, tapi bukan kerana mesej dari dia sebaliknya hanya notifikasi yang tak penting. Aku tekan nombor Ghea lagi... nada dering berbunyi... berulang... tiada jawapan. Aku ulang lagi dan lagi. Setiap kali dia tak jawab, rahang aku terasa makin tegang.
Aku pandang ke arah pintu masuk hotel, menunggu kalau-kalau siluet dia akan muncul. Satu jam lebih aku tunggu. Orang lain mungkin akan anggap aku bodoh, tapi aku tak kisah. Malam ini aku rancang segalanya. Meja ini aku tempah khas, lokasi terbaik di tepi tingkap, dengan pemandangan lampu kota yang jarang orang dapat.
Aku tarik nafas panjang, cuba redakan rasa tak sedap hati yang mula menapak di dada tapi setiap kali aku fikirkan dia mungkin sengaja buat aku tunggu... satu rasa lain menjalar iaitu marah bercampur cemburu.
Aku capai telefon lagi. Kali ini aku taip mesej ringkas. "Ghea, kau kat mana?"
Tiada tanda dia baca. Makanan di depan mula sejuk. Pelayan datang bertanya kalau aku mahu hidangan dipanaskan semula, aku hanya angkat tangan tanda tak perlu. Mata aku hanya fokus pada pintu itu... menunggu.
Aku tunduk, buka butang jaket suit perlahan. Dari poket dalam, aku keluarkan satu kotak kecil baldu hitam iaitu kotak yang sejak petang tadi aku genggam macam nyawa sendiri.
Kotak itu aku letak di atas meja, di antara gelas wain dan pinggan steak yang sudah sejuk. Jari aku menekan tombol kecil, penutup kotak itu terbuka. Di dalamnya, sebentuk cincin emas putih berkilau, dengan batu permata yang aku pilih sendiri minggu lepas.
Malam ini sepatutnya jadi malam yang lain. Malam yang aku bayangkan dia tersenyum terkejut, mungkin menitiskan air mata kecil, sebelum dia mengangguk menerima lamaran aku. Aku sudah rancang segalanya. Tempat ini. Lagu jazz perlahan yang sedang bermain. Bahkan ayat yang aku nak ucapkan pun aku ulang berkali-kali dalam kepala.
Tapi... dia masih tak muncul. Jam di tangan sudah melepasi 9.15 malam. Telefon aku sudah panas sebab terlalu banyak kali aku cuba hubungi dia. Tiada jawapan. Tiada tanda. Tiada khabar.
Aku renung cincin itu lama, dada aku berasa sesak. Ada sesuatu yang tak kena. Aku kenal Ghea, kalau dia lambat, dia akan beritahu tapi sekarang... sunyi.
Pelayan datang lagi, tawarkan untuk tambah minuman. Aku geleng, tak lepas pandang dari cincin itu. Jemari aku mengusap perlahan permata yang sepatutnya akan berada di jari manisnya malam ini.
Rasa resah itu kini berubah jadi satu campuran pelik antara cemas dan marah.
"Ghea... kau kat mana sebenarnya?"
Aku tutup semula kotak cincin itu, masukkan ke dalam poket. Nafas aku berat. Aku tahu... kalau dia tak muncul dalam masa terdekat, aku akan cari dia. Dan siapa saja yang cuba halang aku daripada jumpa dia... akan menyesal.
Tiba-tiba satu idea terlintas. Aku terus capai telefon bimbit di atas meja. Jari aku pantas buka satu aplikasi yang aku dan Ghea pernah pasang beberapa bulan lepas yang kononnya untuk waktu kecemasan, bila salah seorang perlukan bantuan segera.
Skrin memaparkan peta, satu titik merah berkelip. Aku tekan.
Last location: 7.50 PM.
Kening aku berkerut. Lokasi itu... bukan di rumah kami. Bukan di pejabat. Bukan juga di mana-mana yang aku pernah tahu dia lepak.
Aku zoom in. Nama jalan itu... asing. Kawasan luar bandar. Sunyi. Dari hotel ini, jaraknya kira-kira 25 kilometer.
Jantung aku mula berdegup laju. Apa yang dia buat di sana? Dia janji nak jumpa aku malam ini. Tempati tu tak ada restoran. Tak ada pusat beli-belah. Tak ada apa-apa kecuali kawasan lama yang aku tahu... tak selamat.
Aku pandang cincin di poket, rasa marah bercampur cemas mula merayap ke setiap urat saraf.
"Ghea... kau buat apa kat sana?"
Aku bangun, kerusi bergeser kuat ke belakang. Pandangan mata aku tajam ke arah pintu keluar. Kalau betul dia dalam masalah... siapa pun yang usik dia malam ini... akan aku patahkan semua tulang dia.
***
Roda kereta aku menggilis batu-batu kecil di jalan tar yang sudah mula retak. Lampu hadapan membelah kegelapan, tapi cuma sejauh beberapa meter, selebihnya ditelan hitam malam. Kiri kanan aku, pokok-pokok besar berdiri macam bayang raksasa. Ada yang daun bergesel ditiup angin, bunyinya macam bisikan halus yang mengekori.
Aku perlahankan kereta. Meter pun sudah tak lebih 20km/j. Mata aku liar memerhati kiri kanan, cuba tangkap apa-apa yang mencurigakan.
"Ghea... kau kat mana?"
Suara aku sendiri serak, bergetar. Aku genggam stereng sampai buku jari memutih, cuba tahan rasa marah yang makin naik. Sekali dengan dada yang rasa berat gila.
"Kenapa kau tak jawab telefon aku? Kenapa kau ke sini?"
Kereta meluncur perlahan-lahan lagi. Di cermin sisi, aku nampak pokok-pokok saling melintas macam dinding yang menutup pandangan. Sesekali aku pandang jam di dashboard sudah hampir pukul 9.45 malam.
Aku gigit bibir. Nafas aku panjang, tapi tak cukup untuk buang rasa resah.
"Jangan buat aku cari kau dalam keadaan macam ni, Ghea. Jangan..."
Lampu depan kereta menangkap sesuatu di tanah seperti serpihan plastik, mungkin cermin pecah. Aku tekan brek perlahan, mata aku fokus. Naluri aku sudah mula bisik sesuatu yang tak sedap.
Lampu kereta aku terhenti tepat pada satu bentuk yang terbaring di tepi jalan. Siluetnya aku kenal... terlalu kenal.
Aku brek mengejut. Bunyi tayar geser atas tar, baunya hangit masuk ikut celah tingkap.
Aku keluar pantas. Angin malam terus menerpa muka, tapi rasa dingin itu tak mampu sejukkan dada aku yang berdebar gila.
"Sial..."
R6 warna hitam itu terbaring senget, body sebelah kanan hancur calar, cermin sisi pecah berderai. Handle bengkok, dan ada kesan seretan panjang di jalan.
Aku melutut, tangan aku sentuh seat yang dingin. Rasa berat mula turun dari bahu ke jantung.
Ini motor Ghea. Tak mungkin aku silap. Plate nombor pun jelas.
Aku bangun perlahan, pandangan aku liar memeriksa sekeliling. Jalan ni kosong. Senyap. Tapi ada rasa... macam ada mata yang sedang perhati dari celah gelap pokok. Aku telan air liur. Nafas aku mula berat.
"Ghea... kau kat mana sekarang?"
Kaki aku melangkah ke depan, ikut arah kesan seretan hitam di tar yang berakhir dekat bahu jalan. Ada tompokan gelap di situ dan aku tahu itu darah walaupun lampu kereta tak cukup terang.
Jantung aku mula hentak laju. Marah, risau, takut semua bercampur jadi satu.
Aku capai telefon yang terjatuh di seat sebelah. Jari aku laju buka semula aplikasi itu. Titik merah, lokasi terakhir Ghea masih tertera. Jarak dari sini... 2.1 kilometer.
"Sikit lagi... tunggu aku, Ghea."
Aku masuk semula ke dalam kereta. Pintu dihempas kuat. Enjin meraung bila aku tekan pedal. Roda memecut atas tar, bunyi batu kecil terpelanting kena bawah body kereta.
Jalan makin sempit, kiri kanan hanya deretan pokok gelap yang melambai dalam bayangan. Lampu depan kereta jadi satu-satunya sumber cahaya, memotong kegelapan malam.
Dada aku rasa ketat. Setiap kali aku pegang stereng, jari aku mengetatkan genggaman sampai buku lali putih.
"Ghea... jangan buat aku gila malam ni."
Aku tengok lagi titik merah di skrin. Semakin dekat. 1.5 kilometer... 1.2...
Angin malam masuk ikut tingkap yang sedikit terbuka, bawa sekali bau tanah lembap dan sesuatu yang... besi. Darah? Aku tak pasti tapi rasa bulu roma aku tegak.
Aku tak henti berdoa dalam hati bukan doa panjang berjela, tapi satu harapan yang aku ulang-ulang macam mantra:
"Tolong jangan apa-apa... Tolong..."
Kereta aku berhenti betul-betul di hadapan sebuah bangunan lama tiga tingkat, catnya sudah mengelupas, dinding penuh lumut dan tompok hitam. Tingkap-tingkapnya gelap, pecah di beberapa bahagian, seolah-olah sudah bertahun ditinggalkan.
Aku matikan enjin. Bunyi cengkerik dan desir angin jadi jelas. Terlalu jelas. Sunyi yang membingitkan telinga.
Aku tengok lagi skrin telefon. Titik merah itu masih di sini. Statik. Tak bergerak sejak pukul 7.50 malam tadi.
"Ghea... kau buat apa kat sini..."
Aku tarik nafas dalam-dalam, buka pintu kereta perlahan. Bunyi engsel pintu berkeriut dalam suasana senyap itu buat jantung aku berdegup lebih laju.
Blazer aku tanggal, campak ke seat belakang. Aku tahu aku perlu bebas bergerak tak tahu apa yang menunggu dalam bangunan ini.
Tapak kasut aku langgar batu kecil dan pecahan kaca di atas tanah, menghasilkan bunyi berderap yang memantul pada dinding bangunan. Aku pandang ke kiri dan kanan hanya lorong gelap dan semak tinggi, seakan menelan cahaya dari lampu jalan yang entah kenapa terlalu jauh dari sini.
Aku pandang pintu kayu yang separuh tercabut engselnya. Angin meniupnya perlahan, menghasilkan bunyi creeeak... creeeak... seperti ada sesuatu di dalam mengajak aku masuk.
Jari aku genggam kuat telefon di tangan kanan, sementara tangan kiri aku siap-siap di sisi berjaga kalau-kalau ada yang cuba datang dari belakang.
Aku melangkah ke depan. Satu langkah... dua langkah... dan entah kenapa, hati aku rasa macam aku sedang berjalan terus ke dalam perangkap.
Langkah aku terhenti bila tapak kasut rasa pijak sesuatu yang keras tapi nipis. Aku tunduk.
Di bawah cahaya samar dari lampu telefon, aku nampak dan ya, telefon Ghea. Skrinnya retak di penjuru, tapi masih menyala.
Aku kutip perlahan, jantung rasa macam nak terjun keluar dari dada. Skrin itu terus menyala bila aku sentuh dan di hadapan aku, terpampang deretan notifikasi panggilan dan mesej dari aku sendiri. Semua tak berjawab.
"Ghea..."
Suara aku keluar perlahan, serak, tapi penuh rasa berang bercampur risau. Aku genggam telefon itu erat, macam ia satu-satunya petunjuk hidup Ghea di sini.
Aku masukkan telefon itu ke dalam poket seluar, mata aku tak lepas pandang kegelapan di hadapan.
"Apa yang kau buat dalam bangunan ni, Ghea...?"
Aku melangkah lagi. Kali ini lebih berhati-hati, telinga aku fokus pada setiap bunyi derap kaki aku, bunyi pintu berkeriut dihembus angin, dan sesuatu... entah bayangan atau realiti, macam bunyi sesuatu diseret di tingkat atas.
Nafas aku jadi berat. Perasaan tak sedap hati semakin menjerut.
Tangga konkrit itu berlumut dan licin. Aku capai dinding sebelah kiri, langkah perlahan tapi tergesa. Nafas aku sudah mula pendek, dada rasa ketat, tapi aku paksa diri terus naik.
Bau hapak bercampur bau besi menyucuk hidung. Setiap kali aku hirup udara, rasa macam tekak nak muntah.
"GHEA!"
Suara aku bergema dalam ruang kosong bangunan usang ini. Tiada jawapan, hanya gema sendiri yang kembali, menghentam telinga.
Aku naik lagi, bunyi tapak kasut aku bergaung kuat di tangga sempit itu. Mata aku liar memerhati setiap sudut, takut kalau ada sesuatu yang melintas tiba-tiba.
"GHEA!!!"
Kali ini aku jerit lebih kuat. Suara aku serak, bercampur marah dan takut. Aku boleh rasa peluh sudah turun di pelipis, jantung berdegup kuat sampai boleh dengar sendiri.
Setiap langkah makin terasa berat. Ada sesuatu dalam dada aku yang menekan, rasa cemas yang memuncak. Tapi aku tak peduli selagi aku belum jumpa Ghea, aku tak akan berhenti!
Share this novel