Bab 43

Thriller Series 1360

Ezrik Aslan

Aku periksa jam di pergelangan tangan. Hampir pukul 8.00 malam. Lampu jalan memantulkan cahaya kuning pucat atas permukaan kereta yang berderet di tepi. Angin malam berbaur asap rokok dari meja belakang, menusuk perlahan ke dalam hidung.

Masih tak nampak kelibat perempuan itu. Perempuan yang aku mahu jumpa untuk berbincang tentang tawaran kerja yang aku muat naik di Instagram tiga hari lepas. Aku tak suka menunggu dan aku lebih tak suka orang yang tak tahu erti masa.

Aku sandarkan tubuh pada kerusi. Mata aku perhatikan setiap wajah yang lalu di kaki lima ada yang melangkah laju, ada yang sengaja meleret sambil mata mereka melintas ke arah aku. Tiada satu pun yang aku tunggu.

Jari aku mengetuk meja, ritma perlahan yang mula memanaskan darah. Kalau dia berani lewat, aku akan ingat wajahnya. Orang yang buat aku buang masa selalunya tak akan dapat peluang kedua.

Sekilas, aku nampak bayang seorang perempuan melangkah dari hujung jalan. Rambutnya dibiarkan terurai, mata tajam memerhati sekeliling. Dia berhenti sejenak, pandang kiri kanan, sebelum melangkah terus ke arah aku.

"Boleh saya tahu, ini Encik Ezrik ke?"

Suara perempuan muda itu jatuh betul-betul di hadapan aku. Dia berdiri dengan bahu sedikit terangkat, seolah cuba tampak yakin walaupun matanya masih sempat mengimbas sekeliling.

Aku angguk perlahan. "Ya, saya Ezrik. Awak Aina kan?"

"Ya, saya Aina... yang berminat dengan kerja yang Encik post hari tu," jawabnya. Dia sebut nama aku dengan nada formal, tapi aku boleh tangkap hujung suaranya bergetar sedikit.

"Duduklah dulu." Aku pelawa, sambil mata aku tak lepas dari wajahnya.

Aina terus tarik kerusi di depan aku dan duduk. Pergerakannya kemas, tapi tangannya bermain dengan tali beg di pangkuan. Aku angkat tangan panggil pelayan. Lelaki itu datang dengan buku nota lusuh dan pen yang sudah tinggal separuh dakwat.

"Teh ais dua," aku sebut tanpa tanya Aina.

Pelayan angguk dan beredar, meninggalkan kami dalam diam yang sekejap terasa terlalu panjang. Aku sandar ke kerusi, jari mengetuk permukaan meja yang dingin. Pandangan aku tetap pada Aina. Dia nampak cuba membaca aku, tapi dia tak tahu aku selalu lebih dulu membaca orang.

"Boleh kenalkan diri dulu, Aina?" soalan aku keluar datar, seperti rutin temuduga biasa.

"Saya Aina, berumur 25 tahun. Saya duduk sekitar sini saja. Baru habis belajar dan masih mencari kerja tetap. Sementara saya tak dapat kerja lagi, saya berminat dengan kerja yang Encik Ezrik tawarkan..." suaranya sopan, gerak bibirnya teratur, seolah sudah dihafal sebelum datang.

Aku perhati mukanya. Riak budak baik. Mata yang tak berani menentang lama, tapi sekali pandang aku tahu jenis yang kalau dibentuk, boleh jadi sangat berguna dan aku rasa... aku sudah jumpa orang yang boleh diharapkan untuk jaga Ghea di rumah.

"Awak tahu awak kena jaga orang sakit? Dua puluh empat jam. Bermaksud awak perlu pindah dan duduk dalam rumah itu," aku jelaskan tanpa nada mesra.

"Ya, saya tahu dan sanggup," balasnya. Senyumnya kecil, tapi cukup untuk aku nampak ada keyakinan di sebalik patuhnya.

"Mudah saja kerja awak. Hanya jaga, mandikan, jaga waktu makan ubat, suap makan. Kalau keadaan bersepah, awak kemaslah yang mana patut. Saya tak paksa buat kerja rumah."

"Baik, Encik. Boleh saya tahu, saya perlu jaga siapa ya?" soalnya.

"Girlfriend saya. Saya harap awak tak masuk campur urusan peribadi saya. Tugas awak hanya jaga dia... dan saya akan bayar awak tiga ribu sebulan," balas aku, tegas.

Aina sedikit terkejut. Mungkin dia tak jangka aku cakap begitu terus-terang tapi dia cepat betulkan riak, lalu angguk tanda faham.

Pelayan datang bawa dua gelas teh ais. Aku tolak satu gelas ke arah Aina. "Jemput minum."

"Terima kasih, Encik. Bila saya boleh mula?" soalnya, tangan sudah mengusap permukaan gelas itu.

"Lusa boleh? Saya akan uruskan surat hitam putih untuk awak tandatangan sebelum masuk rumah saya," jawab aku. Suara aku sengaja kekal datar bukan memberi pilihan, tapi menetapkan tarikh.

Aina angguk sekali lagi. Aku perhati cara dia tunduk sedikit sambil mengangguk. Cara yang membuat aku yakin... dia akan ikut arahan.

***

Tangan aku tolak daun pintu. Bau ubat terus menikam hidung, bau yang sudah lama jadi sebahagian dari bilik ini.

Mata aku naik ke siling. Lampu RGB mengelilingi tepinya, berkelip lembut dalam gradasi ungu dan biru. Lampu yang aku dan Ghea pasang sendiri beberapa tahun lalu, semasa dia masih sihat... semasa bilik ini penuh dengan suaranya, bukan hanya dengusan nafas dan bunyi penghawa dingin.

Aku melangkah perlahan ke arah katil. Ghea terbaring diam, nafasnya tenang, dada turun naik perlahan. Aku duduk di hujung katil. Tilam memeri sedikit di bawah berat aku. Tangan aku singgah ke pipinya yang sejuk. Kulitnya masih licin, tapi dingin itu mengingatkan aku betapa dia sudah lama tak keluar dari dunia empat dinding ini.

"Bila kau nak sihat, Ghea..." suara aku jatuh rendah, hampir tenggelam dalam bunyi penghawa dingin yang menderu perlahan.

Mata aku tak lepas dari wajahnya. "Aku tak sabar nak borak dengan kau. Aku teringin nak rasa kau peluk badan aku... dan aku rindukan mulut kau yang bising."

Kata-kata itu keluar macam rahsia, tapi di dalam dada, rindu itu sudah mula jadi marah.

Aku rebahkan badan perlahan di sebelahnya. Tilam melentur lagi, bau tubuh Ghea campuran sabun mandi dan sisa bau ubat memenuhi deria.

Tangan aku menyusur dari pipi ke lehernya, berhenti sejenak di situ sebelum turun ke bahu. Sentuhan aku ringan, tapi sengaja aku biarkan ia perlahan... seperti menghafal semula setiap inci tubuhnya.

Aku tarik Ghea rapat ke dada. Kulitnya sejuk menembusi baju aku. Nafasnya menghembus perlahan di bawah dagu aku.

"Kalau kau tahu betapa aku rindukan rasa ni..." bisik aku di telinganya. Bibir aku hampir menyentuh kulitnya, tapi tak sampai. Hanya biar jarak tipis itu jadi seksaan aku sendiri.

Jari aku mengusap lengannya, sekali-sekala singgah di jemari halusnya yang terkulai. Aku rapatkan lagi tubuhnya ke dada. Mata aku pejam, cuba menangkap semula memori yang sudah lama aku tak rasa.

Jari aku menyusur dari lengannya naik ke rahang, berhenti di sana. Aku ingat lagi... dulu dia akan condong sedikit bila aku sentuh macam ini, macam dia memang menunggu aku untuk ambil bibirnya.

Aku usap rambutnya perlahan, rasa lembut itu menusuk terus ke dalam dada aku. "Aku rindukan kau... masa kau layan aku, masa kau gelak lepas aku cium kau... masa kau genggam baju aku bila kita rapat sangat."

Nafas aku berat. Kelopak mata terasa panas, tapi aku tahan. Aku tak nak titis itu jatuh atas pipinya. Aku tak nak dia nampak aku macam lelaki kalah.

Bibir aku hampir singgah di dahinya, tapi aku berhenti separuh jalan. Tak sanggup nak rasa jarak ini semakin besar walaupun aku hanya sejengkal dari dia.

"Bangunlah, Ghea... aku tak minta lebih. Aku cuma nak kau pandang aku balik... nak kau hidup balik." Suara aku retak, tangan masih membelai pipinya seolah sentuhan itu mampu tarik dia semula.

Aku tarik nafas panjang, cuba redakan riak yang hampir pecah. Tangan aku masih di pipinya, ibu jari mengusap perlahan seolah-olah aku bercakap dengan orang yang sedar.

"Ghea..." suara aku jatuh perlahan. "Lepas ni... akan ada seorang perempuan bernama Aina. Dia akan jaga kau. Dua puluh empat jam."

Aku berhenti sekejap, memerhati wajahnya yang kaku. "Aku harap... dengan dia ada, kau cepat sembuh. Aku nak tengok kau bangun. Aku nak dengar suara kau semula."

Aku rapatkan dahi aku ke dahinya, mata aku pejam rapat. "Aku akan pastikan semua cukup untuk kau. Makan, ubat... sampai kau boleh lawan balik sakit ni."

Bunyi penghawa dingin masih sama, tapi dalam kepala aku, ia hanya jadi latar untuk doa yang tak pernah aku ucap kuat-kuat.

Dahi aku masih rapat pada dahinya. Nafas aku menyapu kulitnya yang sejuk.

"Ghea..." suara aku makin rendah, hampir seperti rahsia yang hanya dia patut dengar. "Aku janji... lambat atau cepat, Paan, Aiman, Acap, dan Arif akan mati."

Jari aku menggenggam jemarinya yang terkulai. "Tapi bukan mati biasa. Aku akan buat mereka rasa terseksa... aku nak mereka rasa setiap luka yang kau rasa. Aku nak setiap nafas terakhir mereka penuh dengan penyesalan dan ketakutan."

Aku tarik nafas dalam, menahan degup jantung yang semakin laju. "Dan lepas semua itu... aku akan jaga kau. Aku akan pastikan kita bina hidup baru. Hidup tanpa empat jahanam itu. Hidup yang tak ada siapa boleh sentuh kau lagi."

Bibir aku singgah sekejap di dahinya, lama... seolah-olah ciuman itu jadi tanda sumpah.

Aku angkat sedikit wajahnya dengan telapak tangan. Mata aku memerhati bibirnya yang pucat, tapi masih bentuk yang sama seperti malam terakhir dia cium aku.

Perlahan, aku turunkan bibir aku padanya. Sentuhan itu dingin, kaku... tapi aku pejam mata dan biar memori yang hidupkan rasa itu.

Ciuman aku bukan sekadar rindu. Ia sumpah. Sumpah bahawa setiap nyawa empat jahanam itu akan jatuh satu demi satu, sampai aku boleh rasa ciuman ini kembali bernafas.

Aku tarik diri perlahan, dahi aku kembali bersentuh dengan dahinya. Nafas aku berat, tapi tekad aku tak goyah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience