Bab 21

Thriller Series 1360

Ezrik Aslan

Tangan aku tolak pintu tandas. Daun pintu berlanggar perlahan. Bau klorin, bau sabun. Aku basuh tangan bawah air paip. Biar sejuk sikit kepala aku.

Aku pandang cermin. Tengok mata sendiri. Merah. Muka aku nampak penat, penat jaga Ghea. Penat gila tapi tak apa selagi Ghea hidup, aku tak tidur pun tak apa.

Aku lap tangan dan tarik nafas. Langkah aku keluar tandas. Sampai depan pintu jabatan IT, aku sentuh kad akses. Bunyi beep. Pintu terbuka. Aku tolak perlahan. Langkah aku masuk, bunyi kasut aku bergema atas lantai kilat.

Semua orang pura-pura sibuk. Ada yang tunduk, ada yang berbisik. Ada yang tak sedar aku pandang. Bagus. Tak payah sedar lagi senang aku pijak.

Aku berdiri tengah-tengah. Peluk tubuh. Mata aku meliar satu-satu. Sesiapa yang rasa nak buat masalah fikir dua kali. Sebab kalau kau rosakkan kerja aku, kau rosakkan masa aku. Kalau kau rosakkan masa aku, kau kacau masa aku dengan Ghea.

Aku senyum sikit. Senyum nipis. Langkah aku terus hala bilik aku. Bau kopi, bau kertas, bau kepam, semua aku hidu. Jijik. Tak kisah.

Aku tolak pintu bilik aku. Bau air freshener campur bau rokok yang aku hisap pagi tadi masih melekat dalam bilik ini tapi mata aku tak sempat kira semua itu.

Mata aku tangkap Is. Dia berdiri sebelah meja aku. Tangan dia pegang telefon aku dan skrin masih menyala. Wallpaper itu gambar Ghea. Perempuan yang dia tak kenal. Perempuan yang tak akan dia kenal.

Is angkat muka pandang aku. Mata dia lain. Bukan tunduk. Bukan takut macam biasa. Mata dia tajam seperti pisau cari leher. Dia renung aku seolah-olah aku ini najis paling busuk dalam hidup dia. Seolah aku yang patut rasa bersalah.

Aku senyum. Senyum malas. Aku kunci pintu belakang aku. Langkah aku rapat. Suara aku keluar perlahan, datar tapi cukup untuk patahkan tengkuk orang kalau dia faham.

"Apa yang kau pegang tu, Is?"

"Siapa perempuan ni?!" Nada Is naik satu tahap. Suara dia pecah dalam bilik aku yang sunyi.

Aku senyum. Senyum biasa. Tangan aku angkat, gosok bahu dia perlahan. Bahu dia keras.

"Perempuan mana?" Suara aku perlahan. Biar dia makin marah, biar dia tunjuk gigi.

"Perempuan dalam telefon kau ni, Rik! Siapa dia?!" Suara dia bergetar, nafas dia kasar. Tangan dia genggam telefon aku kuat. Aku perasan jari dia menggigil.

Aku tarik nafas. Aku pandang muka dia. Bukan pandang dia macam sampah. Hari ini aku pandang dia macam kawan. Kawan yang bodoh tapi kawan.

Aku jawab perlahan dan pendek. Tak ada niat nak terangkan panjang lebar. "Dia Ghea..."

Nama itu keluar dari mulut aku. Nama itu sudah cukup buat darah aku panas tapi dalam masa yang sama sejukkan kepala aku. Is diam. Mata dia masih tajam tapi aku tahu otak dia sudah pecah. Sebab dia tak kenal Ghea. Tak pernah kenal sebab aku tak pernah bagi sesiapa kenal Ghea.

"Patutlah kau buat Lily macam tu..." suara Is pecah dan seran. Mata dia masih kunci mata aku. "Kau ada perempuan lain selain dia..."

Aku senyum. Senyum paling malas. Kepala aku senget sikit, mata tak lepas dari muka dia yang dah merah.

"Apa kau merepek ni, Is?" suara aku perlahan. Tenang. Tenang macam racun.

Is diam. Nafas dia laju. Dia letak telefon aku atas meja lalu hentak. Skrin bergetar. Tangan dia sudah genggam penumbuk. Urat tangan dia timbul.

"Kau pukul Lily sampai dia lebam... setiap hari... dari hari pertama kau kahwin dengan dia... kau ingat aku tak tahu, Rik?!" suara dia naik lagi. Aku nampak anak mata dia berair. Entah marah, entah benci.

"Wei, apa hal ni?" Suara Azfar. Dia baru tolak pintu bilik aku. Pintu terbuka luas. Bau asap rokok pagi tadi terus campur dengan bau perfume mahal Azfar.

Dia berdiri tengah-tengah jarak dia dengan aku, jarak dia dengan Is. Dia angkat tangan, tunjuk dua-dua. Muka dia selamba tapi mata dia ligat kira api.

"Kuat gila suara korang. Buat drama apa ni?" Dia cebik.

Aku gelak kecil. Gelak sekilas saja. Mata aku tak lepas dari Is. Aku cakap tegas suara aku turun satu nada, tapi bunyi dia cukup pecahkan gegendang telinga kalau kau faham maksud dia.

"Suka hati akulah nak layan bini aku macam mana..." Aku pandang Is tajam. "Kau jangan masuk campur, Is."

Azfar senyap. Is tunduk sikit, tapi penumbuk dia masih kemas. Aku sengih. Sengih paling busuk yang aku ada hari ini.

"Apa-apa pun... aku harap korang setel benda ni luar waktu kerja. Bukan kat sini!" Suara Azfar keras. Tak tinggi, tapi cukup bagi arahan.

Dia tak tunggu aku balas. Tangan dia capai lengan Is, tarik keluar. Is sempat toleh, mata dia masih bakar aku tapi Azfar sudah tolak pintu tutup semula.

Bilik aku senyap balik. Aku duduk atas kerusi. Badan aku sandar rapat. Nafas aku berat. Aku hela nafas panjang. Buang dalam-dalam semua suara bising tadi.

Aku dongak. Mata aku pejam separuh. Dalam kepala cuma ada satu... Ghea.

***

Aku kunyah maggi goreng mamak depan aku. Lapar. Pedas sikit, kicap lebih. Aku hirup teh tarik. Perut aku kosong dari pagi tadi kerana tak sempat keluar rehat, sibuk layan Is tunjuk hero.

Sebelah aku, Azfar pegang gelas teh tarik. Baki setengah. Tangan dia main pusing gelas. Buih teh tarik sudah jatuh bawah meja.

Depan aku, Ghibran malas angkat muka. Kepala dia tunduk, jari dia laju scroll TikTok. Sekejap bunyi audio orang menjerit, sekejap bunyi lagu jiwang. Menyampah.

Azfar tiba-tiba bersuara. Nada dia masih berat, macam baru telan batu. "Aku tak sangka... benda tu boleh jadi. Tapi sial betul, Rik."

Dia pandang aku. Muka dia macam orang telan racun cuba hadam apa aku baru muntahkan. Perkara sebenar. Siapa Ghea. Siapa empat jahanam itu.

Aku diam. Aku kunyah perlahan. Maggi jadi liat dalam mulut aku tapi tak apa. Aku telan juga. Sebab kalau aku muntah sekarang muntah itu darah, bukan maggi.

"Sekarang... kau cakap lagi dua ekor?" Suara Ghibran tiba-tiba potong bunyi TikTok. Dia letak telefon atas meja. Jari dia berhenti scroll. Mata dia kunci muka aku.

Aku angkat kening sikit. Pandang dia. Jarang dia ada sama. Biasanya dia hilang, ke hulu ke hilir bawa beg laptop, sign dokumen sana sini. Orang yang syarikat suka suruh keluar outstation. Orang yang selalu balik dengan cerita bilik hotel murah & klien bangang.

Ghibran ini kawan baik Azfar tapi aku tak pernah kisah. Duduk dengan dua ekor ini kepala aku rasa kurang busuk. Sebab pemikiran mereka tak sama macam geng yang lain.

Aku senyum sikit. Senyum macam maggi sejuk dalam mulut aku. Aku letak garpu tepi pinggan.

Aku jeling Azfar, jeling Ghibran. Garpu aku ketuk pinggan perlahan. Bunyi ting ting irama orang gila.

"Aku harap... korang tak kisah semeja dengan bakal pembunuh." Suara aku santai. Macam cerita pasal hujan turun. Aku gelak sikit. Gelak malas.

Azfar sengih. Gigi dia separuh nampak, separuh hilang belakang rokok yang dia sumbat ke bibir. Ghibran angkat bahu. Senyum sipi, macam tak ada benda.

"Kitorang pernah duduk semeja dengan orang yang lagi dahsyat dari kau, Rik." Azfar balas, gelak perlahan. Bunyi teh tarik bergoncang dalam gelas dia. Ghibran cuma senyum. Mata dia tak lepas dari muka aku senyum dia macam cop setuju.

Maggi goreng makin sejuk tapi dalam kepala aku, darah makin mendidih. Bagus. Aku tak makan seorang.

"Ok... aku blah dulu. Ada orang tunggu aku kat rumah." Aku bangun. Kerusi plastik berbunyi geser lantai. Tangan aku capai dompet, kunci kereta masuk poket. Maggi aku tinggal suku.

Azfar sengih. Mulut dia celupar, mata dia cabar. "Lily ke... Ghea?" Suara dia sinis. Hujung rokok dia terjuntai, abu jatuh atas meja.

Aku angkat bahu. Senyum sipi. "Entah." Aku balas senyum dia dengan senyum yang sama busuk. Sama hitam.

Kami sama-sama senyum jahat. Bezanya senyum aku ada darah tunggu masa nak meleleh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience