Bab 51

Thriller Series 1360

Lily Amanda

Balutan putih di lengan aku macam ejek aku balik setiap kali mata ini tertancap pada dia. Nampak kemas, tapi hakikatnya bawah itu kulit aku menggelembung, merah, pedih macam terbakar sampai ke tulang. Semua sebab dia. Ezrik.

Aku duduk di hujung katil, badan bongkok, jari mengetap kuat balutan itu sampai rasa macam nak koyak terus. Air mata tumpah tanpa izin. Makin aku tahan, makin dia melimpah. Nafas aku berat, dada naik turun laju.

"Bodoh kau, Ezrik..." suara aku pecah.

Jeritan pertama keluar, memantul dalam dinding bilik yang sempit ini. Aku menjerit lagi, kuat sampai tekak terasa koyak. Sakit di lengan bercampur sakit di hati, dua rasa yang berpadu jadi satu racun dalam kepala.

Aku hempas bantal ke dinding, teresak macam orang hilang waras. Terbayang balik muka dia pagi tadi... senyum sinis, mata tajam, macam puas hati tengok aku menggelupur kena air panas.

Bunyi tekak aku tersangkut dengan esakan. Aku rasa nak maki, nak maki sampai langit runtuh tapi yang keluar cuma sedu-sedan yang terputus-putus. Aku benci, aku sayang dan aku benci sebab aku sayang.

Bunyi dering tiba-tiba memecah tangis aku. Telefon atas meja bergetar, skrin menyala nama Is tertera. Ishraf, kawan baik Ezrik.

Aku kesat air mata dengan belakang tangan, tarik nafas panjang sebelum tekan jawab.

"Hello..." suara aku serak, macam baru lepas dibelasah.

"Lily... kau okay ke?" nada Is tenang tapi kedengaran cemas di hujungnya.

Aku pandang siling. "Sihat..." lidah aku kelu, suara aku tawar.

Ada senyap sekejap. "Ezrik... dia masih pukul kau lagi?" soalan itu jatuh macam batu atas dada.

Aku tak jawab. Sunyi membeku dalam talian.

"Lily... jawab aku. Dia buat lagi ke?" suara Is berubah mendesak.

Aku pejam mata, rasa panas di lengan macam membalas soalan dia sendiri. Tekak aku kering. "Dia... tak pernah berhenti, Is."

Di hujung sana, aku dengar Is menghela nafas panjang. Berat. Seolah dia cuba tahan marah. "Sial... aku dah agak. Lily, kau tak boleh..."

Aku potong, suara aku pecah. "Aku tahu, Is. Tapi aku tak boleh tinggalkan dia..."

Diam lagi. Tapi kali ini diam yang penuh dengan resah.

"Lily, kau dengar aku cakap ni," suara Is kedengaran tegas, tiada ruang untuk bantahan. "Aku datang ambil kau. Setengah jam lagi aku sampai. Tunggu aku kat lobi bawah."

Aku terdiam. Mata masih terpaku pada balutan putih di lengan, tapi hati terasa macam ada celah untuk bernafas.

"Is..." suara aku bergetar.

"Jangan banyak fikir. Kumpul barang penting je. Dompet, telefon. Yang lain tinggal. Kau perlukan udara luar, faham?"

Aku telan liur, perlahan-lahan mengangguk walaupun dia tak nampak. "Okay..."

Talian terputus. Aku duduk sekejap, rasa tangan aku menggigil. Dari dinding sebelah, bunyi kipas siling bilik Ezrik berputar malas. Dia masih tidur. Nafas dia berat, kadang-kadang diselangi dengkuran halus.

Aku bangun perlahan-lahan. Setiap langkah menuju almari rasa macam aku sedang merompak kebebasan aku sendiri. Capai tote bag, masukkan dompet, telefon, dan sehelai cardigan nipis.

Bila tangan pegang tombol pintu, jantung aku laju. Aku pandang sekali lagi ke arah pintu bilik Ezrik yang tertutup rapat. Tiada bunyi lain. Dia masih lena.

"Sekejap je... aku cuma nak ambil angin," bisik aku pada diri sendiri, walaupun aku tahu aku mungkin tak akan balik dalam masa terdekat.

Aku tarik pintu perlahan. Bunyi klik kunci pintu utama jadi muzik paling indah aku dengar sejak pagi tadi.

***

Aku berdiri di bawah teduhan lobi, di tepi tiang konkrit besar. Angin petang menyapu lembut hujung dress kapas warna krim yang aku pakai. Dress ringkas, paras betis, digabung dengan cardigan panjang warna kelabu yang menutupi pergelangan tangan berbalut, luka yang aku sorok daripada dunia.

Cahaya matahari lewat petang membias masuk melalui kaca besar lobi, memantulkan cahaya hangat ke kulit aku. Aku tahu aku kelihatan teratur hari ini, tapi mata aku... masih merah kesan menangis. Rambut hitam lurus dibiarkan terurai, jatuh lembut di sisi wajah.

Aku termenung, tenggelam dalam fikir sendiri. Bunyi deru kenderaan sesekali lalu di jalan depan.

PON!

Tiba-tiba bunyi hon memecahkan lamunanku. Ringkas, sekali saja, tapi cukup untuk buat aku tersentak.

Aku pandang ke arah jalan. Sebuah sedan hitam berhenti di hadapan pintu masuk. Cahaya matahari memantul di permukaan cat kereta itu, membingkai bayang tubuh lelaki yang keluar dari kerusi pemandu iaitu Is.

Dia melangkah laju, wajahnya serius tapi matanya lembut bila mendarat pada aku. Dia buka pintu penumpang sebelah kanan, seolah takut aku berubah fikiran kalau dia lambat.

"Jom," katanya pendek.

Aku melangkah perlahan ke arahnya. Bila jarak kami cuma sejengkal, tangan dia terangkat, jemari lelaki itu menyentuh bahu aku dengan lembut. Sentuhan yang tidak menyakitkan. Tidak seperti Ezrik.

Dia menunduk sedikit, seolah mahu pastikan aku okay, sebelum memandu gerak aku masuk ke dalam kereta.

Bunyi pintu kereta ditutup Is terasa macam penghalang antara aku dan dunia luar... atau antara aku dan Ezrik.

Enjin dihidupkan, bunyi rendahnya bergema sekejap di ruang parkir hadapan. Is tarik gear, kereta mula bergerak perlahan keluar dari kawasan bangunan ini. Aku sempat menjeling ke arah pintu masuk bangunan, separuh takut Ezrik tiba-tiba muncul.

Is tenang di sebelah, tapi matanya sesekali melirik ke arah aku. "Kau okay ke?" soalnya, suara rendah tapi jelas penuh risau.

Aku pegang hujung cardigan, jari mengetap kain itu erat-erat. Mata aku masih fokus ke luar tingkap, melihat pokok-pokok kelapa gading di tepi jalan yang berlari ke belakang.

"Aku... okay," jawab aku perlahan, tapi suara itu serak, macam ada sesuatu yang tersekat di tekak.

Is tak puas hati dengan jawapan tu. Dia pandang aku lagi, lama sikit. "Lily... kau tak perlu tipu aku."

Aku gigit bibir bawah, cuba tahan air mata yang dah mula kaburkan pandangan. Nafas aku berat, dada naik turun tak sekata. "Is..." suara aku pecah, "aku penat."

Dia tak cakap apa-apa. Cuma tangan kirinya naik sekejap, jari mendarat di bahu aku, satu tepukan lembut, seolah mahu ingatkan aku yang aku tak bersendirian kali ini.

Aku toleh sedikit, tengok wajah dia yang tenang tapi penuh kerut risau. Itu cukup untuk buat aku sedar... aku hampir menangis depan dia.

Aku alih pandangan semula ke luar tingkap, sembunyikan mata yang dah berair.

Kereta meluncur di jalan utama. Bunyi radio perlahan jadi latar, tapi aku tak dengar apa pun. Fikiran masih sarat dengan bayang Ezrik, senyumnya yang kejam, bunyi air panas tumpah.

"Lily..." suara Is pecahkan sunyi. "Kau nak tak aku belanja kek... dengan ice latte? Aku tahu kau suka red velvet."

Aku geleng, mata masih ke luar tingkap. "Tak ada selera."

Dia senyum kecil, macam sudah agak aku akan jawab macam itu. "Eh, aku belanja. Bukan selalu pun aku dapat pujuk kau keluar. Lagipun... kau dah lama tak makan kek, kan?"

Aku diam. Dia sambung lagi, nada lembut tapi mendesak, "Come on, aku janji kau takkan menyesal. Kek kedai tu padu gila. Latte dia pun pekat macam kau suka."

Aku gigit bibir, cuba kekalkan rasa tawar dalam hati tapi suara dia, cara dia sebut kek dan ice latte itu... macam menarik aku keluar dari tempurung yang aku bina sejak pagi tadi.

"Lily... sekali ni je. Lepas tu kalau kau nak balik, aku hantar," katanya lagi, matanya singgah sekejap pada aku sebelum kembali ke jalan.

Akhirnya aku hela nafas panjang. "Okay..."

Is senyum puas, macam baru menang sesuatu. "Bagus. Kau duduk diam, biar aku uruskan semua."

Kereta membelok masuk ke lorong kecil menuju deretan kafe moden yang berbaris di kiri kanan jalan.

Kereta berhenti betul-betul depan sebuah kafe kaca dengan pintu kayu warna walnut. Bau kopi pekat dan wangi kek mentega sudah sampai ke hidung walaupun aku masih duduk di kerusi penumpang.

Is keluar dulu, kemudian bukakan pintu untuk aku macam seorang lelaki yang sudah hafal perangai aku. "Jom," katanya, nada lembut tapi tegas.

Langkah aku masuk ke dalam kafe disambut bunyi loceng kecil di pintu. Udara sejuk penghawa dingin menyapu kulit, mematikan peluh yang melekat di belakang leher. Bau espresso bercampur manis cream cheese dari kek membuatkan ruang itu rasa selamat... walaupun hati aku masih berat.

Is terus ke kaunter. "Satu red velvet, satu ice latte untuk dia," dia tunjuk ke arah aku. "Aku... flat white."

Barista perempuan di belakang kaunter senyum sambil menulis pesanan. Aku duduk di meja tepi tingkap, meja kecil bulat dengan dua kerusi besi yang dilapik kusyen. Dari sini, aku nampak jalan dan orang lalu lalang.

Is letak dompetnya di kaunter, bayar tanpa pandang harga. Dia sempat toleh pada aku, senyum sikit. "Sabar ya, sekejap lagi sampai."

Aku cuma mengangguk. Tangan aku bermain dengan hujung cardigan, menutup-nutupi balutan di lengan. Walaupun di sini selamat, rasa pedih tu tetap ada di kulit, di hati.

Beberapa minit kemudian, Is datang bawa dulang. Dia letak depan aku sepotong kek red velvet dengan lapisan cream cheese putih licin, dan segelas ice latte dalam gelas tinggi, wap sejuknya turun menitis di sisi kaca.

"Cuba dulu. Aku tahu ini boleh ubat hati kau... sikit." Dia tolak pinggan ke arah aku.

Aku pandang kek tu lama. Akhirnya, aku capai garpu. Potong sedikit, masukkan ke mulut. Manisnya perlahan-lahan larut di lidah. Entah kenapa, mata aku mula rasa panas.

Is diam, tapi senyum kecil di bibir dia macam cukup lega tengok aku makan.

Aku baru nak suap potongan kedua red velvet bila lidah aku tiba-tiba lebih gatal daripada perut. Soalan itu terlepas tanpa amaran.

"Is... kau masih suka aku lagi ke?"

Dia terhenti tengah hirup flat white. Mata dia terangkat, terus kunci pandang aku. Ada satu senyum pahit yang tak jadi di bibirnya. "Aku tak pernah berhenti, Lily. Walaupun kau sudah jadi isteri Ezrik."

Aku tunduk, garpu di tangan terasa berat. Sebenarnya... aku sudah lama tahu. Dari cara dia tengok aku, dari semua kali dia muncul bila aku perlukan seseorang.

"Is..." aku cuba senyum hambar, "kau lelaki yang baik. Pergilah cari perempuan lain. Jangan bazirkan masa pada aku."

Dia letak cawan di meja, bunyi hentak perlahan tapi cukup untuk buat aku angkat kepala. Pandangan dia tajam, suara mula bergetar dengan marah yang ditahan. "Tak, Lily. Aku tak nak orang lain. Dari dulu... sampai sekarang... cuma kau."

Aku tak mampu balas. Kata-kata dia jatuh macam batu, menghentak dada aku dengan rasa bersalah yang berat.

Dia bersandar, mata masih tak lepas dari aku. "Aku sanggup tunggu, walau sepuluh tahun sekalipun. Asalkan satu hari nanti... kau bukan dengan dia lagi."

Tekak aku kering. Red velvet di depan sudah tak rasa manis, latte sudah tak rasa sejuk. Yang ada cuma rasa bersalah menekan dari dalam, menghimpit nafas aku.

Aku masih diam, cuba kunyah rasa bersalah itu perlahan-lahan. Tiba-tiba, jemari hangat mendarat di atas tanganku. Is pegang perlahan, ibu jarinya mengusap belakang tangan aku yang sejuk.

"Lily..." suaranya rendah, tapi penuh tekad. "Aku janji akan bawa kau keluar dari neraka tu. Dari dia."

Aku terkedu. Degup jantung aku terasa lebih jelas daripada bunyi orang sembang di meja belakang.

"Aku tak sanggup tengok badan kau lebam. Muka kau bengkak. Luka sana sini," dia sambung, nada suaranya mula retak. "Setiap kali aku nampak... atau dengar dia maki kau macam kau tak ada harga... aku rasa nak rempuh rumah itu dan bawa kau lari."

Aku telan liur, mata aku turun memandang jemari dia yang masih mengusap tangan aku. Rasa hangat itu berbeza bukan panas yang membakar macam Ezrik, tapi hangat yang cuba memulihkan.

Is menggeleng perlahan, wajahnya penuh tanda tanya yang tak pernah terjawab. "Aku tak faham, Lily... kenapa dia kahwin dengan kau kalau dari awal dia tak pernah sayang? Apa yang dia nak daripada kau?"

Aku tak mampu jawab. Bukan sebab aku tak tahu... tapi sebab aku sendiri takut dengan jawapan yang bermain dalam kepala.

Is masih pegang tangan aku, seolah takkan lepaskan walau aku cuba tarik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience